Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
1,429
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

TIGA hari berlalu dengan begitu pantas. Muzaffar berdiri menghadap rumah sewa yang telah diduduki hampir 15 tahun itu. Hari ini ialah hari terakhir dia harus mengosongkan rumah itu.

Sejurus menandatangani kontrak mendiami Villa de Amour, dia dan Radziah segera melakukan kerja-kerja pengemasan. Urusan perpindahan sekolah Ailisha juga telah dilakukan. Manakala Ayumi pula tiada masalah kerana anak sulungnya itu baru sahaja menamatkan latihan industri dan sedang dalam tempoh percutian sementara menanti keputusan semester akhirnya diumumkan.

Muzaffar menyerahkan kunci rumah kepada seorang penyelia servis pindah yang dihantar oleh Shahrill bagi membantu mempercepatkan kerja pemindahan mereka. Setelah berbual seketika, Muzaffar beredar untuk memulakan perjalanan menuju ke rumah Shahrill. Dia sekeluarga akan tinggal di rumah sahabatnya itu sementara waktu. Muzaffar akan menggunakan peluang itu untuk menyelesaikan saki-baki urusannya yang masih belum selesai.

KETIBAAN Muzaffar sekeluarga telah disambut riang oleh Shahrill. Karina yang baru selesai menyiapkan juadah makan malam, membawa Radziah dan anak-anaknya menuju ke bilik tetamu yang telah disiapkan untuk keluarga sahabat suaminya itu.

Ayumi yang terpegun melihat dekorasi konsep moden minimalis banglo tiga tingkat itu, telah merayau-rayau hingga ke ruang tamu. Di situ, dia ralit memerhatikan potret-potret keluarga yang terpampang sebelum matanya terhenti pada gambar dua orang remaja lelaki yang berbeza ketinggian. Ayumi mengandaikan dua orang remaja lelaki itu ialah anak kepada Shahrill dan Karina.

Tiba-tiba, seekor kucing berbelang kelabu hitam datang menghampiri lalu duduk bertinggung di kaki Ayumi. Kucing itu mengiau sambil mendongak melihat Ayumi.

Karina yang baru tiba di ruang tamu mencari Ayumi, mengukir senyuman.

"Manjanya si Kenit. Selalunya dia bengis jumpa orang baru," tegur Karina.

"Oh, ya ke?" Terangkat kening Ayumi.

"Haah. Auntie pun hairan kenapa dia tak buat perangai bila dengan kamu. Mungkin dia suka kamu," ujar Karina membuatkan gadis itu tersenyum malu.

"Marilah kita pergi makan. Keluarga kamu dah tunggu di meja makan."

Ayumi mengangguk lantas membuntuti langkah wanita itu.

USAI makan malam, Muzaffar sekeluarga beredar masuk ke bilik tetamu. Karina berjalan menuju ke bilik kerja suaminya. Kelihatan Shahrill sedang berehat sambil menghisap rokok.

Dia duduk di kerusi yang berada di hadapan meja kerja Shahrill. Pandangannya jatuh pada sebuah dokumen, namun perhatiannya lebih tertarik pada sekeping gambar sebuah vila lama berkonsepkan seni bina zaman kolonial British. Bibirnya tidak putus-putus memuji kecantikan vila itu.

"Abang dah pergi melawat ke vila ni?"

"Sudah." Shahrill mengangguk.

"Apa yang akan terjadi kalau mereka didapati melanggar kontrak?" soal Karina, merujuk kepada Muzaffar sekeluarga. Rasa ingin tahunya tiba-tiba mendesak.

"Kontrak terus terbatal secara automatik. Mereka harus keluar dari vila itu serta-merta. Segala kerugian daripada pihak mereka tidak akan dipertanggungjawabkan. Mengikut apa yang terteradalam kontraklah."

Karina mengangguk faham. Segala perihal berkenaan vila itu telah diceritakan oleh suaminya ketika dia diminta untuk menyediakan jamuan makan malam buat Muzaffar sekeluarga.

Biarpun dirinya masih termangu dengan pelantikan mengejut Shahrill sebagai penjaga wasiat Villa de Amour, namun berita Muzaffar menjadi calon pertama mendiami Villa de Amour di bawah seliaan Shahrill ternyata lebih mengejutkannya. Shahrill baru sahaja beberapa minggu memegang portfolio selaku penjaga wasiat. Tidak banyak tentang vila itu yang ketahui oleh Shahrill. Sedikit sebanyak Karina bimbang jika suaminya dipersalahkan jika berlaku sesuatu di vila itu.

Entah kenapa, dia berasa tidak sedap hati. Hatinya musykil, mengapa pemilik vila itu tidak menjual saja vila itu setelah berpindah ke England? Kenapa ditetapkan pelbagai syarat kepada sesiapa yang mendiami vila itu? Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh pemilik vila itu.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.