Home Novel Seram/Misteri Lembah Setan
Lembah Setan
Meja Editor
11/11/2024 08:51:25
595
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

DI bilik warden, Yahya, Jameela dan Cikgu Saleha selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sudah menanti. Perlahan-lahan Ameera melangkah masuk.

"Apa yang dah jadi?" Yahya mula berdiri dan berpeluk tubuh.

Ameera libang-libu hendak bercerita. Memandang Jameela dan Cikgu Saleha kemudian tunduk semula.

"Ayah tanya, apa yang jadi? Kenapa susah nak cerita? Siapa yang pukul kamu?" Yahya mula melengking suaranya.

"Awak, tanya baik-baiklah. Takut budak tu nak cerita," tegur Jameela.

Ameera menarik nafas dalam-dalam. Dia mula bercerita segala hal yang terjadi di surau hingga jatuh pengsan. Yahya mendengar sehingga habis lalu menggeleng.

"Ameera, please. Jangan jadi macam mak kamu sikit-sikit hantu setan. Ayah hantar kamu belajar sampai MRSM bukan untuk percaya hantu segala. Now, cerita apa yang jadi sebenarnya. Jangan tipu ayah." Yahya menyinga.

"Encik Yahya, maaf saya mencelah sedikit. Rasanya tak salah kalau encik cuba percaya dengan apa yang anak encik cerita. Kalau encik nak tau, saya boleh tahu cerita ni daripada kawannya, Fatin. Ameera tak cerita langsung apa-apa pada saya. Bila saya tengok perangai encik begini, saya faham kenapa Ameera pilih untuk diam." Cikgu Saleha yang bungkam sedari tadi mula bersuara.

"Kalau Tuhan pun boleh dijawab dengan sains, apatah lagi hantu syaitan. Kalau betul anak saya nampak benda-benda pelik, banyak kemungkinannya. Mungkin dia stres atau fikiran tengah celaru. Boleh jadi surau tu banyak barang lama yang bebaskan karbon monoksida. Karbon monoksida ni kalau banyak disedut boleh sebabkan halusinasi," terang Yahya. Mentah-mentahmenolak untuk percaya cerita anaknya.

"Awak pun sebagai cikgu, patutnya siasat apa sebenarnya yang jadi. Mungkin anak saya ni takut nak cerita yang dia kena buli ke apa. Sebab tu, dia create story yang bukan-bukan."

Masing-masing terdiam. Makin dijawab makin bertelagah.

"Beginilah, saya sarankan Encik Yahya bawa Ameera pulang. Berehat di rumah dulu. Nanti dia dah okey, baru datang semula ke sekolah. Kami akan siasat hal ni," saran Cikgu Saleha.

"Tak apa, cikgu. Saya selesa duduk sini. Insya-ALLAH, saya okey," lekas Ameera memintas.

Yahya mula serba salah. Risau membuatkan amarahnya memuncak. Perlahan-lahan dia mendapatkan Ameera, lalu memeluknya. Anak gadisnya itu menangis teresak-esak. Menghamburkan segala rasa yang terbuku di dada.

"Ayah minta maaf," ucap Yahya. Pelukan dileraikan.

Bapa dan anak saling bertatapan sebelum Ameera tersenyum tawar.

"Jangan fikir bukan-bukan. Tak ada apa tu. Meera stres sangat. Banyakkan rehat," pesan Yahya.

Suami isteri itu menemani anaknya selama hampir 30 minit. Puas dipujuk bercerita hal sebenar, Ameera sampai sanggup bersumpah yang dia tidak menipu. Mereka memujuk Ameera mengikut mereka pulang. Tetapi, anak gadis mereka enggan. Sudahnya, masing-masing mengalah. Sebaik bersalaman, kedua-duanya pulang.

"Warden, kamu tunggu di luar sekejap. Saya nak bercakap dengan Ameera sikit," pinta Cikgu Saleha.

Warden perempuan itu menurut. Pintu dikatup rapat.

"Boleh cikgu tahu sejak bila kamu kena gangguan macam ni?" Cikgu Saleha memulakan bicara.

Mereka duduk saling menghadap antara satu sama lain.

"Yang saya ingat, kali pertama masa kita ke Muzium Negara." Selajur dia menceritakan kejadianyang berlaku. 

Cikgu Saleha mendengar dengan penuh tekun.

"Mak ayah kamu tahu kejadian di muzium tu?" Ameera menggeleng.

"Maaf kalau nampak macam cikgu penyibuk. Tapi, niat cikgu cuma nak bantu. Kamu rajin solat?"

"Alhamdulillah, saya jaga solat setiap waktu. Walaupun kadang-kadang lewat, tetapi saya usahakan juga untuk solat."

"Syukur. Mak ayah kamu?"

"Mak solat. Ayah ...."Ameera tidak meneruskan kata-katanya.

Cikgu Saleha tidak mendesak. Dia mengangguk faham.

"Saya dapat tahu yang datuk kamu meninggal tempoh hari. Boleh cikgu tahu sakit apa?"

"Sakit tua, cikgu."

"Umur dia berapa?" tanya Cikgu Saleha.

"Rasanya 100 tahun lebih," jawab Ameera. Sekadar mengagak-agak.

Terjongket kening Cikgu Saleha mendengarnya.

"Jarang dah dengar orang umur sampai 100 tahun ni. Kamu rapat dengan datuk kamu?"

Ameera menggeleng. "Ayah jarang balik kampung. Lagipun perangai atuk agak aneh. Suka marah-marah. Banyak pantang larangnya. Itu yang ayah jadi renggang dengan atuk."

Satu rumusan awal mula bermain di fikiran Cikgu Saleha.

"Kamu percaya dengan jin, iblis dan setan?"

Ameera teragak-agak mengangguk. "Cuma, ayah larang kaitkan semua benda dengan jin dan hantu. Bagi ayah, setiap kejadian pelik yang berlaku mesti boleh dijawab dengan sains."

"Tak apa, saya faham. Saya cuma bimbang kamu terkena gangguan. Syaitan tu wujud. Dan,dia sentiasa berjalan dalam urat darah kita." Cikgu Saleha memperingati. Dia bangun. Tangan kanannya memegang ubun-ubun Ameera.

"Cikgu baca doa pelindung sikit ya," ucap Cikgu Saleha.

Ameera tidak membantah. Diam mendengar bacaan Cikgu Saleha yang tenggelam timbul menusuk gegendang telinga. Keningnya berkerut. Doa yang dibaca Cikgu Saleha kedengaran pelik. Hendak dikata Arab bukan. Bahasa Melayu pun bukan. Puas diamati barulah dia tersedar. Itu Ayat Kursi yang dibaca secara terbalik. Terbangun Ameera serta-merta.

"Kenapa cikgu baca ayat Kursi terbalik?" Ameera menyoal tanpa berselindung.

Cikgu Saleha tercengang. "Hah? Baca terbalik?"

Ameera meramas ubun-ubunnya. Serba salah menghurung diri.

"Maaf, cikgu. Mungkin saya salah dengar."

Cikgu Saleha merenungnya lama. "Beginilah. Kalau ada masa, cikgu bawa kamu jumpa kawan cikgu. Dia boleh berubat orang."

"Insya-ALLAH. Saya minta diri dulu, cikgu," pinta Ameera.

"Nanti kejap." Cikgu Saleha menghalang. Dia keluar dari bilik.

Lima minit kemudian, Cikgu Saleha muncul semula membawa sebungkus plastik biru.

"Cikgu balik kampung hari tu. Ni ada buah mempelam. Nanti makanlah dengan kawan-kawan kamu."

Plastik bertukar tangan. Ameera tersenyum.

"Terima kasih, cikgu. Maaf fasal tadi."

"Tak mengapa. Balik bilik dan rehat."

Ameera akur. Cikgu Saleha merenung sehingga gadis itu keluar dari bilik. Dia mengusap batang leher. Bulu romanya terasa meremang.

QISYA tekun mengulang kaji pelajaran. Fatin pula sibuk dengan telefon bimbitnya. Sesekali dia membuat panggilan dan menghantar pesanan ringkas.

"Kut ya pun perlahankan sikit volum telefon tu. Aku nak study pun tak boleh," tegur Qisya.

Fatin mencebik. Lima minit kemudian, dia berasa bosan. Mula menyertai Qisya di meja belajar.

"Lama pula Meera jumpa mak ayah dia tu. Dia okey ke tak agak-agak, eh?" tanya Fatin.

"Yang dia jumpa tu, mak ayah dia juga. Yang kau nak risau lebih-lebih, kenapa?" balas Qisya. Tangannya ligat menenyeh pen membuat latihan Matematik.

"Taklah, aku serba salah sebenarnya. Meera awal-awal lagi dah pesan suruh rahsiakan hal ni. Dahlah dia pernah cerita, ayah dia tu boleh tahan garang. Cukup benci kalau bercakap fasal hantu bagai ni. Aku takut dia kena marah aje bila cerita hal yang jadi," balas Fatin.

Qisya meletakkan pen. "Benda ni kau kena fikir dulu sebelum cerita kat Cikgu Saleha. Tapi, aku tak salahkan kau pun. Memang patut cerita sebenarnya. Risau aku tengok Meera demam sampai tak selera nak makan. Karang bertambah-tambah sakit."

Baru sahaja Fatin ingin bersuara lagi, pintu bilik mereka terbuka. Ameera melangkah masuk. Duduk di katilnya. Tudung ditanggalkan. Dia menyebak rambut ke belakang.

"Kau okey tak tu?" tegur Qisya. 


"Okey. Cuma, aku dah mula runsing sekarang ni," luah Ameera.

Qisya menutup buku latihannya. Dia dan Fatin mula duduk di sebelah Ameera.

"Tadi lepas jumpa mak ayah aku, Cikgu Saleha nak jumpa. Dia ada tanya beberapa soalan fasal keluarga aku. Cuma soalan-soalan dia tu buat aku fikir macam-macam."

"Contohnya apa?" Fatin tertanya-tanya.

"Kalau aku cerita ni, harap sangat-sangat kau orang simpan rahsia. Boleh? Janji?"

Kedua-dua rakannya itu mengangguk. Ameera menghela nafasnya.

"Jujurnya, bapa aku tak pernah solat. Aku tak pernah nampak pun dia solat. Senang cerita, segala ibadah dia tak pernah buat."

Fatin dan Qisya tercengang. Namun, riak wajah dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu Ameera terasa. 

"Itu yang pertama. Keduanya, macam aku pernah cerita tentang perangai atuk aku yang pelik. Peliknya bukan sikit-sikit tau. Contohnya kalau kami balik kampung, nak keluar sekejap pun disoal macam polis. Pernah sekali tu kami sekeluarga dihamunnya. Punca sebab keluar beli durian di pekan tak bagi tahu dia. Mana ayah aku tak terasa hati. 

"Itu belum lagi tengok rumah dia. Berselubung dengan langsir hitam. Parang sangkut sana sini. Dengan perangai atuk tak bercampur sangat dengan jiran. Dia pilih jiran tertentu sahaja," lanjut Ameera lagi.

"Maaf tanya, atuk kau solat?" soal Fatin.

"Aku tak pasti. Last aku jumpa dia pun masa kecil dulu. Aku tak perhati sangat dia. Takut kena marah.

Kami lebih banyak dengan nenek sampailah dia meninggal dunia."

"Ayah kau tahu, kenapa atuk kau macam tu?" tanya Qisya pula.

"Rasanya, dia tak tahu. And one more thing ... soalan Cikgu Saleha terus buat aku wonder. Tentang umur atuk aku yang 100 tahun lebih."

"100 lebih umur atuk kau?" Kedua-dua rakannya itu seakan-akan tidak percaya.

Ameera mengangguk. "Aku faham usia kita semua ditentukan dan dipegang oleh ALLAH. Cuma sikapnya yang aneh dan umur dia yang panjang buat aku terfikir sesuatu."

"Senang cerita, kau rasa atuk kau ada membela?" tanya Fatin berterus terang.

Ameera termangu sejenak. "Itu yang aku rasa sebenarnya. Cuma macam berdosa pula kalau tak betul."

"Sebenarnya, kami berdua pun terfikir benda yang sama. Kau asyik kena ganggu lepas atuk kau meninggal dunia. Aku tak rasa benda ni kebetulan," ujar Fatin.

"Atau mungkin semua ni cuma halusinasi aku. Macam ayah aku cakap tadi, apa yang berlaku di surau sebab pencemaran karbon monoksida daripada barang lama. Kes yang sama juga di  muzium. Tersedut gas tu boleh juga sebabkan kita berilusi. Satu lagi, cuba kita fikir balik. Hantu pocong cuma wujud di Nusantara. Tak pernah pulak aku dengar mat salih jumpa pocong."

"Jadi, apa yang kau cuba cakap?" soal Fatin.

"Apa yang wujud dan kita nampak bergantung pada apa yang kita percaya dan takut," balas Ameera.

"Habis yang kesan cakaran dekat tubuh kau tu?" Qisya membidas.

"Mungkin ..." Ameera kehilangan hujah. Sudahnya, dia sendiri kebingungan.

"Tadi, Cikgu Saleha ada bacakan doa dekat aku. Bila aku dengar, bunyinya macam ayat Kursi yang dibaca terbalik."

Masing-masing tergemap sama sekali. Semakin berbelit dirasakan. Fatin memetik jari. Sesuatu melintas di fikirannya.

"Kau ada bawa handycam, kan?"

"Ada dalam loker. Kenapa?"

"Kita sambung ke laptop. Tengok semula rakaman tempoh hari. Mungkin ada sesuatu yang kita boleh jumpa," usul Fatin.

Ameera diam. Lalu, dia mengangguk setuju.


Nota: Ini adalah siaran terakhir di laman ini. Dapatkan naskhah anda di Karangkraf Mall: https://www.karangkrafmall.com/lembah-setan-eqbal-mohaydeen

Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.