Home Novel Seram/Misteri SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
SEGI TIGA BORNEO: MANDAU
Mmel Ismail
22/1/2019 22:01:18
25,870
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 9

Hutan Bario, Sarawak.

Nazira mengerang kesakitan. Tengkuknya terasa begitu sakit. Seluruh tubuhnya seolah tersepit akan kerusi didepan dan belakangnya. Dia tidak dapat bergerak.

“Tolong...”

Nazira merintih kesakitan. Dia mencuba untuk bergerak namun gagal. Dia benar-benar tersepit. Pandangannya sekejap kabur.

“Dhi...”

Nazira memanggil kekasihnya namun tiada jawapan. Andhika tiada disisinya. Hilang tanpa jejak.

Keadaan pesawat yang dipenuhi dengan darah dan mayat yang bergelimpangan membuatkan dia merinding sekejap. Dia mula menangis. Ketakutannya mula menguasai diri.

Seorang penumpang yang kehilangan kepala membuatkan Nazira semakin takut. Darah memercik ke merata tempat. Ada yang mati dengan tragis tidak kurang juga yang kehilangan anggota badan.

Tangisan Nazira semakin kuat. Dia benar-benar takut. Dia tidak pernah melihat kematian didepan mata seumur hidupnya.

“Dhi, tolong...”

Nazira kembali memanggil kekasihnya. Rasa sakit di bahagian tengkuknya semakin terasa, seolah ada sesuatu yang masuk kebelakang lehernya.

Andhika yang terpelanting ke belakang sewaktu pesawat menjunam mula sedar sebaik dia mendengar namanya dipanggil. Pandangannya sekejap berpinar dan kabur. Kepalanya mula terasa sakit akibat hentakan kuat di siling pesawat.

Tangan kanannya mula meraba kepalanya. Ada darah merah yang keluar. 

Dengan perlahan, Andhika bangun dengan terhuyung hayang. Dia masih tidak dapat melihat dengan jelas. Langkahnya tidak stabil.

Baru beberapa langkah menapak, dia kembali jatuh. Jatuh diatas mayat.

“Arghh!”

Andhika terjerit terkejut. Pantas dia mengensot dan menjauh.

“Dhi, kau ke tu?”

Andhika serentak menoleh ke hadapan. Dia mencuba untuk mencari suara tersebut.

Nazira? Detik hati Andhika.

Dengan terhuyung hayang, dia melangkah pantas kehadapan. Beberapa mayat yang ada dilaluannya hanya dilangkah. Dia tidak lagi peduli. Apa yang dia tahu, dia harus mencari kekasihnya dan juga rakannya.

“Dhi,” Nazira menangis gembira. Hatinya bersyukur melihat kekasihnya yang masih hidup.

Andhika pantas membantu Nazira untuk keluar dari kerusi penumpang tersebut. Tenaganya yang lemah dikerahkan Andhika untuk membantu kekasihnya.

Sedikit ruang membolehkan Nazira keluar dari tempat duduk tersebut. Namun sebaik dia berdiri di laluan, Andhika rebah. Nazira pantas menyambut namun turut jatuh diatas lantai yang dipenuhi darah pada penumpang yang maut.

“Dhi,” Nazira mula gelabah.

Kepala kekasihnya dipangku. Baru dia sedar sebaik melihat darah yang keluar dari kepala kekasihnya. Itulah punca mengapa kekasihnya lemah dan rebah. Dia kehilangan darah.

Satu bunyi aneh mula terdengar. Nazira mati kutu. Tidak sedikitpun dia bergerak. Nafasnya ditahan. Degup jantungnya semakin kuat berdetak. Bunyi aneh seperti pintu dengan engsel berkarat yang ditarik perlahan. Bunyinya cukup menyakitkan telinga.

Nazira semakin ketakutan. Dia mula membayangkan sesuatu yang menakutkan. Entah mengapa bayangan wajah abangnya mula muncul difikirannya. Seribu satu penyesalan mula muncul.

Wajah kekasihnya yang masih tidak sedarkan diri ditatap. Dia memeluk kekasihnya erat.

Dari bahagian kokpit, pintu mula terbuka dari dalam. Salah seorang juruterbang keluar dengan perlahan. Kepalanya berdarah dengan banyak, seolah dia bermandikan peluh.

“To...Tolong saya,” panggil Nazira dengan suara yang tersekat-sekat.

Juruterbang bernama Brandon itu hanya mengangkat tangan separas dada. Matanya meliar seolah mencari sesuatu.

“Apa yang awak buat?” tanya Nazira. Dia tertanya-tanya akan kelakuan aneh lelaki itu.

“Jangan bergerak, pesawat ni ada diatas batu besar. Ketidakstabilan pesawat ni akan membuatkan pesawat ni masuk kedalam gaung,” ujar Kapten Brandon.

Nazira menelan air liurnya. Rupanya itulah punca bunyi aneh itu. Pesawat tersebut sedikit bergeser lalu mengeluarkan bunyi aneh.

Kapten Brandon mula melangkah beberapa tapak kehadapan dengan perlahan. Dia takut pesawat tersebut hilang keseimbangan. 

Alia yang berada ditempat duduk belakang Nazira turut mula sedar. Dia mula terpisat-pisat. Kepalanya pusing akibat terhentak pada dinding pesawat. Jendela yang ada ditepinya turut pecah.

Alia mula panik sebaik sedar. Tali pinggang keselamatan ditanggal dengan pantas.

“Alia, jangan bergerak kuat sangat,” ujar Nazira.

“Zira?”

Tidak mengendahkan kata-kata Nazira, Alia bangun dengan pantas. Dia berdiri dan menjenguk. Betapa terkejutnya dia sebaik melihat Andhika yang pengsan dipangkuan rakannya.

Bunyi menakutkan itu kembali terdengar. Kali ini lebih kuat. Alia semakin panik, terkejut dengan bunyi tersebut. Nazira pula semakin erat memeluk kekasihnya.

“Jangan bergerak kemana-mana,” ujar Kapten Brandon pula. Dia meminta Alia untuk tetap ditempatnya.

“Bunyi apa tadi tu?” tanya Alia. Berkali-kali dia menelan air liurnya.

“Kita ada diatas batu besar Alia, bila-bila masa boleh masuk dalam gaung,” beritahu Nazira perlahan.

“Hah?” Alia semakin tidak keruan. Dia kecut perut. 

Dia mula menoleh ke sisi kirinya. Dari jendela pesawat yang sudah pecah, dia dapat melihat pokok-pokok yang patah akibat dilanggar pesawat itu. Ada diantaranya tercabut.

Alia memberanikan diri untuk menjenguk sedikit keluar. Namun dengan pantas dia kembali menarik kepalanya. Dasar hutan masih jauh dibawah seperti ketinggian bangunan dua tingkat.

Seorang dari para penumpang yang lain turut sedar dari pengsan. Nazira dan Alia mula memandang lelaki berumur yang mereka kenali tadi akibat percakapannya yang kurang elok. Lelaki yang bersikap tidak sabar dan enggan mendengar nasihat.

“Habislah,” ujar Nazira. Dia bagaikan dapat mengetahui apa yang akan berlaku kepada mereka.

Lelaki itu merengus marah. Dia mula menyumpah seranah tidak sedar jika dirinya diambang maut. Beberapa mayat yang terbaring sempat mengejutkannya.

“Celaka betul!”

“Pak cik... Pak cik bawa bertenang dulu ya?” Kapten Brandon meminta lelaki itu bertenang. Dia takut pesawat itu akan jatuh kedalam gaung.

“Apa tenang-tenang? Kau fikir aku ikut pesawat ni aku nak benda ni jadi macam ni? Kamu tak pandai nak bawa pesawat ke apa?” marah lelaki itu.

“Pak cik, bawa bersabar. Saya takut pesawat ni akan...”

“Apa? Kau nak aku tenang? Wah, senangnya kau cakap kan? Kau tunggu aku balik KL, aku akan saman kamu semua,” potong lelaki itu. Dia enggan berkompromi.

Tidak mahu mendengar kata, lelaki itu bergerak ke belakang pesawat. Nazira semakin erat memeluk Andhika, sementara Alia kembali duduk dan mengenggam erat tangan Edwin yang masih tidak sedarkan diri. Kapten Brandon pula mati akal.

Bunyi berkeriut tersebut kembali terdengar dan kali ini diikuti dengan sedikit gerakan seolah bergeser. Bunyi beberapa batang pokok yang patah turut terdengar.

Kapten Brandon semakin panik. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah berdoa dan memohon perlindungan. 

“Bunyi apa tu?” tanya lelaki tua itu.

Pesawat tersebut mula bergerak kehadapan. Beg pakaian yang masih tertinggal dibahagian bagasi mula keluar dari celah-celah ruang yang lain. Semuanya bergerak kehadapan.

Sedar dengan apa yang berlaku, Kapten Brandon mula berlari ke belakang. Dia tahu pesawat tersebut pasti akan menjunam memasuki gaung yang terlihat cukup dalam.

Kapten Brandon mula membantu Nazira. Andhika yang masih tidak sedarkan diri diangkat ke tempat duduk yang kosong. Tali pinggang keselamatan segera dipakaikan.

“Awak pun pakai,” perintah Kapten Brandon dan Nazira pantas menurut.

Sempat anak matanya memandang lelaki tua yang terkial-kial mencari sesuatu untuk digapai. 

Pesawat tersebut semakin menjunam. Bahagian kepalanya sudah terarah kebawah, menuju kedalam gaung.

Dengan kecondongan pesawat yang sudah mencapai 75 peratus, membuatkan Kapten Brandon mengagahkan lebihan tenaganya untuk membantu lelaki tua itu. Dengan segala kudrat yang ada, dia berlari mendapatkan lelaki tua itu dengan kecondongan yang semakin tegak.

“Pak cik.”

Kapten Brandon segera membantu lelaki tua itu untuk duduk disalah sebuah kerusi penumpang yang kosong. Tali pinggang keselamatan dipasang membiarkan dirinya mula bergayut pada pemegang tepi kerusi.

Bunyi berkeriut semakin jelas terdengar diikuti dengan bunyi pokok yang turut patah.

Dan sekali lagi pesawat tersebut menjunam kebawah. Tidak sampai lima saat, satu hentakan kuat dirasakan. Bahagian depan pesawat sudahpun menimpa lantai hutan.

Kapten Brandon yang tidak sempat mengenakan tali pinggang keselamatan terjatuh. Pintu kokpit menjadi tempat untuknya landing. Kepalanya terkena pintu kokpit yang keras, membuatkan darah keluar dari kepala dan hidung. 

Nazira mengigil ketakutan sebaik melihat kejadian tersebut. Seluruh tubuhnya mengigil kuat.

Begitu juga dengan Alia. Dia tidak melepaskan pegangannya pada Edwin. 

Pesawat tersebut kini menegak. Nazira mahupun Alia tidak berani untuk bergerak. Mereka risau jika pesawat tersebut akan terbalik.


Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

Lapangan tersebut seolah telah menjadi pesta lautan manusia. Beberapa helikopter dapat dilihat mendapat turun dan berlepas silih berganti. Para wartawan masing-masing memegang mikrofon dan dibantu dengan jurukamera untuk memberi liputan akan kehilangan pesawat Boeing tersebut. Tidak ketinggalan, beberapa orang waris yang menangis dan merayu akan keluarga mereka dipertemukan kembali.

Eddy, Komander dari Pasukan Gerakan Khas (PGK) melangkah dengan pantas menuju ke pejabatnya. Dia tidak terkejut jika dirinya diperintah untuk melakukan misi dan menyelamat para mangsa pesawat yang telah dilaporkan hilang itu.

Peta kawasan yang melekat di tepi dinding pejabatnya mula diteliti. Dari apa yang dia tahu, pesawat tersebut diberitahu telah melencong dan menuju ke kawasan Bario, hutan terbesar di Malaysia dan bersempadan dengan Indonesia.

Ketukan di pintu pejabat membuatkan Eddy berhenti meneliti.

“Masuk!”

Pintu dibuka. Seorang lelaki bernama Joshua masuk dengan sebuah fail ditangannya.

“Ini ada fail mengenai kawasan tersebut. Dari apa yang mereka beritahu, pesawat tersebut hilang sebaik berlepas beberapa minit dari KL,” ujar Joshua.

Eddy diam. Isi fail tersebut mula diperiksanya satu persatu.

“Tapi macamana pesawat tu boleh ada di Bario dalam masa kurang dari lima belas minit? Bukannya jarak dari KL ke Sarawak akan ambil masa hampir satu jam?” tanya Eddy. Dia terlihat hairan.

“Saya kurang pasti tuan. Mungkin mereka dipindahkan.”

“Dipindahkan? Apa maksud awak?” Dahi Eddy mula berkerut.

Joshua diam. Dia mula teragak-agak. Mana mungkin dia akan bercerita bahawa pesawat malang itu mungkin telah diteloportasikan. Silap haribulan dirinya akan diketawakan.

“Awak nak kata yang pesawat ni dipindahkan oleh UFO ke?” sambung Eddy.

Joshua menunduk sekejap. Menyesal pula dirinya berkata bahawa pesawat tersebut telah dipindahkan. Kini dia harus mencari jawapan yang sesuai.

“Berapa orang penumpang yang ikut pesawat tu?” Soalan mula ditukar.

“56 orang tuan, termasuk anak kapal.”

Eddy mengangguk tanda puas hati. Dia kembali meneliti fail tersebut. Seribu satu keanehan mula timbul difikirannya. Mana mungkin sebuah pesawat boleh sampai di kepulauan Bario kurang dari lima belas minit.

“Awak keluarlah dulu.”

Joshua pantas memberi hormat lalu keluar dari pejabat. Eddy ditinggal seorang diri.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mmel Ismail