Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,875
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

Restoran Bonda, Kuala Lumpur.

Farish hanya mampu menjeling melihat gelagat tidak tahu malu ibu tirinya. Hatinya dalam diam mendidih, bila-bila masa boleh meletus jika dia tidak mampu menahannya. Nazira turut diam. Dia masih berkira-kira untuk memberitahu ayahnya mengenai keinginannya. Risau jika ayahnya turut menolak permintaannya.

“Eh, kenapa dengan kamu berdua ni? Pesanlah sesuatu,” tegur Tuan Andrian pada kedua anaknya.

Farish mencapai buku menu kasar. Dia menyelak. Sempat juga anak matanya menjeling kearah ibu tiri yang asyik bercermin.

“Nazira... Kenapa ni? Ayah tengok Zira macam ada masalah je,” ujar Tuan Andrian. Wajah anak bungsunya itu dipandangnya.

“Tak ada apa-apalah ayah,” jawab Nazira. Dia masih gerun untuk berterus terang. 

Disebelah, Farish melambai kearah seorang pelayan. Terkocoh-kocoh pelayan tersebut menghampiri.

“Ya encik?”

“Bagi saya nasi ayam. Air pula milo ais,” pinta Farish. Dia menoleh memandang adiknya, yang masih terkial-kial.

“Aaa... Saya pun sama,” ujar Nazira. Dia tidak mampu untuk berfikir. Otaknya seolah jammed.

Pelayan tersebut pantas menulis pesanan tersebut diatas sekeping kertas kecil.

“Awak pula nak makan apa?” tanya Tuan Andrian pada isteri barunya, Sofia.

“Tak naklah. Apa kelas makan di tempat macam ni.”

Farish menjeling tajam. Sakit benar hatinya akan sikap mengada wanita yang berumur muda dua tahun darinya itu.

“Kalau macam tu, saya pun sama macam anak-anak saya. Nasi ayam tetapi air kopi,” ujar Tuan Andrian pada pelayan.

Pelayan tersebut berlalu membawa buku menu. Suasana kembali dingin. 

“Sayang... I nak makan di tempat yang ada aircond. Tempat ni panaslah,” rengek Sofia. Dia bagaikan tidak peduli akan beberapa pasang mata yang sedang memandangnya.

“Mana ada panas dekat sini. Kan ada kipas,” balas Tuan Andrian sambil menunjuk kearah beberapa buah kipas yang ada.

“Sayang...”

“Setakat panas macam ni pun tak boleh tahan, entah macamana pula panas di neraka nanti,” sampuk Farish tanpa memandang Sofia.

Sofia mendengus kasar. Sakit benar hatinya akan anak tirinya itu. Ingin saja dia menampar wajah lelaki itu.

“Dahlah. Takkan nak bergaduh disini pula? Malulah orang tengok,” tegur Tuan Andrian. Masak benar dia akan perangai keduanya. Saling suka menyindir.

Nazira diam. Tidak sedikitpun dia berani untuk menyampuk. Sesekali dia memandang telefonnya yang gelap.

“Nazira... Dari tadi diam. Kenapa ni?” tanya Tuan Andrian. Dia tahu jika anak perempuannya itu mempunyai masalah.

Nazira memandang abangnya sekejap. Air liur ditelan. 

“Erm... Nazira sebenarnya...” 

Tuan Andrian tenang menunggu.

“Ayah, boleh tak kalau Nazira ke...”

Nazira diam lagi. Risau jika abangnya yang ada disebelah melenting dan mengamuk. Silap haribulan meja yang ada terbelah dua.

“Nazira nak kemana? Bercuti ke?”

Farish mula menggerakkan kepalanya memandang Nazira. Dia kembali kecut, lebih kecut dari asam keping.

“Tak ada apa-apalah ayah. Lupakan je.”

Tuan Andrian melepaskan keluhannya. 

Makanan dan minuman yang dipesan akhirnya tiba. Farish mula meneguk air liur, terliur dengan hidangan nasi ayam yang masih panas. Begitu juga dengan air milo ais yang berpeluh, tampak puas jika diminum, membasahkan tekak yang mula kering.

Dalam pada masa yang sama, Sofia mencebik geli. Dia geli dengan sos nasi ayam yang terlihat berlendir. Air milo ais pula baginya terlalu murahan, tidak layak untuk diminum oleh orang sepertinya.

“Eww... Sayang, I pergi dululah ya? I dah tak sanggup nak lama-lama dekat sini.”

