Home Novelet Cinta Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
BERUKA MAKINO
23/7/2015 00:27:14
11,067
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
3

Ipoh, Perak

12.25 malam. Selalunya kalau tiada gangguan, Jamil sudah hampir ke Selangor waktu ini. Namun, dek kerana terlalu banyak berhenti di R&R perjalanannya jadi lambat. Kay pula tidak tidur walaupun sudah tengah malam.

“Jamil, awak pernah ada girlfriend?”, Kay memecah kesunyian malam.

“Ada. Kenapa?”, dia teringatkan Rini dan Nafiz.

“Saya pun. Tapi dia dah kahwin dengan orang lain. Sekarang ayah pun kahwin lagi. Ah..bosannya.”, dia terfikir apa yang sedang dibuat ayah di Butterworth.

Jamil pula teringat kisahnya dengan Rini. Memang langit tak selalunya cerah, hubungannya dengan Rini sejak di Universiti Pendidikan Sultan Idris berakhir apabila ayahnya menerima pinangan dua pupunya yang baru pulang dari Jepun. Alasannya Jamil hanya bekerja sebagai guru, manakala dua pupu Rini jurutera. Masakan graduan negara matahari terbit itu dapat disamakan dengan anak kampung sepertinya. Setahun dia membawa diri ke Miri selepas postingsebelum ditukarkan dengan bantuan orang dalam ke Kedah. Di sana, siapa sangka daerah Sungai Petani itu menemukannya semula dengan Azrini Muhamad Tajudin. Rini yang dilihat mendukung bayi keluar daripada kereta Honda City semasa majlis hari guru. Luluh hatinya. Berkecai terbang bersama angin dari bendang yang bertiup kencang pagi itu. Sejak itu, dia mengajar hatinya jangan menaruh harapan lagi pada isteri orang. Azam itu tidak lama, Rini kemudian bercerita kepadanya tentang suaminya panas baran. Petang tadi, kemuncak dia membantu Rini membuat laporan polis dan menghantar wanita itu pulang ke Perak.

“Tak cukup cantik ke saya ni? Hah, Jamil. Awak rasa saya cantik ke buruk? Jawab cepat.”, tanpa menunggu jawapan Jamil, Kay mendorong wajahnya ke arah Jamil.

Tak malu betul perempuan ni, Jamil menarik nafas panjang. Kay sudah duduk kembali.

“Cantiklah...eh kalau saya terbabas langgar devider tadi macam mana? Hah? Baju raya mak pun saya tak bagi lagi tau.”, Kay puas hati, tersenyum sahaja sebelum bertukar kelat.

“Kakak saya lagi cantik. Tapi, suami dia tetap tinggalkan dia. Kenapa Jamil. Kenapa Haikal tinggalkan saya. Saya salah ke?”, dia menangis lagi seperti petang tadi.

Jamil serba tidak kena. Dia tidak tahu memujuk wanita menangis. Paling-paling jika Rini menangis, dia tahu berhenti sendiri. Namun, Kay bukan Rini. Jalan terowong ditempuh. Dalam balam-balam lampu terowong, dia hanya mampu berdoa agar Kay berhenti menangis. Kalau Kay itu Atira adiknya, dapat juga dia meminjamkan bahu.

Kay melihat terowong yang panjang. Sekosong pandangannya di hadapan, begitu jugalah hatinya sejak ibunya meninggal dua tahun lepas. Ibunya yang menerimanya sepenuh hati. Menerima sikap buruknya walaupun dia tidak sehebat dan sebaik kakaknya. Haikal hadir mengubat lukanya namun meracunnya kini dengan berita pertunangan dengan gadis lain. Begitu juga apabila kakaknya pulang ke rumah selepas bercerai dengan suaminya. Ayah pula meminta persetujuan berkahwin dengan setiausaha yang sudah menjanda lima tahun. Dia kusut. Sangat kusut.

“Kay, tuhan masih sayang awak. Jangan tanya kenapa.”, akhirnya Jamil hanya mampu menuturkan ayat yang sama dia tuturkan kepada Rini.

Baju T yang masih ada di atas dashboard kereta dihulur kepada Kay. Malam pun larut sementara Jamil berperang dengan perasaannya sendiri ditemani suara tangis Kay dan lagu raya yang sayup-sayup masuk ke telinga. Selang beberapa minit, Jamil tidak mendengar bunyi suara Kay menangis. Perlahan-lahan ekor matanya ke kiri, ingin melihat gadis itu. Benar. Kay sudah tertidur sambil tangan kanannya masih menggenggam baju T Jamil. Jamil meningkatkan suhu penghawa dingin. Meraup wajahnya sekali dan meneruskan pemanduan. Kali ini, dia betul-betul tidak mahu berfikir tentang Rini atau si Kerria yang baru ditemuinya ini.

Seri Kembangan, Selangor

Jamil berhenti sebentar di kawasan rehat dan rawat. Niat hatinya hendak ke tandas membuang air. Selesai urusan di tandas, dia terlihat pau yang masih panas dan teringat akan Kay. Perempuan itu kuat makan. Sekejap lagi, dia bangun, pasti minta makanan. Keretanya yang ditinggalkan berkunci di kawasan parkir berhampiran kawasan parkir bas dihampiri. Sampai di pintu kereta, dia pelik apabila keretanya tidak berkunci. Jamil pantas membuka pintu kereta dan Kay sudah tidak ditempat tidurnya. Dia sudah menghilang. Beg sandang dan beg tangan Kay di tempat duduk belakang masih ditempatnya. Mana perempuan ni pergi, Jamil mula panik. Pau panas dalam bungkusan kertas diletak pada dashboard. Dalam kerisauan, Jamil mula meninjau kiri dan kanan. Seketika dia bertanya kepada pemandu bas yang berdekatan. .

“Dia keluar baru tadi. Freehair kan bang?”, pemandu bas dalam awal 20 an itu menjawab.

“Kemana ya? Awak nampak arah mana dia pergi?”, Jamil kecewa apabila pemandu bas itu menggeleng.

Dengan berbekalkan gerak hati, Jamil masuk semula ke kawasan kompleks. Mungkin dia pergi ke tandas juga. Sampai di hadapan pintu masuk tandas wanita, dia meninjau-ninjau ke dalam kalau-kalau ada kelibat Kay. Seorang gadis yang melewatinya melihat aneh. Jamil tidak peduli lagi. Kalau wanita itu hilang, dan keluarganya membuat laporan polis, dia akan terkena teruk. Walaupun dia hanya mangsa dalam kes ini.

“Cari siapa encik?”, dari belakang, seorang wanita menyapanya.

Jamil tersentak melihat wanita tukang pembersih itu menegurnya. Wanita itu berada dalam lingkungan usia lewat 40an.

“Saya cari Kay. Isteri saya.”, dalam gugupnya, dia membuat olah yang Kay ialah isterinya. Wanita tua itu mengagguk-angguk.

“Nak makcik panggilkan. Apa namanya tadi? Kay?”, Jamil mengangguk sekali sambil mengucap terima kasih dalam hati.

“Jamil.”, sebelum makcik itu sempat masuk ke dalam, Jamil terdengar suara yang dicarinya sejak tadi.

Jantungnya hampir luluh saat melihat perempuan yang dicarinya itu sudah di hadapan mata. Makcik tukang pembersih juga terpana. Dia melihat Jamil yang membisu dan wanita cantik dengan rambut diikat bun dihadapannya. Mungkin inilah isterinya, desis hati wanita tua itu.

“Jamil, awak cari saya ke?”, kali ini Jamil berhenti terpana.

Dia mengucapkan terima kasih kepada wanita tukang pembersih itu dan menarik lengan Kay ke kawasan permainan kanak-kanak. Nafas Jamil turun naik berserta kemarahan yang cuba ditahannya. Kay pula mengikut sahaja tanpa banyak bicara. Dia tahu Jamil sedang marah. Dia tahu, dia tidak sepatutnya meninggalkan kereta Jamil begitu sahaja.

“Awak pergi mana?”, Jamil bertanya perlahan tanpa menoleh wajah Kay.

Dia takut dia tidak dapat mengawal rasa marah. Kemudian dia perasan dia masih belum melepaskan pegangannya pada lengan Kay. Dia juga perasan wajah Kay bersih daripada mekap dan rambutnya sudah rapi diikat simpul ban. Kay rasa bersalah dan berharap Jamil memandangnya.

“Saya pergi tandas.”, Jamil naik berang mendengar jawapan itu.

Pandangannya ditala menghadap Kay. Wanita itu tidak kenal dia siapa. Wanita itu perlu tahu tanggungjawab. Wanita itu perlu diajar supaya tidak bersikap acuh tak acuh terhadap orang lain. Pada pandangannya waktu itu, Kay sudah menipunya.

“Bohong! Awak bohong saya! Dari tadi saya dekat depan tandas tu tak nampak pun awak. Eh kau nak apa? Kau sengaja nak menyusahkan aku? Hah!”, kali ini Jamil sudah benar-benar hilang sabar.

Kay yang ditengking sebentar tadi menundukkan wajah. Matanya bergenang, dan dia tidak mahu Jamil melihat kelemahannya. Dia teringat doanya pada Allah lewat solat Isyaknya sebentar tadi. Dia berdoa agar Allah menemukan dia dengan orang-orang yang akan membawanya ke jalan syurga. Dia berdoa agar Allah mengubati rasa sakit dalam hatinya. Dia berdoa agar Allah menyelamatkan Jamil daripada bala. Biar selamat perjalanan pulangnya ke Batu Pahat. Dapatlah dia memberikan hadiah baju raya kepada ibunya. Sebelum membalas kata-kata Jamil, dia menarik nafas sekali. Mencari kekuatan lewat kudrat yang masih bersisa.

“Saya pergi surau. Saya minta maaf saya menyusahkan awak.”, buat seketika pandangan Jamil dan Kay bertaut.

Jamil dicuit rasa bersalah, manakala Kay berdoa dalam hati agar Jamil memaafkannya. Akhirnya Jamil mengalah dan mengalihkan pandangan. Kerutan pada wajahnya masih berbekas dan dengan perlahan dia memusingkan badan dan berjalan perlahan. Kay masih tidak berkutik dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia yakin Jamil akan meninggalkannya di situ. Dan dia spontan menggenggam telefon bimbit dalam poket jaket jean. Selepas ini dia akan menghubungi kakaknya.

“Jomlah. Nanti lambat pulak sampai.”

Dan kemudian, Jamil terus melangkah meninggalkan Kay yang seakan-akan tidak percaya. Bibirnya merekah dengan senyuman kecil. Sambil mengekori langkah Jamil, dia mengamati bentuk tubuh lelaki itu dari belakang. Andai dia berdiri disebelah Jamil, dia hanya setinggi bahu lelaki itu. Kemudian, dia teringat ayat Jamil di hadapan pintu masuk tandas. Saya cari Kay. Isteri saya.

Di dalam kereta, Jamil masih diam membisu. Jam sudah menunjukkan pukul 4.45 pagi. Sudah berejam Jamil membisu, dan Kay pula tidak dapat melelapkan mata. Dia rasa tidak senang hati. Selagi Jamil tidak memaafkannya, dia tidak dapat tidur.

BERSAMBUNG

Previous: 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.