Rosman terkocoh-kacah masuk kedalam bilik Samsir. Jeritan rakan
serumahnya itu menarik perhatiannya tatkala dia sedang membancuh kopi didapur. Kenapa dengan mamat ni sorang,
bisik hatinya. Cemas.
Rosman memegang dan terus mengoncang kaki Samsir yang kelihatan
sedang mengeliat resah diatas tilam. Mulut Samsir tidak henti-henti menyebut
satu nama yang cukup asing pada pendengaran Rosman.
“Sam! Sam! Kenapa dengan engkau ni!” bimbang dia melihat perlakuan
rakannya itu seperti lembu yang hendak disembelih. Meronta-ronta. Tubuhnya juga
berpeluh. Selimut sudah tercampak hingga kehujung kaki.
“Sam! Hoi... bangunlah!” makin kuat dia mengerakkan kaki sahabatnya
itu.
Samsir membuka matanya. Pantas dia bangun dan bersandar sambil
matanya diliarkan kesana dan kemari. Bingung.
“Kau ni kenapa?” soal Rosman dengan suara yang agak kasar. Tidak
pernah Samsir berkelakuan begini. Tidurnya meracau-racau.
Samsir meraup wajahnya yang berminyak dengan tangan. Nafasnya dihela
dengan panjang. Fikirannya dikerahkan untuk berfikir. Mengimbas kembali apa
yang baru dilaluinya tadi. Ternyata agak sukar.
“Apa pasal kau ni? Kau mimpi apa?”
“Huh?” dengan wajah keliru Samsir membalas pandangan Rosman.
“Siapa yang kau sebut tadi?”
“Huh?” sekali lagi Samsir tersentak. Peluh yang melekat didahinya
diseka lagi dengan tangan. Rosman memerhatikan keadaan bilik tidur temannya
itu. Pakaian kotor Samsir berlonggok dalam bakul disudut bilik. Majalah hiburan
dan misteri bersepah diatas lantai. Tempat ubat nyamuk terletak diatas lantai
tidak jauh dari katil. Langsir yang menutup kamar sesekali terselak ditiup
angin dari luar. Kemudian Rosman berkalih semula pada Samsir.
“Kau sebut nama siapa tadi?” soalnya lagi.
“Huh? Nama. Nama siapa?” Samsir yang dikuasai mamai bertanya dengan
dahi berkerut seribu. Ada ke dia menyebut nama seseorang tadi? Mindanya
diputar-putarkan lagi.
“Nama apa? Kau dengar ke?” dia menagih jawapan dari Rosman.
Rosman tersenyum sumbing seolah-olah sedang menyindirnya. Lalu
punggungnya dihenyakkan diatas tilam. Duduk dihujung katil. “Apa pulak aku tak
dengar. Kuat kau menjerit dan menyebut nama perempuan tadi. Siapa dia?”
Sekali lagi Samsir meraup wajahnya yang masih lagi berminyak. Kipas
yang berputar diatas meja disebelah katil ternyata gagal mendinginkan tubuhnya.
Kulit badannya dirasakan melenggas. Rimas.
“Aku sebut nama siapa?” dia gagau lagi. Apa yang dialaminya tidak
dapat diingatinya. Kenapa dengan aku ni, akhirnya dia merungut sendiri.
Romannya tampak keruh seperti bermasalah.
“Jennifer. Siapa dia?” senyum dibibir Rosman bertambah sumbing.
Samsir tersentak. Bulat matanya memandang Rosman. Dadanya berdebar.
“Betul ke aku sebut nama dia?”
Rosman angguk. Siapa Jennifer masih menjadi tanda tanyanya. Teringin
juga dia hendak tahu siapa gadis yang merasuk fikiran rakannya itu hingga
tidurnya meracau. Tentu istimewa, fikir Rosman lagi.
“Siapa Jennifer tu?” desak Rosman apabila melihat Samsir seperti
tenggelam dalam fikirannya.
“Huh?” Samsir mendongak.
“Buah hati baru kau ke?”
Samsir merenung kolam mata Rosman. Pun begitu bibirnya terus
terkunci rapat. Tubuhnya digigit dengan rasa lesu. Tangannya mengosok-gosok
rambutnya yang bersimpang siur. Masih gagal mengingati apa yang dimimpikannya
tadi. Namun nama Jennifer meniti difikirannya apabila disebut oleh Rosman tadi.
Apa yang aku mimpi tadi? Benarkah aku mimpi tentang Jennifer
sehingga terbawa-bawa dalam igauan?
Sedar-sedar bahunya disenggul. Rosman masih lagi tersenyum nakal.
“Awek baru kau ke? Jennifer? Orang putih ke?” Samsir tidak pasti apakah
pertanyaan itu ikhlas atau pun sindiran.
“Bukanlah,” sahut Samsir pendek. Tidak bernafsu untuk melayani rakan
serumahnya itu.
“Habis tu... sampai sebut-sebut nama perempuan tu. Tak kan tak ada
apa-apa,” luah Rosman lagi yang sememangnya tidak percaya dengan jawapannya.
Samsir diam. Galak matanya memerhatikan ruang bilik yang bersepah
itu. Kemudian dia bingkas bangun dan mencapai tuala mandi dipenyidai.
“Aku mandi dululah. Letih,” ucapnya sambil meninggalkan Rosman yang
terkulat-kulat sendiri.
Didalam kamar mandi, Samsir membiarkan tubuhnya disirami air.
Fikirannya masih lagi terarah pada mimpi yang gagal dia ingati. Benarkah dia
bermimpi tentang Jennifer? Apa yang berlaku? Puas dia mengerahkan fikirannya
namun berterusan juga dia gagal. Kenapa susah pulak aku nak ingatkan mimpi aku
sendiri? Kali ini dia betul -
betul merasa aneh. Apa-apa sajalah, akhirnya dia mengalah.
Usai mandi dia mengenakan pakaian. Kemudian dia keluar setelah siap
dengan seragamnya. Aroma kopi meyerbu hidungnya tatkala dia masuk keruang
dapur.
“Sidek mana?” soalnya apabila kelibat rakannya yang seorang lagi
tidak kelihatan. Malah suaranya tidak kedengaran.
“Overtime. Dekat-dekat Maghirb karang baru balik,” sahut Rosman.
Karipap ditangannya disuapkan kedalam mulut.
“Mana kau beli karipap ni?” Samsir menarik kerusi dan duduk.
“Depan sana,” kata Rosman merujuk pada penjaja yang menjual kuih
muih didepan taman perumahan mereka. Samsir tidak bersuara lagi. Dia turut sama
menikmati hidangan petang yang tidak seberapa itu. Hidup bujang seperti mereka
tidak perlu cerewet. Makan apa yang ada. Jangan hendak banyak sangat bunyi.
Hampir jam lima dia meminta diri. Dia perlu cepat keluar dari rumah.
Jika tidak alamat tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
Ketika dia sampai, pegawal keselamatan waktu siang masih ada disitu.
Samsir meletakkan termos air diatas meja. Ruang lobi itu tidak putus-putus
dengan manusia. Masing-masing sibuk dengan haluan sendiri. Bunyi loceng lif
juga kerap kedengaran. Berpusu-pusu kakitangan yang bekerja didalam bangunan
itu keluar. Ada yang menuju kekawasan letak kenderaan ditingkat bawah. Ada juga
yang bergegas menuju kepintu itu.
“Kau dah cucuk?” Samsir tersentak apabila pengawal keselamatan yang
masih belum pulang itu bertanya.
“Cucuk?” rasa tidak mengerti memaksa dia bertanya.
“Kan hari ni gaji dah keluar. Kau dah cucuk kad belum?”
Samsir ketawa kecil. “Belum lagi bang. Saya pun belum singgah opis
lagi. Menjadi kebiasaan dia akan kepejabat Warisan Jaya untuk menanda tangani
slip gaji yang diterimanya setiap bulan.
“Sain tu esok lusa pun boleh,” ungkap lelaki bertubuh rendah itu.
Kemudian dia tersenyum.
“Tengoklah bang. Balik kerja nanti saya pergi tengok,” jawap Samsir.
Kadir muncul tidak lama kemudian. Nampak tergesa-gesa. Pengawal
keselamatan siang sudah pulang.
“Lambat bang hari ni?” tegur Samsir.
“Pergi bank dulu,” sahutnya Kadir sambil tersengih. Samsir angguk.
Belakang tengkuknya digosok-gosok dengan tangan. Entah kenapa urat dilehernya
terasa tegang.
Beberapa detik kemudian dia menoleh kearah Kadir. Ada sesuatu yang bermain
didalam fikirannya. “Mustafa tak masuk kerja lagi ke? Dah berapa hari dia
cuti,” perlahan dia berkata. Kadir menoleh.
“Entah... abang tak tahu. Sakit lagi kot?”
Samsir sendiri tidak mampu menjawap soalan itu. Memang dia tidak ada
masa untuk mengambil tahu tentang rakan sejawatanya itu. Paling akhirnya yang
dia dengar lelaki itu demam dan tidak mampu bangun. Terpaksa mengambil cutinya
tergesa-gesa. Lepas itu dia tidak dengar apa-apa pun tentang Mustafa. Begitu
juga dengan Zaidi. Dia hanya sempat bekerja dengan pemuda itu semalam saja.
Lepas itu dia tidak lihat bayang Zaidi lagi. Apa yang dia tahu lelaki itu turut
demam tidak kebah-kebah. Samsir menghelakan nafasnya dengan panjang.
Semua ini gara-gara gangguan yang mereka terima. Tidak ada lain.
Mustafa ada mengadu padanya yang dia ada terdengar bunyi tapak kaki dan bunyi
pintu terhempas kuat. Manakala Zaidi pula mengatakan yang dia ada terdengar
suara orang bercakap dikawasan tempat letak kenderaan. Tapi tak kanlah sampai
demam tidak sembuh-sembuh, rungut Samsir didalam hati.
“Abang ada dengar apa-apa ke pasal bangunan ni,” tidak semena-mena
dia bertanya.
Perlahan Kadir menoleh.
“Ada budak-budak kita cerita pasal bangunan ni berhantu?”
Kadir menjuihkan bibirnya. “Tak ada pulak. Kenapa?”
Samsir termenung. “Taklah. Tapi Mustafa dan Zaidi pernah mengadu
pada saya yang dia orang pernah kena kacau,” lalu Samsir menceritakan apa yang
berlaku pada kedua-dua lelaki itu.
“Yelah... abang baru je kat sini. Tak banyak yang abang tahu. Lagi
pun tak ada sesiapa pun yang cakapkan benda ni dengan abang,” jawapan itu
membuatkan Samsir kecewa.
“Tapi malam semalam Jennifer ada cerita dengan saya. Macam-macam
hantu ada dalam bangunan ni.”
“Jennifer? Siapa tu?” riak hairan terzahir pada wajah Kadir.
Sesaat Samsir tersengih. Kulit mukanya merona merah. Menahan malu
sendiri. “Err...,” dia tidak tahu apa hendak dijawapnya. “Ada pekerja ditingkat
empat cakap dengan saya.”
“Kau kenal ke? Macam mana boleh tersangkut kat tingkat empat ni,”
ada senyum perli berbunga dibibir Kadir.
“Tak adalah bang,” Samsir berusaha menyembunyikan perasaannya. “Dia
selalu kerja malam. Selalu juga terserempak dengan dia. Kenal dekat situlah.”
“Oh...,” mulut Kadir melopong. Matanya dilirikkan pada sekumpulan
pekerja yang baru keluar dari perut lif. Masing-masing nampak tergesa-gesa.
Tiga orang lelaki kelihatan sedang berbual disudut bangunan. Nampak rancak.
Dikaunter pertanyaan dua gadis yang bertugas disitu kelihatan bersiap-siap
untuk pulang.
“Padanlah kau suka meronda tingkat atas,” perli Kadir lagi. Kemudian
dia ketawa agak kuat. Samsir ikut tersengih. Malunya tidak dapat ditahan lagi.
“Jennifer cakap dengan saya dulu ada security jatuh dari bangunan
ni,” topik tadi disambung lagi. Lama Kadir memandang Samsir. Ada riak terkejut
terpamer pada wajahnya.
“Bunuh diri ke?”
Samsir menjungkitkan bahunya. “Tak pasti bang.”
Kadir melepaskan nafasnya dengan panjang. “Abang pun tak tahu pasal
ni Memang tak ada orang bercerita benda ni pada abang,” keluh lelaki itu. Masih
banyak cerita tentang Wisma Jaya yang tidak diketahuinya. Cerita-cerita tidak
sedap pula tu, keluh hatinya lagi.
“Sekarang ni pun ramai yang bunuh diri,” Kadir mengomel sendiri.
Pandangannya dihalakan kearah luar melalui dinding kaca bangunan. Keadaan
diluar masih sesak dengan kehidupan yang bertali arus. Semuanya nampak sibuk.
“Kau nak tahu? Kes bunuh diri di Malaysia ni dah jadi kes kedua
terbesar selepas penyakit kardiovaskular. Kalau diikutkan statistik enam orang
bunuh diri dalam tempoh sehari. Dua ribu lima ratus kes setiap tahun. Bukan
main-main tu,” sambung Kadir lagi dengan riak wajah yang agak tegang.
“Fuyooo... macam mana abang tahu?” terkejut Samsir dengan maklumat
itu.
Kadir tersengih menampakkan barisan giginya yang sudah mula
berkarat.
“Dalam surat khabar kan ada tulis,” sahut Kadir. “Kan penting
membaca tu,” lanjut lelaki itu lagi. Samsir tidak memberi komen. Tapi apa yang
dikatakan itu memang benar. Cuma dia saja yang memang termasuk dalam kategori
malas membaca. Sejak dari sekolah dia begitu. Bila sudah menjangkau umur
barulah terasa susah hendak hidup. Padan dengan muka aku, dia mentertawakan
dirinya sendiri.
“Tapi saya memang tak tahu budak tu bunuh diri ke apa?” dia kesal
kerana terlupa hendak bertanyakan sebabnya pada Jennifer malam tadi. Hendak
ingat macam mana, asyik sangat dia menikmati kecantikan milik gadis itu
membuatkan dia lupa segala-galanya.
“Takut-takut dia ada hutang dengan ah long ke. Kita mana tau masalah
orang kan?” Kadir memberikan pendapatnya.
“Masalah cinta ke,” sambung lelaki itu lagi.
Samsir ketawa. “Tak kanlah putus cinta pun nak bunuh diri bang.
Macam bodoh sangat rupanya,” celah pemuda itu. Sukar hendak percaya.
“Eh... jangan cakap macam tu Sam. Bukan tak ada kan? orang bunuh
diri kerana cinta. Kan ke cinta itu buta?”
Dalam diam-diam dia akur dengan kata-kata Kadir. Memang bukan lagi
mustahil. Cuma dia merasakan tidak ada kewajarannya bertindak begitu. Lagi pun
dalam Islam berdosa besar.
“Hish... minta-minta dijauhkan bang,” Samsir mengeletar ketakutan.
Biar pun dia bukannya alim sangat, namun dia masih tahu akan batas-batasnya.
“Dosa bang,” spontan Samsir menjawap.
Kadir tersengih. “Eloklah kau tahu.” Kemudian mulut masing-masing
terkunci rapat. Ruang lobi yang besar itu mula kosong. Sebentar lagi remang
senja akan berlabuh menandakan malam akan muncul menghiasi tabir langit.
“Tapi bang cerita Jenifer semalam macam saya pernah dengar,”
perlahan dia bersuara. Rakannya yang berperut gendut menoleh.
“Kau pernah dengar?”
Samsir angguk.
“Dimana?”
“Tu yang saya tak pasti bang. Tapi memang saya pernah dengar dulu.
Tak ingat dimana,” luah Samsir dengan kesal. Kalaulah dia dia boleh ingat
dimana.
Jarinya dipetik dengan tidak semena-mena. Wajahnya berubah. Nampak
teruja. Kadir diam dan sekadar memerhatikan saja gelagat lelaki muda itu.
“Baru saya ingat bang!” dia separuh menjerit.
“Apa yang kau ingat?”
“Mus!”
“Mus?”
Ada senyum terpahat dibibirnya. “Ya... Mus. Mustafa. Dia pernah
ceritakan pada saya ada budak jatuh dari bangunan. Karim.”
Kadir keliru. Karim? Karim mana pula ni? Pertanyaan itu hinggap
kedalam benaknya.
“Ya... Karim yang jatuh dari bangunan ni. Katanya dibunuh.”
Kadir menelan rengkungnya. Terasa perit. Kerongkongnya juga terasa
kering. Cepat-cepat dia mencapai kopi yang sudah pun suam didalam cawannya.
Laju dia menghirup hingga tidak bersisa langsung.
“Bunuh? Kau biar betul Sam,” sergah Kadir. Kata-kata Samsir tadi
mampu membuat hatinya cuak dengan tiba-tiba.
“Macam tulah yang saya dengar bang. Kenapa? Tak percaya ke?”
Kadir membisu. Sememangnya dia sukar untuk menjawap soalan itu.
Hatinya berbelah bagi. Mungkin betul, mungkin hanya rekaan saja, bisik hatinya.
Entah dia tidak pasti.
“Bunuh? Bunuh macam mana tu?”
Samsir menjungkitkan bahunya. “Tak tahulah bang. Saya sendiri pun
tak tahu sangat cerita yang sebenarnya.” Sahut Samsir. Jauh didalam hatinya dia
memang teringin sangat tahu apakah yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Tentu
ada sesuatu, fikir anak muda itu lagi. Kedua-dua lelaki itu termenung jauh
sudahnya. Lobi itu kembali dipeluk sepi.