Perak
Dia sudah mula memandu ke arah
Nibong Tebal untuk menuju ke Parit Buntar. Jalan raya sedikit kurang lancar
kerana ramai warga kota sudah dalam perjalanan pulang ke kampung untuk
menyambut hari raya Aidilfitri. Lagu Miskin Kaya berkumandang di corong radio.
“Dia
kawan saya. Saya tak bercinta dengan isteri orang. Betul ke nak saya tumpangkan
sampai Parit Buntar ni? Saya berhenti dekat stesen bas yang dekat dengan USM
tu.”, Kay mencebik dan masih merenung Jamil.
Lelaki itu memakai baju T lengan
pendek berwarna biru gelap berkolar dan seluar Khakis berwarna hitam. Rambutnya
pendek dan rapi. Apabila lelaki itu berjalan ke masjid sebentar tadi, Kay
memerhatikan lelaki itu dari dalam kereta. Orangnya sederhana tinggi dan
berkulit kuning langsat. Tidak gelap, tidak juga putih melepak. Bentuk mukanya
seperti diamond dan menampakkan
tulang pipi dengan gigi sedikit ke hadapan. Hidung pula tegak sahaja.
Kesimpulannya lelaki itu biasa sahaja dan tidak kelihatan seperti lelaki jahat
atau miang. Kay teringat pada bekas kekasihnya Haikal. Dia mengeluh sekali.
“Hem…ok.
Jangan lupa pasport saya.”, Jamil hanya mengangguk.
“Oh ya,
apa nama awak?”, Kay baru teringat dia belum berkenalan dengan lelaki yang baru
ditemuinya itu.
Jamil tersenyum sekali. Dia teringat
akan nama Kerria binti Abdul Majid. Kay yang melihat mengerutkan keningnya
sekali.
“Apa yang
lawaknya?”, Jamil menyekat senyuman kemudian melihat sekali ke arah Kay.
“Saya
ingat awak tak mahu tanya nama saya. Dahlah main masuk je kereta saya mintak
tumpang.”
Pada fikiran Kay lelaki ini agak
pandai berkata-kata. Jamil berhenti bermesra apabila Kay tiada reaksi.
“Muhammad
Jamil.”, nada suaranya serius dan mendatar.
Kay mengangguk sekali dan
memuncungkan mulutnya. Kemudian dia terpandangkan buku-buku latihan di tempat
duduk belakang. Kemudian matanya kembali diarahkan ke arah Muhammad Jamil yang
baru dikenalinya itu. Terdetik dalam hatinya, apa pekerjaan lelaki ini.
“Jamil,
awak kerja apa?”, Kay melihat papan tanda Nibong Tebal di tepi jalan.
“Cikgu.
Kenapa?”, Jamil mula berasa selesa dengan Kay.
“Ah..patutlah
ada buku latihan kat tempat duduk belakang. Eh Jamil, awak umur berapa? Dah
kahwin dah?”, tiba-tiba Kay merasakan dia berminat mengetahui peribadi Jamil.
Jamil yang sedang memandu pula
berasa tersentak apabila hal statusnya ditanyakan. Dia menoleh sekilas wanita
pelik disebelahnya yang sedang tersenyum dengan pandangan aneh. Kepekatan malam
mulai terasa apabila waktu mula menginjak ke waktu Isyak. Perutnya mula terasa
lapar yang amat sangat.
“Awak ni
penyiasat ke? Banyak sangat awak tanya saya. Eh tahu tak? Jangan kongsi banyak
perkara peribadi dengan orang yang baru kenal. Bahaya.”, Jamil berdalih kerana
dia mula curiga dengan Kay.
Selepas mendengar kata-kata Jamil,
Kay tergelak besar sambil menepuk-nepuk pehanya. Sesekali tangannya tersasar ke
arah bahu Jamil membuatkan lelaki itu mengelak dek kerana terperanjat.
