Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
770
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

AYUMI tersenyum sendirian. Leka melayani keletah si Kenit sementara ibu dan ayah sedangsibuk memasukkan bagasi-bagasi ke dalam kereta.

Di belakang Radziah, muncul Ailisha yang terkial-kial mengheret bagasinya. Wajahnya masam tampak tidak berpuas hati. Radziah segera memujuk Muzaffar apabila Ailisha tidak semena-mena memberontak mempertikaikan perpindahan mereka ke Cameron Highlands. Kemunculan Shahrill dan Karina akhirnya merubah suasana.

Karina mendekati Ayumi tatkala melihat gadis itu sedang mengucap selamat tinggal kepada kucingnya. 

"Kalau kamu sukakan Kenit, ambillah jaga dia," ujar Karina tiba-tiba seraya mengusap lembut kepala kecil Kenit.

"Betul ke, auntie? Auntie tak bergurau, kan?" tanya Ayumi kurang percaya.

Karina mengangguk sambil tersenyum. "Betul, sayang."

Dia melaung memanggil pembantu rumahnya iaitu Mbokde Romlah supaya membungkus barang-barang keperluan dan makanan kucing untuk diberi kepada Ayumi.

Ayumi terus memeluk wanita itu erat dan mengucapkan terima kasih atas segala-galanya. Sungguhpun Ayumi baru mengenali Karina, namun dia terasa rapat dengan wanita itu. Dia berharap hubungan silaturahim ini akan berkekalan sampai bila-bila.


JAM baru mencecah 5.45 petang, namun suasana di luar sudah kelihatan senja. Ayumi yang duduk di belakang, menoleh ke arah Ailisha di sebelahnya yang sedang mogok tidak bersuara. Sepatah ditanya, sepatah dijawab.

Dia mengerti situasi Ailisha yang bimbang tumpuannya terhadap peperiksaan STPM terjejas gara-gara perpindahan mengejut ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Situasi ayahnya turut tidak memberi sebarang pilihan kepada keluarga mereka ketika ini.

Selepas melalui perjalanan yang berliku-liku menuju ke puncak Cameron Highlands, akhirnya mereka tiba juga ke destinasi yang dituju. Kedudukan Villa de Amour yang berada di atas bukit membuatkan mereka harus melalui jalan raya yang sedikit curam ke atas sebelum tiba di pekarangan utama vila.

Di situ, mata mereka dijamu dengan pemandangan indah. Jajaran pokok bunga mawar yang ditanam di sekeliling sebuah kolam air pancur di tengah-tengah halaman memukau sesiapa yang memandang. Muzaffar memarkir kereta di sebelah kereta Shahrill.

"Cantiknya! Ini ke rumah yang kita akan duduk?" soal Ayumi tidak percaya ketika berdiri di sebelah ayahnya.

"Ya. Inilah rumah tu," balas Muzaffar sambil tersenyum teruja.

Semua mata tertumpu pada vila yang tersergam indah di hadapan mereka. Setiap penjuru vila menampilkan elemen binaan stail "Classic British" yang membawa perasaan mereka hanyut dalam atmosfera zaman kolonial British di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Vila lama itu terbahagi kepada tiga bahagian di mana bahagian tengah menjadi laluan utama pintu masuk.
Di pintu masuk utama, kelihatan Daniel lengkap beruniform ala-ala butler sedang berdiri bersama senyuman manis.

"Perkenalkan, ini Encik Muzaffar dan isterinya, Puan Radziah. Di belakang mereka ini, Ayumi dan Ailisha." Shahrill memperkenalkan mereka sekeluarga kepada Daniel.

Huluran salam Muzaffar disambut pantas oleh Daniel. Radziah, Ayumi dan Ailisha hanya diberi tunduk hormat. Tanpa berlengah, Daniel menjemput semua tetamu itu masuk untuk menikmati hidangan petang yang telah siap disediakan di ruang makan.

Masing-masing yang kebetulan sedang kelaparan, tidak menunggu lama apabila dijemput makan oleh Daniel. Hidangan yang masih hangat itu dijamah dengan berselera sekali.

Ayumi memerhatikan segenap ruang makan yang terhias indah dengan dekorasi klasik mewah. Tidak semena-mena matanya terhenti pada wajah Daniel yang kebetulan turut melihat ke arahnya. Wajah serius lelaki itu menjadikan dia tidak selesa. Lekas-lekas dia melarikan pandangan.

BUNYI enjin motor memasuki halaman rumah membingitkan suasana. Faris memarkir motosikal di bawah garaj bersebelahan kereta ayahnya. Dia berjalan menuju ke pintu masuk rumah. Salam dilaung beberapa kali apabila pintu gagal dibuka sendiri.

Beberapa saat kemudian barulah muncul ibunya, Rusda yang lengkap bertelekung membuka pintu. Dia tersengih saja apabila dibebel kerana pulang lewat petang. Ibunya langsung tidak percaya apabila dia memberi alasan "study group".

Faris masuk ke dalam bilik lalu menghamparkan tubuhnya di atas katil. Matanya dipejamkan untuk berehat sejenak sehingga tanpa sedar, dia telah terlajak tidur melepasi senja. Ketukan bertalu-talu di daun pintu mengejutkannya. Kuat lagi membingitkan. Sambil terpisat-pisat, Faris bangun melewati biliknya yang gelap untuk membuka pintu.

