Bab
4
SELEPAS hampir lima jam
meninggalkan Ipoh, kereta yang dipandu Rafiq menuruni Tol Ayer Keroh dan menuju
ke arah bandar. Tempat pertama yang ditujunya ialah Bangunan Swenson Land Sdn.
Bhd. yang terletak di Jalan Bendahara. Dia mesti mencari Mr. Jeremy untuk
menyelesaikan masalah tempat tinggal dahulu. Selagi tidak selesai, perut pun
tidak terasa lapar walaupun jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 petang
dan cuaca pula panas terik.
Dengan hanya berpandukan papan
tanda di tepi jalan, dia cuba mengagak arah yang patut dituju dan akhirnya dia
sampai juga ke kawasan bandar hilir. Bangunan Swenson Land tidak begitu sukar
dicari kerana ia adalah bangunan rumah lama yang telah diubah suai menjadi
sebuah bangunan pejabat dua tingkat yang bercirikan kolonial. Setelah memakir
keretanya di pekarangan bangunan itu, dia mematikan enjin. Serentak itu,
hatinya berdebar kencang. Pelbagai jangkaan terbayang di kepalanya.
Cat putih menatari segenap ruang
bangunan yang bersimetri dan mempunyai dua menara di kiri-kanannya. Apabila
menjengah masuk ke dalam bangunan Swenson Land, yang pertama menarik perhatian
Rafiq ialah silingnya yang tinggi dengan dua buah tangga besar di kiri kanan ruang
legar. Selepas mendaftarkan diri di meja penyambut tetamu, dia terus menaiki
tangga ke tingkat dua.
Dari situ, dia menyusuri pula
laluan yang terbuka hingga ke hujung, dia akhirnya bersua dengan bilik Sumber
Manusia yang dicari-cari. Dari muka pintu lagi, dia terlihat seraut wajah manis
seorang lelaki Cina bertubuh gempal. Dia berasa sedikit gementar.
Lelaki Cina itu mengangkat muka
sebaik sahaja Rafiq membuka pintu.
“Encik Rafiq?” Dia menghulurkan
tangan seraya mempersilakan Rafiq duduk di hadapannya. “Baru sampai ke?”
Pipi montelnya nampak berkilat.
Cara bercakapnya tidak pelat.
Rafiq terangguk-angguk seraya cuba
bersikap tenang. Rasa kekok dan segan masih lagi terasa namun sikap Mr. Jeremy
yang mesra itu membuat hatinya lega sedikit. Dia tidak ada pilihan selain
daripada terus menunggu Mr. Jeremy membuka mulut mengenai rumah itu. Dia segan
untuk mendesak.
“Pasal rumah tu, saya dah tanya pada staf,
tapi sebab tempat kerja kita ni di tengah bandar jadi susah sikit nak dapat
rumah yang sesuai,” kata Mr Jeremy.
Dup! Jantungnya berdegup kuat
hingga terasa agak senak. Alamak! Macam mana ni? “Jadi… tak adalah ya?”
tanyanya teragak-agak.
Mr. Jeremy tersenyum. “Ada… ada…
Ada sorang staf sini beritahu ada sebuah rumah dekat Jalan Semerang mahu
sewakan bilik. Murah pula tu… Seratus ringgit saja sebulan. Boleh masuk
bila-bila masa.”
Rafiq separuh ternganga. “Seratus
ringgit saja? Kenapa murah sangat?”
“Tak tahu. Saya rasa lebih baik
awak pergi tengok dululah. Kalau tak suka, kita cari lain.”
“Boleh juga,” jawabnya. Sebenarnya
dia berasa agak lega. “Ada alamatnya?”
“Ada.” Mr. Jeremy menarik laci
mejanya yang ditimbuni pelbagai kertas dan dokumen lalu mengeluarkan sehelai
kertas bersaiz A5 berwarna putih.
“Ni dia. Pergilah tengok dulu. Jalan Semerang
dekat saja dari sini. Awak pusing balik masuk ke Jalan Munshi Abdullah,
kemudian masuk simpang ke dua sebelah kiri. Lepas tu masuk simpang kanan. Di
situ banyak rumah lama-lama. Tapi awak jangan bimbang, ini rumah Melayu.”
“Terima kasih banyak-banyak, Mr.
Jeremy.” Rafiq tersenyum lega. Sekurang-kurangnya dia sudah ada tempat tidur
malam itu tanpa menyusahkan sesiapa. Itu yang paling dia tidak suka.
“Esok masuk kerja pukul 9.00 pagi.
Nanti staf dekat bawah tunjukkan awak pejabat awak.” Mr. Jeremy pandang muka
Rafiq lama-lama.
“Okey, esok saya masuk kerja. Biar
saya pergi tengok rumah ni dulu,” balas Rafiq sambil berdiri dan menghulurkan
salam sekali lagi.
Salamnya bersambut.
“Lain kali panggil saya Jeremy
sajalah.” Jeremy ketawa kecil, mata kecilnya bersinar-sinar.
Rafiq angguk. Senyumannya makin
lebar. Lega hatinya kerana dia sudah mendapat seorang kawan baru yang baik dan
periang, sebuah tempat kerja yang selesa dan sebuah alamat rumah ada di
tangannya. Jadi, dia benar-benar bersyukur.
Nasibnya mungkin tidaklah seteruk mana.
******
SETELAH singgah makan tengah hari di
sebuah restoran terbuka di hadapan sebuah bank, Rafiq terus memandu mengikut
arahan yang diberikan oleh Jeremy tadi. Masuk simpang kedua di sebelah kiri,
kemudian masuk ke simpang sebelah kanan. Selepas tidak sampai 10 minit, dia
sudah berada di Jalan Semerang. Ada papan tanda tertampal pada dinding sebuah
bangunan di situ. Jelas tertulis ‘Jalan Semerang’.
Dekat betul ni, kata hatinya.
Sedikit terkejut dengan keuntungan nasibnya hari itu. Lalu, dia terus memandu
dengan lebih perlahan sambil matanya meliar ke kiri kanan jalan.
Jalan Semerang itu bukanlah jalan
utama oleh itu tidaklah begitu besar dan diapit oleh deretan rumah-rumah yang
pelbagai bentuk. Namun begitu, daripada rupa bentuk dan keadaan rumah-rumah di
situ yang agak kusam, dia bersetuju dengan kata-kata Jeremy bahawa rumah-rumah
di situ adalah rumah-rumah lama dan mungkin ada yang boleh diwartakan sebagai
warisan bersejarah juga. Dalam terfikir-fikir dia tiba di hadapan sebuah rumah
batu dua tingkat. Pagarnya tertutup rapat.
Rafiq membaca semula alamat yang
diberikan Jeremy tadi beberapa kali. Nama jalan dan nombor rumahnya sudah
betul. Nombor 27 tertera dengan jelas di atas tiang batu yang berdiri tegak di
sebelah kanan pagar rumah itu yang sudah berkarat. Rafiq melemparkan pandangan
matanya jauh ke dalam. Sebuah rumah bercat putih kekuningan yang kelihatannya
sunyi sepi kini berada tepat di hadapannya. Ada ke tidak, tuan rumah ni? Dia
mula risau semula.
Setelah memarkir keretanya di tepi
jalan, dia lantas membuka pintu pagar dan masuk ke pekarangan rumah itu. Yang
pertama dilihatnya ialah pokok-pokok sukun yang berjajaran di kiri kanannya
bagaikan memagari halaman yang ditumbuhi rumput liar. Di tengah kawasan itu
tegak sebuah rumah dua tingkat yang bentuknya sangat ringkas seperti kotak yang
ditebuk empat lubang sebagai tingkap. Semakin dia mendekati rumah itu, semakin
hatinya berasa tidak sedap.
Betul ke aku nak tinggal di sini?
Hatinya mula berbolak-balik. Seperti ada sesuatu yang tidak digemarinya di
situ, mungkin kerana bentuk rumah itu yang sudah ketinggalan zaman ataupun
kerana halaman yang seperti tidak terurus. Sambil berfikir, dia tiba juga di
hadapan pintu rumah itu. Salam pun dilaungkan.
Sambil menunggu jawapan, dia
memerhati ke sekeliling. Serambi rumah itu tidaklah begitu luas dan hanya
diletakkan dua buah kerusi rotan yang hampir reput. Pasu-pasu bunga di tepi
serambi itu juga kelihatan terbiar kerana pokok bunga di dalamnya sudah layu.
Di satu sudut serambi itu pula terdapat longgokan kasut-kasut buruk yang
berhabuk tebal. Berdiri lama di situ mula membuatkan hidungnya gatal.
Krek!!! Pintu kayu itu terbuka.
Muncul seraut wajah garang dengan mata yang hampir terjengil. Wanita
bertubuh gempal dan berkulit pucat itu
hanya mengangkat dagu sebagai bertanya.
Rafiq tergamam. Semangatnya lucut
seketika.
“Saya… nak cari bilik sewa. Ada
kosong lagi tak?” Dia kelam-kabut bertanya. Bimbang pula wanita itu menutup
pintu kerana menyangkakan dia hanyalah seorang jurujual.
Wanita itu tidak menjawab. Dia
sekadar membuka pintu rumah itu agar lebih besar. Kemudian dia berpaling dan
bergerak masuk ke dalam.
Rafiq berasa serba-salah tetapi
sudah alang-alang sampai ke muka pintu, dia akhirnya melangkah masuk juga.