Home Novelet Cinta Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
Kisah Jamil: Kerria Si Kembang Kuning
BERUKA MAKINO
23/7/2015 00:27:14
11,064
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
3
2

Perak

Dia sudah mula memandu ke arah Nibong Tebal untuk menuju ke Parit Buntar. Jalan raya sedikit kurang lancar kerana ramai warga kota sudah dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Lagu Miskin Kaya berkumandang di corong radio.

“Dia kawan saya. Saya tak bercinta dengan isteri orang. Betul ke nak saya tumpangkan sampai Parit Buntar ni? Saya berhenti dekat stesen bas yang dekat dengan USM tu.”, Kay mencebik dan masih merenung Jamil.

Lelaki itu memakai baju T lengan pendek berwarna biru gelap berkolar dan seluar Khakis berwarna hitam. Rambutnya pendek dan rapi. Apabila lelaki itu berjalan ke masjid sebentar tadi, Kay memerhatikan lelaki itu dari dalam kereta. Orangnya sederhana tinggi dan berkulit kuning langsat. Tidak gelap, tidak juga putih melepak. Bentuk mukanya seperti diamond dan menampakkan tulang pipi dengan gigi sedikit ke hadapan. Hidung pula tegak sahaja. Kesimpulannya lelaki itu biasa sahaja dan tidak kelihatan seperti lelaki jahat atau miang. Kay teringat pada bekas kekasihnya Haikal. Dia mengeluh sekali.

“Hem…ok. Jangan lupa pasport saya.”, Jamil hanya mengangguk.

“Oh ya, apa nama awak?”, Kay baru teringat dia belum berkenalan dengan lelaki yang baru ditemuinya itu.

Jamil tersenyum sekali. Dia teringat akan nama Kerria binti Abdul Majid. Kay yang melihat mengerutkan keningnya sekali.

“Apa yang lawaknya?”, Jamil menyekat senyuman kemudian melihat sekali ke arah Kay.

“Saya ingat awak tak mahu tanya nama saya. Dahlah main masuk je kereta saya mintak tumpang.”

Pada fikiran Kay lelaki ini agak pandai berkata-kata. Jamil berhenti bermesra apabila Kay tiada reaksi.

“Muhammad Jamil.”, nada suaranya serius dan mendatar.

Kay mengangguk sekali dan memuncungkan mulutnya. Kemudian dia terpandangkan buku-buku latihan di tempat duduk belakang. Kemudian matanya kembali diarahkan ke arah Muhammad Jamil yang baru dikenalinya itu. Terdetik dalam hatinya, apa pekerjaan lelaki ini.

“Jamil, awak kerja apa?”, Kay melihat papan tanda Nibong Tebal di tepi jalan.

“Cikgu. Kenapa?”, Jamil mula berasa selesa dengan Kay.

“Ah..patutlah ada buku latihan kat tempat duduk belakang. Eh Jamil, awak umur berapa? Dah kahwin dah?”, tiba-tiba Kay merasakan dia berminat mengetahui peribadi Jamil.

Jamil yang sedang memandu pula berasa tersentak apabila hal statusnya ditanyakan. Dia menoleh sekilas wanita pelik disebelahnya yang sedang tersenyum dengan pandangan aneh. Kepekatan malam mulai terasa apabila waktu mula menginjak ke waktu Isyak. Perutnya mula terasa lapar yang amat sangat.

“Awak ni penyiasat ke? Banyak sangat awak tanya saya. Eh tahu tak? Jangan kongsi banyak perkara peribadi dengan orang yang baru kenal. Bahaya.”, Jamil berdalih kerana dia mula curiga dengan Kay.

Selepas mendengar kata-kata Jamil, Kay tergelak besar sambil menepuk-nepuk pehanya. Sesekali tangannya tersasar ke arah bahu Jamil membuatkan lelaki itu mengelak dek kerana terperanjat.

“Awak ni kelakarlah Muhammad Jamil. Eh silap silap, cikgu Jamil…”, Kay bersuara dengan nada sedikit menggoda di hujung ayat.

Jamil yang mendengar terasa gelisah dan mula teringatkan ibunya di kampung. Dalam hatinya dia berdoa agar dirinya dilindungi. Selepas itu, suasana kembali sepi hanya bertemankan radio yang sudah memainkan lagu Balik Kampung pula. Kay menyanyi kecil mengikut rentak lagu sambil sesekali tersengih ke arah Jamil. Suasana itu kekal sehingga mereka tiba di stesen bas Parit Buntar. Jamil memarkir kereta bersebelahan dengan kerusi di tepi jalan. Dia berniat mencari kedai makan untuk ‘berbuka puasa’. Kay turut keluar dari kereta dengan tidak membawa beg tangannya bersama. Dia berdiri di tepi pintu sambil memasukkan tangan ke dalam kocek seluar. Jamil kehairanan.

“Awak tak ambik barang-barang ke?”, dia akhirnya inginkan kepastian.

Kay merenung kosong wajah Jamil sambil mengangkat bahu. Dia berjalan ke arah Jamil dan mencuit bahu lelaki itu sekali.

“Awak belanja saya makan boleh? Kan saya tak ada duit. IC pun tak ada. Ingat tak, ingat tak?”, dia berkata-kata dengan penuh bersahaja sambil tersengih-sengih.

Di bawah sinaran lampu jalan, Jamil terlihat pipi wanita itu yang masih ada kesan hitam celak dan kawasan mata yang kelihatan baru lepas ditumbuk sahaja. Dia rasa serba salah. Separuh lagi hatinya runsing jika orang ramai berfikiran negatif apabila melihat Kay bersamanya. Kay masih tercegat ketika Jamil membuka but kereta dan mengeluarkan botol air mineral. Bagasinya dibuka dan Jamil mengeluarkan baju T yang agak lusuh. Baju T dibasahkan dengan air dan dihulurkan kepada Kay. Wanita itu menyambut dengan lurus.

“Lap muka awak sikit. Dah macam burung hantu dah.”, Jamil teragak-agak untuk memberitahu niatnya kepada Kay.

Kay senyum sekali dan menyapu baju T yang basah kemukanya. Kemudian, dia melihat dirinya melalui pantulan cahaya pada cermin tingkap kereta. Matanya dibelek-belek. Pintu kereta pemandu dibuka dan dia mencapai beg tangannya. Jamil hanya memerhati. Kay menyeluk tangannya mencari sesuatu dalam beg tangan. Dia kemudian mengeluarkan cekak berwarna biru dan mengenakannya pada rambut. Seketika, Kay kelihatan bersih dan kemas. Jamil terpana seketika apabila wanita itu tersenyum kepadanya.

“Jom.”, beg tangannya disandang ke lengan kiri.

Jamil hanya menurut langkah kaki Kay menuju ke arah datangnya bau makanan. Mereka singgah di sebuah restoran melayu dan memesan makanan. Semua pengunjung restoran menoleh ke arah Kay. Dia pula tidak mempedulikan pandangan orang sekeliling kepadanya dan duduk bersahaja di kerusinya. Kakinya diselimpangkan membuatkan dia kelihatan anggun walaupun masih terdapat kesan gelap pada matanya. Sekali pandang dia kelihatan seperti gadis yang baru keluar daripada menghadiri konsert Search ataupun Wings di tengah pekan Parit Buntar. Jamil yang perasan pandangan orang sekeliling pada ‘pasangannya’ itu melihat ke arah Kay.

“Kerria. Ramai orang tengok awak tu.”, Kay terpana apabila Jamil memanggil nama penuhnya.

“Kerria? Mana awak tahu nama penuh saya?”, Jamil menggaru kening yang tidak gatal.

“Em..pasport awak. Kenapa jadi Kay pulak?”, pesanan air sampai di meja mereka.

“Jamil...awak tak rasa ke nama tu macam nama kuih. Kuih keria. Jadi, saya suruh semua orang panggil saya Kay. Kenapa, tak boleh? Kan lagi senang.”, sesekali bunyi hon kenderaan lalu lalang berbunyi.

Malam masih muda dan pengunjung restoran semakin ramai. Bunyi bising memasak dan orang ketawa dikeliling tenggelam dalam dunia Kay dan Jamil. Jamil berfikir sejenak dan kemudian ketawa kecil.

“Tadi, saya pun teringat kuih. Kay. Ok, saya panggil Kay.”, Jamil menyedut minumannya.

“Hah, macam tu lah. High five sikit.”, Kay mengangkat tangan kanannya ke udara namun kemudian dia menurunkan tangannya kembali apabila Jamil berpura-pura tidak melihat aksinya.

“Ok, tak nak high five tak apa. Eh sedap kerepek ni, awak tak nak ke?”, muruku dalam balang plastik bertutup merah disuakan kepada Jamil.

Jamil mengambil sebatang dan mengunyah perlahan. Surat khabar di kaunter restoran diambil dan muka surat salam perantau dibuka. Dia melihat-lihat jikalau ada wajah-wajah yang dikenalinya. Ingatannya terimbau kepada Azad yang bekerja di Shanghai. Sudah pulang atau belum sahabat kampungnya itu. Apabila melihat gambar pengirim berbaring terlentang atas salji, dia senyum segaris.

“Mil, kalau kampung kita ni ada salji kan best. Panas betul. Naik hitam kulit aku.”, Azad yang sedang duduk di tepi jambatan kampung berkata sambil merenung tali pancingnya.

“Aku kan Mil, dapat kereta berkilau macam Haji Sarip tu pun aku tak hadap. Janji, aku nak tengok salji.”, menyengih Azad.

“Kau tau kakak aku selalu tengok Cinta Antara Benua tu. Alah yang kat TV3 tu. Kau tau nak tengok salji kat mana? Tu kat tempat orang putih tu ha. Kat sini, ah keli dengan haruan je lah kau nampak. Kalau nasib tak berapa baik, sepat pun jadi.”, tangan Kay yang tergawang-gawang di hadapan mata mengembalikan Jamil ke alam nyata.

Lamunannya tentang Azad pecah. Kay kembali muncul di hadapannya.

