Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 7


Izdan berdiri di halaman rumah sambil pandangannya terarah ke arah halaman rumah Adwa. Masih terngiang-ngiang kata-kata Lufia petang tadi.

Siapa agaknya lelaki yang dimaksudkan oleh Lufia?

Izdan mengeluh perlahan.

“Kau buat apa tercegat kat situ?” soal Adwa yang sudah berada di hadapannya. Izdan terkedu. Berkerut kening Adwa memandang wajah kalut lelaki itu.

“Kau tak tidur lagi?” soal Izdan sambil berdehem perlahan.

“Awal lagi. Aku tengok kau dari tadi tercegat pandang rumah aku. Kenapa? Kau cari aku ke?” soal Adwa tanpa senyuman.

“Aku cari siapa lagi kalau bukan kau. Kau dah makan?” soal Izdan mula tenang. Wajah gadis itu direnung lama. Adwa mengangguk.

“Jom lepak kat halaman rumah aku. Aku penat berdiri kat sini,” balas Adwa sambil berlalu semula ke halaman rumahnya. Izdan menurut langkah gadis itu.

“Aku nak minta maaf Iz. Aku tahu aku selalu susahkan kau sepanjang kita berkawan. Selepas aku keluar dari kampung ni, macam-macam boleh jadi. Aku takut nanti tak sempat nak minta maaf dengan kau,” ucap Adwa dengan senyuman. Izdan terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Kau macam nak tinggalkan aku buat selama-lamanya. Kau tak sudi jumpa aku lagi lepas ni?” soalnya dengan perasaan kecewa. Adwa seperti mahu melarikan diri daripadanya.

“Kau ni suka sangat nak tuduh aku. Kalau ikutkan hati, aku memang tak nak berpisah dengan kau dan Luf. Tapi aku tak boleh juga pentingkan diri sendiri. Kasihan mama,” balas Adwa dengan nada sayu.

“Maaf Ad. Aku masih tak percaya yang kau akan pergi. Kau jangan ambil hati ek. Aku dah lama kenal kau. Aku tahu kau macam mana. Memang patut kau ikut cakap aunty Nia. Dia pun bukannya selalu ada kat sini. Mesti aunty Nia risaukan kau,” kata Izdan separuh menasihati.

“Aku tahu. Kau pula macam mana? Maksud aku, hubungan kau dan abang sulung kau,” tanya Adwa sambil memandang tepat wajah lelaki itu. Izdan terdiam sejenak.

“Tak apa. Tak payah jawab. Nanti aku tanya lagi,” sambung Adwa. Izdan tersenyum hambar. Dia lega apabila gadis itu memahaminya. Memang buat masa ini dia masih tidak mampu berkongsi apa-apa berkaitan dengan keluarganya pada Adwa. Terutama mengenai abang sulungnya.

                               *****

“Petang ni awak nak turun padang?” soal Balqish sambil memandang Lufia yang sedang sibuk membelek majalah.

“Tak tahu lagi. Kalau Adwa turun, mungkin aku pun turun kot. Kenapa? Kau nak ikut?” soal Lufia kini membalas pandangan gadis itu.

“Tak dapat. Aku ada perjumpaan dengan kumpulan petang ni,” balas Balqish dengan senyuman. Lufia mengangguk faham.

“Luf, saya nak tanya sikit boleh?” soal Balqish dengan perasaan agak berdebar.

“Banyak pun boleh,” balas Lufia sebelum tergelak kecil. Balqish ikut tergelak.

“Semalam hujan. Adwa tak bawa payung. Awak pula dah pulang dulu. Saya ada bawa payung tapi saiz kecil. Memang tak muat untuk dua orang. So, saya nampak Iz beri payung miliknya pada Adwa. Dia pula sanggup basah kuyup,” beritahu Balqish.

“Ni soalan ke cerita?” soal Lufia separuh bergurau. Balqish tergelak lagi.

“Tak, saya cuma keliru. Betul ke Adwa dan Iz tu cuma kawan? Tak lebih dari tu?” soalnya apabila sudah tenang sedikit. Lufia terdiam mendengar soalan gadis itu.

“Awak jangan marah pula. Saya cuma tanya aje,” sambung Balqish apabila melihat wajah gadis itu yang sudah bertukar serius. Lufia tergelak kecil.

“Tak lah. Mereka tu cuma kawan. Orang biasa gelar teman tapi mesra. Macam tu lah. Kau jangan risau. Aku jamin seratus peratus mereka tu kawan baik,” balasnya dengan senyuman.

Sorry Qish.

Bisik hati kecil Lufia. Rasa bersalah pula dengan gadis itu. Memang pada pandangan orang, Izdan dan Adwa itu hanya kawan. Tapi pandangannya lain. Hubungan dua orang rakannya itu sebenarnya lebih dari hubungan kawan. Cuma kedua-duanya enggan mengakuinya.

“Saya cuma risau. Takut saya mengganggu pula. Saya rasa kurang selesa bila berdua dengan Iz, dia asyik sebut nama Adwa,” balas Balqish dengan senyuman hambar.

“Kami bertiga membesar sama-sama di kampung ni. So, kami memang rapat. Semua cerita kami akan kongsi bersama. Kau jangan terasa ek. Memang Iz ambil berat pasal Adwa dan aku,” kata Lufia dengan dada berdebar. Balqish tergelak kecil.

“Saya okay. Saya cuma takut mengganggu aje,” balasnya.

“Tak lah. Ganggu apa pula. Langsung tak!” kata Lufia dengan nada tegas sebelum tergelak kecil.

“Gembira nampak,” tegur Adwa sambil mengambil tempat di sebelah Lufia.

“Seronok ke kutip sampah?” sindir Lufia separuh bergurau. Adwa hanya menjeling gadis itu tanpa menjawab.

“Sejak akhir-akhir ni kau asyik tak siap kerja Sir Salim tu. Kau buat apa? Sejak bila kau jadi pemalas ni?” soal Lufia bertalu.

“Bukan malas. Cuma tak sempat,” jawab Adwa selamba.

“Ada aje jawapan,” kata Lufia sambil menggeleng. Adwa tergelak kecil. Balqish hanya tersenyum memandang telatah kedua-dua gadis itu. Dalam diam dia mengeluh perlahan. Jauh di sudut hatinya dia masih ragu-ragu dengan jawapan Lufia sebentar tadi.

                                   *****

“Tadi Qish ada tanya pasal kau dan Iz,” beritahu Lufia selepas mereka kembali ke dalam kelas. Adwa memandang gadis itu.

“Ni semua kau punya pasal. Kau jangan buat cerita lagi pada Iz macam hari tu,” balasnya sambil mendengus.

“Aku pula yang salah. Hari tu aku tanya Iz sebab nak tengok sendiri apa reaksi mamat tu,” kata Lufia cuba mempertahankan diri.

So, kau dah dapat jawapannya? Kau memang tak patut tau buat macam tu. Kau sendiri tahu yang Iz dan Qish dah mula berkawan. Kalau Qish ada hari tu, mesti dia terasa dengar soalan kau tu. Sekarang pun dia dah mula tanya pasal aku dan Iz,” balas Adwa dengan kening berkerut.

“Pandai kau nak salahkan aku. Okay baik pasal hari tu aku minta maaf. Tapi aku tetap tak nak tarik balik kata-kata aku sebelum ni. Kau dan Iz memang degil,” kata Lufia dengan nada tegas. Adwa mengeluh perlahan.

“Luf enough. Aku tak nak gaduh dengan kau pasal ni,” balasnya sambil mengeluarkan buku dari laci mejanya. Lufia tergelak kecil. Dia memeluk bahu gadis itu.

“Aku pun tak nak gaduh dengan budak degil ni,” guraunya. Adwa menjeling gadis itu sebelum ikut tergelak.

                                     *****

“Kenapa gelojoh sangat? Nanti tercekik tulang ikan tu,” tegur Maria dengan kening berkerut memandang Adwa yang duduk di hadapannya. Adwa hanya tersengih. Dia menyambung suapannya tanpa mengendahkan Izdan yang menggeleng dengan telatahnya.

“Kenapa? Kau tak pernah nampak aku makan sebelum ni?” soalnya yang tidak puas hati dengan gelengan lelaki itu. Izdan tergelak kecil.

“Jangan pula kau makan macam tu depan mak mentua nanti,” balasnya separuh mengusik.

“Kau peduli apa? Ni yang aku malas bila nenek ajak kau makan kat sini. Asyik nak menang aje. Nek, boleh tak lepas ni jangan ajak mamat ni lagi? Benci lah,” pinta Adwa dengan kening berkerut. Izdan sudah tergelak besar.

“Benci ke suka?” soal Maria separuh mengusik.

“Nenek!” panggil Adwa dengan muncung panjang. Maria dan Izdan serentak tergelak.

“Malas nak layan. Asyik Adwa yang kena,” sambung Adwa sambil mula meletakkan sudu di tangannya.

“Alamak nek. Dia dah pandai merajuk sekarang,” usik Izdan lagi.

“Nak kena pujuk ke?” balas Maria ikut mengusik. Adwa menunjukkan penumbuknya ke arah Izdan sebelum mencapai semula sudunya. Tangannya laju menyuap makanan tanpa mempedulikan Maria dan Izdan yang masih galak mengusiknya.

                             *****

“Seronok kau buli aku. Tak apa. Lepas ni kau tak ada peluang lagi nak buli aku,” kata Adwa sambil menjeling tajam ke arah Izdan yang duduk di sebelahnya. Izdan hanya tergelak kecil.

“Bagi lah aku peluang. Lepas ni aku tak jumpa kau lagi. Nanti kalau terserempak pun mungkin kau tak sudi nak tegur aku. Mana tahu,” balasnya.

“Memang pun. Aku kalau jumpa kau lagi kat mana-mana, aku buat bodoh aje,” balas Adwa selamba.

“Jahat lah kau ni. Aku pula kalau dah jumpa kau semula, aku akan peluk kau erat-erat. Kalau boleh tak nak lepas lagi,” balas Izdan sambil memandang tepat wajah gadis itu. Adwa terdiam sejenak.

“Gatal. Kau nak penampar dengan suami aku? Mana tahu kita jumpa semula selepas masing-masing dah kahwin. Tak senonoh pula kau peluk aku macam tu,” balas Adwa dengan riak wajah yang serius. Izdan sudah tergelak besar. Berkerut kening Adwa memandang telatah lelaki itu.

“Kau ni asyik gelak aje dari tadi. Apa yang lucu sangat?” soalnya sambil mendengus perlahan.

“Aku gurau aje. Kau pula tunjuk muka serius,” balas Izdan masih lagi dengan sisa tawanya. Adwa menepuk kuat paha lelaki itu.

“Aduh!” Tangan Izdan pantas mengusap pahanya yang terasa perit.

“Padan muka,” balas Adwa sebelum tergelak besar. Maria yang memerhati dari muka pintu rumah hanya menggeleng. Risau juga dia memikirkan keadaan kedua-duanya apabila berpisah nanti.

                               *****

So?” soal Razi sambil memandang sahabatnya yang sedang leka dengan buku di tangannya.

“Apa?” tanya Izdan kembali tanpa memandang wajah lelaki itu.

“Kau dah ready nak kena tinggal?” soal Razi kembali sambil tersengih.

“Tak payah nak over. Adwa tu pindah sekolah aje. Bukannya pindah negara,” balas Izdan perlahan. Razi tergelak kecil.

“Aku tahu. Aku cuma ambil berat pasal kau. Nanti tak pasal ada orang merajuk kena tinggal,” usiknya.

“Jangan nak mengarut,” balas Izdan kini memandang sahabatnya itu.

“Aku gurau aje. Sejak Adwa nak pindah, kau pun dah jadi sensitif,” kata Razi sambil tergelak lagi.

“Mana ada. Kau tak rehat? Asyik nak berkepit dengan aku aje,” balas Izdan separuh menyindir.

“Nak buat macam mana. Aku tak ada teman wanita. Kau aje lah yang aku ada,” balas Razi sambil mengeyitkan matanya.

“Geli,” celah Adwa yang baru saja melangkah masuk ke dalam kelas. Lufia yang berada di sisi gadis tu hanya tersengih.

“Kau nak jadi girlfriend aku tak?” soal Razi sambil memandang tepat ke arah Adwa yang baru saja duduk di hadapan mereka.

“Tak nak,” balas Adwa selamba. Izdan dan Lufia serentak tergelak. Razi hanya menjeling sahabatnya itu.

“Iz, Qish dah lama tunggu kau kat kantin. Kau pula leka lepak dengan mamat ni,” beritahu Adwa dengan kening berkerut.

“Aku dah cakap tadi. Iz tu aje tak dengar cakap aku,” celah Razi dengan senyuman manis memandang Adwa.

“Mata tu jaga sikit,” sampuk Lufia sambil membesarkan matanya memandang lelaki itu yang leka merenung Adwa. Razi hanya tersengih.

“Aku jumpa Qish,” kata Izdan sambil bangun dari kerusi. Adwa hanya memandang lelaki itu berlalu. Dia cuba bertenang supaya rasa kecewanya itu tidak terpamer pada wajahnya. Lufia pasti akan mengusiknya lagi jika gadis itu melihatnya.

“Saya dengar awak nak pindah,” kata Razi sebelum sempat Adwa bangkit dari kerusi.

“Pindah? Siapa? Adwa?” soal Lufia sambil memandang Adwa dan Razi silih berganti. Bulat mata Adwa memandang lelaki itu.

Sorry,” ucap Razi dengan perasaan bersalah. Dia baru teringat pesan Izdan supaya tidak membangkitkan hal itu sekiranya ada Lufia.

“Adwa, apa hal?” soal Lufia dengan kening berkerut memandang gadis itu. Adwa mengeluh perlahan.

                               *****

“Kau ni memang jahat. Sampai hati tak nak beritahu aku. Apa salah aku?” soal Lufia dengan perasaan sebak.

Sorry Luf. Aku cuma risau kau meroyan. Tu yang aku halang Iz beritahu kau,” balas Adwa separuh bergurau. Lufia menepuk kuat bahu gadis itu.

“Aucch!” ucap Adwa sambil mengusap bahunya yang terasa sakit.

Boleh tahan minah ni kalau dah marah.

“Padan muka. Bila kau nak berambus?” soal Lufia dengan riak wajah masih tidak berpuas hati.

“Halau nampak. Minggu depan,” balas Adwa dengan senyuman. Lufia mendengus perlahan mendengar jawapan gadis itu.

“Kau jangan lah sedih. Iz dan Qish ada kat sini teman kau,” sambung Adwa separuh memujuk.

“Tak sama. Aku nak duduk dengan siapa bila kau tak ada nanti?” soal Lufia dengan riak wajah yang sedih. Adwa memeluk bahu gadis itu.

“Qish boleh ganti tempat aku. Jangan lah sedih. Aku ikut sedih bila kau macam ni. Aku janji kita akan jumpa lagi lepas ni,” pujuk Adwa lagi.

“Jumpa kat mana? Kau mesti tak selalu lagi balik sini sebab nenek kau pun ikut sekali. Kau nak aku turun KL?” soal Lufia lagi masih tidak puas hati.

“Kau tak sanggup?” tanya Adwa separuh mengusik.

“Aku boleh aje. Tapi kau tahu lah. Keluarga aku bukannya orang kaya. Aku mana ada duit kalau selalu turun KL,” jawab Lufia dengan jujur.

“Aku gurau aje. Dia ni sampai ke situ pula. Maksud aku, kita jumpa kat universiti. Tapi kau mesti mohon universiti yang aku nak pergi,” kata Adwa sambil tergelak kecil. Lufia mula mengukir senyum.

“Kau memang pandai nak pujuk aku. So, aku terpaksa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat jumpa kau semula? Seriously?” soalnya dengan kening berkerut. Adwa tergelak besar.

“Kau jangan gelak. Kau tahu kan aku bukannya budak pandai,” sambung Lufia.

So, mula saat ni kau kena jadi budak pandai. Kalau tak, kau mungkin kehilangan aku,” balas Adwa separuh bergurau.

“Ishh! Geli!” kata Lufia sambil menolak tubuh gadis itu. Adwa tergelak lagi.

“Aku akan rindukan kau,” kata Lufia dengan nada perlahan.

“Aku pun. Kau jaga diri kat sini,” pesan Adwa dengan senyuman. Lufia mengangguk lambat.

“Kau pun sama. Jangan pula kau lupakan aku,” balasnya dengan nada sayu.

“Tak lah. Aku mana boleh lupakan minah senget macam kau,” gurau Adwa lagi.

“Kau ni macam happy aje nak pindah. Aku tengah sedih kau sempat nak buat lawak,” kata Lufia mula menarik muncung. Adwa tergelak kecil sambil tangannya memeluk bahu gadis itu.

“Ada nampak mommy happy?” usiknya lagi.

“Adwa!” Lufia menolak tubuh gadis itu semula. Adwa ketawa terbahak. Lufia hanya menggeleng memandang telatah gadis itu.

Aku hempuk juga minah ni.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.