1998, Kuala Lumpur
Kereta Proton Saga Megavalve Cikgu Mutalib berhenti di
hadapan pagar Sekolah Rendah Taman Tun Dr Ismail. Apabila melihat ramainya
pelajar dari sekolah lain yang datang ke pertandingan peringkat kebangsaan
bercerita bahasa melayu itu, Azad kecut perut. Dia mengelap tangannya yang
berpeluh pada seluar hitam yang dipakainya. Tanjaknya pula dalam pegangan Jamil
yang masih di dalam kereta. Sahabatnya itu sedang menyandang beg ke bahu. Dia
tersengih-sengih.
“Rilek la
Zad, kau kan tukang karut sekolah.”, bahu Azad ditepuk. Tanjak diletakkan pada
kepalanya.
Jamil mengikut cikgu Mutalib ke meja
pendaftaran. Sedang dia melihat cikgu mendaftar peserta, seorang perempuan
dengan bunga kuning terselit pada telinga menolaknya ketepi. Dia memakai
persalinan lagak seorang puteri serba kuning. Wajahnya pula tebal dengan bedak.
Dah macam pengantin je budak ni, Jamil menyumpah dalam hati.
Dalam dewan pertandingan, dia
bertemu lagi dengan budak perempuan serba kuning yang menolaknya hampir ke
longkang tadi di atas pentas. Petah bercerita budak itu dengan watak Puteri Santubongnya.
Azad pula asyik bercakap sendiri dan cikgu Mutalib berborak dengan rakannya.
Jamil yang hilang punca menonton dari mula perempuan itu bercerita sehingga ke
akhirnya. Yang dia ingat, budak itu berpantun empat kerat sebelum bercerita.
“Cantik
si dara mengatur talam,
Di pagi
hari fajar yang hening;
Puteri
Santubong hulurkan salam,
Hamba Kerria
si kembang kuning.”
Hari itu, Azad menjadi johan.
Teringat wajah Puteri Santubong berbunga kuning yang menjelingnya tadi apabila
dia menjerit untuk Azad. Dia tidak pernah lupa nama perempuan yang pelik itu.
Kini, Pulau Pinang
Dia melihat jam di pergelangan
tangan. Hampir menginjak ke waktu senja. Rambutnya yang ikal panjang sedikit
terjuntai menutupi pandangan ditolak ke belakang. Orang ramai mula
beransur-ansur hilang. Kaunter tiket bas yang terletak bertentangan dengannya
dipandang kosong sambil menongkat dagu.
“Betul
dik. Tiket ke Johor habih dah. Tak
faham bahasa ka?”, wanita berusia
30-an yang menjaga kaunter tiket bas naik angin.
“Kak,
saya kena balik la ni jugak. Lagi 3
hari nak raya. Tolonglah saya kak. Takkan langsung takdak tiket. Pukul 11 malam pun takkan dah habih.”, dia terus mendesak agar diberikan tiket pulang.
Sementara dia sedang merayu di
kaunter tiket, orang ramai yang beratur di belakang mula mengeluarkan
suara-suara kurang senang. Akhirnya dia mengalah. Rancangannya untuk ke rumah
nenek dibatalkan dan dia terpaksa pulang ke Butterworth. Beg travel yang diletakkan di kaki kanan
disandang ke bahu. Wajahnya kelat. Dia berjalan perlahan-lahan mencari tempat
duduk. Kini sudah satu jam dia duduk seperti orang dungu sambil sesekali
memandang sinis wanita penjual tiket di kaunter.
Sedang dia
duduk-duduk, seorang wanita bersama anak kecil berusia dalam lingkungan 3 tahun
duduk disebelahnya. Seorang lelaki meletakkan bagasi wanita tersebut
bersebelahan tempat duduknya. Kanak-kanak itu sedang menyedut minuman Oren
dengan penuh berselera. Sementara itu, ibu dan ayahnya sedang berbual sambil
berdiri. Tekaknya menelan liur.