“Nak kemana?” tanya Tuan Andrian.

“Mana-mana pun boleh. Alah, nanti I call you.”

Sofia keluar dari restoran dengan tergesa-gesa. Tidak kuasa dia hendak melayan semua itu. Terlalu murah.

Tuan Andrian hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia sedikit kecewa dengan sikap isteri barunya.

“Kenapalah ayah boleh kahwin dengan manusia macam tu? Dah tak ada perempuan yang lagi baik ke?” sindir Farish.

Tuan Andrian diam. Sindiran anak lelakinya membuatkan dia kembali teringat akan perkahwinannya dengan wanita berumur 26 tahun itu. Heboh satu syarikat tatkala dia mengagihkan kad undangan.

Manakan tidak, dirinya sudah pun berumur 60an, sudah pasti dirinya akan diperkatakan sebagai seorang lelaki yang tidak sedar diri. Namun dia tidak mampu hendak menolak jodoh yang sudah ditentukan Tuhan. Dia akhirnya berkahwin dengan wanita layaknya anak sendiri.

“Ayah...”

Tuan Adrian kembali tersedar dari lamunan. Dia terpisat-pisat seketika.

“Ayah fikir apa?” tanya Farish. Sesuap nasi dimasukkan kedalam mulut, mengunyah tanpa bunyi.

“Tak ada apa. Makanlah. Nanti sejuk tak sedap pula,” balas Tuan Andrian.

Ketiganya kembali mendiamkan diri. Nasi ayam dijamu dengan penuh selera, memenuhkan kantung perut yang tadi berkurang.


Pusat membeli belah 1Utama, Kuala Lumpur.

Perjanjian telah diatur. Sofia mempercepatkan langkah. Dia ingin menemui seseorang yang dirinduinya. Yang pasti itu bukanlah suaminya.

Matanya mula liar mencari empunya tuan. Akhirnya dia tersenyum tatkala melihat seorang lelaki yang cukup dikenalinya.

Dengan langkah yang yakin, dia menghampiri lelaki itu. Senyumannya diukir lebar, sekaligus menarik perhatian beberapa orang lelaki miang. Maklumlah, dengan warna gincu merah terang yang dipakainya, mana mungkin makhluk ciptaan Tuhan tidak akan memandangnya.

“Sayang...”

Andhika mengangkat kepalanya. Senyuman lebar dilempar. Dia bangun lalu memeluk Sofia erat. Lagaknya tidak lebih bagaikan sepasang suami isteri yang sudah lama tidak bertemu.

“I miss you, sayang,” ucap Sofia manja.

“I miss you too,” balas Andhika.

Keduanya mula melabuhkan punggung. Beg tangan milik Sofia pula diletak diatas meja.

“You apa khabar? Lama tak jumpa you depan-depan,” ujar Sofia. Wajah Andhika ditatapnya.

“Okay je. Maklumlah, siapalah I ni kan? Macam pungguk rindukan bulan.”

Sofia ketawa kecil. Hidung Andhika sempat dicuitnya.

“Oh ya sayang, I ada hadiah untuk you.”

Sofia menyeluk beg tangannya. Andhika hanya diam menunggu. Sudah menjadi kemestian untuk dirinya mendapat hadiah setiap kali Sofia ke luar negara. Hadiahnya pula tidak alang-alang, selalu mahal dan terlihat mewah.

Sebuah kotak kecil dan panjang dikeluarkan dari dalam beg tangan. Adhika mula teruja. Entah hadiah apa lagi yang diperolehinya.

“Ini untuk you,” Sofia memberikan kotak berbungkus itu.

“Boleh tak I buka?” pinta Andhika. Sofia hanya mengangguk.

Dengan pantas, Andhika membuka hadiah tersebut. Dia benar-benar teruja.

Jenama jam tangan mewah membuatkan mata Andhika terbuntang luas. Dia terkejut, tidak menyangka jika hadiahnya ada seutas jam tangan yang cukup mahal.

“Jam ni I hadiahkan untuk you,” ujar Sofia. Dia mencapai jam tangan tersebut lalu memakaikannya untuk Andhika yang masih terkejut.

“Serius ni untuk I?” Andhika masih tidak percaya. 

“Ya. Ini memang untuk you. Kenapa? You tak suka ke?”

“Tak suka apanya? I memang suka dengan jam ni. Suka sangat-sangat.”

Sofia tersenyum puas. Dia gembira jika lelaki itu juga gembira.

Andhika masih membelek jam tersebut. Dia masih tidak percaya jika dirinya sudahpun mendapat seutas jam tangan yang begitu mahal.

“Thank you sayang. Sebab inilah I makin sayang dekat you,” ujar Andhika. Dia tersenyum lebar.


Bangunan Alpha, Kuala Lumpur.

Farish menyimpng masuk kedalam pejabatnya meninggalkan ayahnya bersama dengan Nazira. Dia terasa mengantuk, mungkin sebab keenakan nasi ayam yang telah memenuhkan perutnya. Sofa yang ada mula dibaringi, merehatkan seluruh anggota badannya.

“Astaghfirullahalazim... Bertuah betul budak ni,” ucap Tuan Andrian sebaik masuk kedalam pejabat anaknya. 

Nazira hanya menurut dari belakang.

Farish tidak mempedulikan ayahnya. Matanya kini ditutup rapat.

“Eh Farish, bangun. Tak baik tidur lepas makan,” tegur Tuan Andrian.

“Ayah, bagilah Farish tidur sekejap,” jawab Farish.

“Amboi, banyak cantik muka. Dah bangun, pergi cuci muka. Jangan bagi contoh tak baik pada pekerja tau.”

Tuan Andrian meminta Farish untuk bangun. Mahu tidak mahu, Farish terpaksa menurut. Dengan langkah yang longlai, dia melangkah menuju ke tandas. Kot yang dikenakan sempat dibuka dan diletak diatas meja.

Kesempatan itu diambil Nazira. Memandangkan abangnya tiada disitu, dia mula memberanikan diri untuk bersuara.

“Ayah...”

“Ya sayang?” Tuan Andrian memandang Nazira.

“Boleh tak kalau Nazira ikut kawan Nazira bercuti?”

Tuan Andrian mengerutkan dahi.

“Bercuti kemana?”

“Mereka kata ke Bario.”

“Bario? Ermm, bukannya di Sarawak tu ke?” Tuan Andrian meminta kepastian. Nama Bario seperti pernah didengarnya.

Nazira mengangguk. Hatinya berdebar menunggu jawapan ayahnya.

“Lama ke?” tanya Tuan Andrian.

“Tak. Seminggu je.”

Tuan Andrian mengangguk. Dia diam. Nazira semakin berdebar.

“Macamana ayah? Boleh tak kalau Nazira ikut mereka? Lagipun mereka kata dekat sana ada pokok epal.”

“Pokok epal? Epal tumbuh ke di Malaysia ni?” Tuan Andrian hairan.

“Mereka kata disana ada pokok epal. Tapi buah dia taklah besar mana,” beritahu Nazira. Dia masih tegak berdiri.

Tuan Andrian mula memikirkan keinginan anak perempuannya. Sekejap dia memandang anaknya yang sabar menanti jawapannya.

“Boleh tak ayah?”

“Nanti malam ayah beri jawapan. Ayah nak bincang dulu dengan abang dan mama kamu,” jawab Tuan Andrian.

Abang? Mampus aku. Mesti dia akan cerita yang tempat tu ada hantu, getus hati Nazira. Dia tampak tidak gembira.

“Kenapa Nazira? Ada apa-apa ke?” tanya Tuan Andrian lagi.

“Tak ada apalah ayah.”

Diketika itu Farish masuk dengan wajah yang basah. Sengaja dia tidak mengelap wajahnya.

“Lailahaillah. Dah kenapa muka tu tak dilap? Habis dah tisu ke di tandas?” ujar Tuan Andrian. Geram juga dirinya akan sikap kebudak-budakan Farish.

“Sengaja ayah. Biar sejuk,” jawab Farish.

Farish menoleh kearah Nazira. Nazira menelan air liur.

“Kenapa ni yah? Ada apa-apa ke?” tanya Farish pula. Dia seperti dalam mencium sesuatu.

“Ni ha adik kamu nak ke...”

“Ayah, Zira balik dulu ya? Jumpa dirumah nanti. Bye!”

Tuan Andrian kehilangan kata-kata. Terkebil-kebil dirinya melihat anak perempuannya yang meminta diri mendadak. Seolah ada yang ditakutkannya. Begitu juga dengan Farish. Dia hairan dengan adiknya.

“Kenapa dengan Zira tu ayah? Tertelan tahi tikus ke?” tanya Farish. 

“Ish, apa kamu ni kata Nazira tertelan tahi tikus. Tak baik tau,” tegur Tuan Andrian. Farish hanya tersengih.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail