Home Novel Seram/Misteri CERITA SATU MALAM
CERITA SATU MALAM
12/4/2013 08:54:45
70,189
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Chapter 11

Samsir melunjurkan kakinya seketika. Cuba menghilangkan rasa tegang. Kemudian dia mendepankan pula tangannya. Kepalanya dilentukkan kekiri dan kekanan. Tubuhnya masih lagi dikuasai dengan rasa mamai. Letihnya bagaikan tidak mahu menyisih pergi. Sejenak dia menundukkan kepalanya. Terasa berpinar-pinar untuk sesaat dua. Samsir mengeluh dengan suara yang halus.

Barangkali kerana selalu tidur disiang hari membuatkan tubuhnya begitu. Sering merasa letih dan lesu. Tidur diwaktu siang dengan malam memang jauh berbeza, fikir jejaka yang sudah pun menjangkau usia tiga puluhan itu.

Samsir mendongak memerhatikan kearah jam kecil diatas meja. Kemudian dia mengosok-gosokkan matanya. Rasa berpinar mulai kurang. Namun letihnya masih juga tidak menghindar. Kena mandi jugaklah, hatinya berbisik sendiri.

Dengan langkah lesu dia mencapai tuala dipenyidai. Lalu menghilang didalam bilik mandi. Sebentar kemudian kedengaran bunyi air mencurah dilantai. Tubuhnya yang lesu harus disegarkan semula sebelum dia masuk kerja.

“Dah nak pergi kerja ke?” Rosman sedang menonton tv diruang tamu mendongak. Memerhatikan kearahnya.

“Haah,” ringkas Samsir menjawap sambil mengendong termos.

“Tahan jugak kau ye. Kerja hari-hari. Tak ada masa nak rest,” usik Sidek sebelum mengunyah makanan ringan kedalam mulutnya.

Samsir tersengih mendengar kata-kata itu. “Nak buat macam mana. Cari makan kan. Kalau tak, tak berasap dapur tu,” sahut Samsir dengan muka selamba. Sidek dan Rosman ikut sama ketawa.

“Bila masa berasap dapur rumah kita ni? Hidup bujang, makan kat luar,” celah Rosman. “Kalau ada pun time cuti ajelah dapur berasap. Itu pun kalau Sidek ni rajin nak memasak,” sambung pemuda berambut kerinting bulat itu lagi.

Samsir tidak memberikan reaksi. Termos tadi dimasukkan kedalam bakul motor. Baju hujan juga disumbatkan sekali. Bimbang dalam perjalanan pergi atau pulang hujan turun tidak pasal-pasal. Sekurang-kurangnya dengan baju hujan tidaklah dia basah lokos. Kemudian dia duduk dimuka pintu. Memandang kearah kejiranan. Sorotan matanya kelihatan redup.

Rasa lesu masih lagi bersisa. Rasa tidak selesa. Seketika kemudian dia merengus lembut. Entah kenapa badannya seperti rasa hendak demam. Pelik, tak berhujan pun boleh demam? Samsir tidak mengerti. Kuala Lumpur pun sudah lama tidak ditimpa hujan. Panas memanjang.

Atau mungkin ada sebab lain? Hati mencongak sendiri. Fikirannya diputarkan bagi mencari jawapan.

Mungkinkah peristiwa yang dialaminya malam tadi memberi kesan pada tubuhnya? Andaian itu muncul dengan tidak semena-mena.

Lalu kejadian malam tadi disisipkan kemas didalam kotak mindanya. Masih dia ingat lagi tentang bunyi derap tapak kaki yang dia dengar. Seiring dengan bunyi tapak kasutnya melangkah. Setiap kali dia melangkah, bunyi tapak kaki itu akan muncul. Seolah-olah mengekorinya. Bila dia berhenti, bunyi itu juga mati. Sunyi dan sepi. Peristiwa itu memang aneh. Dia akui kejadian seperti itu baru pertama kali dihadapinya. Memang terasa kecut juga hatinya.

“Heh! Kau tak bergerak lagi,” sedar- sedar dia disergah dengan suara Rosman. Lambat dia menoleh kearah lelaki itu.

“Kau tak ada mood ke nak kerja?” Sidek mencelah. Seolah-olah lelaki tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Samsir tersenyum hambar. Kalau hendak diikutkan hatinya memang dia malas hendak pergi kerja malam ini. Entah kenapa hatinya terasa berat semacam. Bagaikan ada suara ghaib menghalangnya. Keluhan nipis dilepaskan tanpa disedarinya.

Tapi dia terlewat. Kalau dia hendak cuti sedari awal dia patutnya menghubungi syarikatnya untuk dimaklumkan. Ini sudah pukul berapa? Tentu tidak sempat. Dan memang satu perangainya, dia tidak suka menyusahkan orang lain semata-mata kerana dirinya. Sejak dari kecil lagi dia diajar begitu. Jangan menyusahkan orang lain. Samsir akhirnya tersenyum kelat.

“Aku gerak dululah,” ucapnya sambil berdiri. Kunci motor didalam saku seluarnya dikeluarkan. Sebentar kemudian enjin motornya kedengaran menngaum kuat sebelum hilang ditelan angin petang.

Kakitangan yang bekerja didalam bangunan Wisma Jaya berpusu-pusu keluar ketika dia masuk kedalam lobi. Gadis manis dikaunter pertanyaan juga kelihatan sedang berkemas-kemas untuk pulang. Bunyi derap kasut berlaga dengan marmar lantai kedengaran jelas. Sekejap-sekejap bunyi loceng lif kedengaran mencelah. Pintu utama bangunan sudah terbuka luas.

Samsir terkejut apabila mendapati seorang pengawal keselamatan bertubuh agak besar duduk dikerusi. Sedang leka memandang kearah kakitangan yang melintasi meja mereka.

“Dah lama abang sampai?” tegur Samsir dengan hormat. Wajah bulat lelaki itu direnungnya sejenak. Perutnya agak boroi.

“Lama jugak. Kau jaga malam ni?” soal lelaki itu. Kumis yang melintas dibibirnnya kelihatan bergerak-gerak.

Samsir mengangguk. “Dulu saya jaga dengan Mustafa. Tapi katanya dia demam. Rasanya dia masih demam lagi kot. Kalau tak, tak kan abang ganti tempat dia,” ujar Samsir. Termos diletakkan diatas meja.

“Tapi semalam saya jaga dengan Zaidi. Tapi...,” dia pelik kenapa lelaki berkumis itu yang mengambil tempat Zaidi malam ini.

Seperti dapat membaca apa yang melintas difikiran Samsir, lelaki itu tersenyum. “Zaidi tak kerja malam ni. Katanya dia pun demam. Tak boleh bangun.”

Samsir terdiam. Matanya bulat merenung lelaki didepannya itu.

Demam? Tak boleh bangun? Biar betul? Seperti patung Samsir tercegat didepan meja. Tidak menghiraukan akan kakitangan yang melintasinya. Fikirannya masih lagi terarah pada Zaidi.

“Semalam saya tengok dia...,” kalimatnya terhenti disitu. Apa yang berlaku malam tadi kembali menjelma dalam kotak fikkirannya.

“Dah lama ke kau jaga sini?” suara lelaki itu mengejutkannya. Samsir tersentak. Cepat-cepat dia mengukirkan senyumnya. Kepalanya diangguk perlahan-lahan.

“Abang dah lama ke kerja dengan Warisan Jaya?” Warisan Jaya adalah nama syarikat dia berkerja.

“Dalam setahun lebih. Tapi ini kali pertama abang kerja sini,” sahut lelaki itu dan kemudian dia memperkenalkan dirinya Kadir. Mereka berjabat tangan. Biar pun Kadir berperwatakan garang namun jelas lelaki itu murah dengan sennyuman. Hanya kumis yang lebat itu memperlihatkan akan kebengisannya. Seterusnya mereka berbual tentang diri masing-masing. Samsir akui Warisan Jaya memang mempunyai ramai pekerja. Payah untuk dia mengenali mereka semua.

“Sebelum ni abang kena jaga mana?” soal Samsir, mula terasa mesra dengan lelaki berperut boroi itu.

“Abang kena jaga kilang. Dekat Balakong.”

“Jauh tu bang.”

“Dah kena jaga kilang tu. Nak buat macam mana?” sahut Kadir sambil tersengih. Samsir angguk setuju. Ya... hendak buat macam mana. Memang sudah disitu rezekinya. Apa boleh buat. Mahu tidak mahu redha sajalah, fikir anak muda itu lagi. Apa pilihan yang dia ada?