“Awak ni
kelakarlah Muhammad Jamil. Eh silap silap, cikgu Jamil…”, Kay bersuara dengan
nada sedikit menggoda di hujung ayat.
Jamil yang mendengar terasa gelisah
dan mula teringatkan ibunya di kampung. Dalam hatinya dia berdoa agar dirinya
dilindungi. Selepas itu, suasana kembali sepi hanya bertemankan radio yang
sudah memainkan lagu Balik Kampung pula. Kay menyanyi kecil mengikut rentak
lagu sambil sesekali tersengih ke arah Jamil. Suasana itu kekal sehingga mereka
tiba di stesen bas Parit Buntar. Jamil memarkir kereta bersebelahan dengan
kerusi di tepi jalan. Dia berniat mencari kedai makan untuk ‘berbuka puasa’.
Kay turut keluar dari kereta dengan tidak membawa beg tangannya bersama. Dia
berdiri di tepi pintu sambil memasukkan tangan ke dalam kocek seluar. Jamil
kehairanan.
“Awak tak
ambik barang-barang ke?”, dia akhirnya inginkan kepastian.
Kay merenung kosong wajah Jamil
sambil mengangkat bahu. Dia berjalan ke arah Jamil dan mencuit bahu lelaki itu
sekali.
“Awak
belanja saya makan boleh? Kan saya tak ada duit. IC pun tak ada. Ingat tak,
ingat tak?”, dia berkata-kata dengan penuh bersahaja sambil tersengih-sengih.
Di bawah sinaran lampu jalan, Jamil
terlihat pipi wanita itu yang masih ada kesan hitam celak dan kawasan mata yang
kelihatan baru lepas ditumbuk sahaja. Dia rasa serba salah. Separuh lagi
hatinya runsing jika orang ramai berfikiran negatif apabila melihat Kay
bersamanya. Kay masih tercegat ketika Jamil membuka but kereta dan mengeluarkan
botol air mineral. Bagasinya dibuka dan Jamil mengeluarkan baju T yang agak
lusuh. Baju T dibasahkan dengan air dan dihulurkan kepada Kay. Wanita itu
menyambut dengan lurus.
“Lap muka
awak sikit. Dah macam burung hantu dah.”, Jamil teragak-agak untuk memberitahu
niatnya kepada Kay.
Kay senyum sekali dan menyapu baju T
yang basah kemukanya. Kemudian, dia melihat dirinya melalui pantulan cahaya
pada cermin tingkap kereta. Matanya dibelek-belek. Pintu kereta pemandu dibuka
dan dia mencapai beg tangannya. Jamil hanya memerhati. Kay menyeluk tangannya
mencari sesuatu dalam beg tangan. Dia kemudian mengeluarkan cekak berwarna biru
dan mengenakannya pada rambut. Seketika, Kay kelihatan bersih dan kemas. Jamil
terpana seketika apabila wanita itu tersenyum kepadanya.
“Jom.”,
beg tangannya disandang ke lengan kiri.
Jamil hanya menurut langkah kaki Kay
menuju ke arah datangnya bau makanan. Mereka singgah di sebuah restoran melayu
dan memesan makanan. Semua pengunjung restoran menoleh ke arah Kay. Dia pula
tidak mempedulikan pandangan orang sekeliling kepadanya dan duduk bersahaja di
kerusinya. Kakinya diselimpangkan membuatkan dia kelihatan anggun walaupun
masih terdapat kesan gelap pada matanya. Sekali pandang dia kelihatan seperti
gadis yang baru keluar daripada menghadiri konsert Search ataupun Wings di
tengah pekan Parit Buntar. Jamil yang perasan pandangan orang sekeliling pada
‘pasangannya’ itu melihat ke arah Kay.
“Kerria.
Ramai orang tengok awak tu.”, Kay terpana apabila Jamil memanggil nama
penuhnya.
“Kerria?
Mana awak tahu nama penuh saya?”, Jamil menggaru kening yang tidak gatal.
“Em..pasport
awak. Kenapa jadi Kay pulak?”, pesanan air sampai di meja mereka.
“Jamil...awak
tak rasa ke nama tu macam nama kuih. Kuih keria. Jadi, saya suruh semua orang
panggil saya Kay. Kenapa, tak boleh? Kan lagi senang.”, sesekali bunyi hon
kenderaan lalu lalang berbunyi.
Malam masih muda dan pengunjung
restoran semakin ramai. Bunyi bising memasak dan orang ketawa dikeliling
tenggelam dalam dunia Kay dan Jamil. Jamil berfikir sejenak dan kemudian ketawa
kecil.
“Tadi,
saya pun teringat kuih. Kay. Ok, saya panggil Kay.”, Jamil menyedut minumannya.
“Hah,
macam tu lah. High five sikit.”, Kay
mengangkat tangan kanannya ke udara namun kemudian dia menurunkan tangannya
kembali apabila Jamil berpura-pura tidak melihat aksinya.
“Ok, tak
nak high five tak apa. Eh sedap
kerepek ni, awak tak nak ke?”, muruku dalam balang plastik bertutup merah
disuakan kepada Jamil.
Jamil mengambil sebatang dan
mengunyah perlahan. Surat khabar di kaunter restoran diambil dan muka surat
salam perantau dibuka. Dia melihat-lihat jikalau ada wajah-wajah yang
dikenalinya. Ingatannya terimbau kepada Azad yang bekerja di Shanghai. Sudah
pulang atau belum sahabat kampungnya itu. Apabila melihat gambar pengirim
berbaring terlentang atas salji, dia senyum segaris.
“Mil,
kalau kampung kita ni ada salji kan best.
Panas betul. Naik hitam kulit aku.”, Azad yang sedang duduk di tepi jambatan
kampung berkata sambil merenung tali pancingnya.
“Aku kan
Mil, dapat kereta berkilau macam Haji Sarip tu pun aku tak hadap. Janji, aku
nak tengok salji.”, menyengih Azad.
“Kau tau
kakak aku selalu tengok Cinta Antara Benua tu. Alah yang kat TV3 tu. Kau tau
nak tengok salji kat mana? Tu kat tempat orang putih tu ha. Kat sini, ah keli
dengan haruan je lah kau nampak. Kalau nasib tak berapa baik, sepat pun jadi.”,
tangan Kay yang tergawang-gawang di hadapan mata mengembalikan Jamil ke alam
nyata.
Lamunannya tentang Azad pecah. Kay kembali
muncul di hadapannya.
“Kay,
kenapa menangis macam orang gila kat tepi jalan tadi?”, Kay sedang leka
mengunyah apabila disoal.
“Kena
ragut. Kan dah cakap tadi.”, dia menjawab bersahaja.
“Awak nak
ke mana sebenarnya? Kenapa tak naik bas je kat terminal tadi? Tak takut ke saya
ni pembunuh ke, penyimbah asid ke...”
“Pervert ke...”, Kay menyampuk kata-kata
Jamil menyebabkan lelaki itu terlopong.
“Rumah
nenek saya. Kat Pasir Gudang. Tiket dah habis jadi sebabtu la saya kat sini
sekarang dengan awak.”, Jamil ingin menyatakan sesuatu tetapi dipintas.
“Saya
malas nak fikir...awak jahat ke baik. Eh agak-agak kat sini ada tiket lagi
ke?”, Jamil menjungkit sambil menyua mee goreng ke dalam mulut.
Kay turut menyuap nasi goreng pataya
ke dalam mulut. Sesekali dia meniup nasi yang masih panas. Jamil bingung
memikirkan wanita itu. Dia yakin, ada sesuatu yang disembunyikannya. Kay cantik
rupa parasnya dengan rambut panjang sedikit melepasi bahu. Ikal ikal. Tubuhnya
kecil dan berpakaian biasa dengan baju leher V kelabu asap bersarung jaket
jeans. Dia juga berseluar khakis sepertinya berwarna putih. Kakinya pula
bersarung sneakers hijau bertompok hitam. Sekali pandang seiras warna katak.
