Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
1,525
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog1

LANGIT berbelang jingga kebiruan. Remang senja mula membalut alam. Lima lelaki itu tiba
di tanah perkuburan. Cangkul, cop besi dan penyodok tersandang di bahu masing-masing. Suara burung jampuk bersahut-sahutan. Dingin mula terasa membalut tubuh.

Tanah yang lembap dek hujan siang tadi membuatkan langkah mereka menjadi berat. Selipar berpalit tanah merah. Harum kemboja menyengat hidung. Mereka merenung satu per satu nisan yang berceracak.

"Mana satu kita nak mulakan?"

"Hujung sana?" Lelaki itu menuding kubur yang jauh di pinggir tanah perkuburan.

"Kenapa?"

"Dia keturunan yang pertama diburunya."

Kaki mereka terus diayun ke situ. Hujung kaki seluar yang dilumuri kotoran tanah merah disingsing hingga ke betis. Baju ditanggalkan. Batu nisan digoyang-goyang hingga cengkaman tanah longgar. Sepenuh tenaga dikerah untuk mencabutnya. Lalu dibalingnya batu nisan ke dalam semak belukar. Salah seorang menjulang cangkul, lalu membenamkan mata cangkul yang tajam ke kubur itu. Berganding bahu mereka menggali tanah.

Hingga mata cangkul menghentak permukaan keras, salah seorang mengepal genggaman. Memberi isyarat supaya berhenti. Cangkul bertukar tangan. Lelaki bertubuh kurus tinggi itu mengais-ngais tanah. Keranda kayu terserlah. Kedua-dua bahagian hujung penutup sudah mulai mereput.

Tanpa berlengah, penutup keranda dikuak. Bau busuk berapungan di udara. Pekat menusuk
hingga ke dasar perut. Mereka terbatuk-batuk kerana menahan diri daripada termuntah. Mata merenung tulang belulang yang masih bersarung kapan lusuh kekuningan. Tengkorak kehitaman dengan rahang ternganga digenggam salah seorang daripada mereka. Lalu dicampak ke birai kubur. Satu per satu tulang mayat itu dikeluarkan dari liang kubur.

Kemudian, tulang-temulang disatukan semula dalam kapan. Elok membunjut seperti baru sahaja dikapankan. Siap satu, mereka menuju ke kubur yang lain pula. Sekujur badan dibasahi keringat. Berpalit lumpur tanah merah. Nafas termengah-mengah.

Cukup 44 kubur dibongkar, mereka berhenti. Merenung setiap satu jasad berkapan di depan mereka. Disusun berselisih satu sama lain.

"Mana kunci lori?"

Lelaki bertubuh gempal mengeluarkan anak kunci dari dalam saku seluar. Lelaki bertubuh kurus
tinggi menyambut huluran. Dia melenggak sambil memandang bulan penuh di dada langit.

"Pindahkan semua mayat ni masuk lori," perintahnya.

"Kau yakin semua ni akan tamat?" tanya salah seorang daripada mereka.

"Aku harap ini penghabisannya."

"Kau pun tak yakin."

"Apa lagi pilihan yang kita ada? Dia ada ciri-ciri paling tepat dengan apa yang kita cari. Aku yakin, kita tak salah lagi kali ni."

Tiada suara lagi yang kedengaran. Masing-masing mula memikul satu per satu jasad berkapan
itu. Dihumban ke dalam badan lori sehingga selesai semuanya.

"Kita gerak malam ni juga," putus lelaki bertubuh kurus yang menjadi ketua.

Next: Prolog2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.