Home Novelet Alternatif WANITA BEGITU BERHARGA
WANITA BEGITU BERHARGA
Asmah Hashim
3/6/2015 22:00:28
12,233
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
BAB 2 - TAK SOLAT?


“Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” ( Surah Al-Baqarah ayat 110)



“Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan sholat dan bersabarlah dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang member rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu bagi orang-orang yang bertakwa.” (QS Thoha, ayat 132).

Rumah kau ada tiang tak? Tentu adakan. Kau tahu tak tiang agama itu apa? Tak tahu? Memanglah kau pemalas. Kau Islam ke? Tiang agama Islam adalah solat! Kau solat tak? Tak?! Kenapa? Tak tahu? Kenapa tak belajar? Jangan kata tak tahu nak belajar di mana? Masjid ada. Surau ada. Buku ada. Televisyen ada. Radio ada. Kau saja yang malas! Kalau kau tak solat. Goncanglah iman kau.

Kenapa kena solat? Tak tahu juga? Apa punya bodoh kau ni? Kenalah solat tanggungjawab hamba ALLAH kepada Penciptanya. Tanda syukur. Tanda berterima kasih. ALLAH bagi banyak nikmat pada kau. Takkan kau tak ucap terima kasih? Nikmat apa? Tengok diri kau. Kau boleh melihat. Kau boleh mendengar. Kau boleh bercakap. Kau boleh berjalan. Itu semua hak ALLAH. Apa hak kau? ALLAH ambil semua. Apa yang tinggal? Kau tak malu? Tak ucap terima kasih pada ALLAH. ALLAH bagi kau makan, kau sihat. Kau cantik. Kau kaya. Kau ada kerja. Kau ada anak. Kau ada suami. Itu semua nikmatlah. Kau bahagia. Kau gembira. Itu juga nikmat daripada ALLAH. Jangan cakap itu semua usaha kau sendiri. Memang bahalollah kau.

Kau pernah dengar lagu SEPOHON KAYU. Kau tak hafal? Tak pernah dengar? Lagu nasyidlah. Cerita tentang orang tak solat. Hidup seribu tahun pun kalau tak solat, tak guna! Kau tahu hukuman orang tak solat? Kat dunia lagi dah dihukum. Wajah tak berseri. Rezeki sempit. Doa kau ditolak. Kau buat baik langsung tak ada pahala. Semua makhluk benci kau. Kau akan mati dalam keadaan lapar dan haus. Kau akan mati dalam keadaan hina. Kalau kau dah mati, kubur kau akan himpit kau sampai patah tulang kau tu. Api neraka akan bakar kau dalam kubur lagi. Setiap hari. Siang dan malam. Seekor ular akan pukul kau mengikut setiap waktu kau tak solat. Di akhirat nanti. ALLAH langsung tak pandang kau. Kau terus dicampak ke neraka. ALLAH tidak pandang kebaikan kau.

Wajahkau cantik, kau bergaya, kau ada segalanya, tetapi kenapa kau malas sangat nak solat? Aku sendiri tak faham? Apa susahnya? Tidak ada telekung? Orang bersolat bukan hanya ada telekung baharu nak solat, mesti tutup aurat, kakikau tertutup rapi, tangankau tidak terbuka, biar kelihatan hanya wajah dan telapak tangankau sahaja. Bolehlah solat dalam keadaan begitu, tiada masalah. Jangan beri alasan. Orang yang taat tak beri alasan. Kau boleh solat di mana saja, hatta di atas awan. Di mana-mana saja ada masjid. Surau. Berjalan jauh pun ada pusat rehat dan rawat. Selesa dan bersih.

Kalau berjalan jauh, bermusafir, ALLAH SWT memudahkan cara, kau boleh menghimpunkan solat kita dalam satu waktu. Bukankah itu kemudahan untuk kita? Kau tahu tak, di akhirat nanti perkara yang akan ditanya dan dihisab adalah solat. Jika kau tak solat, bagaimana kau nak berhadapan dengan ALLAH SWT? Kau tak takut ke? Dalam solat, kita memuji kebesaran ILAHI, kita sujud, rukuk kepada-NYA. Kita berzikir, bertakbir, bertahmid memuji Kebesaran-NYA. Bila kau solat, bermakna kau mencintai ALLAH, kau menyayangi ALLAH, kau jadi manusia yang bersyukur.


Tak tahu bacaan dalam solat? Kau tak pernah belajar ke? Tak pergi sekolah agama? Atau kedua orang tuamu tidak ajar langsung? Itu bukan alasanlah! Jangan salahkan orang lain. Kau tahukan solat itu wajib, pergilah belajar. Kau tak tahu menulis atau membaca bahasa Arab? Kau tak tahu mengaji? Pergilah belajar? Di mana-mana Masjid seluruh dunia sekalipun, ada kelas pengajian fardhu ain. Ada kuliah mengajar mengaji, belajar solat. Nak dengan tidak saja. Kalau kau malas, apa pun kau tak boleh buat. Kau harus ada kesedaran diri, kau tahu tak, solat itu mencegah manusia dari perkara ingkar dan mungkar! Menjauhkan kau daripada menjadi jahat!

“Rasulullah SAW, diperlihatkan pada suatu kaum yang menghantukkan kepala mereka pada batu, Setiap kali hantukan itu menyebabkan kepala pecah, kemudian ia kembali kepada keadaan semula dan mereka tidak terus berhenti melakukannya. Lalu Rasulullah bertanya: “Siapakah ini wahai Jibril”? Jibril menjawab: “Mereka ini orang yang berat kepalanya untuk menunaikan Solat fardhu”. (Hadits Riwayat Tabrani, sanad shahih)http://detikislam.blogspot.com

Cuba kau hantuk kepala di dinding, sakit tak? Tentulah sakitkan? Sanggup ke kau hantuk kepada kau dengan batu di akhirat nanti? Aku rasa, aku sendiri tidak sanggup. Janganlah berlengah lagi, jomlah solat tunaikan suruhan ALLAH SWT ini. Bukan susah pun Kalau tidak mampu buat yang sunat sekali, cukuplah lima waktu sehari semalam. Sempurna dengan hukum dan caranya. Kalau tidak tahu, belajarlah, tuntutlah ilmu. Jangan nanti kau mati dalam kesesatan. Orang yang tidak solat, dibenci ALLAH, diakhirat nanti, ALLAH SWT pun tidak sudi pandang. Kau mahu ke jadi seperti itu? Jangan cakap besar, memanglah ALLAH itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tetapi jika hamba-NYA ingkar, seksaannya cukup pedih. Kau tak takut ke? Hairanlah aku, kau berbangga bercakap tentang kekayaan kau tetapi tahu ke kau, kekayaan itu datang daripada mana? Kau bercakap tentang kejayaan dirikau, tetapi siapa membantukau untuk berjaya? Kau bangga dengan kecantikan dirikau tetapi kau tahu tak siapa yang menjadikan dirikau cantik? Nikmat yang mana, kau nafikan? Bagaimana kau nak tunjuk yang kau berasa syukur dengan nikmat yang kau perolehi? Tentulah dengan bersolat. Kalau kau susah, kau nak pinta kepada siapa? Tentulah kepada ALLAH, dengan cara bagaimana? Tentulah dengan solat!

Memang kena buatlah. Wajib buat, tidak boleh tidak, kalau kau tak mampu nak solat berdiri, kau boleh duduk, kalau tak boleh duduk, kau boleh berbaring, kalau tak boleh berbaring juga, gunakan isyarat mata, pendek kata, sakit bagaimana sekalipun, kau kena buat. Kalau tak mampu juga buat, itu tanda ajalmu semakin dekat. Kau orang Islam. Kau bertanggungjawab pada diri kau. Pada agama kau. Solat termasuk Rukun Islam. Kau dah lupa ke? Hilang ingatan? Nasib baik tak gila!

Sudah-sudahlah berfoya di dunia ini. Kita tidak tahu di mana kubur kita. Beribadatlah kau seolah-olah kau akan mati esok hari, dan bekerjalah kau seolah-olah kau akan hidup selamanya… bukan Islam tidak benarkan kau kaya atau tidak bekerja dan hanya beribadat sahaja. ALLAH SWT hanya meminta lima waktu sahaja, setiap waktu tidak sampai pun dua minit. Maghrib, isyak, zuhur, asar dan subuh. Bukanlah ambil masa lama pun. Jadilah hamba yang tahu bersyukur. Jadilah hamba yang mencintai agamanya. Jadilah hamba yang tidak akan tinggalkan solat, kerana dengan solat kau akan menjadi manusia yang baik. Ada juga orang buat jahat walaupun solat? Memanglah ada, kerana kita bukan maksum, tetapi sekurang-kurangnya kau tidak akan melakukan dosa-dosa besar. Dengan solat kau menghapuskan dosa-dosa kecil yang kau lakukan setiap hari. Takkanlah kau tak tahu, wudhuk dan solat mencuci dirimu daripada sebarang dosa-dosa kecil. Beruntunglah mereka yang tidak pernah meninggalkan solat.

Suami kau tak solat? Kau suruhlah, ajaklah dia. Ini tanggungjawab bersama, bukan suamikau saja, atau hanya kau yang melakukannya. Kenapa tidak cari suami yang rajin bersolat? Kenapa kau pilih pasangan yang tidak tahu tentang agama? Kan ke sudah diberi panduan memilih jodoh, paling afdal, pilihlah yang beragama. Sudah tentulah lelaki yang beragama akan bersolat. Kalau sudah berkahwin dan mempunyai anak pula, kau tahukan tanggungjawab sebagai orang tua? Ajar anak-anak kau solat sewaktu berusia tujuh tahun, kalau tak solat juga sesudah berusia 10 tahun, kau boleh memukulnya. Memanglah susah nak suruh anak-anak kau solat, orang tuapun susah, inikan budak-budak. Kau perlu istiqamah, kau perlu yakinkan mereka, ini tuntutan agama. Ajar mereka mengaji, hantar mereka belajar agama, agar mereka menjadi anak-anak soleh dan beriman. Kalau anak-anak kau tak solat, tidak pandai mengaji, siapa nak doakan kau jika kau mati nanti? Kau tahu tak kubur itu gelap, sempit dan dipenuhi dengan pelbagai jenis binatang? Kau tahu tak bagaimana nak bagi kuburkau lapang, besar dan terang? Dengan amal ibadatkaulah, antaranya solat. Kenapa susah sangat nak faham. Itu sebab wajib kau bersolat. Wajib kau tegakkan tiang agama kau! Selagi kau tak solat, kau bukan seorang muslimah sejati. Tutup aurat sahaja tidak cukup, kalau kau tidak solat. Tutup aurat, dan bersolatlah. Kerana penghujungnya nanti kau dijanjikan kebahagian, ketenangan dan kesucian hati. Orang yang bersolat akan damai kehidupannya di dunia dan akhirat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.