6
Aku @
Farhana Fadzil
Mentari yang baru memperlihatkan
cahayanya, kelihatan seolah-olah malu disebalik bangunan yang mencakar langit.
Lelangit mulai beransur cerah, cahaya yang kekuningan dan kemerahan sudah mulai
beransur berwarna biru muda, Sebaris cahaya terang yang bersinar kekeuningan
mulai mewarnai kanvas ciptaan Allah. Memerhatikan keajaiban alam adalah satu
sinar yang indah.
Aku memerhatikan pepohon yang berdahan
kecil ini, entah, tidak pernah berusaha untuk mencari jawapan akan namanya.
Pepohon ini kelihatan sudah berusia, membayungi akan halaman berbatu dan bertar
yang menjadi medan letak kereta guru-guru di sekolahku. Pepohon tua yang entah sudah
berapa usianya, mungkin sudah seusia bangunan sekolah ini yang mendekati angka
seratus 120 tahun usianya. Pokok-pokok tua yang barangkali sudah menyusuri
beratus tahun lamanya, melihat pelbagai sejarah yang telah berlaku di sini.
Bermula daripada tahun pembukaan sekolah
ini, kembali semula kepada ogos, tahun 1896 dan kemudiannya sehinggalah ke era
penjajahan British. Sekolah Perempuan Methodist, atau MGS ringkasannya yang
telah memberi jasa kepada ribuan graduasinya di luar sana, termasuk aku juga, Insya-Allah.
“Hai, berangan nampaknya? Ada apa,
berjalan sambil merenung bangunan sekolah?” Aku segera memusing ke arah suara
di belakangku. Sentuhan perlahan di bahu sudah membuatkan aku seolah dapat
meneka siapa gerangan temanku ini.
“Fatin. Dah agak dah!”
“Apa yang Farhana agak?”
“Orang ni mestilah Cik Fatin Nabilah. Tak ada orang yang suka ‘usik-usik
bahu’ kecuali Cik Fatin sorang ni.”
Dia ketawa sahaja. “Oh dah macam
pengenalan diri pulaklah ni?”
Aku tertawa bersama dia. “Memang.” Aku menyambung ketawa. Signature dia.Belum ada lagi
teman lain yang suka melakukan sedemikian. Hanya dia saja.
“Apa yang Farhana asyik sangat tadi.
Dalam sangat tenungan tu?”
“Tak de. Sekadar terfikir. MGS ni dah
lama dibuka, sama dengan pengumuman
pembentukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu 1895.”
“Hmm betul. Dah beratus tahun di sini. Dah berganti abad pun. dari abad
ke 19, dan sekarang abad ke 21.Dah berapa ribu agaknya lepasan MGS ni?”
“Termasuk kita? Mahunya beratus ribu
kot? Bayangkan dari zaman datuk nenek kita dulu dah ada. Lama tu!”
“Kata mama aku, dari Zaman British ke
Zaman Milenium. Memang sah lama sangat.”
Kami sama-sama memandang bangunan yang
kami lintasi. Bangunan utama sekolah yang terdiri daripada pejabat, kelas,
bilik guru dan makmal sains.
Bangunan yang berada di bahagian kiriku
nampak baik dan tersenyum megah dengan strukturnya yang kelihatan gagah
perkasa. Di sebelah kananku, kantin sekolah yang kelihatan kemas dan teratur
sekali. Bangunan klasik ini bagaikan member kedamaian yang tiada pernah berhenti
bertahun lamanya bersamaku. Aku melangkah perlahan, beriringan bersama Fatin,
atau nama penuhnya Fatin Nabilah. Dan dalam hati, iramanya berantakkan tanpa
irama yang menentu lagi. Bagaikan gendang ala-ala Afrika, yang dihentak kuat
tanpa lagu dan melodi yang enak digendangkan di koklea.
Kami terus berjalan perlahan sambil
berbual tentang pelbagai perkara. Dan dalam mindaku sebenarnya, masih
menerawang hal cerita aku, mama dan ayah lagi!
“Hai senyum semacam je. Apa hal kawan aku ni?”
Terasa suara menyambar telinga disambung dengan tepukan perlahan di bahagian
lenganku. Aku segera menoleh, terlihat Wawa, nama glamor bagi Haswaliza; entah
bagaimana datangnya nama Wawa itu!
“Tak de apa yang penting pun!” menjawab selamba.
“Tak ada penting, kata kau Farhana?Senyum sorang-sorang apa kes?”
“Mana pulak sorang, kan
aku tengah berjalan dengan Fatin ni?” Mereka barangkali tidak mengetahui, yang
aku senyumkan hanya di binir, permainan fizikal sahaja. Di dalam hati, aku
menjeruk rasa.
Wawa hanya tergelak. “Memang kau jalan dengan Fatin, masalahnya, kau
berdua aku nampak tak bersuara pun. Tiba-tiba aku nampak kau ketawa
sorang-sorang Farhana. Apa kes macam ni?”
Aku tergelak sendiri.“Cik Wawa, sekarang ni kan kalau gelak
sorang-sorang pun okay je, tak ada kes punya. Maklumlah semuanya dengan
telefon, radio, semuanya bersambung di telinga saja.”
“Itu aku tahulah… tapi kan…”
“Tapi apa?”
“Masalahnya, di telinga kau tak ada
radio. Tak ada juga telefon, pelbagai. Macam mana tu? Sapa nak jawab?”
Aku memerhatikan semula ke wajah Wawa
dan Fatin. Keduanya tersenyum sahaja. Entah apa perkara yang bersarang dalam
kepalaku sebentar tadi.
“Ala, sesekali berperangai pelik,
kenalah maafkan.” Aku tergelak sendiri.
“Kau kan Farhana, bukan sekali
berperangai pelik, banyak kali sangat. Dah banyak kali aku lihat kau
tersenyum-senyum sendiri. Entah-entah ada orang yang berbisik di telinga kau
tak?”
“Isskkk, Che Wawa. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar, nantikan…”
“Iskkhh, budak berdua ni, jangan cakap yang bukan-bukan. mak aku cakap kan, benda-benda pelik
ni, kalau kita asyik menyebut je, nanti…” Dilla segera menyampuk.
“Okay-okay. Okay-okay. Siapa pun tak dibenarkan sebut pasal ni lagi. Buat
seram.” Segera aku memotong cakap mereka berdua. Kata-kata Fadilla ada
kebenarannya. Entiti atau benda-benda halus ini bagaikan gelombang yang hidup,
lebih banyak kita berbicara tentangnya, lebih banyak yang akan cuba
merapati kehidupan manusia. Bagai dikata orang-orang tua, ‘bagai
dipanggil-panggil, dia akan datang menghampiri.’
Segera aku perhatikan temanku di sisi kananku yang berjalan beriringan
menuju ke kelas kami, di atas bangunan yang di atas bukit. Bukit yang
sebenarnya hanyalah terdiri daripada tanah yang kelihatan lebih tinggi daripada
bahagian tanah datar yang lainnya. Wawa yang kelihatan lebih rendah daripadaku,
hanya berketinggian 5 kaki 2 inci atau
lebih kurang 168 cm sahaja, mungkin lebih tepat lebih genit daripadaku, hanya
tergelak.
“Eh, belum siap lagi P.A. Farhana tentu dah siap kan?” Dilla terus mengasak dengan soalan.
“Agak-agak aaaa…” Wawa terusan tergelak.
“Ni mesti tak ada info tentang P.A yang cikgu suruh cari ni.” Aku
bertanya Wawa kembali. Dan kami sedia maklum, P.A merujuk kepada Pengajian Am.
Wawa tergelak lagi. “Aku tahu, Cik Farhana a.k.a profesor ni mesti cari
maklumat yang lebih-lebih. Bagi aku ‘share’ sikit ya.”
Aku memerhatikan wajahnya lagi. Hidung peseknya, matanya yang agak kecil
padan dengan wajah bujur sirehnya, apatah lagi dagunya yang meruncing halus,
bagaikan ‘lebah tergantung’. Sebutir tahi lalat di atas bibirnya mengikut
orang-orang tua padan sangat dengan ‘cakapnya’ yang tidak pernah surut-surut.
“Sampai bila la kawan aku sorang ni asyik nak bershare-sharesaja.Dibuatnya nanti, aku tak de kat sini,
siapa lagi nak kongsi-kongsi dengan kau.”
Dia cepat-cepat memegang tangan kananku.
“Farhana, apa kau cakap ni. Kenapa cakap macam ni? Seram aku dibuatnya!”
“Ala Wawa, pergi bukan ‘mati’ je.Dibuatnya aku pindah ke, macam mana?
Siapa nak cari maklumat dengan kau.”
“Pindah?” Dipegangnya lenganku dengan kuat.
“Wawa… sakit la.” Dia mulai melepaskan
pegangan erat di tanganku.
“Betul ke ni Farhana? Kau nak pindah?
Nak pindah ke mana pulak?” Soalan Wawa pula bertalu-talu bagaikan protes tanpa
henti-henti, sewajarnya tanda tahi lalat di atas bibirnya.
Aku hanya mampu tersenyum. “Tak adalah. Tak pindah kot! Kau tengok Fatin,
‘cool’ saja.Tak kepoh pun.”
“Aku bukan tak mahu tahu Farhana, tapi
perkara-perkara macam ni kenalah pastikan dulu. Baru boleh ‘kepohkan’!”
“Tak adalah. Aku katakan tadi, kalau.
Kalau tu kemungkinan. Kebarangkalian. Begitulah.”
Kutoleh melihat ke wajah Wawa lagi. Dia
tersenyum semula, “Jadi tak pindahlah ni?”
“Tak!”
“Betul? Betul tak pindah?”
Aku perhatikan sepasang mata hitamnya
yang tajam menikam ke dalam anak mata coklat gelapku. Parah kalau dia terus
mengasak dengan pertanyaan lagi! Malas
mahu berkata banyak lagi. Nanti lagi panjang ayat yang disebut, panjang
pula cerita lainnya. Aku sengaja menutup cerita ‘pindah’ ku tadi dengan
menggeleng-gelenglan kepalaku terus. Andai aku sendiri tidak pasti dengan
keputusan yang bakal aku ambil, buat apalah diwara-warakan lagi.
“Tak ada. Kan dah kata tak pindah. Aku
tinggal di sini je, di sisi kau Wawa.”
Dia hanya tergelak. “Alah, kau ni kan,
romantik tak kena gaya.” Dia mengusik sampai tergelak panjang.
Kami sama-sama memanjat anak-anak tangga yang hanya berjumlah dua
puluh anak tangga sebelum memanjat ke tingkat atas, menuju ke kelas Pra U.
Kedua kami terdiam apabila bertemu di tangga beberapa orang teman lain.
“Kawan-kawan, Farhana nak pindah sekolahlah!”
Dia terus menjerit memenuhi ruang kelas kami, sebaik sahaja kami merapati pintu kelas.
“Pindah? Apa cerita ni Wawa.” Dan
sedar-sedar aku dikelilingi dengan sekumpulan teman-teman sekelas.
“Kenapa nak pindah Farhana?”
“Kenapa pulak?”
“Janganlah macam ni. Kan setahun saja
lagi!”
Aku hanya menarik nafas dan melepaskan
perlahan apabila dihujani dengan persoalan demi persoalan. Agaknya, kesilapan
terbesar yang aku lakukan adalah menyatakan ‘hasrat’ mungkin akan berpindah
kepada Wawa.
Aku mengangkat kedua-dua belah tanganku
dan menggeleng-gelengkan tangan segera ke ruang udara, menandakan ‘tidak’ ke
arah teman-teman yang mulai mengerumun tubuh kecil kami.
“Ala… orang tak cakap pun nak pindah
pun. Wawa ni saja-saja je nak gosip. Dia kan jurucakap rancangan Mentor, Melodi
dan seumpama dengannya.” Segera aku melangkah ke tempat dudukku meninggalkan
mereka yang masih termanggu menanti jawapan pastiku.
“Bukan. Diakan pengacara Propa. Miss
Propa MGS kita.” Dilla menyambung kata-kata aku sambil tersenyum lagi.
Kay nama mesranya atau nama penuhnya
Kamariah melangkah menghampiri mejaku, “Betul ke ni berita ni Farhana?”
“Entahlah. Tak tahu lagi.” Pendek,
sependek akalku yang berlegar dalam minda perempuanku.
“Sekarang ni tutup kes dulu ya
kawan-kawan. Apa-apa hal nanti aku
cakaplah ya,” sengaja aku keluarkan kalimah itu kepada teman-temanku.
Wajah-wajah yang aku pandang, bagaimana penuh dengan pertanyaan; atau sekadar
tidak berpuas hati dengan penjelasan yang kurang jelas.
“Janganlah pindah. Tak syok lah kalau tak
ada Farhana ni. Dia di sini sudah macam motivator kepada kami tau. Kalau kau
tak ada, tentu kami tak ada semangat tau.” Kay terus memujuk lagi menjadikan
aku semakin gelisah.
“Helo kawan-kawan. Farhana nak buat
pengakuan. Siapa kata nak pindah? Belumpun
dia terfikirpun nak pindah la. Si Wawa ni je yang kepohchi sikit.” Semua yang mendengar perkataan kepohchihanya ketawa serentak. Semua
sedia maklum akan perkataan yang membawa maksud ‘kepoh si…’. Sebenarnya, dalam
hati, bercampur baur antara persoalan pindah atau akan kekal di sini. Semuanya
datang dalam dimensi yang bersilang-silang. Pindah, kekal. Kekal atau
berpindah. Ikut mama dan ayah? Atau tinggal di sini? Bagaimana? Hati berkata
kelat, tetapi semuanya harus ditelan.
“Jadi, saja je gimik si Wawa ni?” Satu
suara menyapa, entah daripada arah mana.
“Ha’ah.” Aku menyampuk, sekadar
mengiyakan kata-kata salah seorang teman kelasku.
Riuh rendah suara rakan-rakan kelasku
menyalahkan Wawa akan ceritanya sebentar tadi. Dan sebenarnya kata-kata Wawa
itu ada benarnya, mungkin aku akan berpindah! Dan perkataan Kepohchi
yang aku kenakan kepadanya memang mudah sangat diterima teman-teman
memandangkan situasi biasa Si Wawa tu, yang selalu sangat membawa berita-berita
gosip mutakhir, baik cerita-cerita artis atau cerita-cerita hangat
individu-individu yang dia kurang senangi.
Kumpulan yang mengelilingi aku di tempat
dudukku, sama-sama bersurai apabila loceng sekolah berbunyi nyaring, mengajak
kami sama-sama menuju ke ruang bersimen untuk sama-sama berbaris di sana. Sudah
menjadi satu tradisi sekolah, semua murid akan sama-sama berbaris di kawasan
perhimpunan. Di sana, guru-guru kelas akan mengambil kedatangan murid, dan
membacakan pengumuman harian. Jika hari isnin seperti hari ini, perhimpunan
akan menjadi lebih panjang dengan ucapan pengetua, ucapan guru-guru bertugas,
penyampaian hadiah jika ada, dan diikuti dengan tiga buah lagu. Sebuah nyanyian
Lagu Kebangsaan, Lagu Kuala Lumpur dan Lagu sekolah.
Aku hanya memerhatikan tembok batu, bangunan
yang sudah lama di sekolah ini, sambil telinga dibuai oleh lagu kebangsaan.
Barisan guru-guru yang majoritinya wanita, aku perhatikan satu persatu, terasa
sayu dalam hati, andainya aku akan meninggalkan sekolah ini, jika keputusan
untuk berpindah aku ambil. Aku akan membebaskan penglihatan yang dapat aku
kumpulkan ke dalam memoriku. Hanya memori ini yang aku aku simpan kemas-kemas
dalam ingatanku. Jika ini yang aku perlukan untuk mengingati akan segala
memoriku di sini nanti. Akan kukepal segala ingatan ini sedalamnya, andainya aku
akan pergi ‘dulu.’.
Bagai terdengar-dengar akan lagu lama
dalam gegendang telingaku, “Andai aku pergi sebelummu…” berulang dan berulang
kali.Pandangan mataku melekat kepada ketiga-tiga tiga bendera yang berada
betul-betul di hadapanku.Aku memandang tiang dan melihat
ketiga-tiga bendera yang sedang terbuai-buai dikibar dek angin pagi yang
mesra.Tanpa sedar, teman-teman sekolahku sudah menamatkan
nyanian tiga buah lagu ‘wajib’ pada waktu perhimpunan.
Angin yang bergugusan bertiup menyapa lembut, dan secara tiba-tiba aku
dilanda keresahan. Kuperhatikan wajah-wajah pendidik yang sedang duduk leka
mendengar ucapan puan pengetua kami memberi ucapan. Wajah-wajah yang akan
terpisah daripadaku seandainya aku mengambil keputusan untuk berhijrah bersama
ibubapaku.
Dan hati sering tertanya-tanya lagi. Adakah aku tega berjauhan daripada
ibu dan ayahku? Dan hati akan memberi jawapan yang berbeza dengan minda, dan
sebaliknya. Sepasang mataku tiba-tiba terpandangkan sepasang mata galak Cikgu
Nor Hana. Tatapan mata yang bertemu di tengah angin yang menderu, menjadikan
aku tersenyum tersipu, disapa mesra senyuman Cikgu Nor Hana. Agaknya cikgu Nor
Hana terperasankan akan senyuman yang aku ‘sumbangkan’ dalam khalayan jauhku.
“Hai semacam je cikgu tengok! Berangan Farhana?” Cepat-cepat Cikgu Nor
Hana menyapaku sebaik sahaja kami melangkah beriringan untuk menuju ke kelas.
Aku sedar, kelas pertama hari ini adalah kelas kegemaranku, salah satu subjek
yang aku minati, Pengajian Am, sesuai dengan minatku yang amat menggemari hal
ehwal semasa.
Aku hanya tergelak, “Mana ada cikgu. Saya ni terfikir macam-macam perkara
dalam kepala saya ni.”
Dia tersenyum kembali. Matanya melirik
menjadikan aku terasa malu sendiri. “Fikir apa? Boyfriend? Takkanlah sudah ada
mambang kot?” Aku cepat-cepat berpaling ke arahnya. Cikgu Nor Hana yang jauh
lebih tinggi daripada ketinggianku dalam kategori genit, yang hanya berukuran
148 cm, menjadikan kami bagaikan pasangan yang kurang serasi, seorang rendah,
manakala seorang lagi tinggi lampai.
“Mambang? Cikgu ni. Buat kelakar je.Tak de la cikgu. Cikgu ‘free’ tak
nanti balik?” Cepat-cepat aku bertanyakan Cikgu Nor Hana. Ada baiknya aku berbincang dengan cikgu
Pengajian Am aku ini. Mungkin buah fikirannya boleh membantu aku membuat
keputusan.
“Boleh. Tak ada masalah Farhana.Selepas sekolah, kita pergi makan
di gerai seberang sana.Farhana
agaknya nak bincang pasal mambang dengan cikgu ya.” Dia berkata lagi sambil
tergelak.
“Cikgu ni jahat.” Aku berkata kembali.
Dia hanya tergelak. “Cikgu pulak yang
jahat ni!”
“Memang, cikgu jahat!”
“Mana ada orang jahat jadi cikgu.Orang merompak orang, orang jual
dadah, merempit, mana pulak boleh jadi cikgu.” Dia tersenyum lagi. Aku terkena
lagi. Ada
betulnya kata-kata Cikgu Nor Hana sebentar tadi. Mana mungkin golongan pendidik
terdiri daripada golongan yang berakhlak tidak baik. Andai terdapat guru yang
melakukan jenayahpun, kes itu bolehlah dianggap kes terpencil, terdapat hanya
sedikit kes berbanding dengan peratusan dan jumlah guru-guru yang berhati waja
dan mulia.
Kelas demi kelas yang berlalu bagaikan angin yang menderu perlahan,
menyentuh dinding dan ruang waktu; serta berlalu. Sehinggalah tiba waktu tengah
hari, lewat jam 1.40 petang, waktu terakhir kami pada hari isnin.Teman-teman
yang lain, sibuk meninggalkan kelas.
“Balik dulu Hana.”Jerit Kamaliah dan beredar diikuti
dengan yang lain.
Dan akhirnya hanya tinggal aku dan Wawa sahaja dalam kelas kami,
bertemankan dinding dan bangunan lama di MGS ini.
Wawa berpaling ke arahku, aku segera memahami maksud cara dia
memandangku, lain tidak bukan, mahu bertanya, waktu bilakah aku akan pulang
hari ini.
“Lambat sikit Wawa. Balik dengan Cikgu Norhana. Ada hal sikit nak bincang.”
“Ala,
tahulah kamcing dengan cikgu tu.”Dia mencebikkan bibirnya sedikit.
Mungkin sedikit rasa cemburu.
“Janganlah macam tu kawan. Kau boleh
ikut kalau nak!” Segera aku memujuknya. Dalam hatiku bersagat akan permintaan,
minta-mintalah agar Wawa tidak bersetuju untuk menemaniku berjumpa Cikgu
Norhana, bukannya apa, sikap tidak dapat menyimpan rahsia si Wawa itu akan
menjadikan semua rahsia akan terbongkar dengan teman-teman yang lain pula.
“Terima kasihlah kawanku. Wawa nak kena
balik cepat. Abang dengan kakak ipar nak balik malam ni, mak Wawa nak buat
kenduri sikit. Maaflah tak dapat jemput Hana, kenduri sama sendiri je.” Dia
tergelak. Dalam hati berkata berulang, “Lega.”
“Ala, kalau jemput pun, tak dapat
datang. Rumah Wawa jauh sangat.” Terbayang aku akan rumah Wawa yang terletak di
kawasan elit Sri Hartamas, jauh daripada rumah pangsapuriku di kawasan Lembah
Pantai.
Dia ketawa menampakkan giginya yang
tersusun kemas. “Wawa, balik dulu la. Kalau ada cikgu bagi informasi pasal
kertas periksa, janganlah ‘makan sorang’ je.” Sempat lagi dia mengusikku.
“Tak akan makan sorang. Telan
sorang-sorang je.” Dia tersenggih sahaja dengan menampakkan barisan giginya
yang tersusun indah.
“Jomlah kita berjalan sama. Cikgu Nor
Hana menunggu di pagar sana. Katanya sekarang,” sempat aku membelek jam tangan
di tangan kananku. Sudah tepat masanya aku beredar. Cikgu Nor Hana
barangkali sudah berada di hadapan pintu
pagar.
Dia bergerak perlahan sambil melambaikan
tangannya. Nampaknya kereta yang dipandu oleh pemandunya sudah siap menunggu di
hadapan pagar sekolah kami. Terdengar suara memanggil suaraku daripada arah
barat, kulihat Ckgu Nor Hana sedang menghampiriku sambil tersenyum. Baju
berwarna biru laut yang disarungkan oleh guruku ini bagaikan berombak perlahan,
ditiup bayu petang yang menggoda.
“Jom kita ke gerai makcik sana tu!”
Di meja kayu yang disediakan, kami melabuhkan
punggung dengan duduk berhadapan antara satu sama lain.
“Nak minum apa Hana?”
“Apa saja yang cikgu nak minum.”
Cikgu Nor Hana ketawa. “Mana ada minuman
nama apa saja.”
Aku tergelak kembali. “Teh ais boleh
cikgu.”Cepat-cepat
memberi jawapan.
“Teh ais limaulah ya.Sedap kalau dengan cuaca panas-panas ni.”
Dia segera memesan minuman kami. “Makan?
Nak makan apa? Lauk ada lagi tu. Atau nak makan yang goreng-goreng?”
“Ikut cikgulah.”
Sekali lagi Cikgu Nor Hana ketawa.Belum sempat dia menyahut, aku segera
menyahur terlebih dahulu.“Saya tahu cikgu. Tak ada makanan yang
dinamakan ‘ikut cikgulah.’”
“Tahu tak apa.”
“Mee goreng mamaklah cikgu.”
Dia mengangguk. “Makcik, mee goreng
mamak dua.”
“Macam ada persoalan berat je daripada
Hana ni?”
“Macam mana cikgu tahu.”
Cikgu Nor Hana hanya tersenyum.“Ala, cikgu boleh menghidu
daripada jauh Hana. Sekilas ikan di laut, sudah tahu jantan dan betinanya.”
“Macam ni cikgu…”
Aku bercerita dengan panjang lebar akan
persoalanku.Guruku ini
hanya mendengar dengan tersenyum. Dia mendengar dengan teliti, tanpa secebispun
persoalan. Kami berbincang banyak perkara. Pro dan kontrasnya berada di sini
dan sebaliknya.
“Beginilah Farhana. Balik nanti, awak gariskan dua kotak yang berbeza.Satu
kotak pro dan satu kotak kontras. Senaraikan kebaikan dan kelemahan tinggal di
KL dan di sana. Dah siap nanti, kita boleh berbincang lagi. Keputusan begini
tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Kena fikir secara halusi. Pun begitu,
Farhana kena berhenti menyalahkan ibu dan bapa Hana.”
“Maksud cikgu?”
“Tak adil kalau jadikan mereka sebagai
satu masalah kepada kehidupan Hana. Masalah di sini hanya Hana. Itu saja
persoalan yang cikgu nampak sekarang ini. Farhana agak ‘tamak’ dan mahu
menjadikan mereka terkurung dalam hidup Hana, padahal boleh memilih untuk
bersama mereka atau tinggal di sinikan?”
Aku mengangguk. ‘Ayat-ayat guruku ini
terlalu bijak untuk ditolak.’ Hati bergerutu sendiri. Kata-kata guru yang
bijaksana ini jelas sekali kebenarannya.
Tenungan ke dalam anak mata guru muda
ini bagaikan terasa menyusuk ke dalam jiwa. “Farhana. Dalam hidup kita ini
banyak sekali perkara yang terpaksa kita pilih. Macam cikgu juga. Cikgu suka
berada di sini, tapi suami cikgu di Butterworth. Jadi cikgu te memilih untuk
berpindah tanpa bantahan jiwa.”
“Maksudnya cikgu taklah terpaksa
pindah?”
“Bukan terpaksa. Cikgu mahu berpindah.”
Dia tersenyum lagi.
“Kalau begitu saya pun nak pindahlah.
Tentu tak seronok tanpa cikgu.”
“Perkataan terpaksa akan mengikat jiwa
dan minda kita. Perkataan terpaksa seolah meletakkan kita melakukan sesuatu
untuk orang lain. Demi orang lain. Bukan kerana diri sendiri.”
Aku merenung ke arah wajah guruku ini.
“Tapi, saya tak ada perkataan lain bagi menggambarkan situasi saya, cikgu.”
“Sekali lagi Farhana membawa
permasalahan kepada asal perbincangan semula. Terpaksa? Adakah Farhana dipaksa
berpindah.”
“Tidak…” Kuputuskan perkataan itu
sendiri, sambil kepalaku yang kugeleng-geleng berulang.
Dia tersenyum lagi. “Bukankah cikgu
sudah katakan, lakukan untuk diri Farhana sendiri.”
“Saya sedang mencuba cikgu, sebab itulah saya meminta pendapat cikgu.”
“Cikgu beri contoh dengan cara yang paling mudah. Wanita yang menutup
aurat disebabkan keinsafan diri sendiri, tentulah melakukan hal itu dengan
penghayatan sepenuhnya. Berbeza dengan wanita yang melakukan disebabkan oleh
suruhan orang lain. Mungkin satu masa dia tergerak untuk kembali kepada situasi
asal jika orang yang ‘memintanya’ itu sudah ‘tiada lagi.”
Aku mengangguk terus. “Saya faham cikgu. Cikgu maksudkan dengan ikhlas.”
Dia hanya mengangguk. “Bijak.” Satu
perkataan yang menggambarkan semuanya.
“Cikgu tahu Farhana akan faham semuanya.
Farhana cukup matang untuk berfikir dan membuat keputusan yang matang untuk
diri sendiri.”
“Okay cikgu. Saya tahu.” Dan aku sudah terasa
bahang kesedihan itu, walaupun aku tidak jelas dengan keputusan sebenar yang
bakal aku lakukan.
“Ibubapa Farhana sebenarnya sudah dapat
menilai kematangan Farhana, sebab itulah mereka mahu Farhana yang membuat
keputusan sendiri, bukannya mereka.”
“Tapi cikgu…”
“Tapi… kenapa?”
“Apapun keputusan saya, cikgu tetap akan
berpindahkan?”
Dia hanya tersenyum, “Hah, nampak,
sekali lagi Farhana bermain dengan emosi. Dalam membuat keputusan untuk diri
sendiri, janganlah meletakkan ‘tembok’ sebagai jurang untuk berani menerima
kenyataan. Kena berani Farhana.”
“Ya cikgu. Saya akan cuba.” Meluahkan,
dengan suara separuh berbisik.
Cikgu Nor Hana hanya tersenyum lagi, memandang terus ke dalam irisku.Susukan
pandangan mata yang begitu tajam, seolah mengantar mesej terus ke jantungku.
“Bukan akan cuba. Saya akan lakukan. Buat keputusan.”
“Saya takut di sekolah di sana tidak
bagus…”
“Hah, sekali lagi, Farhana bermain
dengan emosi. Ingat, jika alasan itu berhubung dengan orang lain, maknanya itu
hanya alasan sahaja. Bukan kebenaran. Realitinya, Farhana takut berpindah.
Tidak yakin diri.”
“Okay cikgu. Saya simpulkan semuanya.
Rumusannya, saya tidak akan menggunakan alasan orang lain dalam menyelesaikan
masalah saya. Semuanya bermula dengan saya akan…”
“Bijak pun.” Dia hanya tersenyum simpul
kembali, sambil jari telunjuk kanannya menyentuh lembut ke hidungku.
“Betul ke saya bijak cikgu?”
“Lagi,
penyakit tidak yakin diri datang lagi. Bolehkan?”
Aku yang harus menyambung ayatku di
penghujung ayat sendiri. Aku hanya mengangguk lemah.
“Balik rumah, duduk diam-diam dan berfikir secara rasional ya.Asingkan
perasaan dalam membuat pilihan. Buat keputusan demi Hana sendiri, bukan untuk
sesiapa, atau apa juga alasannya.”
Aku mengangguk lagi. Petang itu, guruku
ini menurunkan aku di stesyen Central Kuala Lumpur, bagiku meneruskan
perjalananku ke Stesyen bertulis ‘Universiti’. Dalam kepalaku sarat dengan
persoalan demi persoalan. Dan senyuman Cikgu Nor Hana bagaikan memungkinkan aku
berfikir secara rasional. Semua jawapan bagaikan menari-nari laju dalam fikiran.
Di hujung malam, aku memerhatikan lampu
yang bergelapan di dada langit Kuala Lumpur. Di situ, aku hanya nampak kelam,
walaupun ribuan tujahan cehaya menyinari dada malamnya. Aku masih lagi
tertanya-tanya jawapan rasa hatiku. Pindah. Atau hanya ‘diam’ di sini! Dan
malam gagal memberi jawapannya.