Sedang Jamil memerhati wanita itu, telefon bimbit Kay berbunyi. Kocek jaket
diseluk. Panggilan itu tidak terus diangkat. Sebaliknya selepas telefon itu
berbunyi dua kali, dia menekan slide Samsung Galaxy Acenya.
“Ye
kak.”, mulutnya masih penuh dengan nasi.
“Tak
payah tanyalah. Kan Kay kata balik raya dengan nenek kat Pasir Gudang.”,
nadanya sedikit meninggi.
“Cakap
kat ayah Kay OK.”, kemudian dia berhenti selama beberapa detik.
“Suka
hati ayah la nak kahwin ke apa ke. Ayah nak panggil satu Penang buat majlis
sanding macam Erra Fazira pun Kay tak kisah dah. Buatlah apa je. Kay tak mahu
balik. Ok kak bye.”, telefon disumbat ke kocek semula.
Jamil yang mendengar mula membuat
kesimpulan dalam otaknya. Ayah dia kahwin
lagi la ni, desis hatinya.
Lebuhraya Utara Selatan, Sg.Perak
Kay masih di dalam tandas. Jamil pula membeli jambu dan
tembikai potong. Dia duduk di bangku melihat air terjun mini sambil menyuap
buah jambu. Beg tangan tiba-tiba terlontar ke bahunya.
“Saya nak
sikit.”, Jamil yang tersedak menghulurkan tembikai. Bisa betul penangan perempuan ni.
“Saya
paling suka tengok bulan.”, Kay berkata sendiri sambil bersandar menikmati
tembikai.
Bulan terang pada malam itu. Cuaca
pun tidak sejuk tidak panas. Entah-entah malam ni malam Lailatul Qadar tak,
Jamil berkira-kira sendiri. Dia menyuap lagi jambu. Kay sudah sedikit terurus
selepas keluar dari tandas. Rambutnya diikat simpul ban.
“Kay, kalau
saya tanya sikit boleh?”, kay mengangguk.
“Kenapa
awak tak jadi turun kat Parit Buntar tadi?”
“Tak ada
duit beli tiket. Awak pun tak nak sponsor
kan...”, dia mendongak ke langit.
Memang rancangannya dia hanya
menumpangkan Kay sampai di Parit Buntar, namun selepas makan tadi, dia rasa
mengantuk. Kalau berteman, ada juga kawan menghilangkan ngantuk. Akhirnya, dia
bersetuju membawa Kay sampai ke Batu Pahat. Kemudian seperti yang telah mereka
sepakat, Kay akan mengambil bas sendiri ke Johor Bahru. Tambangnya akan
dipinjam daripada Jamil, dan dia akan menghubungi Jamil selepas itu. Namun,
sehingga kini, lelaki itu tidak memberikan nombor telefon bimbit kepadanya.
“Jamil.
Berapa nombor telefon?”, dia sudah bersedia dengan Galaxy Acenya.
Jamil memandangnya. Eh, dia nak
mengurat aku ke, hati Jamil tiba-tiba bersuara nakal.
“Nanti
saya nak bayar tiket bas macam mana?”, kepalanya dijongket-jongket.
“012-3456789”,
malas mahu berbalah dengan perempuan itu.
“Ok.”,
tiba-tiba telefon bimbit Jamil bernyanyi Luaskan Kuasamu Johor.
Dia terkocoh-kocoh mendapatkan
telefon bimbit di kocek seluar.
“Saya
punya. Simpan.”, Jamil menaip Kuih Keria dan menekan punat save.
“Jom.”,
kedua-duanya berjalan ke arah kereta.
BERSAMBUNG