Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,165
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 12

Samsir menarik nafasnya dengan panjang. Ada rasa tidak puashati terbuku didalam dadanya ketika itu. Rasa marah dan menyesal saling tindih menindih. Membuatkan rasa tidak enak bermukim didalam kolam perasaannya. Langkah kakinya diatur perlahan-lahan menuju kepintu lif. Terasa berat benar. Pun begitu terus digagahinya jua.

Cerita yang disampaikan oleh Kadir tadi masih terngiang-ngiang dicuping telinganya. Bayang hantu pocong yang bergelok semakin kuat menerkam dalam mindanya. Lalu bulu roma dilengan dan belakang tengkuknyaa berdiri tanpa dipinta. Hatinya menyumpah lagi. Pun begitu dia tidak pasti pada siapakah sumpahan itu mahu dihalakan.

Salah dia juga. Sepatutnya tadi dia tidak perlu melayan cerita kadir. Ini tidak. Entah kenapa hatinya memberontak ingin tahu akan kisah selanjutnya. Lalu antara sedar dan tidak dia terus memasang telinganya untuk mendengar cerita yang selanjutnya.

Tak pasal-pasal malam ini aku dengar cerita hantu, rungutnya lagi didalam hati. Rasa seram semakin kuat menguasai dirinya. Samsir menjadi serba salah. Semakin dia dekat dengan pintu lif semakin dia dimamah dengan rasa kurang enak. Hatinya dilanda lagi dengan rasa tidak sedap. Entah kenapa dia merasakan malam ini seperti ada sesuatu sedang menunggunya ditingkat atas. Samsir mengeluh. Wajahnya tampak keruh.

Butang ditekan dan tidak lama kemudian pintu lif terbuka sendiri. Dengan berat hati dia melangkah masuk. Ketika pintu lif mula rapat perlahan-lahan dia sempat melontarkan pandangan kearash Kadir yang masih lagi duduk sambil menikmati kopi panas didalam cawan.

Seperti lazim, dia memeriksa dari satu tingkat demi satu tingkat. Tidak ada apa-apa yang mencurigakannya. Biar pun dia terus dirantai dengan ketakutan, namun tidak berlaku sesuatu yang tidak diingininya. Sejenak Samsir mampu menarik nafas lega.

Ketika pintu lif terbuka ditingkat empat dadanya berdebar-debar dengan tiba-tiba. Bulu romanya makin tegak berdiri. Hatinya cemas tidak menantu. Kenapa? Pertanyaan itu berdetik dalam mindanya. Meski pun begitu, Samsir tidak mampu untuk menjawapnya. Perasaan itu tiba-tiba saja datang tanpa dipinta.

Nalurinya mengajak dia keluar dari lif. Wajah dan susuk tubuh gadis cina yang diminatinya mula muncul mencuri perhatiannya. Bibir Samsir menguntumkan senyum manis. Rasa rindu mula memukul dadanya. Memang dia teringin benar hendak menatap sepasang mata sepet dan cantik itu. Ingin dia melihat senyum manis milik gadis itu. Ah... dia memang diasak dengan rindu.

Samsir keluar dari perut lif dan mula menapak mendekati pejabat agensi pelancongan dimana gadis pujaannya itu bekerja. Seperti biasa tirai yang menutup pintu pejabat itu menghalang pandangannya. Samsir mendengus. Lehernya dipanjangkan cuba mengintai kearah dalam melalui celahan tirai berwarna putih. Tidak pula dia melihat sesiapa disitu. Ruang lobi pejabat yang sederhana besar itu kosong. Gadis itu tidak bekerja lebih masakah malam ini? Rasa hampa menghimpit dadanya. Romannya yang ceria tadi bertukar muram dengan tiba-tiba. Apakah malam ini dia didatangi dengan rasa kecewa? Terus Samsir melayani fikirannya yang tidak menentu. Tidak ada apa yang dia fikirkan selain dari gadis itu. Samsir masih lagi terjengah-jengah seperti tadi.

“Abang tengok apa?” Samsir tersentak apabila ada suara menegurnya dari belakang. Pantas dia menoleh dan jantungnya bagaikan ingin gugur.

Dibelakangnya berdiri gadis manis yang sering bermain didalam mindanya. Tersenyum manis. Wajah itu nampak bersih dan cantik. Untuk beberapa detik Samsir terpana. Kaku sendiri. Nafasnya kencang dan degup jantungnya bergetar laju tatkala mata masing-masing bertaut. Ada rasa bahagia menyelinap dan membelai hatinya.

“Abang cari apa?” soalan itu ditanyakan lagi buat kali yang kedua.

Samsir teragak-agak. Mulutnya bergerak namun tidak ada suara yang keluar. Fikirannya benar-benar  kacau. Sekejap rasa bahagia dan sekejap kemudian menjadi mamai.

“Abang cari saya ke?” soalan itu bergema dalam minda Samsir. Ayat itu bagaikan mempunyai maksud tertentu.

“Oh...ah...,” macam budak tidak cukup akal, Samsir gagau lagi. Seluruh sendinya terasa lemah. Silap hari bulan dia boleh terlentang diatas lantai. Sepasang matanya tidak lepas dari menatap wajah simanis itu. Senyum gadis itu membuatkan dia makin mamai. Makin diamuk dengan perasaannya sendiri. Tidak keruan dibuatnya.

“Kenapa abang?” akhirnya gadis bertahi lalat dipipi kiri itu melepaskan ketawa halusnya. Lirikkan matanya cukup mengoda.

“Tak... tak... abang cuma check aje,” tergagap-gagap dia menjawap.

“Oh... ye ke. Ingatkan abang cari saya,” tutur gadis itu disertai dengan ketawa yang kedengaran  manja. Samsir terasa yang dia sedang digoda. Hati lelakinya jadi makin tidak tentu arah. Serba salah dia hendak menjawap pertanyaan gadis itu.

“Oh...aah... tak... tak,” dia sendiri tidak pasti dengan apa yang diucapkan ketika itu.

“Kenapa abang? Nampak macam takut aje ni?” gadis manis itu makin kuat mengusiknya. Senyumnya juga semakin lebar. Jelas pria itu makin tergagap-gagap. Rasa cuak sesekali mencelah.

“Kenapa abang? Abang baru jumpa hantu ke?” sakat sigadis itu lagi. Jelingan matanya makin manja dan mengoda. Tanpa diketahuinya, Samsir semakin diamuk dengan perasaannya sendiri.

“Eh... tak. Mana ada?” sahut Samsir dengan suara yang bergetar. Memang dia rasa sepasang lututnya mula lembik. Rasa seram sejuk menguasai dirinya. Bukan sebab takut tetapi kerana dia tidak tahan digoda begitu. Hatinya mudah cair.

Senyum dibibir gadis berambut panjang dan lurus itu semakin mekar. “Abang tak pernah jumpa hantu ke?” suara itu lembut mencubit cuping telinga Samsir. Pantas Samsir geleng. Tersengih. Menahan perasaan didalam dada.

“Tak pernah, “ringkas dia menjawap.

“Eloklah. Sebab ramai orang  disini kata ada hantu,” ucap gadis itu lagi. Senyumnya masih melekat pada sepadang bibir nipisnya.

“Oh... ye ke?”

Gadis berkulit putih bersih itu menganggukkan kepala. “Tapi saya tak percaya dengan cerita itu abang.”

Ungkapan ‘ abang’ membuatkan perasaan Samsir melayang-layang. Dia semakin larut dalam perasaan bahagia ketika ini. Jarang perempuan mahu memanggilnya dengan panggilan itu.

“Abang percaya ke?” sejenak Samsir tersentak dan kemudian cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya. “Err... tak,” sepatah saja dia menjawap. Telaga mata mereka bertaut lagi. Perasaan Samsir makin kemaruk.

“Tapi ramai orang cakap macam tu. Abang masih tak percaya?” gadis didepannnya itu bagaikan mahu menduga pendiriannya. Sesaat Samsir termenung. Sejak dulu dia memang tidak mempercayai semua cerita-cerita hantu. Tidak kiranya jenis hantu apa sekali pun. Baginya semua itu hanyalah karut.

Meski pun begitu kejadian yang dialaminya malam semalam sedikit sebanyak mencabar juga pendiriannya selama ini. Dan semalam juga tembok keegoannya mula robek. Biar pun ketidak percayaannya masih lagi menebal namun sekurang-kurangnya kejadian semalam memaksa dia memikirkan semula akan sikapnya. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Memori semalam mula menebar dalam layar kepalanya.

“Abang,” seruan lembut dari gadis manis itu menarik semula dia dialam nyata. Tersengih-sengih umpama kerang busuk.

“Abang memang tak percaya pada hantu?” ada senyum nakal bermain dibibirnya. Payah jugak aku nak jawap ni, rungutnya didalam hati.

“Macam-macam saya dengar cerita pasal bangunan ni abang,?” Tutur gadis bertahi lalat dipipi kiri itu lagi. Senyum manisnya mula luntur sedikit demi sedikit. Samsir masih lagi berdiri tercegat seperti tadi.

“Apa yang...,” Samsir menundingkan jarinya kearah gadis itu. Tidak tahu apa yang mesti dia panggil sijelita itu.

Seperti ada sesuatu yang lucu wanita berambut lurus itu menyimpulkan senyumnya. Nampak manis dan cantik. “Oh... lupa saya nak memperkenalkan diri saya. Nama saya Jennifer.”

“Saya Samsir. Kawan-kawan panggil Sam saja,” lalu tangannya dihulur. Jennifer ketawa galak. Salam jejaka didepannya tidak disambut. Samsir tersengih dan berfikir mungkin gadis itu segan untuk menyentuh tangannya. Lalu tangannya dijatuhkan semula.

“Apa yang Jennifer dengar?” pertemuan malam itu dirasakan semakin mesra. Samsir mengambil kesempatan menoleh kearah depan dan belakang. Ruang pejalan kaki itu kosong. Tidak ada sesiapa pun disitu melainkan mereka berdua. Ini sudah baik, hati Samsir bersorak sendiri. Memang dia menunggu saat-saat mereka berdua-duaan saja. Dia tidak berniat jahat terhadap wanita itu, cuma dia ingin duduk bersama Jennifer tanpa diganggu oleh sesiapa pun.

“Macam-macam abang,” biar pun Samsir sudah memberitahu namanya, namun ternyata Jennifer lebih senang memanggilnya dengan panggilan ‘abang’. Lagi bagus! Hidung Samsir kembang sendiri.

“Apa yang Jennifer dengar. Abang pun nak jugak tahu,” tanpa rasa malu Samsir membahasakan dirinya ‘abang’. Ketika perkataan itu diucapkan, terasa ada kelainan melanda dirinya. Rasa semakin mesra dan rapat dengan gadis manis itu. Ada angan-angan terpasang didalam mindanya.

“Macam-macam abang. Menakutkan,” ujar Jennnifer.

Samsir menunggu.

“Kata orang dalam bangunan ni ada tandas berhantu. Ada orang bunuh diri. Ada hantu tangga dan macam-macam lagi.”

Samsir menelan rengkungnya. Betulkah begitu?

Jennifer tersenyum nakal lagi sambil melirik kearah Samsir. “Kenapa? Abang takut?” soal gadis itu. Cepat-cepat jejaka itu menggelengkan kepalanya. “Hish... taklah. Abang tak takut pun,” sahutnya dengan suara separuh bergetar.

“Abang berani atau saja buat-buat berani?” sekali lagi Jennifer menduga.

“Mestilah berani. Lelaki mana boleh jadi penakut,” ada nada angkuh pada kalimahnya.

Jennifer tergelak kecil. Mulutnya ditutup dengan tangan. Sempat juga Samsir melihat pada barisan giginya yang kemas dan cantik. Ah! Segala-galanya pada gadis itu dirasakan sempurna. Tidak ada cacat dan celanya.

“Dulu ada orang berani macam abang. Tapi tak lama lemas tu saya dengar orang tu mati dalam bangunan ni,” kata-kata itu membuatkan Samsir tersentak. Bulat matanya memandang Jennifer.

“Ye ke?” dengan tekak separuh kering Samsir bersuara. “Apa jadi pada dia? Jennifer kenal orang tu?”

Gelengan dikepala gadis itu menghampakannya.

“Saya tak kenal dia bang. Yang saya tahu dia security disini. Dah lamalah juga.”

Mulut Samsir melopong. Pengawal keselamatan? Siapa? Fikirannya diputar-putarkan mencari jawapan. Macam pernah dengar, bisik hatinya. Siapa ya? Lama Samsir termenung. Puas benak dia berfikir namun masih juga gagal.

“Kata orang dia jatuh dari atas bangunan. Tapi saya tak tahu kenapa dan macam mana dia boleh jatuh,” tutur Jennifer lagi. Samsir angguk lagi. Menelan saja kata-kata gadis itu tanpa bernafsu lagi untuk memikirkannya.

“Tapi saya tak percaya. Lagi pun itu cuma cerita dari orang. Sepanjang saya disini tak pernah sekali pun saya terserempak dengan hantu,” akhirnya Jennifer melepaskan ketawanya. Manja dia merenung Samsir. Lelaki itu turut tergelak.

“Iyelah... cerita orang bukannya boleh percaya pun,” celah pria itu yang sememangnya bersetuju dengan pendapat Jennifer. Sekurang-kurangnya ada persamaan diantara mereka.

“Maafkan saya abang. Saya dah lambat ni. Nanti tak siap pula kerja saya,” Jennifer meminta diri. Seperti ditampar Samsir tersentak dan cepat-cepat memberi ruang bagi gadis itu berlalu. Sekejap saja Jennifer sudah hilang dimatanya. Samsir masih lagi tercegat seperti tadi. Termanggu-manggu sendiri. Rasa bahagia semakin bercambah dalam dadanya.

Samsir kemudiannya mengorak langkah. Senyum dibibirnya terus berbunga. Pertemuan sebentar tadi masih lagi terbayang. Senyum Jennnifer tidak lekang dari ingatannya. Jennifer! Nama itu meniti dalam fikirannya. Pasti dia tidak akan melupakan nama dan susuk tubuh bernama Jennifer. Ketika pintu if tertutup rapat, Samsir ketawa kecil.

 

Previous: Chapter 11
Next: Chapter 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh