Home Novel Travelog Kembara berbasikal ke Indonesia 2012 - Semarang - Bali
Bab 8: Ini Masjid apa ni?

 Masjid Menara yang unik

           Kami mengayuh mengikut petunjuk yang diberi oleh tuan kedai yang sombong tadi. Masuk di simpang sebelah kiri aku melihat sebuah bangunan yang besar tersergam dihadapan kami. Nak katakan masjid bukan masjid. Binaanya dari batu berwarna kemerahan dan lebih mirip kepada kuil atau candi.

“Itu masjid ke kuil Meran?” tanya Nuar pada aku.

“Entahlah Nuar. Nak kata macam kuil ada juga sebab tiang dan gerbang dia macam senibina kuil. Nak kata masjid pun ia juga sebab di puncak dia ada bulan sabit.”

“Eh! kau tengok tu...ada orang pakai kopiah dan tudung masuk dalamnya.” kata Nuar.

“Tak pa lah Nuar. Walau kita tak jumpa masjid Menara yang kita cari. Masjid ini pun jadilah. Aku dah tak larat nak berkayuh cari masjid tu. Entah dekat mana letaknya.”

“Masjid menara kita tak jumpa...masjid kuil sahaja yang ada.” kata Nuar sambil tertawa.

             Kami berkayuh menuju ke arah masjid yang aku tak tahu masjid apa itu. Dalam kepalaku kini aku sudah hilang minat untuk mencari lagi Masjid Menara. Masjid yang ada di depan aku ini adalah penamat pencarian kami. Ketika ini aku mahu berehat sahaja. Apa masjidpun aku tidak peduli.  Semakin aku menghampiri masjid itu semakin keliru. Aku sebenarnya berbelah bagi juga melihat keadaan Masjid itu. Ianya tidak kelihatan seperti masjid yang biasa kita lihat.  Aku merasa pelik kerana seni bina keseluruhan masjid itu seperti Pura atau Candi hindu. Dengan tembok dan bangunan yang penuh ukiran dan batu merah menyerlahkan lagi bentuk sebuah Pura. Semakin dekat dengan masjid itu semakin jelas aku melihat dindingnya mengunakan batu bongkah yang kasar seperti batu-batu jalan yang diukir.

‘Memang sah...tempat ini seni bina seperti pura. Candi agama hindu.’

              Aku lihat wajah Anuar ceria sedikit. Aku tahu dia pastinya merasa lega kerana sudah tamat pencarian kami. Walaupun apa yang dicari tak jumpa sekurang-kurangnya ada tempat bermalam yang lain.

‘Syukurlah jumpa juga masjid. Walaupun kita tak jumpa Masjid Menara yang dihajatkan itu, tak mengapalah. Sudah bukan rezeki kami. Masjid ini pun jadilah.’ kataku bagi memujuk hati yang kecewa. Sampai didepan masjid tersebut Aku dan Anuar terpaku sebentar. Jelas kelihatan masjid itu agak usang dan uzur benar. Dindingnya menggunakan batu-bata yang tidak dilepa. Kebanyakkannya sudah mula terkopek-kopek.

“Meran dekat sebelah sana ada kawasan parkir motor... Jom.” Nuar menunjukkan ke satu arah.

Aku lihat disebelah kiri masjid ada kawasan yang dikhaskan untuk kawasan parkir motosikal. Kelihatan banyak motosikal disusun dalam barisan yang panjang di tempat itu.

‘Wah! memang klasik betul design masjid ini. Kalau tengok lebih dekat memang betul-betul macam candi di Lembah Bujang.’

            Bata-batanya agak lusuh dan buruk. Batunya bukan jenis batu biasa tetapi batu merah yang berongga. Tiang-tiang besar dan kukuh sekali. Secara keseluruhan boleh aku katakan seni bina masjid ini sangat di pengaruhi dengan seni bina Hindu kuno. Kalaulah jika tiada lambang bulan sabit, orang bertudung dan berkopiah. Aku rasa memang seratus peratus boleh dikatakan ini kuil hindu. .

“Selamat malam pak...saya mahu letak sepeda di sini. Rencananya mahu bermalam di sini. Di Masjid ini bisa untuk kami bermalam?”

Lelaki itu memandangku dengan senyuman, “Selamat malam... ya bisa pak. Sepedanya mohon letak di dalam sana ya. Lebih selamat.”

“Maafkan saya ya... Apa nama Masjid ini. Begitu cantik sekali binaanya.” kataku bertanya lagi.

“Masjid ini dipanggil Masjid Sunan Kudus juga dikenali dengan nama Masjid Menara.”

“Masjid Menara?” aku terus menepuk dahi.

‘Aduh! Rupa-rupanya aku dah sampai kat masjid yang macam nak gila aku cari. Bengong betullah aku ni.’ kataku dalam tawa.

Pemuda yang melihat aku ketawa seorang diri menjadi hairan. Aku tersenyum pada dia.

“Terima kasih pak! saya mohon dulu ya.” aku mengelengkan kepala atas kebodohan aku sendiri.

                Aku kemudian berpatah balik menuju ke arah Anuar yang sibuk mengambil gambar. Sebaik melihat aku diapun berkata,

“Cantik betul Masjid ni Meran...macam masjid dulu-dulu. Kalau kita tak dapat pergi masjid menara tu pun tak apa lah. Masjid ni pun cantik juga. Dekat depan sana ada binaan macam menara. Eh! kau ada tanya tak dekat orang sini apa nama masjid ni?”

Aku tertawa mendengar pertanyaan Anuar.

“Nama Masjid ni Masjid Menara.”

“Oh...Masjid Menara...” kata Anuar sambil menganggukkan kepalanya sambil memandang sekeliling. Tiba-tiba dia terhenti dan seperti berfikir.

“Eh! Nanti dulu kenapa nama dia sama dengan masjid yang kita nak cari tu.” tanya Anuar dengan wajah yang musykil.

Aku ketawa melihat gelagat Nuar. Tidak lama kemudian dia memandang ke arah aku,

“Laaa....ini ke masjid yang kita cari tu? Aduh kenapa kau tak cakap!” kata Anuar sambil menampar bahu aku. Kami berdua ketawa terbahak-bahak. Atas kebodohan kami.

“Dah lah! kau pergi letak basikal dekat hujung sana. Brader yang jaga tempat tu suruh kita letak dekat bawah tempat berbumbung tu. Selamat dan tak kena hujan katanya.”

              Masjid ini sama seperti masjid agung Demak. Suasananya begitu meriah sekali. Jemaah datang dan pergi tidak putus-putus. Setelah memakir basikal, Kami menurunkan beg-beg kami. Sebagai langkah keselamatan aku mengunci kedua-dua basikal kami. Aku mengambil gambar sekitar masjid tersebut. Pemandangan dan pengalaman yang sangat berharga untuk aku. Bukan semua orang dapat merasai pengalaman dan rasa hebat seperti ini.

Masjid Menara dalam daerah Kudus ini dikenali juga dengan nama Masjid Sunan Kudus, Masjid Al Aqsa dan Masjid Al Manar. Ianya telah dibangunkan oleh Sunan Kudus salah seorang dari Wali Songo yang terkenal. Dikatakan Sunan Kudus itu adalah salah seorang dari Wali yang sangat dihormati kerana ilmu dan zuhudnya. Masjid Menara yang didirikan oleh Sunan Kudus ini dipercayai dibina pada tahun 1549 masehi. Apa yang menariknya, dikatakan batu asas masjid ini menggunakan batu dari Baitul Maqdis Palestine. Kerana itulah juga dia dikenali sebagai masjid Al Aqsa. Bentuk Masjid ini sangat unik dan berbeza dari semua masjid yang ada di tanah Jawa dan juga di Malaysia.

             Seni binanya menerapkan seni budaya Islam, Hindu dan ada juga suntikan dari seni bina kerajaan Majapahit. Seni bina ini adalah pengaruh dari zaman itu. Walaupun ciri-ciri seni bina hindu kuno dibuat tetapi amalan dan budaya hindu tidak diamalkan. Mungkin seni bina itu dibuat begitu adalah untuk menarik minat orang ramai dan menarik minat penganut agama hindu. Memang Wali-Wali ini manusia yang hebat. Kehebatan mereka bukanlah kerana mempunyai ilmu kebal atau kuasa tetapi keteguhan hati, fikiran yang cerdas dan niat yang murni untuk menyebarkan agama yang agung ini. Kerana dengan usaha dan perjuangan mereka telah membebaskan bumi Jawa ini dari ajaran kuno itu. Masjid ini menjadi lambang dan bukti Islam telah berjaya berkembang menjadi agama yang agung di bumi Indonesia ini. 

“Nuar kau nampak tak menara dekat sana tu. Di atas sekali itu ada gendang besar.”

“Macam dekat masjid agung Demak tu?” tanya Nuar pada aku.

“Ya! ikut cerita penjaga tempat parkir tu. Setiap kali masuk waktu solat, gendang itu akan dipalu. Tapi sekarang ni dah tak pakai sangat. Mereka laungkan Azan pakai speaker sahaja.”

“Kau ada tengok tempat ambil wuduk sebelah sana?” Nuar menunjukkan ke arah kiri kami.

“Tak ada...kenapa?”

“Tempat mengambil wuduk tu cantik...Dia punya ukiran siap ada motif seni ukiran halus lagi. Memang lain dari yang lain. Kau pergilah tengok.”

“Oh yer ker? aku nak pergi tengoklah...”

“Hah! pergilah...pergi mandi sekali. Lepas solat kita keluar makan.” Nuar tersenyum.

“Okey...aku pergi mandi dulu.” kataku sambil terus bangun. 

‘Ai...mana pulak bilik air ni. Tak nampak pun.’ getus dalam hati sambil mataku melingas mencari di mana bilik air.

               Aku berjalan ke hulu ke hilir, mengusung barangan mandian aku. Sampai di tempat mengambil wuduk, aku terpandang di tepi dinding ada petak-petak kecil yang berdinding.

‘Ini kot bilik airnya. Tapi kenapa bilik air dia buat kat tempat wuduk lepas tu tak ada pintu pula tu. Kalau nak mandi memang kena pakai kain basah. Aku mana ada kain basah.’

Aku masuk dalam salah satu petak tersebut. Di situ aku lihat ada tempat takungan air dan cebuk. Yang kelakarnya tempat takungan air itu dibina tinggi separas pinggang, selebar sekaki dan dalamnya hanya sejengkal jari sahaja. Pelik aku melihatnya.

‘Kenapa tempat mandi ni dia buat macam ni. Cenonet sangat tempat tadah air.’

Aku memilih ruangan yang terletak hujung sekali. Kerana ianya agak jauh dari tempat orang mengambil wuduk. Sebaik sahaja aku masuk ke dalam petak itu. Bau hancing dan busuk terus menyerbu masuk ke dalam lubang hidung aku. Loya tekak aku dibuatnya.

‘Aduh! hancingnya bau air kencing kat tempat ni.’ Kembang kempis hidung aku menahan bau.

‘Apalah...tempat mandi ni. Busuknya’ kataku dalam hati.

         Aku menjirus air dengan banyaknya disekitar tempat mandi tersebut. Berpuluh-puluh gayung air aku jirus disekitar tempat itu sehinggakan bau hancing itu semakin berkurangan.

Setelah berpuas hati dengan keadaan yang sudah bersih itu. Barulah aku mandi. Terasa segar tubuh bila air yang dingin membasahi tubuhku. Agak leceh juga mandi di situ kerana tempat takungan air itu kecil. Aku terpaksa menunggu air itu penuh kembali setiap kali aku menceduk air. Sedang enak mandi ditempat itu aku terperasan juga, ada beberapa orang yang mengambil wuduk ditempat itu memandangku dengan penuh kehairanan.

‘Apa dia orang ni...tak kan tak pernah tengok orang mandi kot.’ omel dalam hatiku.

Aku tidak ambil peduli sangat pada mereka yang memandang aku. Yang penting bagi aku dapat mandi. Ketika itu aku lihat ada seorang lelaki yang lengkap berpakaian masuk disalah satu petak di tepiku. Aku dapat melihatnya dengan jelas kerana petak mandian aku itu hanya menutupi sebahagian sahaja tubuh kami. Lelaki itu kemudiannya mengangkat kainnya dan terus buang air kecil.

‘Isk! mamat ni kencing berdiri.’ getus dalam hatiku.

Selesai menunaikan urusannya dia menjirus air dan memandang ke arahku.

“Bapak mandi di sini!” katanya dengan sedikit terkejut. Dia berlalu pergi dengan senyuman.

‘Apa hal pulak dia ni’ kataku dalam hati.

              Setelah selesai mandi akupun mengambil wuduk.  Aku kemudiannya bersolat jamak Isyak dihimpunkan dengan Maghrib. Usai bersolat akupun keluar membawa beg kami ke kaki tangga semula. Aku lihat tempat aku mandi tadi aku, tetapi tidak kelihatan kelibat Nuar pun.

‘Mana dia pergi ni. Buang air besar kot.’

Aku duduk santai di kaki tangga sambil melihat persekitaran masjid yang sentiasa sibuk dengan orang ramai yag tidak putus-putus datang dan pergi. Tidak lama kemudian Anuar muncul entah dari mana. Dia kelihatan sudah segar dan menukar pakaian yang lain.

“Hui!..best betul dapat mandi...bersih dan wangi bilik air dia. Kalau di Malaysia jangan harap nak jumpa bilik air macam tu.” Aku merenung pada sahabatku itu.

“Kau kata bersih? Dah ler tempat tu terbuka. Bau hancing tak ingat. Aku nak mandi kena jirus air berpuluh kali.” kali ini Nuar memandangku dengan pandangan hairan.

“Isk mana ada... bilik air tu luas lah Siap dia sedia sabun lagi.” Nuar meningkah kata-kataku.

Aku mula menegakkan badanku dan melihat ke arahnya.

“Kau mandi dekat mana?”

“La..dalam bilik air lah. Dekat belakang tempat kita letak basikal tu. Kena masuk melalui tempat pengawal. Eh! kau ni mandi kat mana pula ni.” tanya Nuar sambil mengerutkan keningnya.

“Adoi! Aku mandi dekat sebelah tempat wuduk tu ler.” kataku sambil menunjukkan tempat itu.

             Mendengar dan melihat tempat aku mandi tadi. Berderai tawa Nuar. Dia ketawa cukup kuat sampai terbahak-bahak. Orang ramai yang berada disekitar masjid itu memandang ke arah kami. Aku hairan dengan gelagat Nuar itu. Aku tunggu sehingga tawanya reda.

“Kau tahu tak tempat kau mandi tu tempat apa!”

Aku menggelengkan kepala.

“Itu tempat orang buang air kecil la. Sebab tu mereka buat tempat tu kat tepi tempat wuduk. Senang siapa nak buang air tak payah pergi ke tandas.” Mukaku merah kerana malu.

“Aduhai...Celaka betul, padan ler bau hancing tak ingat. Kau tahu tak lepas aku mandi tu ada seorang mamat ni buang air dekat situ. Dia boleh tanya aku mandi dekat situ. Bila aku kata ya. Dia tersenyum sahaja.”

“Masa kau mandi ada orang pandang-pandang kau tak?”

“Ada...mesti dalam hati mereka kata. Mamat ni dah gila ker mandi dekat sini.”

Berderai lagi tawa kami. Malunya tak ingat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.