"Janganlah main-main. Memang kepantangan aku kalau orang bergurau macam ni," marah Faris apabila melihat tiada sesiapa di luar biliknya.

"Imran, kau ke tu? Baik kau munculkan diri sebelum aku luku kepala kau," gertaknya. Dia menghampiri bilik adiknya, namun ternyata kosong tidak berpenghuni.

Hatinya mula diusik tanda tanya. Dia memerhatikan kawasan sekitar. Baru dia sedar yang suasana di dalam rumah terlalu sunyi. Tiada sebarang suara mahupun bunyi kedengaran kecuali suara sang katak memanggil hujan di luar rumah.

"Mungkin dia kat bilik ibu ayah kut," teka Faris seraya menuju ke bilik orang tuanya tanpa berlengah. 

Sekali lagi dia dihambat kepelikan. Kelibat ibu mahupun ayahnya tidak ditemui, begitu juga Imran.

"Mana semua orang pergi ni?" omel Faris sendirian.

Kala itulah, telinganya terdengar bunyi sesuatu jatuh dari arah dapur. Dia terus membelok ke sana tanpa syak wasangka. Kelihatan beberapa bekas Tupperware ibunya jatuh tergolek di atas lantai. Menimbulkan kehairanan bagaimana Tupperware yang tersimpan di dalam kabinet bertutup boleh terjatuh.

Tiba-tiba, seluruh lampu di dalam rumah berkelip-kelip sebelum terpadam. Faris yang tidak menjangka situasi itu kaget seketika. Serentak, satu lintasan laju yang membawa angin sejuk melintas di belakang Faris. Bunyi seakan-akan tulang belulang patah muncul melatari segenap ruang.

Faris diserang debaran. Perasaan takut mula hadir menjerut seluruh tubuh.

Dalam kesepian yang membungkus malam, muncul satu suara wanita bergumam mengalun senandung yang mendayu-dayu disusuli esakan hiba. Roma Faris tegak merinding. Rasa seram memerangkap seluruh tubuhnya sehingga membekukan segala pergerakan.

Beberapa langkah di hadapan, kelihatan satu susuk wanita berpakaian pengantin sedang berdiri menghadap Faris. Kemunculan angin yang menderu kuat menyebabkan kerudung yang menutupi kepala dan wajah wanita itu terselak hingga menampakkan sebahagian wajahnya yang menakutkan. Anak mata hitamnya merenung Faris penuh kebencian.

"Kau menceroboh! Penceroboh harus mati!" ujar lembaga wanita itu kuat dengan suara paraunya.

Faris terkaku dengan wajah pucat tidak berdarah. Matanya terbuntang luas. Bibir terketar-ketar ketakutan. Dia ingin melarikan diri, namun kedua-dua kakinya bagai dikunci.

"Bangun, Faris!" Satu suara lelaki bergema tibatiba.

Faris menyentuh pipinya yang terasa pijar kesakitan, seolah-olah ditampar oleh sesuatu yang dia tidak nampak.

"Bawa mengucap, Faris! Kamu hanya bermimpi saja," kata suara ghaib itu lagi.

Faris semakin keliru. Kali ini, laungan azan kedengaran begitu hampir di cuping telinganya. Wanita berbaju pengantin itu menjerit histeria, seolah-olah dalam kemarahan. Laungan azan itumenyakitkannya.

Deruan angin bertiup kencang membuatkan keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal. Faris terpaksa berpaut pada kaki meja ketika dia terjatuh ditolak angin kasar. Wanita berbaju pengantin itu kelihatan terherot-herot pada pandangannya sebelum semuanya menjadi gelap-gelita.

"BUKA mata, Faris! Bangun!" Lokman menepuk-nepuk wajah anaknya yang sedang terbaring meracau tidak sedarkan diri.

Rusda dan Imran yang berdiri di belakang Lokman diam memerhati saja. Mereka berdua saling kebimbangan. Faris masih meracau tanpa henti.

"Faris!" Lokman menahan wajah Faris yang bergerak-gerak ke kanan dan ke kiri.

Kelopak mata Faris akhirnya terbuka mengejut. Tubuhnya serta-merta terkaku semula. Wajah ayahnya mula memenuhi pandangannya.

"Apa yang berlaku? Kenapa semua orang ada kat sini?" soal Faris terpinga-pinga. Kepalanya terasa pening dan berat.

"Kamu meracau dalam tidur. Berapa kali dah ayah nasihat. Jangan tidur waktu senja," tegur Lokman tegas. Anaknya itu masih lagi terpinga-pinga.

"Sudah, pergi mandi. Lepas tu solat maghrib," arah Lokman sebelum beredar keluar. Rusda dan Imran turut keluar setelah memeriksa keadaan Faris.

Faris termenung jauh. Imbasan mimpi tadi menjelma semula di layar fikiran. Berputar seperti rakaman yang telah direkodkan. Terbayang-bayang wajah hodoh wanita berpakaian pengantin sehingga mencetuskan kegelisahan tidak bertempat. Lekas-lekas dia bangkit dan keluar dari kamarnya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.