Menginjak jam tujuh petang ruang lobi mula diterkam dengan rasa sunyi. Pun begitu Samsir tahu masih ada lagi kakitangan yang bekerja lebih masa ditingkat atas. Paling lambat pun mungkin dalam pukul sembilan atau sepuluh baru habis kakitangan yang ada disitu pulang. Lewat dari itu tidak pernah.

“Abang ronda kawasan parking boleh?” ujar Samsir. Wajahnya terpaksa dimaniskan.

Kadir diam seketika. Seperti ada sesuatu sedang berlegar dalam tempurung kepalanya. Seketika kemudian dia menganggukkan kepalanya.

“Kenapa, ada yang tak kena dengan kawasan parking?” soal Kadir sambil tersenyum. Macam memerlinya. Samsir tidak kisah samada lelaki itu mahu memperlinya atau pun mengejeknya. Tidak berbekas langsung dalam hatinya. Yang penting dia tidak mahu apa yang berlaku malam tadi berulang kembali. Serasanya dia sudah serik.

“Tak ada apa-apalah bang.”

Pun begitu Kadir tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh anak muda itu. Riak yang terzahir pada wajah Samsir seperti sedang menyorokkan sesuatu dari pengetahuannya.

“Tempat parking tu berhantu?” tidak pasal-pasal Kadir bersuara perlahan. Lama dia menatap wajah bujur sirih Samsir. Samsir pula diterkam dengan rasa serba salah. Untuk beberapa detik pria itu kelihatan teragak-agak.

Melihat keadaan pemuda yang serba salah itu, Kadir meledakkan ketawanya. Samsir melopong. Dahinya berkerut seribu.

“Biasalah,” ujar Kadir dan sejurus kemudian dia meluruskan kakinya dibawah meja. Memandang kearah lobi yang sudah pun kosong. Kemudian matanya dialihkan lagi pada Samsir.

“Cerita-cerita macam ni memang biasa sangat kita dengar,” lanjut Kadir lagi tanpa menghiraukan Samsir.

“Masa abang jaga kilang di Balakong dulu pun biasa jugak abang dengar cerita tak elok pasal kilang tu,” wajah Kadir kelihatan kendur semula. Samsir menjeling. Menanti lagi akan kata-kata lanjutan dari lelaki itu.

“Ramai yang tak berani kerja lebih masa dikilang tu. Kalau dia orang kena kerja, macam rasa berat hati.”

“Kira dia orang untunglah kerja pun cuma setakat jam sepuluh malam. Lewat-lewat pun pukul sebelas malam. Lepas tu kilang tu jadi sunyi. Macam tanah kubur,” Kadir tersengih sambil mengimbas kembali apa yang pernah dia lalui dulu. Samsir terus menanti.

“Kilang diBalakong tu memang besar. Pendek kata kalau nak meronda sampai kebelakang tu memang jenuhlah.”

“Tapi apa nak buat. Dah memang kerja kita macam tu. Nak tak nak terpaksa juga buat. Nak harapkan siapa kalau bukan kita kan?” Kadir menjeling dan Samsir hanya tersengih sambil mengangguk macam orang bodoh. Hawa dingin diruang lobi itu terus merayap dan menyentuh kulit lengan dan kulit pipinya. Terasa sejuk.

“Masa abang mula-mula masuk dulu, memang ada abang dengar cerita tak elok. Budak-budak kilang tu pun ramai yang cerita macam tu,” sejenak Kadir menelan air liurnya. Tekaknya terasa kering. Lalu air botol mineral dicapai dan ditogoknya sedikit.

“Cerita apa bang?” Samsir mencelah. Ada keterujaan bercambah dalam dadanya. Meluap-luap.

Telaga mata mereka bertemu. Kadir mengukirkan senyumnya. Pun begitu Samsir tidak mengerti kenapa lelaki itu memberikan reaksi begitu. Ada sesuatu yangt lucu ke? Hati mudanya berkocak sendiri.

“Ada yang bagitau abang budak-budak perempuan selalu histeria dalam kilang tu. Menjerit dan meracau tak pasal-pasal. Ada tu sampai berlari keluar macam orang gila.”

Samsir menelan rengkungnya sendiri.

Kembali dia teringatkan akan kampungnya. Masa dia kecil-kecil dulu memang selalu juga dia mendengar ada orang kampung yang kerasukan. Meracau dan menjerit-jerit tidak tentu pasal. Yang selalu ditimpa dengan kejadian itu ialah perempuan. Lelaki memang payah. Kata orang kampung yang pernah dia dengar, kerasukan itu mudah berlaku pada kaum hawa. Lebih-lebih lagi pada mereka yang lemah semangat. Ada juga mengatakan ianya berlaku tatkala siperempuan itu berada didalam keadaan tidak ‘bersih’. Itulah yang selalu disantakkan ketelinganya. Ketika itu dia masih kecil lagi. Lalu apa yang diterangkan padanya ditelan begitu saja. Tidak ada tapis-tapis lagi.

Ianya berlaku tidak secara mengejut, sebaliknya berperingkat-peringkat. Mulanya simangsa akan berubah sikap. Dari seorang yang periang dan ceria menjadi pendiam dengan tiba-tiba. Wajah juga sering masam dan mencuka. Tidak mudah untuk diajak berbual. Sering mengasingkan diri. Suka bersendirian dalam erti kata yang lain.

Seperkara lagi simangsa akan menjadi pemarah. Selalunya perkara-perkara remeh pun akan menjadi bahan marahnya. Muda melenting dan pantang silap sedikit. Bila ditanya simangsa akan cuba menyembunyikan sesuatu. Apabila didesak dia akan membalas dengan keras. Memang dia pernah melihatnya sendiri. Berlaku pada salah seorang ibu saudaranya. Samsir pun tahu yang ibu saudaranya yang seorang itu memang terkenal dengan sikap penakutnya yang keterlaluan. Kadang-kadang hendak kebilik air dalam rumah sendiri pun perlu berteman. Memang sikap penakutnya itu adakala menyusahkan orang, fikir Samsir lagi.

Diperingkat yang seterusnya mangsa akan mengamuk dan menjadi histeria. Menjerit dan memaki hamun sesiapa pun jua. Tidak kira siapa lagi. Malah suami sendiri pun boleh dimakinya dengan sesuka hati. Sepak terajang usah cakap. Memang biasa sangat. Ketika waktu itulah khidmat bomoh atau pun pawang amat diperlukan. Tidak ada jalan lain lagi. Soal pawang atau bomoh itu mengubat secara Islam atau tidak sudah menjadi persoalan kedua. Yang penting mangsa perlu dipulihkan dengan segera. Itulah yang sering dia lihat dan tahu.

“Habis tu macam mana tu?” dengan tidak semena-mena Samsir bertanya. Biar pun mula diasak dengan rasa takut, namun dia tidak dapat menghalang rasa ingin tahunya.

Seperti ada yang lucu, Kadir ketawa. Menampak barisan giginya yang mula berkarat. Barangkali kesan akibat kuat merokok. “Lintang-pukanglah orang lain. Ada yang terpaksa mengejar dan menangkap dia orang.”

“Tak panggil mana-mana bomoh ke?”

Kadir angguk. “Panggil jugak. Lepas tu pulih sekejap. Tak lama orang lain pulak kena. Entah... macam bergilir-gilir pulak,” lelaki berperut boroi itu tersengih lagi. “Tak habis-habisnya begitu,” sambung Kadir lagi.

“Tapi ada yang lebih menakutan dari itu,” ucapan itu membuatkan Samsir diterkam dengan perasaannya sendiri. Matanya bulat menatap wajah berisi Kadir.

“Apa dia bang?” dadanya sendiri berkocak kencang.

Senyuman dibibir Kadir menjadikan hati Samsir makin tidak keruan. Dia merasakan yang lelaki itu seperti sengaja melambat-lambatkan ceritanya.

“Apa dia bang?” sekali lagi Samsir bertanya. Kenapalah lemban sangat dia ni, rungut Samsir didalam hati.

“Yang ini selalu kena pada pengawal keselamatan malam. Kawan abang sendiri pernah melaluinya,” seketika kemudian dia berhenti lagi. Menarik nafasnya dengan panjang sebelum melepaskannya dengan perlahan-lahan. Lengannya yang diusap dengan rasa dingin dirabanya dengan tangan yang sebelah lagi.

“Abang tak pernah ke?”

Kadir geleng. “Abang kena jaga siang. Hantu tu muncul waktu malam aje.”

Samsir tersengih. Duduknya dibetulkan apabila terasa tulang punggungnya bagaikan dicucuk-cucuk. Kemudian dia berkalih semula pada Kadir.

“Hantu apa bang?” soal jejaka berusia awal tiga puluhan itu. Dalam mindanya pelbagai nama hantu dan susuk yang dibayangkan. Semuanya berdasarkan dari cerita-cerita yang pernah dia dengar sebelum ini. Kalau pontianak tentu saja perempuan berambut panjang dan berselubung putih yang tergambar dilayar fikirannya. Manakala penanggal pula hanya kepala dan tali perut saja yang melayang-layang mencari uri bayi yang baru lahir. Yang lain hantu kopek, hantu galah dan hantu stokin. Hantu stokin? Samsir tergelak didalam hatinya. Tapi memang itulah yang pernah dia dengar dari mulut kawan-kawannya dikampung dulu.

“Pernah dengar hantu pocong?” Samsir dikejutkan dengan soalan itu. Cepat-cepat dia menganggukkan kepalanya.

“Dalam kilang tu ada pocong ke bang?” biar pun tidak yakin namun perasaan itu disembunyikan saja didalam hati.

Giliran Kadir pula mengangguk. “Memang ada. Kawan abang sendiri ada menceritakan kisahnya pada abang.”

Samsir melopong lagi. Bunyi loceng dipintu lif kedengaran. Segera dia menoleh dan mendapati dia gadis berbaju kurung dan bertudung keluar. Berjalan perlahan-lahan melintasi meja mereka. Sempat juga Samsir menjeling. Tatkala mata masing-masing bertaut, bibir mereka mengukir senyum seadanya. Begitu juga dengan Kadir.

“Lawa-lawa jugak budak perempuan yang kerja kat sini ye,” sempat Kadir berseloroh. Lirikkan matanya masih lagi tertancap pada dua gadis yang baru keluar ikut pintu depan. Samsir tergelak kecil. “Patutlah kau suka kerja sini,” kini dia beralih pada Samsir.

“Hish... abang ni. Mana ada. Saya yang kena tukar kat sini. Nak buat macam mana,” bantah Samsir. Kadir ketawa galak melihat reaksi pemuda itu.

“Sambung cerita tadilah bang,” saran Samsir kemudiannya. Dia tidak mahu cerita tentang gadis-gadis yang bekerja didalam bangunan itu menjadi topik mereka malam itu. Gadis?

Ingatan Samsir melayang-layang. Segera wajah gadis manis berambut panjang dan bertahi lalat dipipi kiri terbayang dilayar fikirannya. Wajah dan susuk gadis tionghua itu menari-nari dan mengapai kearahnya. Senyum manis terukir dibibirnya. Lirikkan matanya membuatkan Samsir lemas dalam khayalanya. Kerjakah dia malam ini? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Antara sedar dengan tidak rasa rindu mula membenih dan bercambah dikolam hatinya. Teringin benar dia melihat dan menatap wajah gadis yang masih belum diketahui namanya itu. Dia memang rindu dengan lirikkan mata gadis itu. Menikam dan mempu membuat jantungnya berdegup kencang. Suaranya halus dan bergermersik membuatkan dia dibuai rasa seronok. Apatahlagi diserikan lagi dengan senyum gadis itu yang sentiasa nampak menawan pada penglihatannya.

“Kawan abang pun tak berani nak jaga kilang tu malam-malam. Tapi nak buat macam mana. Tak ada siapa yang nak gantikan tempat dia. Yang sebetulnya tak ada sesiapa pun sudi nak gantikan tempat dia,” Samsir terkejut lagi. Kembali dia memberi perhatian pada cerita yang sedang disampaikan oleh Kadir.

“Habis tu, kawan abang tu buat apa? Dia berhenti kerja?” sampuk Samsir tidak pasal-pasal. Kadir ketawa gelihati. “Engkau gila ke? Kalau dia berhenti dia nak makan apa anak beranak. Lagi pun sekarang ni bukannya senang nak cari kerja,” sahut Kadir. Samsir tersengih bodoh.

“Habis tu dia buat apa bang?”

“Kerjalah jugak.Tapi apa yang abang tahu dia tak keluar meronda selepas tengah malam. Nasiblah kalau ada penceroboh nak masuk pun. Dia tak peduli. Tapi nak keluar meronda macam dulu memang tak adalah.”

“Apa yang berlaku sebenarnya bang?”

“Dia jumpa pocong dikawasan kilang tu.”

Dada Samsir berdebar-debar lagi. Kecut perutnya ketika itu. Fikirannya membayangan susuk tubuh yang berbungkus putih diseluruh badan. Melompat-lompat ditengah malam.

“Dia biasa buat rondaan seorang diri. Mulanya tak ada apa-apa. Semuanya macam biasa. Tapi pada satu malam masa dia tengah meronda dia kata hatinya tak sedap. Ada sesuatu yang tak kena.”

Samsir angguk. Menanti cerita yang bakal disampaikan oleh Kadir.

“Kawasan kilang tu pulak besar. Nak kena meronda sampai belakang. Mahu tak mahu terpaksa jugaklah dia buat. Walau pun hati dia tak sedap, dia tetap meronda sampai kebelakang kilang.”

Samsir menelan air liurnya sendiri. Rasa gundah gulana membadai perasaannya.

“Bila dia tengok keadaan belakang kilang okay, dia berpatah semula. Masa itulah hatinya makin tidak sedap.”

Samsir terus memasang telinganya dengan hati yang berdebar-debar.

“Dia rasa macam ada orang ikut belakang dia,” sambung Kadir dengan wajah yang serius. Sesekali dahinya berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Tapi bila dia toleh, tak ada sesiapa pun.”

“Dia kena jaga sorang je bang?” soal Samsir, mencelah.

Kadir geleng dan menjawap “Tak. Berdua. Tapi yang seorang lagi duduk dalam post. Dia orang bergili-gilir ronda.”

“Oh...,” mulut Samsir melopong.

“Lepas tu dia berjalan lagi. Sekali lagi dia rasa macam ada orang ikut dari belakang,” lanjut Kadir lagi. Samsir mendiamkan diri.

“Bila dia tak puashati dia tunggu sekejap. Manalah tahu buatnya ada pencuri dah masuk kedalam. Tapi tak ada jugak. Tempat tu sunyi aje. Malam tu pula berangin. Macam nak hujan,” sejenak Kadir menelan air liurnya sendiri. Entah kenapa tekaknya terasa kering dengan tiba-tiba.

“Setiap kali dia berjalan diaa terasa macam ada orang ikut dia dari belakang. Tapi bila dia berhenti tak ada apa-apa pun,” sambung Kadir lagi.

“Tak lama lepas tu dia dengar bunyi,” untuk sesaat Kadir membisu. Membuatkan Samsir diterkam dengan rasa gelisah.

“Bunyi apa abang?”

“Bunyi sesuatu diatas lantai.”

Samsir mengerutkan dahinya. “Bunyi atas lantai? Bunyi tapak kasut?” jejaka bertubuh sederhana itu cuba meneka.

Kadir geleng. “Bukan bunyi tu. Tapi bunyi sesuatu yang bergolek.”

“Bergolek?” garis-garis kerut didahi Samsir makin ketara. Binggung.

“Bila dia toleh kebelakang dia nampak benda berbungkus putih tu bergolek dan berhenti dikakinya,” bulu roma Samsir berdiri sendiri dengan tiba-tiba.

“Lepas tu apalagi. Terus dia cabut. Seminggu demamnya tak kebah-kebah. Tak boleh bangun. Sudahnya kena panggil pawang juga. Katanya kena badi. Tak lama lepas tu barulah dia pulih. Tapi sejak dari peristiwa tu dia jadi trauma. Tak berani lagi hendak berjalan sorang-sorang. Selalu dia minta tukar jaga tempat lain. Tapi tak dapat. Yang abang tahu dia tak pernah lagi nak meronda sampai kebelakang. Setakat jengah dari jauh aje. Lepas tengah malam langsung dia tak keluar dari post. Yang lain-lain macam tu jugak. Masing-masing tak berani. Takut terserempak dengan pocong tu,” Kadir mengakhiri ceritanya. Samsir dijelingnya dengan ekor mata.

 

Previous: Chapter 10
Next: Chapter 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh