Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 6; Farhana Fadzil @ Dr Asmara

6

Aku @ Farhana Fadzil

Mentari yang baru memperlihatkan cahayanya, kelihatan seolah-olah malu disebalik bangunan yang mencakar langit. Lelangit mulai beransur cerah, cahaya yang kekuningan dan kemerahan sudah mulai beransur berwarna biru muda, Sebaris cahaya terang yang bersinar kekeuningan mulai mewarnai kanvas ciptaan Allah. Memerhatikan keajaiban alam adalah satu sinar yang indah.

Aku memerhatikan pepohon yang berdahan kecil ini, entah, tidak pernah berusaha untuk mencari jawapan akan namanya. Pepohon ini kelihatan sudah berusia, membayungi akan halaman berbatu dan bertar yang menjadi medan letak kereta guru-guru di sekolahku. Pepohon tua yang entah sudah berapa usianya, mungkin sudah seusia bangunan sekolah ini yang mendekati angka seratus 120 tahun usianya. Pokok-pokok tua yang barangkali sudah menyusuri beratus tahun lamanya, melihat pelbagai sejarah yang telah berlaku di sini.

Bermula daripada tahun pembukaan sekolah ini, kembali semula kepada ogos, tahun 1896 dan kemudiannya sehinggalah ke era penjajahan British. Sekolah Perempuan Methodist, atau MGS ringkasannya yang telah memberi jasa kepada ribuan graduasinya di luar sana, termasuk aku juga, Insya-Allah.

“Hai, berangan nampaknya? Ada apa, berjalan sambil merenung bangunan sekolah?” Aku segera memusing ke arah suara di belakangku. Sentuhan perlahan di bahu sudah membuatkan aku seolah dapat meneka siapa gerangan temanku ini.

“Fatin. Dah agak dah!”

“Apa yang Farhana agak?”

“Orang ni mestilah Cik Fatin Nabilah. Tak ada orang yang suka ‘usik-usik bahu’ kecuali Cik Fatin sorang ni.”

Dia ketawa sahaja. “Oh dah macam pengenalan diri pulaklah ni?”

Aku tertawa bersama dia. “Memang.” Aku menyambung ketawa. Signature dia.Belum ada lagi teman lain yang suka melakukan sedemikian. Hanya dia saja.

“Apa yang Farhana asyik sangat tadi. Dalam sangat tenungan tu?”

“Tak de. Sekadar terfikir. MGS ni dah lama dibuka, sama dengan pengumuman pembentukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu 1895.”

“Hmm betul. Dah beratus tahun di sini. Dah berganti abad pun. dari abad ke 19, dan sekarang abad ke 21.Dah berapa ribu agaknya lepasan MGS ni?”

“Termasuk kita? Mahunya beratus ribu kot? Bayangkan dari zaman datuk nenek kita dulu dah ada. Lama tu!”

“Kata mama aku, dari Zaman British ke Zaman Milenium. Memang sah lama sangat.”

Kami sama-sama memandang bangunan yang kami lintasi. Bangunan utama sekolah yang terdiri daripada pejabat, kelas, bilik guru dan makmal sains.

Bangunan yang berada di bahagian kiriku nampak baik dan tersenyum megah dengan strukturnya yang kelihatan gagah perkasa. Di sebelah kananku, kantin sekolah yang kelihatan kemas dan teratur sekali. Bangunan klasik ini bagaikan member kedamaian yang tiada pernah berhenti bertahun lamanya bersamaku. Aku melangkah perlahan, beriringan bersama Fatin, atau nama penuhnya Fatin Nabilah. Dan dalam hati, iramanya berantakkan tanpa irama yang menentu lagi. Bagaikan gendang ala-ala Afrika, yang dihentak kuat tanpa lagu dan melodi yang enak digendangkan di koklea.

Kami terus berjalan perlahan sambil berbual tentang pelbagai perkara. Dan dalam mindaku sebenarnya, masih menerawang hal cerita aku, mama dan ayah lagi!

“Hai senyum semacam je. Apa hal kawan aku ni?” Terasa suara menyambar telinga disambung dengan tepukan perlahan di bahagian lenganku. Aku segera menoleh, terlihat Wawa, nama glamor bagi Haswaliza; entah bagaimana datangnya nama Wawa itu!

“Tak de apa yang penting pun!” menjawab selamba.

“Tak ada penting, kata kau Farhana?Senyum sorang-sorang apa kes?”

“Mana pulak sorang, kan aku tengah berjalan dengan Fatin ni?” Mereka barangkali tidak mengetahui, yang aku senyumkan hanya di binir, permainan fizikal sahaja. Di dalam hati, aku menjeruk rasa.

Wawa hanya tergelak. “Memang kau jalan dengan Fatin, masalahnya, kau berdua aku nampak tak bersuara pun. Tiba-tiba aku nampak kau ketawa sorang-sorang Farhana. Apa kes macam ni?”

Aku tergelak sendiri.“Cik Wawa, sekarang ni kan kalau gelak sorang-sorang pun okay je, tak ada kes punya. Maklumlah semuanya dengan telefon, radio, semuanya bersambung di telinga saja.”

“Itu aku tahulah… tapi kan…”

“Tapi apa?”

“Masalahnya, di telinga kau tak ada radio. Tak ada juga telefon, pelbagai. Macam mana tu? Sapa nak jawab?”

Aku memerhatikan semula ke wajah Wawa dan Fatin. Keduanya tersenyum sahaja. Entah apa perkara yang bersarang dalam kepalaku sebentar tadi.

“Ala, sesekali berperangai pelik, kenalah maafkan.” Aku tergelak sendiri.

“Kau kan Farhana, bukan sekali berperangai pelik, banyak kali sangat. Dah banyak kali aku lihat kau tersenyum-senyum sendiri. Entah-entah ada orang yang berbisik di telinga kau tak?”

“Isskkk, Che Wawa. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar, nantikan…”

“Iskkhh, budak berdua ni, jangan cakap yang bukan-bukan. mak aku cakap kan, benda-benda pelik ni, kalau kita asyik menyebut je, nanti…” Dilla segera menyampuk.

“Okay-okay. Okay-okay. Siapa pun tak dibenarkan sebut pasal ni lagi. Buat seram.” Segera aku memotong cakap mereka berdua. Kata-kata Fadilla ada kebenarannya. Entiti atau benda-benda halus ini bagaikan gelombang yang hidup, lebih banyak kita berbicara tentangnya, lebih banyak yang akan cuba merapati kehidupan manusia. Bagai dikata orang-orang tua, ‘bagai dipanggil-panggil, dia akan datang menghampiri.’

Segera aku perhatikan temanku di sisi kananku yang berjalan beriringan menuju ke kelas kami, di atas bangunan yang di atas bukit. Bukit yang sebenarnya hanyalah terdiri daripada tanah yang kelihatan lebih tinggi daripada bahagian tanah datar yang lainnya. Wawa yang kelihatan lebih rendah daripadaku, hanya berketinggian 5 kaki 2 inci atau lebih kurang 168 cm sahaja, mungkin lebih tepat lebih genit daripadaku, hanya tergelak.

“Eh, belum siap lagi P.A. Farhana tentu dah siap kan?” Dilla terus mengasak dengan soalan.

“Agak-agak aaaa…” Wawa terusan tergelak.

“Ni mesti tak ada info tentang P.A yang cikgu suruh cari ni.” Aku bertanya Wawa kembali. Dan kami sedia maklum, P.A merujuk kepada Pengajian Am.

Wawa tergelak lagi. “Aku tahu, Cik Farhana a.k.a profesor ni mesti cari maklumat yang lebih-lebih. Bagi aku ‘share’ sikit ya.”

Aku memerhatikan wajahnya lagi. Hidung peseknya, matanya yang agak kecil padan dengan wajah bujur sirehnya, apatah lagi dagunya yang meruncing halus, bagaikan ‘lebah tergantung’. Sebutir tahi lalat di atas bibirnya mengikut orang-orang tua padan sangat dengan ‘cakapnya’ yang tidak pernah surut-surut.

“Sampai bila la kawan aku sorang ni asyik nak bershare-sharesaja.Dibuatnya nanti, aku tak de kat sini, siapa lagi nak kongsi-kongsi dengan kau.”

Dia cepat-cepat memegang tangan kananku. “Farhana, apa kau cakap ni. Kenapa cakap macam ni? Seram aku dibuatnya!”

“Ala Wawa, pergi bukan ‘mati’ je.Dibuatnya aku pindah ke, macam mana? Siapa nak cari maklumat dengan kau.”

“Pindah?” Dipegangnya lenganku dengan kuat.

“Wawa… sakit la.” Dia mulai melepaskan pegangan erat di tanganku.

“Betul ke ni Farhana? Kau nak pindah? Nak pindah ke mana pulak?” Soalan Wawa pula bertalu-talu bagaikan protes tanpa henti-henti, sewajarnya tanda tahi lalat di atas bibirnya.

Aku hanya mampu tersenyum. “Tak adalah. Tak pindah kot! Kau tengok Fatin, ‘cool’ saja.Tak kepoh pun.”

“Aku bukan tak mahu tahu Farhana, tapi perkara-perkara macam ni kenalah pastikan dulu. Baru boleh ‘kepohkan’!”

“Tak adalah. Aku katakan tadi, kalau. Kalau tu kemungkinan. Kebarangkalian. Begitulah.”

Kutoleh melihat ke wajah Wawa lagi. Dia tersenyum semula, “Jadi tak pindahlah ni?”

“Tak!”

“Betul? Betul tak pindah?”

Aku perhatikan sepasang mata hitamnya yang tajam menikam ke dalam anak mata coklat gelapku. Parah kalau dia terus mengasak dengan pertanyaan lagi! Malas mahu berkata banyak lagi. Nanti lagi panjang ayat yang disebut, panjang pula cerita lainnya. Aku sengaja menutup cerita ‘pindah’ ku tadi dengan menggeleng-gelenglan kepalaku terus. Andai aku sendiri tidak pasti dengan keputusan yang bakal aku ambil, buat apalah diwara-warakan lagi.

“Tak ada. Kan dah kata tak pindah. Aku tinggal di sini je, di sisi kau Wawa.”

Dia hanya tergelak. “Alah, kau ni kan, romantik tak kena gaya.” Dia mengusik sampai tergelak panjang.

Kami sama-sama memanjat anak-anak tangga yang hanya berjumlah dua puluh anak tangga sebelum memanjat ke tingkat atas, menuju ke kelas Pra U. Kedua kami terdiam apabila bertemu di tangga beberapa orang teman lain.

“Kawan-kawan, Farhana nak pindah sekolahlah!” Dia terus menjerit memenuhi ruang kelas kami, sebaik sahaja kami merapati pintu kelas.

“Pindah? Apa cerita ni Wawa.” Dan sedar-sedar aku dikelilingi dengan sekumpulan teman-teman sekelas.

“Kenapa nak pindah Farhana?”

“Kenapa pulak?”

“Janganlah macam ni. Kan setahun saja lagi!”

Aku hanya menarik nafas dan melepaskan perlahan apabila dihujani dengan persoalan demi persoalan. Agaknya, kesilapan terbesar yang aku lakukan adalah menyatakan ‘hasrat’ mungkin akan berpindah kepada Wawa.

Aku mengangkat kedua-dua belah tanganku dan menggeleng-gelengkan tangan segera ke ruang udara, menandakan ‘tidak’ ke arah teman-teman yang mulai mengerumun tubuh kecil kami.