“Nanti
kalau you dah sampai telefon I. Ok. Jaga Nafiz baik-baik. You take care of yourself too.”,
telinganya sempat menangkap butir-butir perbualan lelaki tersebut.
Kanak-kanak lelaki itu masih merenungnya
sambil menyedut minuman. Mereka berpandangan tanpa menghiraukan keadaan
sekeliling. Sekali lagi, dia menelan liur. Dia perlu mencari minuman, kata
hatinya berbisik.
“Terima
kasih Jam. I tak tahu kalau you tak ada. I dah buntu.”, wanita itu mula menangis.
“Tapi you tak boleh macam ni terus. Lepasni you pergi buat follow up pasal report
polis semalam. I dah kena gerak ni. Again, jaga diri. ”, lelaki itu sudah
mahu meninggalkan wanita itu.
Wanita itu menyeka air mata dan
menarik anaknya kedalam pangkuan. Selepas mencium pipi kanak-kanak lelaki itu,
lelaki itu pergi sambil menggengggam kunci kereta. Dia pula menyandang kembali
beg travel dan beg tangan ke bahu
untuk mencari kedai runcit. Matanya membelek bosan air minuman dalam peti sejuk
di hadapan mata dengan pintu yang terbuka.
“Dik,
jangan buka pintu lama-lama. Ghosak
peti sejuk kak, dik.”, wanita tua itu dipandang sinis sambil tangannya
mengambil botol 100 Plus 500 Ml.
“Dua ghinggit dua kupang dik.”, tangannya
mencapai dompet dalam beg tangan.
Sebaik dompetnya dikeluarkan,
seorang peragut merampas dompetnya. Dia yang terkejut terkaku seketika sebelum
menjerit dan berlari mengejar peragut tersebut. Botol 100 Plus 500 Ml
ditinggalkan begitu sahaja.
“Woi!
Duit aku…tolong….”, lariannya terhad dek menyandang beg travel yang berat.
Orang yang lalu lalang tidak ramai
kerana remang maghrib sudah memunculkan dirinya. Hanya pengusaha kedai melihat
dengan terpinga-pinga. Akhirnya, lariannya terhenti di kawasan parkir
bersebelahan jalan raya bertingkat. Peragut pula sudah lesap entah ke mana. Dia
tercungap-cungap dan terduduk di tepi bahu jalan.
Dihadapannya
pula kereta Proton Preve Putih berbunyi menandakan pemandunya menekan punat lock-off. Tanpa mempedulikan derap
langkah kaki yang semakin hampir, dia mula tersedu-sedu sebagai mukadimah
sebelum menangis. Selang beberapa sendu, tangisannya mula kedengaran seperti
anak kecil. Kenderaan yang lalu lalang tidak mampu menenggelamkan suara tangisnya.
Dia terus-terusan meladeni nasibnya di tepi bahu jalan sambil terduduk bersama
beg travel besar di belakang bahu.
Jamil yang baru meletakkan panggilan
telefon ibunya tersentak apabila mendengar bunyi tangisan wanita berdekatan
kawasan dia memarkir kereta proton Prevenya. Bulu romanya sedikit meremang. Dah nak maghrib ni, hatinya berbisik.
Dia berdiri di tepi pintu pemandu sambil menoleh kiri dan kanan, mencari-cari
suara tangisan wanita tadi. Tangisan itu semakin kuat dan kuat. Telinganya
memicing mencari frekuensi yang tepat. Kawasan tempat duduk penumpang di
hadapannya seperti memanggil-manggil dirinya datang. Jamil menelan liurnya
sekali sebelum menapak ke arah bahu jalan.
“Heaa….mama…kalau
tak sebab budak tu minum air oren, aku mesti tak pergi kedai tu. Hea….mama…Kay
nak balik. Nenek, Kay nak jumpa nenek…”, Jamil mendengar seorang wanita
merungut-rungut sambil menangis di hadapannya.
Dahinya berkedut penuh kehairanan. Dia yang menangis rupanya, hatinya
berbisik lagi. Jamil teragak-agak mahu bertanya. Wanita itu terduduk dengan
rambut panjang ikal yang serabai. Kakinya terlunjur ke bawah kereta Jamil. Beg
tangannya bergolek di atas jalan manakala pada bahunya tersandang beg travel besar sebesar Nafiz yang baru dia
hantar ke stesen bas tadi. Sebaik menyedari kehadiran Jamil di situ, dia
mendongakkan wajah. Eyeliner yang
dilukis pada mata sudah tercalit-calit ke pipi dan kawasan hidung. Wajahnya
basah dengan air mata. Wanita itu tersedu-sedu sambil matanya tidak lepas
memandang Jamil.
“Er…cik
tak apa-apa ke? Kenapa menangis sorang-sorang ni?”, akhirnya Jamil bersuara
dengan penuh gugup.
Wanita itu hanya diam sambil
tersedu-sedu. Tangisannya sudah reda. Tangan kanan yang penuh dengan
gelang-gelang aneh menyeka baki air mata di pipi. Tiba-tiba, wanita itu bangun
merentap beg tangannya di atas jalan dan membuka pintu sebelah pemandu kereta
Jamil. Jamil terkedu dan panik. Dia bergegas mendapatkan wanita itu.
Menghalangnya untuk masuk ke dalam kereta.
“Eh..eh…eh…apa
ni cik.”, Jamil tersentuh pergelangan tangan wanita itu.
“Hah!! Maaf-maaf
saya tak sengaja pegang tangan cik.”, wanita itu hanya memandang kosong tampang
Jamil yang seperti orang kebingungan.
Tanpa mempedulikan Jamil, wanita itu
masuk ke dalam kereta. Beg travelnya
dicampak ke tempat duduk penumpang belakang. Kemudian dia menarik pintu sekuat
hati sehingga Jamil terpaksa melepaskan pegangannya pada pintu kereta.
Kemudian, dia meraup muka sekali sebelum ke tempat duduk pemandu. Sebaik Jamil
duduk di tempatnya, enjin kereta dihidupkan. Dia menarik nafas sekali sebelum
menoleh wanita di sebelah kirinya.
“Saya nak
tumpang. Tolong bawa saya sampai Parit Buntar.”, wanita itu berkata perlahan.
“Eh, cik.
Saya tak kenal pun cik siapa, tiba-tiba nak minta tumpang.”, Jamil berkerut
seribu.
Wanita itu mengesat tangan kanannya
pada seluar jeans yang dipakai.
“Saya
Kay.”, dia menghulurkan tangan untuk berjabat.
Jamil melihat sahaja. Wanita itu
mengunjukkan tangan kanannya sekali lagi. Kedua-duanya berpandangan. Kay dengan
pandangan kosong, manakala Jamil penuh tanda tanya. Radio mula mengeluarkan
lagu-lagu raya selepas DJ selesai berceloteh. Kay kemudian meletakkan semula
tangannya di atas peha dan memandang ke hadapan. Jamil masih tidak berkutik.
“Saya tak
ada duit, IC, dengan lesen. Saya cuma ada pasport dalam handbag. Saya boleh bagi awak kalau awak tak percaya kat saya.”,
Jamil mengangguk kecil bagai burung belatuk.
Kay menyelongkar beg tangannya
mencari kelibat pasport. Dia mengeluarkan beberapa tisu yang ada kesan gincu,
dan mekap di atas peha. Ada juga plastik bungkusan makanan ringan Nips dan
coklat Vochelle yang tinggal suku. Akhirnya, tangannya menjumpai pasport
berwarna merah hati itu.
“Hah,
jumpa pun. Nah.”, Kay kembali memasukkan segala benda yang sudah dikeluarkan ke
dalam beg tangannya semula.
Sambil melepaskan nafas beratnya sekali, dia menurunkan
suhu penghawa dingin dan menghalakannya ke arah wajah. Selesai dengan urusan
penghawa dingin, dia bersandar malas sambil memejamkan mata. Selang beberapa
saat, azan maghrib berkumandang. Jamil yang membatukan diri sejak tadi tersedar
dan memusingkan badan ke hadapan.
Fikirnya dia mahu mengejar waktu untuk bersolat di
kawasan rehat Juru tetapi tiba-tiba wanita bernama Kay ini datang tanpa
diundang. Pasport Kay dibuka dan dia melihat umur wanita itu. 24 tahun. Nama
penuhnya pula ialah Kerria binti Abdul Majid. Wajahnya berkerut sambil mindanya
menerawang teringatkan kuih keria. Tiba-tiba, tawa kecilnya meletus. Wajah
wanita disebelahnya dicuri lihat. Kay walaubagaimanapun diam tidak berkutik.
Setelah meletakkan pasport di kocek pintu, dia mula memandu.
Jamil berhenti sebentar di masjid kawasan Butterworth
untuk bersolat Maghrib. Kay yang tertidur dikejutkan namun Kay hanya membuka
matanya sambil mengangkat kening sekali.
“Saya period. Ok. Terima kasih.”, kemudian
kembali memejamkan matanya membiarkan Jamil termanggu-manggu.
Selesai bersolat Jamil mendapat
panggilan daripada Rini. Ketika itu dia sudah masuk semula ke dalam kereta. Kay
sudah terbangun dan sedang mengunyah coklat yang tinggal suku tadi.
“Ya,
Rini. Assalamualaikum. Ada apa?”, Jamil mencuri pandang sekilas Kay
disebelahnya.
“Jam, I dah naik bas dengan Nafiz. You dah sampai lebuhraya ke?”, kata
Rini.
“I masih
kat Butterworth. Nafiz macam mana?”, Jamil tidak berterus terang tentang apa
yang baru berlaku kepadanya.
“Dia diam
je. You berbuka kat mana tadi?”
“I minum air mineral. Sekejap lagi kat Sg
Perak I cari makan.”, Kay dilihatnya
sudah merenyukkan bungkusan coklatnya dan sekali lagi mencampakkan sampah itu
ke dalam beg tangannya.
Jamil menggeleng sekali. Jam di
kereta sudah menunjukkan pukul 8 malam. Tiba-tiba Kay mengeluarkan sendawa yang
agak kuat.
“Bunyi
apa tu Jam?”, Rini di talian pun terdengar bunyi sendawa itu.
“Bunyi…
teka bunyi Era. Eh, Rini, kalau tak ada apa lagi you nak cakap I nak letak. I
nak memandu ni. Apa-apa hal telefon I lagi. Assalamualaikum.”, Jamil berusaha
mengelak daripada menjawab soalan itu.
“Okey
Jam. I tak nak kacau you. Selamat jalan. Selamat hari raya.”, kemudian talian
pun putus.
Kay di tempat duduknya mula
memikirkan siapa Rini yang berbual di telefon dengan lelaki di sebelahnya.
Wanita itu isterinyakah, fikirnya. Nafiz itu mungkin anak mereka. Tiba-tiba dia
teringat peristiwa petang tadi di Terminal Bas Butterworth. Baru dia menyedari
setelah mencuri lihat lelaki yang sedang memandu itu dari pandangan sisi. Dia
teringatkan nama Nafiz yang lelaki itu sebutkan petang tadi. Jadi, mungkin
wanita yang menangis itu ialah Rini. Sekali lagi, Kay melihat lelaki di
sebelahnya. Kali ini dia memusingkan tubuhnya ke arah lelaki itu. Matanya dipicingkan.
“Awak
cakap dengan siapa tadi?”, Kay bertanya penuh sarkastik.
Jamil yang sedang memandu mula rasa
terganggu apabila Kay memandangnya tanpa berselindung. Dia merasa dirinya
diperhatikan oleh wanita yang sedikit aneh itu.
“Kenapa
awak nak tahu?”, dia menjawab sambil menoleh sekilas Kay.
“Dia
isteri awak? Ke…kekasih gelap awak?”, Jamil tersentak dengan pertanyaan itu.
BERSAMBUNG