“Kay, kenapa menangis macam orang gila kat tepi jalan tadi?”, Kay sedang leka mengunyah apabila disoal.

“Kena ragut. Kan dah cakap tadi.”, dia menjawab bersahaja.

“Awak nak ke mana sebenarnya? Kenapa tak naik bas je kat terminal tadi? Tak takut ke saya ni pembunuh ke, penyimbah asid ke...”

Pervert ke...”, Kay menyampuk kata-kata Jamil menyebabkan lelaki itu terlopong.

“Rumah nenek saya. Kat Pasir Gudang. Tiket dah habis jadi sebabtu la saya kat sini sekarang dengan awak.”, Jamil ingin menyatakan sesuatu tetapi dipintas.

“Saya malas nak fikir...awak jahat ke baik. Eh agak-agak kat sini ada tiket lagi ke?”, Jamil menjungkit sambil menyua mee goreng ke dalam mulut.

Kay turut menyuap nasi goreng pataya ke dalam mulut. Sesekali dia meniup nasi yang masih panas. Jamil bingung memikirkan wanita itu. Dia yakin, ada sesuatu yang disembunyikannya. Kay cantik rupa parasnya dengan rambut panjang sedikit melepasi bahu. Ikal ikal. Tubuhnya kecil dan berpakaian biasa dengan baju leher V kelabu asap bersarung jaket jeans. Dia juga berseluar khakis sepertinya berwarna putih. Kakinya pula bersarung sneakers hijau bertompok hitam. Sekali pandang seiras warna katak. Sedang Jamil memerhati wanita itu, telefon bimbit Kay berbunyi. Kocek jaket diseluk. Panggilan itu tidak terus diangkat. Sebaliknya selepas telefon itu berbunyi dua kali, dia menekan slide Samsung Galaxy Acenya.

“Ye kak.”, mulutnya masih penuh dengan nasi.

“Tak payah tanyalah. Kan Kay kata balik raya dengan nenek kat Pasir Gudang.”, nadanya sedikit meninggi.

“Cakap kat ayah Kay OK.”, kemudian dia berhenti selama beberapa detik.

“Suka hati ayah la nak kahwin ke apa ke. Ayah nak panggil satu Penang buat majlis sanding macam Erra Fazira pun Kay tak kisah dah. Buatlah apa je. Kay tak mahu balik. Ok kak bye.”, telefon disumbat ke kocek semula.

Jamil yang mendengar mula membuat kesimpulan dalam otaknya. Ayah dia kahwin lagi la ni, desis hatinya.

Lebuhraya Utara Selatan, Sg.Perak

Kay masih di dalam tandas. Jamil pula membeli jambu dan tembikai potong. Dia duduk di bangku melihat air terjun mini sambil menyuap buah jambu. Beg tangan tiba-tiba terlontar ke bahunya.

“Saya nak sikit.”, Jamil yang tersedak menghulurkan tembikai. Bisa betul penangan perempuan ni.

“Saya paling suka tengok bulan.”, Kay berkata sendiri sambil bersandar menikmati tembikai.

Bulan terang pada malam itu. Cuaca pun tidak sejuk tidak panas. Entah-entah malam ni malam Lailatul Qadar tak, Jamil berkira-kira sendiri. Dia menyuap lagi jambu. Kay sudah sedikit terurus selepas keluar dari tandas. Rambutnya diikat simpul ban.

“Kay, kalau saya tanya sikit boleh?”, kay mengangguk.

“Kenapa awak tak jadi turun kat Parit Buntar tadi?”

“Tak ada duit beli tiket. Awak pun tak nak sponsor kan...”, dia mendongak ke langit.

Memang rancangannya dia hanya menumpangkan Kay sampai di Parit Buntar, namun selepas makan tadi, dia rasa mengantuk. Kalau berteman, ada juga kawan menghilangkan ngantuk. Akhirnya, dia bersetuju membawa Kay sampai ke Batu Pahat. Kemudian seperti yang telah mereka sepakat, Kay akan mengambil bas sendiri ke Johor Bahru. Tambangnya akan dipinjam daripada Jamil, dan dia akan menghubungi Jamil selepas itu. Namun, sehingga kini, lelaki itu tidak memberikan nombor telefon bimbit kepadanya.

“Jamil. Berapa nombor telefon?”, dia sudah bersedia dengan Galaxy Acenya.

Jamil memandangnya. Eh, dia nak mengurat aku ke, hati Jamil tiba-tiba bersuara nakal.

“Nanti saya nak bayar tiket bas macam mana?”, kepalanya dijongket-jongket.

“012-3456789”, malas mahu berbalah dengan perempuan itu.

“Ok.”, tiba-tiba telefon bimbit Jamil bernyanyi Luaskan Kuasamu Johor.

Dia terkocoh-kocoh mendapatkan telefon bimbit di kocek seluar.

“Saya punya. Simpan.”, Jamil menaip Kuih Keria dan menekan punat save.

“Jom.”, kedua-duanya berjalan ke arah kereta.

BERSAMBUNG

Previous: 1
Next: 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.