“Ala… orang tak cakap pun nak pindah pun. Wawa ni saja-saja je nak gosip. Dia kan jurucakap rancangan Mentor, Melodi dan seumpama dengannya.” Segera aku melangkah ke tempat dudukku meninggalkan mereka yang masih termanggu menanti jawapan pastiku.

“Bukan. Diakan pengacara Propa. Miss Propa MGS kita.” Dilla menyambung kata-kata aku sambil tersenyum lagi.

Kay nama mesranya atau nama penuhnya Kamariah melangkah menghampiri mejaku, “Betul ke ni berita ni Farhana?”

“Entahlah. Tak tahu lagi.” Pendek, sependek akalku yang berlegar dalam minda perempuanku.

“Sekarang ni tutup kes dulu ya kawan-kawan. Apa-apa hal nanti aku cakaplah ya,” sengaja aku keluarkan kalimah itu kepada teman-temanku. Wajah-wajah yang aku pandang, bagaimana penuh dengan pertanyaan; atau sekadar tidak berpuas hati dengan penjelasan yang kurang jelas.

“Janganlah pindah. Tak syok lah kalau tak ada Farhana ni. Dia di sini sudah macam motivator kepada kami tau. Kalau kau tak ada, tentu kami tak ada semangat tau.” Kay terus memujuk lagi menjadikan aku semakin gelisah.

“Helo kawan-kawan. Farhana nak buat pengakuan. Siapa kata nak pindah? Belumpun dia terfikirpun nak pindah la. Si Wawa ni je yang kepohchi sikit.” Semua yang mendengar perkataan kepohchihanya ketawa serentak. Semua sedia maklum akan perkataan yang membawa maksud ‘kepoh si…’. Sebenarnya, dalam hati, bercampur baur antara persoalan pindah atau akan kekal di sini. Semuanya datang dalam dimensi yang bersilang-silang. Pindah, kekal. Kekal atau berpindah. Ikut mama dan ayah? Atau tinggal di sini? Bagaimana? Hati berkata kelat, tetapi semuanya harus ditelan.

“Jadi, saja je gimik si Wawa ni?” Satu suara menyapa, entah daripada arah mana.

“Ha’ah.” Aku menyampuk, sekadar mengiyakan kata-kata salah seorang teman kelasku.

Riuh rendah suara rakan-rakan kelasku menyalahkan Wawa akan ceritanya sebentar tadi. Dan sebenarnya kata-kata Wawa itu ada benarnya, mungkin aku akan berpindah! Dan perkataan Kepohchi yang aku kenakan kepadanya memang mudah sangat diterima teman-teman memandangkan situasi biasa Si Wawa tu, yang selalu sangat membawa berita-berita gosip mutakhir, baik cerita-cerita artis atau cerita-cerita hangat individu-individu yang dia kurang senangi.

Kumpulan yang mengelilingi aku di tempat dudukku, sama-sama bersurai apabila loceng sekolah berbunyi nyaring, mengajak kami sama-sama menuju ke ruang bersimen untuk sama-sama berbaris di sana. Sudah menjadi satu tradisi sekolah, semua murid akan sama-sama berbaris di kawasan perhimpunan. Di sana, guru-guru kelas akan mengambil kedatangan murid, dan membacakan pengumuman harian. Jika hari isnin seperti hari ini, perhimpunan akan menjadi lebih panjang dengan ucapan pengetua, ucapan guru-guru bertugas, penyampaian hadiah jika ada, dan diikuti dengan tiga buah lagu. Sebuah nyanyian Lagu Kebangsaan, Lagu Kuala Lumpur dan Lagu sekolah.

Aku hanya memerhatikan tembok batu, bangunan yang sudah lama di sekolah ini, sambil telinga dibuai oleh lagu kebangsaan. Barisan guru-guru yang majoritinya wanita, aku perhatikan satu persatu, terasa sayu dalam hati, andainya aku akan meninggalkan sekolah ini, jika keputusan untuk berpindah aku ambil. Aku akan membebaskan penglihatan yang dapat aku kumpulkan ke dalam memoriku. Hanya memori ini yang aku aku simpan kemas-kemas dalam ingatanku. Jika ini yang aku perlukan untuk mengingati akan segala memoriku di sini nanti. Akan kukepal segala ingatan ini sedalamnya, andainya aku akan pergi ‘dulu.’.

Bagai terdengar-dengar akan lagu lama dalam gegendang telingaku, “Andai aku pergi sebelummu…” berulang dan berulang kali.Pandangan mataku melekat kepada ketiga-tiga tiga bendera yang berada betul-betul di hadapanku.Aku memandang tiang dan melihat ketiga-tiga bendera yang sedang terbuai-buai dikibar dek angin pagi yang mesra.Tanpa sedar, teman-teman sekolahku sudah menamatkan nyanian tiga buah lagu ‘wajib’ pada waktu perhimpunan.

Angin yang bergugusan bertiup menyapa lembut, dan secara tiba-tiba aku dilanda keresahan. Kuperhatikan wajah-wajah pendidik yang sedang duduk leka mendengar ucapan puan pengetua kami memberi ucapan. Wajah-wajah yang akan terpisah daripadaku seandainya aku mengambil keputusan untuk berhijrah bersama ibubapaku.

Dan hati sering tertanya-tanya lagi. Adakah aku tega berjauhan daripada ibu dan ayahku? Dan hati akan memberi jawapan yang berbeza dengan minda, dan sebaliknya. Sepasang mataku tiba-tiba terpandangkan sepasang mata galak Cikgu Nor Hana. Tatapan mata yang bertemu di tengah angin yang menderu, menjadikan aku tersenyum tersipu, disapa mesra senyuman Cikgu Nor Hana. Agaknya cikgu Nor Hana terperasankan akan senyuman yang aku ‘sumbangkan’ dalam khalayan jauhku.

“Hai semacam je cikgu tengok! Berangan Farhana?” Cepat-cepat Cikgu Nor Hana menyapaku sebaik sahaja kami melangkah beriringan untuk menuju ke kelas. Aku sedar, kelas pertama hari ini adalah kelas kegemaranku, salah satu subjek yang aku minati, Pengajian Am, sesuai dengan minatku yang amat menggemari hal ehwal semasa.

Aku hanya tergelak, “Mana ada cikgu. Saya ni terfikir macam-macam perkara dalam kepala saya ni.”

Dia tersenyum kembali. Matanya melirik menjadikan aku terasa malu sendiri. “Fikir apa? Boyfriend? Takkanlah sudah ada mambang kot?” Aku cepat-cepat berpaling ke arahnya. Cikgu Nor Hana yang jauh lebih tinggi daripada ketinggianku dalam kategori genit, yang hanya berukuran 148 cm, menjadikan kami bagaikan pasangan yang kurang serasi, seorang rendah, manakala seorang lagi tinggi lampai.

“Mambang? Cikgu ni. Buat kelakar je.Tak de la cikgu. Cikgu ‘free’ tak nanti balik?” Cepat-cepat aku bertanyakan Cikgu Nor Hana. Ada baiknya aku berbincang dengan cikgu Pengajian Am aku ini. Mungkin buah fikirannya boleh membantu aku membuat keputusan.

“Boleh. Tak ada masalah Farhana.Selepas sekolah, kita pergi makan di gerai seberang sana.Farhana agaknya nak bincang pasal mambang dengan cikgu ya.” Dia berkata lagi sambil tergelak.

“Cikgu ni jahat.” Aku berkata kembali.

Dia hanya tergelak. “Cikgu pulak yang jahat ni!”

“Memang, cikgu jahat!”

“Mana ada orang jahat jadi cikgu.Orang merompak orang, orang jual dadah, merempit, mana pulak boleh jadi cikgu.” Dia tersenyum lagi. Aku terkena lagi. Ada betulnya kata-kata Cikgu Nor Hana sebentar tadi. Mana mungkin golongan pendidik terdiri daripada golongan yang berakhlak tidak baik. Andai terdapat guru yang melakukan jenayahpun, kes itu bolehlah dianggap kes terpencil, terdapat hanya sedikit kes berbanding dengan peratusan dan jumlah guru-guru yang berhati waja dan mulia.

Kelas demi kelas yang berlalu bagaikan angin yang menderu perlahan, menyentuh dinding dan ruang waktu; serta berlalu. Sehinggalah tiba waktu tengah hari, lewat jam 1.40 petang, waktu terakhir kami pada hari isnin.Teman-teman yang lain, sibuk meninggalkan kelas.

“Balik dulu Hana.”Jerit Kamaliah dan beredar diikuti dengan yang lain.

Dan akhirnya hanya tinggal aku dan Wawa sahaja dalam kelas kami, bertemankan dinding dan bangunan lama di MGS ini.

Wawa berpaling ke arahku, aku segera memahami maksud cara dia memandangku, lain tidak bukan, mahu bertanya, waktu bilakah aku akan pulang hari ini.

“Lambat sikit Wawa. Balik dengan Cikgu Norhana. Ada hal sikit nak bincang.”

“Ala, tahulah kamcing dengan cikgu tu.”Dia mencebikkan bibirnya sedikit. Mungkin sedikit rasa cemburu.

“Janganlah macam tu kawan. Kau boleh ikut kalau nak!” Segera aku memujuknya. Dalam hatiku bersagat akan permintaan, minta-mintalah agar Wawa tidak bersetuju untuk menemaniku berjumpa Cikgu Norhana, bukannya apa, sikap tidak dapat menyimpan rahsia si Wawa itu akan menjadikan semua rahsia akan terbongkar dengan teman-teman yang lain pula.

“Terima kasihlah kawanku. Wawa nak kena balik cepat. Abang dengan kakak ipar nak balik malam ni, mak Wawa nak buat kenduri sikit. Maaflah tak dapat jemput Hana, kenduri sama sendiri je.” Dia tergelak. Dalam hati berkata berulang, “Lega.”

“Ala, kalau jemput pun, tak dapat datang. Rumah Wawa jauh sangat.” Terbayang aku akan rumah Wawa yang terletak di kawasan elit Sri Hartamas, jauh daripada rumah pangsapuriku di kawasan Lembah Pantai.

Dia ketawa menampakkan giginya yang tersusun kemas. “Wawa, balik dulu la. Kalau ada cikgu bagi informasi pasal kertas periksa, janganlah ‘makan sorang’ je.” Sempat lagi dia mengusikku.

“Tak akan makan sorang. Telan sorang-sorang je.” Dia tersenggih sahaja dengan menampakkan barisan giginya yang tersusun indah.

“Jomlah kita berjalan sama. Cikgu Nor Hana menunggu di pagar sana. Katanya sekarang,” sempat aku membelek jam tangan di tangan kananku. Sudah tepat masanya aku beredar. Cikgu Nor Hana barangkali sudah berada di hadapan pintu pagar.

Dia bergerak perlahan sambil melambaikan tangannya. Nampaknya kereta yang dipandu oleh pemandunya sudah siap menunggu di hadapan pagar sekolah kami. Terdengar suara memanggil suaraku daripada arah barat, kulihat Ckgu Nor Hana sedang menghampiriku sambil tersenyum. Baju berwarna biru laut yang disarungkan oleh guruku ini bagaikan berombak perlahan, ditiup bayu petang yang menggoda.

“Jom kita ke gerai makcik sana tu!”

Di meja kayu yang disediakan, kami melabuhkan punggung dengan duduk berhadapan antara satu sama lain.

“Nak minum apa Hana?”

“Apa saja yang cikgu nak minum.”

Cikgu Nor Hana ketawa. “Mana ada minuman nama apa saja.”

Aku tergelak kembali. “Teh ais boleh cikgu.”Cepat-cepat memberi jawapan.

“Teh ais limaulah ya.Sedap kalau dengan cuaca panas-panas ni.”

Dia segera memesan minuman kami. “Makan? Nak makan apa? Lauk ada lagi tu. Atau nak makan yang goreng-goreng?”

“Ikut cikgulah.”

Sekali lagi Cikgu Nor Hana ketawa.Belum sempat dia menyahut, aku segera menyahur terlebih dahulu.“Saya tahu cikgu. Tak ada makanan yang dinamakan ‘ikut cikgulah.’”

“Tahu tak apa.”

“Mee goreng mamaklah cikgu.”

Dia mengangguk. “Makcik, mee goreng mamak dua.”

“Macam ada persoalan berat je daripada Hana ni?”

“Macam mana cikgu tahu.”

Cikgu Nor Hana hanya tersenyum.“Ala, cikgu boleh menghidu daripada jauh Hana. Sekilas ikan di laut, sudah tahu jantan dan betinanya.”

“Macam ni cikgu…”

Aku bercerita dengan panjang lebar akan persoalanku.Guruku ini hanya mendengar dengan tersenyum. Dia mendengar dengan teliti, tanpa secebispun persoalan. Kami berbincang banyak perkara. Pro dan kontrasnya berada di sini dan sebaliknya.

“Beginilah Farhana. Balik nanti, awak gariskan dua kotak yang berbeza.Satu kotak pro dan satu kotak kontras. Senaraikan kebaikan dan kelemahan tinggal di KL dan di sana. Dah siap nanti, kita boleh berbincang lagi. Keputusan begini tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Kena fikir secara halusi. Pun begitu, Farhana kena berhenti menyalahkan ibu dan bapa Hana.”

“Maksud cikgu?”

“Tak adil kalau jadikan mereka sebagai satu masalah kepada kehidupan Hana. Masalah di sini hanya Hana. Itu saja persoalan yang cikgu nampak sekarang ini. Farhana agak ‘tamak’ dan mahu menjadikan mereka terkurung dalam hidup Hana, padahal boleh memilih untuk bersama mereka atau tinggal di sinikan?”

Aku mengangguk. ‘Ayat-ayat guruku ini terlalu bijak untuk ditolak.’ Hati bergerutu sendiri. Kata-kata guru yang bijaksana ini jelas sekali kebenarannya.

Tenungan ke dalam anak mata guru muda ini bagaikan terasa menyusuk ke dalam jiwa. “Farhana. Dalam hidup kita ini banyak sekali perkara yang terpaksa kita pilih. Macam cikgu juga. Cikgu suka berada di sini, tapi suami cikgu di Butterworth. Jadi cikgu te memilih untuk berpindah tanpa bantahan jiwa.”

“Maksudnya cikgu taklah terpaksa pindah?”

“Bukan terpaksa. Cikgu mahu berpindah.” Dia tersenyum lagi.

“Kalau begitu saya pun nak pindahlah. Tentu tak seronok tanpa cikgu.”

“Perkataan terpaksa akan mengikat jiwa dan minda kita. Perkataan terpaksa seolah meletakkan kita melakukan sesuatu untuk orang lain. Demi orang lain. Bukan kerana diri sendiri.”

Aku merenung ke arah wajah guruku ini. “Tapi, saya tak ada perkataan lain bagi menggambarkan situasi saya, cikgu.”

“Sekali lagi Farhana membawa permasalahan kepada asal perbincangan semula. Terpaksa? Adakah Farhana dipaksa berpindah.”

“Tidak…” Kuputuskan perkataan itu sendiri, sambil kepalaku yang kugeleng-geleng berulang.

Dia tersenyum lagi. “Bukankah cikgu sudah katakan, lakukan untuk diri Farhana sendiri.”

“Saya sedang mencuba cikgu, sebab itulah saya meminta pendapat cikgu.”

