Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
25,644
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

2.30 pagi, 31 Mac 2023,

Kawasan perhentian rehat lebuh raya, arah ke Andraloka.

Iqbaal tersentak daripada tidur ketika kepalanya terhantuk sesuatu yang agak keras. Dengan pantas dia membuka matanya. Dadanya kembali berdebar. Tapi keadaan sekeliling yang masih gelap menyukarkan dia untuk meneka apa yang menghentam kepalanya sebentar tadi.

Iqbaal cuba menggerakkan tubuhnya. Dia kemudiannya meraba ke sisinya mencari briefcase hitam yang diletakkan di situ sebelum dia terlelap tadi. Mujur beg bertekstur keras itu masih ada di situ dan dia yakin, bucu beg itulah yang menghentam kepalanya tadi.

Dia menyusap kepalanya dengan dahi yang berkerut. Beg-beg dan segala isi dalam ruang penyimpanan barang di bahagian bawah bas ekspres tersebut bergoncang-goncang beberapa kali dan Iqbaal rasa yang kelajuan bas itu semakin menurun.

Dia menarik nafas panjang. Beberapa ketika kemudian bas itu berhenti. Dengan sedikit cahaya yang menerobos masuk melalui celahan penutup ruang tersebut yang renggang, dia melihat jam di pergelangan tangannya.

Pukul 2.30 minit pagi. Masih terlalu awal kalau bas ini sudah tiba di destinasinya. Mungkin pemandu berhenti rehat atau berhenti untuk ke tandas. Dia mengagak dalam hati. Sebaik saja bas tersebut berhenti dan dia terasa henjutan lantai bas yang menandakan ada penumpang yang sedang naik dan turun, Iqbaal mengangkat sedikit tubuhnya.

Dia cuba mengintai dari celahan tersebut. Benar sebagaimana telahannya, bas tersebut berhenti di satu kawasan hentian rehat. Dari situ dia nampak beberapa buah gerai yang masih dibuka dan ada beberapa orang pengunjung yang sedang menikmati makanan.

Iqbaal menelan liur. Dia memegang perutnya yang tiba-tiba saja berkeroncong. Dia menghela nafas panjang. Perlahan-lahan dia mengalihkan tubuhnya dan merangkak ke arah pintu keluar. Dengan bantuan cahaya lampu limpah jalan yang samar-samar, dia meraba bahagian pintu di sisinya untuk mencari kalau-kalau ada penyelak untuk membuka pintu tersebut.

Beberapa ketika mencuba, akhirnya pintu tersebut berjaya dibuka. Dengan pantas dia menggolekkan dirinya daripada celahan pintu tersebut untukkeluar. Sebaik saja tubuhnya jatuh ke atas jalan tar, dengan pantas juga dia menggolekkan tubuhnya menyelinap ke bahagian bawah bas ekspres tersebut.

Matanya meliar ke sekitarnya, melihat kalau-kalau ada bahaya yang mungkin mendatang. Bimbang kalau-kalau mereka yang memburunya ada di sekitar kawasan tersebut. Dia tidak boleh mengambil mudah perkara tersebut kerana dia tahu, mereka sanggup melakukan apa saja.

Setelah pasti dengan keadaan sekelilingnya yang selamat, barulah Iqbaal bingkas merangkak keluar dari situ. Tanpa menoleh ke kiri atau kanannya lagi, dia segera bingkas, lalu berlari ke arah belakang bangunan hentian tersebut yang lebih gelap dan tersorok.


****

2.45 pagi, 31 Mac 2023,

Terminal Bas Berpusat, Precint 33, Kotaraya Kosmopolis.

Hafeez menggenggam penumbuknya dengan kemas lalu dihayunkan ke pipi salahseorang lelaki yang berdiri di hadapannya ketika itu. Tumbukan tersebut agak kuat hingga mematahkan gigi hadapan lelaki itu. Darah yang tersembur daripada mulutnya bertaburan dan ada yang terpercik ke kemeja putih yang dipakai Hafeez.

Melihatkan darah yang mengotori kemejanya, Hafeez menjadi semakin hilang pedoman. Tanpa rasa bersalah dia membelasah lelaki itu sepuas hatinya. Bila tubuh lelaki itu jatuh ke permukaan jalan da nmengerekot, dia menghayun pula kakinya dengan laju dan keras sampai dia sendiri keletihan dan akhirnya jatuh terduduk di situ.

“Bangsat! Kerja mudah macam tu pun korang tak boleh buat!”

Hafeez menghamun, melepaskan segala kemarahannya. Lelaki yang terlentang di hadapannya sudah tidak bergerak, mungkin pengsan. Manakala lima orang lagi yang berdiri di situ hanya mampu tunduk memikirkan nasib masing-masing yang entah bagaimana.

Hafeez menghulurkan tangannya ke arah salah seorang daripada lelaki-lelaki tersebut.

“Bak sini balik pistol aku!”

Dia menjerit sekuat hatinya. Suaranya bergema di kawasan terminal bas yang kosong itu. Beberapa orang peniaga dan mungkin juga penumpan gyang masih berada di dalam lobi terminal sesekali tertinjau-tinjau ke arah mereka yang hanya beberapa puluh meter dari situ.

Dengan tangan yang terketar-ketar lelaki itu mengambil pistol tersebut dari selitan di bahagian belakang pinggangnya lalu diserahkan kepad aHafeez. Dengan pantas Hafeez merampas pistol tersebut lalu menghalakan muncungnya ke kepala lelaki di hadapannya itu.

“Bos.. Jangan bunuh saya bos. Tolong saya bos. Saya janji saya akan cari Iqbaal sampai dapat. Sumpah bos. Saya janji.”

“Kepala hotak kau! Aku dah bagi masa dekat kau, apa yang kau buat? Sekarang ni mana dia pergi?”

“Sa.. Saya dah cari bos. Saya dah suruh budak-budak saya..”

Zap! Zap! Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, dia menarik picu sebanyak dua kali. Dua biji peluru daripada pistol automatik itu menerpa keluar dan menembusi kepala lelaki tersebut. Peredam bunyi yang dipasang di hujung muncung pistol tersebut berfungsi dengan sangat cemerlang. Tiada siapa yang perasan dia melepaskan tembakan di situ.

Tubuh lelaki itu jatuh terjelepuk di permukaan jalan. Serentak itu darah mula mengalir, bergenangan di sekitar kepalanya yang terhenyak. Empat orang lelaki lagi semakin terketar-ketar. Ada yang terkencing di dalam seluar, malah ada yang sudah tak mampu lagi berdiri, hingga terpaksa berlutut kerana terlalu takut.

“Kau empat ekor, aku masih ada peri kemanusiaan. Aku bagi korang masa sampai pagi esok untuk cari briefcase tu dan bunuh Iqbaal.”


****

2.50pagi, 31 Mac 2023,

Kawasan perhentian rehat lebuhraya, arah ke Andraloka.

Dengan bantuan seorang pekerja pembersihan di kawasan perhentian tersebut, Iqbaal membeli sebungkus roti dan sebotol mineral water. Dari kejauhan dia memerhatikan gadis bertudung yang ditugaskan menjaga Aryani sedang melayan anaknya itu yang sedang menjamah roti krim yang dibeli sambil sesekali merengek.

Iqbaal meneguk mineral waterdi tangannya sampai habis. Namun tiba-tiba matanya terarah kepada beberapa orang lelaki berjaket kulit yang sedang meninjau-ninjau di dalam ruang gerai tersebut. Dia menarik nafas panjang.

Nampaknya mereka masih lagi aktif memburu dia. Salah seorang lelaki itu berhenti di meja di mana remaja perempuan dan Aryani duduk. Iqbaal tiba-tiba saja jadi berdebar. Kelihatan lelaki itu berbual-bual dengan remaja perempuan tersebut. Beberapa ketika kemudian, lelaki itu bergerak meninggalkan mereka berdua. Namun matanya membelingas ke sana sini.

Iqbaal menggenggam penumbuk. Jika lelaki itu cuba mengapa-apakan Aryani,dia takkan menunggu lagi. Dia harus menyelamatkan anaknya itu. Dia menanti beberapa ketika namun lelaki itu bergegas meninggalkan kawasan tersebut.

Pengumuman dibuat melalui pembesar suara meminta penumpang-penumpang bas Sinaran Kosmos supaya kembali ke bas masing-masing kerana 5 minit lagi, bas tersebut akan meneruskan perjalanannya. Iqbaal menghabiskan sisa roti yang sedang dipegangnya dan dia menyusup di sebalik kegelapan disitu untuk kembali ke bas ekspres tersebut.

Namun tiba-tiba langkahnya termati apabila sebuah pacuan empat roda tiba-tiba saja berhenti berhampiran bas tersebut dan turun 7 orang lelaki dari kenderaan tersebut. Kesemua mereka kemudiannya memeriksa bas tersebut dengan teliti.

Beberapa orang lelaki itu meluru naik ke bahagian penumpang dan beberapa orang lagi membuka bahagian penyimpanan barangan dan beg di mana dia bersembunyi tadi lalu masuk ke bahagian tersebut.

Iqbaal menelan liur. Bas tersebut diperiksa dengan sangat teliti. Dia mencari akal bagaimana untuk dia meloloskan diri dan masuk semula keruang penyimpanan beg dan barang itu. Tapi akalnya belayar buntu.


Previous: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.