Home Novel Seram/Misteri PENUNGGU GUA
PENUNGGU GUA
SITI ROZILAH
1/6/2015 01:43:32
20,091
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
PROLOG

PROLOG

HARI itu adalah hari yang paling malang dalam hidupnya. Dan hari itu juga mungkin harinya yang penghabisan. Dia rasa dirinya sudah kehabisan daya untuk melawan dan kini hanya mampu berserah kepada takdir. Dia yang sentiasa cekal, akhirnya mengalah juga. Dia hanya mampu memejamkan mata menahan kesakitan ketika tubuhnya diseret sepanjang lantai hutan itu dalam keadaan kaki menghala ke atas dan kepalanya terkulai ke bawah oleh para penculiknya.

Ketika itu, dia hanya ditemani air mata. Di saat-saat genting begitu yang muncul di fikirannya hanyalah kematian. Para pemuda yang menculiknya langsung tidak menghiraukan raungan dan keluhannya ketika kepalanya terhantuk ke banir pokok-pokok hutan itu ataupun tercucuk pokok-pokok berduri yang tumbuh melata di sepanjang laluan mereka.

Tipulah kalau dia kata yang dia tidak mengenali pemuda-pemuda yang telah menculiknya itu. Hakikatnya dia cukup mengenali mereka. Mereka pernah menjadi jiran sekampungnya. Dahulu, sebelum peperangan ini meletus, mereka mesra dan selalu bertegur sapa dengannya. Malah ada di antara mereka yang turut menggilainya.

Tetapi awal petang itu menjadi saksi bahawa bernafas di atas bumi yang sedang bergolak dengan peperangan sentiasa menjadikan hidup tidak selamat. Orang yang dahulunya baik dengan kita bila-bila sahaja boleh bertukar menjadi seorang musuh yang sangat kejam. Jiran yang dahulunya ramah, dalam sekelip mata boleh menjadi seorang pembunuh. Syak wasangka yang berleluasa semakin meluap-luap setelah diapi-apikan lagi oleh penjajah Jepun ketika itu.

Dia tidak tahu kenapa khemahnya yang didirikan di pinggir hutan semata-mata untuk bersembunyi daripada keganasan tentera Jepun tiba-tiba diserang oleh sekumpulan pemuda kampung. Serangan itu pula berlaku ketika bapa dan suaminya keluar mencari makanan. Yang tinggal ketika itu hanyalah ibu dan ibu mertuanya sahaja. Setelah membelasah ibu dan ibu mertuanya, perhatian pemuda-pemuda itu beralih ke arahnya pula.

“Tolonglah, jangan apa-apakan gua. Gua mengandung, Mud. Gua mengandung!” Dia merayu kepada salah seorang penyerang yang bernama Mahmud dengan harapan agar dirinya dikasihani.

“Betul ke lu mengandung, Mei? Atau itu hanya alasan lu aje?” Mahmud menyoal.

“Betul, Mud, gua mengandung. Buat apa gua nak tipu lu?”

“Lu ingat gua akan lepaskan lu sebab lu mengandung? Woo... lu tak tau ke hati gua ni makin terbakar bila dengar lu mengandungkan anak jantan tu?” Mahmud bersuara kasar. Matanya mencerlang ke arah Mei Ling yang terketar-ketar ketakutan.

Serentak dengan itu Mahmud mara sambil melayangkan penumbuknya ke arah perempuan itu. Spontan Mei Ling terjerit sambil tunduk memegang perutnya. Dia tidak pernah rasa kesakitan begitu sekali hingga kencingnya terpancut keluar. Sejak dari kecil dia tidak pernah dicubit pukul oleh bapa mahupun ibunya tetapi hari itu dia dikasari oleh lelaki yang dahulu adalah jiran sekampungnya.

Ibu dan ibu mertuanya turut menjerit melihat Mei Ling diperlakukan sebegitu rupa.

“Mud, kenapa dengan kau ni, hah? Apa dosa kami? Kami tak pernah kacau kau! Apa dosa Mei terhadap kau? Dia sekarang mengandung, Mud! Belas kasihanlah sikit pada dia.” Embun, ibu mertua Mei Ling tampil membela menantunya.

Bukan belas kasihan yang ditaburkan, sebaliknya hanya gelak ketawa yang terhambur dari mulut mereka berempat.

“Kesian? Kenapa pulak aku kena kesiankan kaum pendatang ni, Mak Embun? Dulu, masa mereka ni kaya, wah... bukan main kedekut lagi. Nak hutang beras barang setempurung kelapa pun mereka tak nak bagi, berkira sangat. Orang macam ni ke yang kita perlu kesiankan?” Mahmud menyergah.

“Kalau ikutkan panas hati aku ni, dah lama betina ni aku hantar jadi perempuan sundal di kem tentera Jepun.” Sambung Mahmud sambil tergelak-gelak.

“Mud, lu dah lupa ke, masa mak lu sakit... siapa yang susah-susah ke pekan belikan ubat untuk emak lu? Papa gua kan? Setiap kali emak lu datang mintak hutang beras, papa gua tak pernah biarkan dia keluar dari kedai dengan tangan kosong. Lu dah lupa semua tu?” Dalam kesakitan pun Mei Ling masih sempat menjawab untuk menyelamatkan dirinya. Walaupun dia tahu nasibnya kini umpama telur di hujung tanduk tetapi dia telah diajar oleh bapanya supaya tidak cepat mengalah sebelum berjuang.

“Lu tak usahlah banyak cakap, Mei. Lu ingat lu boleh lepas?”

“Hati lu penuh dengan karat, Mud! Lu memang jantan keparat!!!” jerkah Mei Ling.

“Hey, betina! Lu ni memang dari dulu lagi banyak berani punya perempuan. Kalau dulu bolehlah lu menjawab, hari ni jangan harap!” Mahmud bertempik sambil melayangkan pula penamparnya ke pipi Mei Ling membuatkan perempuan itu terteleng. Serta-merta pipi yang putih mulus itu berubah rona menjadi merah.

Seusai menamparnya, Mahmud tergelak besar. Seolah-olah seronok pula mendengar jeritan dan melihat Mei Ling menyeringai menahan sakit. Mei Ling sedar bahawa seksaan yang bakal dihadapinya tidak akan terhenti setakat tumbukan di perut dan penampar di pipi.

Mei Ling juga yakin kebencian Mahmud membuak-buak terhadap dirinya bukanlah kerana dia berbangsa Cina yang dituduh sebagai kaum pendatang tamak yang kaya raya kerana handal berniaga; sebaliknya itu hanyalah helah Mahmud untuk menghalalkan tindakannya sahaja. Dia tahu. Semua orang yang berada di situ tahu. Dan Mahmud lebih-lebih lagi tahu bahawa kebencian yang sebenar-benarnya adalah kerana Mei Ling berani menolak cinta seorang Mahmud kerana hatinya telah diisi oleh lelaki lain.

Di saat-saat Mei Ling baru sahaja mengkhabarkan berita gembira yang mereka bakal menimang cahayamata sulung kepada Majid awal pagi tadi tiba-tiba muncul petaka ini. Dia berdoa dan berharap agar suami dan bapanya akan segera muncul untuk menyelamatkan mereka bertiga termasuklah janin yang sedang dikandungnya. Dia tidak dapat membayangkan perpisahan yang bakal melanda jika suaminya lambat sampai untuk menyelamatkannya.

“Lu akan jadi milik gua, Mei! Lu dengar tak? Lu milik gua!!” Mahmud bertempik bagaikan orang gila. Tangan kanannya mencekik kuat leher Mei Ling hingga menyebabkan perempuan itu tercungap-cungap hendak menghirup udara.

Mata Mei Ling mulai gelap dek kelemasan. Namun untuk mengalah, sama sekali tidak mungkin. Dengan kudrat yang ada, dia mengeluarkan cecair pekat dari mulutnya lalu menyumpitnya ke muka Mahmud. Walaupun dia cuba melawan namun begitu dia bagaikan seekor singa betina yang telah tercedera teruk. Sama sekali mustahil untuk dia menang dalam perlawanan itu.

“Keparat betul betina ni!” jerit Mahmud sambil menolak tubuh perempuan itu ke tanah. Mei Ling jatuh berdebuk bagaikan nangka busuk.

“Mud, dah lama kita di sini. Kalau laki dia balik nanti, susah kita.” Jalil, salah seorang lelaki yang membantu Mahmud menyerang khemah di pinggir hutan itu bersuara.

Mahmud merenung sekilas ke arah tubuh Mei Ling yang mengerekot di atas tanah. Dendam kesumatnya akan terbalas dalam sekelip mata kalau dia menghalakan muncung senapangnya ke arah perempuan itu. Tetapi sebelum itu dia mahu menikmati kehangatan tubuh Mei Ling sepuas-puasnya terlebih dahulu. Selepas itu nanti barulah dia puas hati kalau riwayat Mei Ling ditamatkan.

“Kita cabut!” kata Mahmud sambil membisikkan sesuatu yang ‘jahat’ ke telinga Jalil.

Jalil menyengih kemudian membisikkan pula kata-kata Mahmud ke telinga Latif dan juga Khamis. Ternyata ketiga-tiga orang lelaki itu juga sama jahatnya seperti Mahmud...

MEI LING sudah hampir pengsan ketika tubuhnya diseret masuk ke mulut sebuah gua yang begitu asing. Kesakitan yang dideritainya bagai sudah tidak tertanggung lagi. Di kala itu, dia rasa lebih baik kalau Mahmud membidik muncung senapangnya terus ke kepalanya. Mati adalah lebih baik daripada terpaksa menanggung derita begitu.

Kepalanya sudah bengkak-bengkil dan berdarah-darah akibat diseret sepanjang perjalanan. Tidak cukup dengan itu, cecair panas juga terasa membusak keluar dari celah kelangkangnya menandakan dia sudah keguguran kandungannya. Azab sekali kesakitannya.

Dia rasa lemah, selemah-lemahnya. Seumur hidupnya dia tidak pernah rasa selemah itu.

Mei Ling tahu hari itu adalah hari terakhir hayatnya untuk kelahiran ini. Mustahil suami atau bapanya sempat datang untuk menyelamatkannya. Dia pasti mati di dalam perut gua itu.

Bau hanyir darah, muntah dan najis yang datang daripada batang tubuh Mei Ling berbaur lalu bercampur dengan bau aneh yang diciptakan oleh gua itu sendiri langsung tidak mematahkan nafsu laknat syaitan empat ekor itu.

“Tak usahlah masuk ke dalam sangat. Entah binatang apa yang menghuni gua ini. Di sini pun sudah cukup,” kata Mahmud.

Serentak itu, Jalil dan Khamis yang tadinya ditugaskan untuk mengheret Mei Ling melepaskan cengkaman mereka. Lalu tubuh Mei Ling terlentang lemah di atas lantai gua itu. Ternyata kedudukan mereka dari mulut gua tidaklah jauh sangat kerana masih ada jalur-jalur cahaya yang menyelusup masuk walaupun keadaan penglihatan agak sama-samar. Namun itu semua tidak mematahkan nafsu serakah yang membuak-buak, yang sudah menguasai hati syaitan bertopengkan manusia itu.

Mereka berempat tercangak-cangak, berpandangan sesama sendiri beberapa ketika seolah-olah memikirkan siapakah orang yang sewajarnya membuka langkah pertama untuk aksi jenayah itu. Kemudian mata Jalil, Latif dan Khamis menujah ke wajah Mahmud.

Mahmud senyum sumbing. Walaupun tubuh perempuan yang sedang menggeletar di atas lantai gua itu berbau hanyir, masam dan hancing tetapi itu semua tidak akan mematahkan nafsunya. Dia membongkok lalu menarik kedua-dua belah tangan Mei Ling kemudian diheretnya perempuan itu ke arah sebongkah batu besar, direbahkannya di atas batu itu.

“Kalau kau balas cinta aku dulu, Mei, nasib kau takkan jadi macam ni.” Mahmud membisikkan kata-kata itu ke telinga Mei Ling sambil tangannya merayau rakus ke seluruh tubuh perempuan itu.

Ya, suatu ketika dahulu dia amat mencintai Mei Ling tetapi hari ini sudah tiada cinta. Yang tinggal hanyalah sebuah dendam kesumat. Namun begitu, Mahmud resah memikirkan yang di penghujungnya nanti dia terpaksa juga menamatkan riwayat Mei Ling. Jenayah mereka berempat sama sekali tidak boleh keluar dari perut gua itu. Ia harus tinggal dan bersemadi di sini!

Mei Ling sudah tidak mampu bersuara. Hanya desahan nafas yang terkeluar dari mulutnya.

Bagaikan segala rasa malu dan belas kasihan sudah dicabut dari tangkai hati kemanusiaannya, Mahmud melondehkan seluarnya. Dia menghampiri Mei Ling yang terbaring di atas batu. Kedudukan tubuh Mei Ling ketika itu betul-betul separas pinggangnya.

“Jangan Mud, jangan! Kan Majid tu kawan baik lu?” Dalam tubuh yang lemah, Mei Ling masih cuba mempertahankan maruahnya.

Mahmud tergelak lantang. Bergema suaranya, bersahut-sahutan... bertali-temali di dalam gua itu membangkitkan rasa seram kalau didengari dek manusia yang waras. Tetapi Mahmud sudah hilang kewarasannya dek dijolok nafsu yang membuak rakus.

“Pergi mampus dengan laki lu tu. Tak ada orang di sini yang dapat tolong lu, Mei. Sekarang, menyerah ajelah!” Getus Mahmud, geram ketika Mei Ling cuba merapatkan kedua-dua belah pahanya.

“Luuuu... dan kawan-kawan luuu... takkan selamat. Guaaaa... akan menghantui hidup luuuu... walaupun setelah gua mati. Ingat tu, Mudddd... ingatttt!”

Suara garau yang agak berbeza serta menyeramkan, yang meluncur keluar dari mulut Mei Ling itu buat Mahmud tergamam. Sebelum dia kebah daripada gamamnya, satu hentakan kuat hinggap ke bahagian alat sulitnya membuatkan dia terbongkok-bongkok menahan sakit. Dengan sisa-sisa kudratnya yang masih ada Mei Ling telah menendang tepat ke celah kelangkang Mahmud. Walaupun tubuhnya amat lemah dan lesu, Mei Ling berjaya melompat turun dari bongkah batu itu lalu angkat langkah seribu menuju ke dalam dakapan kegelapan gua.

“Woi! Betina tu dah lari, woi! Kejar dia, woi! Jangan bagi dia lepas!” Laungan Mahmud memancing perhatian teman-temannya.

Tanpa berlengah-lengah lagi mereka berempat bergegas memburu Mei Ling yang bayangnya sudah hilang ditelan kegelapan gua misteri itu...

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.