“Cikgu beri contoh dengan cara yang paling mudah. Wanita yang menutup aurat disebabkan keinsafan diri sendiri, tentulah melakukan hal itu dengan penghayatan sepenuhnya. Berbeza dengan wanita yang melakukan disebabkan oleh suruhan orang lain. Mungkin satu masa dia tergerak untuk kembali kepada situasi asal jika orang yang ‘memintanya’ itu sudah ‘tiada lagi.”

Aku mengangguk terus. “Saya faham cikgu. Cikgu maksudkan dengan ikhlas.”

Dia hanya mengangguk. “Bijak.” Satu perkataan yang menggambarkan semuanya.

“Cikgu tahu Farhana akan faham semuanya. Farhana cukup matang untuk berfikir dan membuat keputusan yang matang untuk diri sendiri.”

“Okay cikgu. Saya tahu.” Dan aku sudah terasa bahang kesedihan itu, walaupun aku tidak jelas dengan keputusan sebenar yang bakal aku lakukan.

“Ibubapa Farhana sebenarnya sudah dapat menilai kematangan Farhana, sebab itulah mereka mahu Farhana yang membuat keputusan sendiri, bukannya mereka.”

“Tapi cikgu…”

“Tapi… kenapa?”

“Apapun keputusan saya, cikgu tetap akan berpindahkan?”

Dia hanya tersenyum, “Hah, nampak, sekali lagi Farhana bermain dengan emosi. Dalam membuat keputusan untuk diri sendiri, janganlah meletakkan ‘tembok’ sebagai jurang untuk berani menerima kenyataan. Kena berani Farhana.”

“Ya cikgu. Saya akan cuba.” Meluahkan, dengan suara separuh berbisik.

Cikgu Nor Hana hanya tersenyum lagi, memandang terus ke dalam irisku.Susukan pandangan mata yang begitu tajam, seolah mengantar mesej terus ke jantungku. “Bukan akan cuba. Saya akan lakukan. Buat keputusan.”

“Saya takut di sekolah di sana tidak bagus…”

“Hah, sekali lagi, Farhana bermain dengan emosi. Ingat, jika alasan itu berhubung dengan orang lain, maknanya itu hanya alasan sahaja. Bukan kebenaran. Realitinya, Farhana takut berpindah. Tidak yakin diri.”

“Okay cikgu. Saya simpulkan semuanya. Rumusannya, saya tidak akan menggunakan alasan orang lain dalam menyelesaikan masalah saya. Semuanya bermula dengan saya akan…”

“Bijak pun.” Dia hanya tersenyum simpul kembali, sambil jari telunjuk kanannya menyentuh lembut ke hidungku.

“Betul ke saya bijak cikgu?”

“Lagi, penyakit tidak yakin diri datang lagi. Bolehkan?”
Aku yang harus menyambung ayatku di penghujung ayat sendiri. Aku hanya mengangguk lemah.

“Balik rumah, duduk diam-diam dan berfikir secara rasional ya.Asingkan perasaan dalam membuat pilihan. Buat keputusan demi Hana sendiri, bukan untuk sesiapa, atau apa juga alasannya.”

Aku mengangguk lagi. Petang itu, guruku ini menurunkan aku di stesyen Central Kuala Lumpur, bagiku meneruskan perjalananku ke Stesyen bertulis ‘Universiti’. Dalam kepalaku sarat dengan persoalan demi persoalan. Dan senyuman Cikgu Nor Hana bagaikan memungkinkan aku berfikir secara rasional. Semua jawapan bagaikan menari-nari laju dalam fikiran.

Di hujung malam, aku memerhatikan lampu yang bergelapan di dada langit Kuala Lumpur. Di situ, aku hanya nampak kelam, walaupun ribuan tujahan cehaya menyinari dada malamnya. Aku masih lagi tertanya-tanya jawapan rasa hatiku. Pindah. Atau hanya ‘diam’ di sini! Dan malam gagal memberi jawapannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail