Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,169
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 10

UBAT TRADISIONAL DAN HERBA

Mereka berdua berjalan seiringan menuju ke ruang dapur rumahnya. Terdapat pelbagai koleksi rempah-ratus, daun-daun, akar kayu, ramuan, dan beberapa jenis tumbuhan yang Ilya tidak pernah lihat sebelum ini. Kesemuanya berselerakan di atas meja kayu yang terletak di tengah ruang dapur itu. Ilya berasa kagum dengan koleksi yang disimpan moyangnya di dapur itu.

Terdapat bawang putih dan pelbagai jenis dedaunan digantung kemas di jendela dapur itu sebagai perhiasan. Selain itu, Ilya juga dapat melihat daun-daun dan akar kayu itu yang telah diproses dalam pelbagai bentuk dan rupa. Sebahagian daripada akar kayu itu dipotong menjadi kepingan-kepingan kecil. Sebahagian daripada dedaunan itu juga ada yang telah diracik menjadi helaian-helaian halus.

Terdapat juga sebuah periuk daripada tanah di atas dapur. Bidasari sedang merebus akar-akar kayu yang dipotong tadi dengan api perlahan. Dapurnya juga dapur tradisional iaitu masih lagi menggunakan kayu-kayan sebagai bahan bakarnya.

Tidak seperti dapur di rumahnya di mana ia menggunakan teknologi induksi magnetik atau Infra-Merah untuk memasak. Malah, apa yang menyebabkan Ilya bertambah kagum dengan dapur milik moyangnya, asap yang berkepul-kepul dari dapur itu akan keluar melalui serombong yang turut dibina di dapurnya.

Rumah moyangnya walaupun amat ringkas dan mempunyai ciri tradisional, namun ia mempunyai sistem pengudaraan yang amat baik. Sedikit pun Ilya tidak berasa rimas atau lemas dalam asap itu kerana semuanya telah dibawa keluar melalui serombong di dapur itu.

Bidasari terus berjalan ke dapur untuk memastikan supaya api yang sedang menyala di dapur kayu itu tidak terpadam. Dia mengambil sejenis tiub panjang yang diperbuat daripada buluh dan meniupkannya ke arah api itu.

Ilya mengalihkan pandangannya ke arah pintu dapur yang separuh terbuka. Dia berasa tertarik untuk mengetahui apakah yang berada di luar.

"Nenek, saya nak tengok apa yang ada kat luar boleh?" pinta Ilya dengan penuh sopan-santun.

"Boleh, pergilah Ilya. Maria, tolong temankan Ilya," arah Bidasari.

"Baiklah puan," balas Maria ringkas sebelum mengekori langkah Ilya ke arah belakang rumah.

Tatkala Ilya berada di luar, dia dapat melihat sebuah tikar dihampar di halaman belakang rumah itu. Di atas tikar itu terdapat beberapa buah talam yang diperbuat daripada anyaman buluh. Dalam setiap talam itu ada kandungan yang berbeza setiap satunya.

Ilya pergi mendekati talam-talam itu untuk mengamatinya dengan lebih dekat. Sebuah talam yang berada di hadapan Ilya menempatkan sejenis akar kayu yang telah dipotong. Sementara itu, talam lain menempatkan akar-akar kayu daripada jenis yang lain dan dedaunan yang hampir mengering.

"Cik Maria, apa tujuan daun-daun dan akar kayu ni letak kat sini?" tanya Ilya ingin tahu.

"Oh, yang ni ke? Daun-daun dengan akar-akar ni nak jemur sebelum diproses menjadi serbuk," terang Maria.

"Diproses menjadi serbuk?" Ilya tidak faham apa yang spirit itu maksudkan.

"Ya, serbuk. Mari masuk dalam semula. Biar saya tunjukkan pada kamu proses seterusnya," ajak Maria seraya memimpin tangan Ilya untuk masuk ke dalam rumah. Sekali lagi Ilya dapat rasakan kedinginan luar biasa pada tangan Maria.

Maria dan Ilya masuk semula ke dapur. Moyangnya dilihat sedang mencampur-adukkan beberapa jenis serbuk dalam sebuah bekas dengan sukatan tertentu. Dia seperti sedang menyiapkan sesuatu. Ilya memerhatikan tingkah moyangnya dengan penuh minat.

"Sini, Ilya," ajak Maria lagi sambil memimpinnya ke arah sebuah kabinet kayu yang berada di dapur tersebut.

Dalam kabinet kayu itu tersusun beberapa buah balang kaca pelbagai saiz. Setiap satunya diisi dengan pelbagai jenis serbuk. Ilya tidak dapat mengecam serbuk apakah itu. Maria memetik jarinya. Salah satu balang kaca itu terapung dan terbang ke arah Ilya. Ilya yang faham akan isyarat itu terus mengambilnya. Tanpa disuruh, dia terus membuka penutup balang itu dan menghidu serbuk di dalam balang tersebut. Semerbak aroma herba menusuk hidungnya.

"Herba!" kata Ilya sedikit terkejut.

"Ya, herba. Sebenarnya serbuk ni asalnya daun-daun dan akar-akar yang dijemur kat luar tadi. Kami jemur untuk membuang segala kelembapan yang ada pada akar-akar dan daun-daun tu. Lepas kami pastikan ia benar-benar kering, kami akan menumbuknya sehingga lumat, maka jadilah serbuk ni," terang Maria dengan bersungguh-sungguh.

Ilya menutup balang kaca itu lalu meletakkannya semula di tempatnya yang asal.

"Tumbuk? Kenapa kena tumbuk?" Bagi Ilya menumbuk sehingga lumat adalah ayat yang begitu asing pada pendengarannya. Selama ini mereka sekeluarga cuma menggunakan mesin pengisar untuk mengisar makanan sehingga lumat. Malah, Ilya tidak pernah lihat pun antan dan lesung seumur hidupnya.

Bidasari yang sedari tadi mendengar perbualan antara mereka berdua terus menggeleng. Dia tersenyum sendiri. Bidasari terus menghentikan aktivitinya sebentar tadi lalu berjalan untuk mencari sesuatu.

"Alahai, kesian Ilya. Ilya mesti tak pernah tengok antan dan lesung kan?" tanya Bidasari sambil kakinya dihayunkan untuk menuju ke sebuah para kayu yang terletak di satu sudut.

Di atas para itu terdapat pelbagai peralatan memasak disusun kemas di atasnya. Periuk, belanga, cerek dan juga beberapa jenis pinggan-mangkuk kaca disusun kemas di atas para tersebut. Periuk dan belanga itu pula rata-ratanya diperbuat daripada tanah liat. Terdapat kuali dan beberapa jenis senduk kayu turut digantung di dinding berhampiran para itu. Bidasari mengambil antan dan lesung untuk ditunjukkan kepada cicitnya.

"Yang ni namanya lesung," ujar Bidasari sambil menunjukkan kepada sebuah objek yang kelihatan seperti mangkuk tetapi diperbuat daripada batu.

"Yang ni pula namanya antan." Bidasari merujuk kepada pasangannya iaitu sebuah batu berbentuk silinder yang digunakan untuk melumatkan sesuatu.

Ilya melopong melihat objek yang berada di hadapannya. Tanpa disuruh Ilya mengambil beberapa helai daun yang telah pun dikeringkan dan dimasukkan ke dalam lesung itu sebelum menumbuknya.

"Macam nilah caranya kami memproses daun-daun dan akar yang dikeringkan tadi," jelas Maria lagi sambil tangannya masih lagi menumbuk menggunakan lesung itu.

Ilya menongkat dagunya di hadapan Maria untuk memerhatikan proses itu dengan lebih dekat.

"Tapi, bukan ke pakai blender lagi senang?" soal Ilya lagi.

"Ah, memanglah tapi nenek lagi selesa gunakan cara tradisional," balas moyangnya pula.

"Nenek ni memang peliklah," komen Ilya.

"Kalau nak lagi senang, kita guna cara ni je," kata Maria sebelum memetik jarinya lagi sekali. Dalam sekelip mata, daun-daun yang berada di dalam lesung itu dan yang berlonggokan di atas meja menjadi lumat seperti serbuk.

"Itu kalau nenek betul-betul malaslah." Bidasari cuba bercanda. Canda Bidasari itu disambut gelak ketawa daripada Maria. Ilya pula masih sama seperti tadi, dengan riak wajah tiada ekspresi.

Bidasari menyambung semula aktivitinya yang tergendala sebentar tadi. Ilya pula memilih untuk terus memerhatikan moyangnya membuat kerja.

"Nenek, apa tujuan nenek buat semua ni?" tanya Ilya memecahkan kesunyian.

"Nenek buat semua ni untuk pelanggan nenek. Mereka tempah ubat dengan nenek," terang Bidasari tanpa teragak-agak.

"Ubat? Bukan pegawai farmasi berdaftar sahaja ke yang dibenarkan untuk menghasilkan ubat. Takpa ke nenek buat macam ni?" Ilya juga tanpa teragak-agak mengajukan soalan itu.

Bidasari terdiam sejenak lalu melepaskan keluhan kasar. "Mereka tak mati pun Ilya," balasnya dengan nada sedikit dingin daripada kebiasaan. Air mukanya juga berubah sedikit.

Bidasari yang telah pun siap mencampurkan bahan di atas meja itu terus berlalu meninggalkan ruang dapur itu untuk mencari sesuatu. Ilya ditinggalkan seorang diri dalam keadaan terpinga-pinga. Sejurus kemudian Maria tiba-tiba muncul di sebelah Ilya.

Maria mendekatkan bibirnya ke telinga Ilya untuk membisikkan sesuatu, "Puan Bidasari memang agak sensitif jika ada orang menyentuh bab tu." Ilya faham apa yang dimaksudkan Maria. Dia berhasrat tidak mahu bertanya dengan lebih lanjut lagi mengenainya.

Tidak berapa lama kemudian Bidasari datang semula ke ruang dapur dan membawa sebuah balang kaca bersaiz lebih kecil daripada yang diletakkan dalam kabinet kayu itu. Sehelai kertas dan sebatang pen turut dibawa bersama.

Bidasari menulis sesuatu di atas kertas itu. Dia menuliskan nama, tarikh lahir berserta alamat rumah orang yang menempah ubat itu daripadanya. Sehelai lagi kertas yang tertulis tentang cara pengambilan ubat itu disisipkan bersama balang kaca itu. Bidasari menghulurkan balang kaca dan kertas itu kepada Maria.

"Maria, macam biasa hantar barang ni kepada tuan dia ya," arah Bidasari dengan nada lembut.

"Baiklah puan," balas Maria ringkas sebelum menghilangkan dirinya.

Bidasari berdiri membelakangi cicitnya.

Ilya terus bersuara, "Maafkan Ilya nenek pasal tadi."

"Takpa nenek tak ambil hati pun," balas Bidasari mendatar dengan tubuhnya masih lagi membelakangi cicitnya.

Ilya memandang ke luar selama beberapa saat sebelum bertanya, "Nenek, ke mana Cik Maria pergi tu?"

"Maria pergi hantar ubat yang ditempah tu ke rumah pelanggan nenek. Selalunya kalau dekat dalam kampung ni nenek hantar sendiri je. Tapi, kalau jauh macam tadi tu nenek suruh Maria jelah," terang Bidasari.

"Jauh? Kat mana tu?" tanya Ilya ingin tahu.

"Negara Arte," balas moyangnya selamba.

"Jauhnya!" Ilya meninggikan sedikit suaranya. Matanya terbuntang luas dek kejutan yang diterimanya.

Bidasari melirikkan senyuman namun badannya masih membelakangkan Ilya. Kemudian dia berjalan meninggalkan ruang dapur itu untuk menuju ke ruang tengah.

"Ilya!" panggil Bidasari lembut dari dalam biliknya. Ilya pada masa itu sedang berjalan di ruang tengah rumah itu untuk menuju ke ruang sorong. Ilya terus berjalan ke bilik moyangnya. Dia terus duduk bersimpuh di sebelah moyangnya yang sedang duduk di atas katil.

"Ada apa nenek panggil saya?" tanya Ilya dengan bersopan-santun.

"Ilya nak tahu tak dari mana nenek dapat ilmu untuk menghasilkan ubat-ubatan tu semua?" tanya Bidasari. Ilya mengangguk laju.

Bidasari berjalan ke jendela rumahnya lalu mengajak Ilya untuk menghampirinya. Ilya bangkit lalu berjalan ke arah jendela itu bersebelahan dengan neneknya.

"Pokok-pokok tu yang ajarkan kesemuanya," ujar Bidasari berterus-terang.

"Oh ya, lupa pula nenek ada cakap tadi yang pokok-pokok tu ajarkan nenek macam-macam perkara. Macam mana nenek boleh ada kebolehan tu? Dark Arts ke tu?" Sekali lagi Ilya mengajukan soalan demi soalan kepada Bidasari.

"Bukan, ia bukan Dark Arts tapi ia ada kaitan dengan Dark Arts. Sebenarnya nenek warisi kebolehan ni daripada nenek-moyang terdahulu. Keturunan kita ni dahulu memang handal dalam menghasilkan pelbagai jenis ubat-ubatan. Itu memang kepakaran keturunan kita," balas Bidasari kepada pertanyaan cicitnya.

"Kenapa pula bukan Dark Arts?" soal Ilya lagi.

"Sebab nenek dapat kebolehan macam ni tanpa bantuan spirit. Nenek tak perlu pun melalui proses ritual untuk memperbaharui perjanjian dengan spirit. Tiba-tiba je nenek dapat kebolehan ni masa umur nenek 11 tahun dulu. Lagipun takda siapa lagi keturunan kita yang tahu macam mana caranya untuk memperbaharui perjanjian dengan spirit," terang Bidasari dengan panjang-lebar.

"Maksud nenek, keturunan kita ada buat ritual penyatuan dengan spirit ke dahulu?" Bidasari mengangguk mengiakan pertanyaan cicitnya.

"Oh my. This is bad," gumam Ilya sambil berjalan mundar-mandir di bilik itu.

"Keturunan, perjanjian, ritual penyatuan, padah akan menimpa kepada sesiapa yang memungkiri janji, mewarisi kuasa, tujuh keturunan...." Satu demi satu perkataan itu timbul di benak fikiran Ilya. Dia cuba mencari perkaitan antara kesemuanya. Dagunya diusap perlahan.

"Kejap-kejap, Zaf ada mention pasal sukker sebelum ni? Apa maksud dia sebagai sukker? Apa kena-mengena keturunan aku ni dengan sukker?" Ilya menjadi semakin keliru dengan pelbagai persoalan yang timbul di benak fikirannya.

"Ya, Ilya. Keturunan kita memang ada sukker. Itulah yang nenek maksudkan sebenarnya." Bidasari seperti dapat membaca apa yang difikirkan Ilya.

"Sukker? Keturunan kita ada sukker? Apa maksud nenek dengan sukker?" tanya Ilya spontan. Dia sudah tidak peduli lagi akan tingkah moyangnya yang seolah-olah boleh membaca fikirannya.

"Maaf Ilya, nenek pun kurang arif sebenarnya tentang sukker. Yang nenek tahu sukker tu maksudnya pewarisan kuasa magis dan spirit kepada keturunan seterusnya," tutur Bidasari berterus-terang.

Walau bagaimanapun Ilya tidak mahu berputus asa dalam pencariannya. Dia mahu mengkaji dengan lebih mendalam mengenai Dark Arts, spirit dan sukker serta perkaitannya dengan keturunannya.

"Ilya, nampaknya kamu kena lebih berhati-hati lepas ni," pesan Bidasari secara tiba-tiba. Pesanannya itu tadi menghentikan lamunan Ilya.

"Kenapa?" Ilya bertanya semula inginkan penjelasan lebih lanjut.

"Kamu ni istimewa. Kamu akan tarik perhatian golongan spirit terutama sekali evil spirit. Dan nenek pasti, suatu hari nanti kamu pasti akan bangkitkan kebolehan kamu." Bidasari mengusap lembut kepala Ilya.


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.