Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,875
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 10

Hutan Bario, Sarawak.

3.47 petang.

Hentakan yang kuat membuatkan Nazira mengerang kesakitan sebaik terhantuk akan kerusi depan penumpang. Dia meraba dahinya, ada darah yang mengalir sedikit. Dengan erangan kesakitan, dia memandang Andhika yang masih duduk tidak sedarkan diri disebelahnya. Pandangannya sekejap kabur. Kepalanya turut pusing.

Cuaca semakin gelap. Dengan tenaga yang tersisa sedikit, dia membuka tali pinggang keselamatan. Kakinya memijak kerusi penumpang hadapan agar dirinya tidak terjatuh ke hadapan. Pesawat yang mereka naiki kini menjunam tegak menyandar pada dinding gaung dimana muncung hadapan pesawat sudahpun mencium lantai hutan.

“Dhi...”

Nazira mencuba untuk menyedarkan kekasihnya. Pipi lelaki itu ditepuk berkali-kali.

Selang beberapa detik, akhirnya Andhika mula sedarkan diri. Dia kehilangan banyak darah menyebabkan dia merasa pening dan lemah. Wajah Nazira yang terlihat kabur mula diperiksanya.

“Nazira...”

Nazira mengukir senyuman gembira tatkala melihat kekasihnya telah sedarkan diri. Andhika dipeluk sekejap.

“Apa yang berlaku?” tanya Andhika lemah.

Dalam keanehan, dia mula memandang sekeliling. Seingatnya dia rebah dipangkuan Nazira, bukannya duduk diatas bangku pesawat.

“Susah saya nak cerita. Awak tak apa-apa kan?” tanya Nazira kembali. Sekejap dia memandang ke bawah, risau jika pesawat tersebut bergerak ke tepi.

“Tapi kenapa menjunam ni?”

Nazira menelan air liur. Dia membantu kekasihnya menanggalkan tali pinggang keselamatan. Sekilas dia memandang Alia yang mula sedar.

“Alia.”

Alia terpisat-pisat seketika. Tengkuknya terasa sakit.

Sebaik dia sedar sepenuhnya, dia menjerit terkejut. Suaranya memenuhi ruang pesawat yang teruk bermandikan darah.

“Alia, jangan bergerak. Bawa bertenang,” ujar Nazira.

Jeritan Alia yang kuat membangunkan Edwin. Kepalanya yang sakit akibat hantukan digosok sekejap-sekejap. Dia mencuba untuk mengenal pasti apa yang telah berlaku.

“Ya Allah,” Edwin terkejut. Rasa gayatnya muncul sebaik melihat ketinggian. Bahagian kokpit terlihat jauh ke bawah.

Bunyi berkeriut yang menakutkan kembali terdengar. Edwin yang mendengar untuk pertama kali mula tertanya-tanya. Wajahnya pucat. Dia mula ketakutan.

“Apa tu Nazira?” tanya Andhika. 

“Pesawat ni menjunam masuk gaung. Mungkin pesawat ni akan jatuh ke tepi.”

“Maksudnya?” Edwin bertanya tanpa bergerak. Dia kaku, takut untuk bergerak.

Nazira mengigit bibirnya. Dia sendiri buntu untuk menjelaskan. Akhirnya dia mendapat idea. Muncungnya pantas dihalakan ke jendela pesawat.

Edwin dan Andhika pantas menoleh ke jendela pesawat. Dari kedudukan yang menegak menyandarkan di dinding batu, barulah mereka faham. Semuanya pucat lesi.

“Apa yang kita nak buat? Takkan nak tunggu je dekat sini?” Edwin bersuara.

Nazira diam. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Bunyi berkeriut semakin jelas terdengar. Alia yang hanya mendiamkan diri kini rapat menutup mata sambil memegang lengan Edwin. Dia enggan melihat apa yang akan berlaku.



Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur.

Farish memegang tangan ayahnya erat. Beberapa utas wayar terlihat melilit tangan ayahnya yang pucat. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Dia benar-benar tidak bersedia untuk menghadapi ujian sebesar itu. 

Pintu wad sebilik ditolak seseorang. Farish menoleh sekejap sebelum kembali mengalihkan pandangan. Tidak kuasa dirinya untuk memandang wajah Sofia yang baginya tidak mempunyai keuntungan.

“Macamana dengan ayah kau ni?” tanya Sofia biasa. Tidak terlihat riak kesedihan diwajahnya.

Farish hanya diam. Sofia mencebik tidak berpuas hati.

“Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa kau tak call aku beritahu ayah kau masuk hospital?” tanya Sofia lagi.

Farish diam lagi. Dia seolah tidak mendengar.

“Kau pekak ke?” 

Sofia mula melenting. Sakit benar hatinya atas sikap anak tirinya itu.

Farish masih diam. Ayahnya yang sedang tidur dengan alat bantuan pernafasan itu ditatapnya. Kehadiran Sofia seolah tidak wujud.

Sofia mendengus kasar. Ikutkan hati, mahu saja dia menerbangkan beg tangannya yang seberat hampir lima kilo itu ke wajah anak tirinya itu.

Telefon Farish berdering. Farish segera mengeluarkan telefonnya dari poket seluarnya. Nama rakannya tertera di skrin.

“Hello.”

Selang beberapa detik, Farish mengangguk lalu mematikan panggilannya. Dia kembali menatap wajah ayahnya.

“Kau tolong jaga ayah. Aku nak keluar, ada urusan.”

Tanpa memandang Sofia, Farish keluar dari wad tersebut. Tidak kuasa dirinya untuk memandang wajah wanita yang baginya tidak berguna itu.

Sekali lagi Sofia mendengus kasar. Kali ini dia turut merungut. Suaminya yang terbaring lemah dipandangnya dengan penuh jijik, seolah tidak sedar jika itu adalah suaminya.

Tidak mahu duduk ditepi katil suaminya, Sofia melangkah menuju ke set sofa yang ada ruang tersebut. Beg tangannya diletak diatas sofa. Telefon pintar dikeluarkan lalu mula melayari laman sosial. 

Tidak peduli dengan suaminya, Sofia semakin asyik dengan gadjetnya. Dia bagaikan lupa akan tanggungjawabnya untuk menjaga dan merawat suaminya.

Farish menuju ke arah kenderaannya yang diparkir di tempat letak kenderaan.

Masuk kedalam kenderaan, enjin terus dihidupkannya. Namun dia tidak memandu kenderannya. Dia seolah sedang memikirkan sesuatu.

Hampir lima minit berlalu, barulah Farish mula memandu kenderaannya keluar dari perkarangan hospital. Dia mahu ke lapangan terbang meminta penjelasan dan khabar akan pesawat yang hilang dari radar itu. Dia mahu semuanya jelas, dari bermulanya penerbangan sehingga detik dimana pesawat terputus hubungan dengan menara kawalan.


Mug berisi teh panas dihirup Eddy. Dia masih tidak berganjak keluar dari pejabatnya. Dia mahu meneliti kawasan dimana pesawat tersebut telah terputus hubungan sebaik beberapa minit berlepas. Apa yang lebih menghairankan, pesawat tersebut bergerak dengan begitu laju. Titik terakhr keberadaan pesawat itu adalah di hutan Bario, hutan belantara yang begitu luas dan penuh misteri.

Ketukan di pintu pejabat membuatkan dia mengangkat kepalanya sekejap.

“Masuk!”

Seorang wanita berumur pertengahan tiga puluhan masuk dengan beberapa gulung kertas yang besar diyakini peta.

“Ni peta yang kau minta,” ujar Maya. Gulungan kertas tersebut diletakkan diatas meja.

“Thanks Maya,” ucap Eddy. Maya hanya mengangguk.

Eddy membuka gulungan tersebut. Dia mula memeriksa setiap inci dari kedudukan terakhir pesawat itu.

Maya hanya diam memerhati. Jauh didalam hati, dia sendiri tertanya-tanya. Dia sendiri terkejut sebaik mendapat tahu pesawat tersebut bergerak dari satu titik ke satu titik dengan begitu pantas.

Eddy melepaskan keluhannya. Kepalanya pening. Dia terasa buntu.

“Maya, awak percaya tak yang pesawat ni mungkin kena pindah?” tanya Eddy. Wajah Maya rakan sepasukannya dipandangnya.

“Apa maksud kau? Pindah macamana tu?”

Dahi Maya mula berkerut.

“Takkan tak rasa pelik? Baru beberapa belas minit berlepas, pesawat ni tiba-tiba dah ada di Bario. Bukan ambil masa dalam sejam dua begitu ke?”

Maya diam sekejap. Dia sendiri tidak tahu apakah jawapan yang harus diberikan kepada lelaki itu.

“Habis nak buat apa sekarang?”

Kali ini Eddy diam. Dia sendiri tidak tahu.

“Pasukan dari Amerika Syarikat dan Australia dalam perjalanan ke sini sekarang. Mungkin mereka boleh kesan keberadaan pesawat tu jika betul pesawat tu hilang di Bario,” sambung Maya.

“Itu Bario Maya. Bario. Takkan dah lupa apa yang berlaku dulu? Sebuah helikopter hilang disana. Pihak Amerika dan Australia sendiri tak boleh nak kesan, padahal dah banyak kali mereka lalu di tempat yang sama.”

Maya kembali teringat akan peristiwa tersebut. Peristiwa yang telah mengorbankan semua mangsa. 

“Tapikan mereka ada pengesan. Duit syiling sepuluh sen pun mereka boleh jumpa.”

Eddy hanya tersenyum sinis. Sekejap dia menggeleng.

“Maya, itu bukan masalahnya. Masalahnya sekarang ialah itu adalah hutan Bario. Kalau dihutan lain, mereka boleh datang membantu. Ini Bario, Maya. Hutan yang dipenuhi dengan mitos dan misteri,” jawab Eddy panjang.

Maya diam. Kata-kata ketuanya tidak dibalas.

“Sekarang dah petang, tapi pesawat mereka masih tak ditemui oleh pasukan udara. Saya harap mereka mampu untuk bertahan malam ini,” sambung Eddy.

Eddy melepaskan keluhannya. Jauh didalam hati, dia berdoa agar mangsa pesawat tersebut selamat.



Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail