Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
1,977
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

MASA berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, dua hari sudah berlalu. Tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum Muzaffar sekeluarga harus berpindah keluar dari rumah sewa Salmiah. Selama itulah, Muzaffar membuat kerja tanpa henti. Bermacam-macam kerja yang dilakukan demi mencukupkan duit untuk membayar tunggakan rumah sewa mereka agar tidak diusir keluar.

Situasi itu membuatkan Radziah semakin tertekan dan kasihan melihat keadaan Muzaffar. Hati wanitanya bagai dirobek apabila melihat suaminya diam-diam memakan ubat tahan sakit sebelum pergi bekerja. Ekoran itu, dia bersetuju hendak berjumpa dengan kawan Muzaffar dan mendengar tentang inti pati kontrak lumayan yang diceritakan oleh suaminya.

Maka itu, Muzaffar membawa Radziah hadir ke kediaman Shahrill. Pandangan Radziah tertancap lama ke arah banglo tiga tingkat yang berada di hadapan matanya. Dirinya terasa kecil apabila bertemu Karina, isteri kepada Shahrill. Dapat dirasai aura karisma Karina sewaktu bersalaman dengan wanita itu. Sikap mesra dan ramah Karina membuatkan dia tidak rasa tersisih.

Selepas menikmati sajian tengah hari yang disediakan oleh Karina, mereka berdua telah dibawa ke bilik kerja Shahrill di tingkat atas. Di situ, Muzaffar dan Radziah diminta untuk meneliti kontrak Villa de Amour.

Bebola mata Radziah laju bergerak mengikut pembacaannya. Sesekali dia bersungut apabilamendapati syarat yang ditetapkan dalam kontrak tidak rasional pada pemikirannya.

"Benar kata puan. Syarat perjanjian itu bersifat berat sebelah terhadap pihak yang mendiami vila itu. Namun harus diingatkan, pihak yang mendiami akan memperoleh ganjaran-ganjaran  yang dijanjikan oleh tuan pemilik vila seandainya berjaya menduduki vila itu selama tiga bulan. Puan boleh periksa kesahihan kata-kata saya ini di muka surat belakang."

Pantas Radziah mencari muka surat yang diberitahu oleh Shahrill. Mulutnya terlopong saat membaca senarai ganjaran yang dinyatakan dalam kontrak.

"Tiga bulan sahaja tempoh yang dituntut oleh pemilik asal Villa de Amour untuk menilai sejauh mana tahap kesanggupan dan kecekalan calon. Jika nak dibandingkan dengan ganjaran-ganjaran yang akan diperoleh oleh calon, saya anggap syarat tu cuma permintaan kecil saja," sambung Shahrill yang baru memegang portfolio selaku penjaga wasiat Villa de Amour yang baru.

Dia menerima lantikan itu daripada pak ciknya, Saidin yang bertindak sebagai wakil rapat kepada pemilik asal vila iaitu Tuan Ibrahim.

MUZAFFAR memerhatikan isterinya yang masih diam membisu. Perbincangan bersama Shahrill sudah selesai beberapa jam yang lalu, namun Radziah masih terpaku di tempat duduknya tadi. Bimbang hatinya melihat Radziah berkeadaan begitu dalam tempoh yang lama.

"Ija ... boleh kita berbincang? Dari hati ke hati."

Radziah menoleh ke tepi apabila terasa bahunya disentuh lembut. Dia mengangguk lemah sebagai jawapan kepada permintaan suaminya.

"Abang tak paksa Ija untuk bersetuju. Abang tak kisah jika Ija tak nak ikut. Abang boleh tinggal di vila itu seorang diri. Ija bawalah anak-anak pulang ke kampung. Soal pertukaran sekolah Ailisha, abang akan uruskan nanti."

"Abang ni biar betul? Abang boleh ke tinggal di vila besar tu seorang diri? Abang jangan nak buat kerja gila. Kalau jadi apa-apa pada abang, macam mana?" Laju Radziah menyanggah tidak setuju.

"Jika terpaksa, apa-apa dugaan pun abang sanggup laluinya. Abang tak nak lepaskan peluang ni. Lagipun, abang tak ada duit nak bayar semua hutang dan deposit rumah sewa yang baru." Biarpun malu, Muzaffar terpaksa juga mengakui kebenarannya.

Kesepian melingkari mereka berdua. Baik Muzaffar mahupun Radziah, kedua-duanya hanyut dalam gelodak perasaan masing-masing. 

Jauh di sudut hati Radziah, dia tidak sanggup membiarkan suaminya mendiami Villa de Amour seorang diri. Setelah berfikir sedalam-dalamnya, Radziah akhirnya bersetuju menyertai Muzaffar.

***

Yorkshire, Utara England

SUARA kicauan burung di luar balkoni sebuah rumah agam meriangkan suasana yang muram. Kelihatan seorang lelaki berusia 79 tahun sedang duduk bersendirian. Sisa hidupnya dihabiskan dengan mengasingkan diri dari dunia luar. Puncanya angkara satu tragedi pada tahun 1982. Yang telah meragut cinta dan kebahagiaannya. Isterinya meninggal dunia manakala dua puterinya hilang sehingga kini. Lenyap bagai ditelan bumi.

Bunyi ketukan pintu mematikan khayalan Tuan Ibrahim Smith William. Terjengul Saidin  sendirian. Sekeping fail di tangan lelaki itu sempat dicuri pandang oleh Tuan Ibrahim. Pasti ada perkara penting yang dibawa oleh pembantu peribadinya itu sehingga memerlukan perhatiannya seawal pagi itu.

"Maafkan saya kerana mengganggu tuan pada awal pagi ni. Ada perkara penting yang ingin saya sampaikan kepada tuan. Berita daripada penjaga wasiat Villa de Amour," lapor Saidin seraya menghulurkan fail di tangannya.

"Dalam fail tu ada dokumen-dokumen mengenai calon baru yang bakal mendiami Villa de Amour nanti," sambung Saidin lagi.

Tuan Ibrahim menyangkut cermin mata pada batang hidungnya. Tulisan yang kabur berubah jelas. Tumpuannya ralit membaca segala butiran yang terpapar pada setiap helaian kertas.

Kemudian, dia beralih pula pada lembaran yang memaparkan beberapa keping gambar yang disusun mengikut turutan. Tidak semena-mena, jantungnya bagaikan terhenti tatkala melihat seraut wajah di antara semua gambar di situ. Wajah itu membuka semula simpulan lembaran memori lampaunya.

"Cuba kamu lihat gambar gadis muda ini." Tuan Ibrahim menunjuk gambar itu kepada Saidin.

"Wajahnya mengingatkan kamu kepada seseorang tak?" soalnya serius.

Wajah Saidin berkerut sebelum berubah terlopong. Bagai tidak percaya saat menatap gambar gadis itu. Bagaimana dia boleh terlepas pandang sedangkan dia telah meneliti dokumen itu beberapa kali sebelum bertemu Tuan Ibrahim?

Tuan Ibrahim terdiam lama. Otaknya ligat merangka-rangka sesuatu. Kemudian, barulah diabersuara kembali bersama satu keputusan muktamad. 

"Segera balas e-mel si penjaga wasiat Villa de Amour. Katakan kepadanya yang saya setuju dengan calon pilihannya," putus Tuan Ibrahim setelah menimbang semua aspek.

Saidin mengangguk menuruti arahan itu. Keputusan pantas yang dibuat oleh majikannyatidak dipersoalkan. Dia mengerti sebab musababnya. Gambar gadis itu ialah punca utamanya.

TUAN IBRAHIM terbayangkan Villa de Amour di ruang matanya. Entah mengapa, dia merasakan jawapan yang dinanti-nantikan bakal terjawab. Adakah kerana gambar gadis itu menjadi penyebabnya?

Terngiang-ngiang kembali kata-kata seorang perawat yang pernah dipanggil untuk "membersihkan" Villa de Amour. Katanya, satu kuasa gelap telah menutup keberadaan anak-anak gadisnya daripada mata kasar manusia biasa sepertinya. Hanya insan yang diizinkan oleh Tuhan dapat merungkai sumpahan itu. Biarpun dia tidak mempercayai kata-kata perawat itu, namun sekeping hatinya tetap terkesan dengan pendapat itu.

Kerana kata-kata itulah membuatkan dia berfikir berulang kali sebelum menerima cadangan Saidin untuk melantik seorang penjaga wasiat yang akan bertanggungjawab menjaga vila, dan akhirnya mewujudkan satu kontrak warisan harta Villa de Amour.

Tiga bulan sahaja disyaratkan mendiami vila itu. Kenapa? Kerana andai benar vila itu telah disumpah, dia berharap calon-calon yang terpilih dapat merungkai sumpahan kuasa jahat itu. Dia sanggup mengambil risiko berat itu asalkan anak-anaknya dapat dijumpai semula. Sehingga kini, tiada lagi calon yang berjaya melepasi syarat yang dipinta.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.