Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 33

“Esok dah nak balik. Wan dah round semua tempat ke?” soal Tania sambil memandang lelaki itu yang sedang duduk di hadapannya.

“Rasanya dah aunty. Wan tak tahu lah kalau ada tempat yang Ad tak beritahu Wan lagi,”  balas Tengku Hadwan sambil memandang Adwa yang duduk di sebelahnya.

“Aku pun nak tahu juga,” celah Diana.

“Nak ambil gambar lah tu,” perli Rania. Diana tergelak kecil.

“Sedap nasi goreng aunty masak ni,” sempat dia memuji. Tania hanya tergelak kecil

“Nenek yang masak,” beritahunya.

“Sedap nek,” puji Diana. Maria tersenyum.

“Jangan pula lepas ni tak datang rumah nenek lagi. Hari-hari nenek masak sedap kalau kamu semua datang rumah,” balasnya.

“Pucuk dicita ulam mendatang,” celah Rania. Mereka semua tergelak. Tengku Hadwan memandang Adwa yang hanya tersenyum. Sedari tadi gadis itu hanya membisu. Hanya senyuman yang menghiasi bibirnya.

                                  *****

“Iz, kenapa?” tanya Lufia. Dia agak terkejut menerima kunjungan lelaki itu.

“Sorry ganggu kau. Aku dah nak balik ni. Korang balik esok pagi kan?” soal Izdan. Lufia mengangguk. Dia hanya menjeling Razi yang sedang melambainya dari dalam kereta.

“Tak apa. Awalnya kau balik,” balas Lufia. Izdan hanya tersenyum.

“Aku ada urusan penting. Lagipun aku rasa tak ada benda nak buat lagi kalau duduk lama kat sini,” katanya. Lufia mengangguk faham.

“Pagi tadi, aku beritahu Adwa. Aku beritahu Ad perasaan aku,” beritahu Izdan dengan nada perlahan.

“Adwa jawab apa?” soal Lufia dengan perasaan berdebar. Izdan tersenyum hambar. Jika dengan Lufia dia tidak perlu mengaku apa-apa kerana gadis itu memang sudah tahu sejak awal mengenai perasaannya pada Adwa.

“Dia kata jangan ganggu dia lagi. Luf, aku tahu aku silap. Sejak awal aku dah silap langkah. Tapi aku tak pernah berniat nak malukan Adwa. Apatah lagi nak menjatuhkan maruahnya. Aku langsung tak expect yang Qish boleh bertindak sejauh tu,” balas Izdan sambil tunduk memandang jemarinya. Nampaknya kali ini dia kena mengalah. Dia kena redha. Lufia mengeluh berat

“Okay, oleh kerana Adwa dah kata macam tu aku terpaksa beritahu kau. Tapi kau kena janji dengan aku. Kau tak akan beritahu Adwa apa yang aku beritahu kau hari ni,” kata Lufia dengan kening berkerut. Izdan membalas pandangan gadis itu. Dia agak berdebar dengan kata-kata Lufia.

“Aku tahu kau tak salah Iz. Aku percaya kau,” sambung Lufia. Izdan mengangguk dengan senyuman. Dia lega kerana gadis itu masih menganggapnya seperti dulu.

“Adwa tu sayangkan kau. Sama seperti kau sayangkan dia. Cuma masa tu dia asyik nak nafikan sebab kita bertiga ni kawan. Lagipun masa tu kau dah ada Qish. Kau sedar tak kenapa dia syik nak larikan diri daripada kau? Sebab dia tak kuat nak tengok kau dan Qish. Kau memang silap sebab tak sedar. Tapi kau masih belum terlambat untuk betulkan keadaan. Sampai saat ini Ad masih sayangkan kau. Aku tahu dia tak pernah buang kau dari hatinya. Aku kenal Adwa. Kau cuma kena berusaha untuk lembutkan hatinya semula,” beritahu Lufia panjang lebar. Izdan terkedu.

Aku salah dengar ke?

“Adwa sekarang tak sama macam dulu. Kepalanya lebih keras dari batu. So, kau kena pandai nak ambil hati dia semula,” sambung Lufia lagi. Izdan memeluk gadis itu.

“Thanks Luf,” ucapnya dengan perasaan sebak.

“Hoi! Iz, kau nak sebiji ke?” tegur Razi dengan kening berkerut. Izdan tergelak kecil sambil melepaskan pelukannya. Lufia hanya tersenyum.

“Good luck,” ucapnya. Izdan mengangguk. Dia seperti tidak percaya apabila tahu yang Adwa juga ada rasa yang sama dengannya.

Kenapa aku bodoh sangat!

                               *****

“Awak, saya nak tanya boleh?” soal Tengku Hadwan. Dia dan Adwa sedang berjalan kaki ke kedai runcit yang berdekatan. Mereka sengaja tidak membawa kereta kerana ingin menikmati pemandangan sawah di sepanjang jalan.

“Apa dia?” balas Adwa sambil membalas pandangan lelaki itu.

“Sejak pagi tadi awak tak banyak cakap. Ada yang mengganggu fikiran awak ke?” tanya Tengku Hadwan yang prihatin. Adwa menggeleng dengan senyuman. Tanpa sedar Tengku Hadwan mengeluh perlahan. Adwa agak serba salah.

“Saya tahu yang awak masih dalam proses untuk menerima saya. Saya sebenarnya nak kenal awak lebih dekat lagi Ad. Tapi saya sentiasa ragu-ragu bila awak seperti main tarik tali dengan saya. Saya bukan nak paksa awak. Cuma nak sedikit ruang di hati awak,” kata Tengku Hadwan. Adwa berhenti melangkah.

“Kenapa?” soal Tengku Hadwan yang terkejut apabila gadis itu tiba-tiba berhenti. Adwa memandang wajah lelaki itu.

“Awak tak takut ke buat keputusan nak kahwin saya?” soalnya tenang.

“Tak mungkin,” balas Tengku Hadwan spontan. Walaupun agak terkejut dengan soalan gadis itu namun dia lega kerana mula mendengar suara Adwa

“Ada sebab ke saya perlu takut?” soalnya pula.

“Awak masih muda. Model pula tu. Awak ada kerjaya dan pengikut sendiri. Saya cuma tak percaya bila awak tiba-tiba beritahu nak datang rumah hari itu,” balas Adwa jujur. Memang itu yang difikirkan olehnya. Bagaimana lelaki yang lengkap pakej seperti Tengku Hadwan boleh jatuh hati dengannya dalam masa yang singkat.

“Nampaknya awak tak yakin,” kata Tengku Hadwan.

“Mungkin juga,” balas Adwa perlahan.

“Kenapa perlu awak nak libatkan kerjaya dan orang di sekeliling saya?”soal Tengku Hadwan semula. Adwa terdiam.

“Ad, saya sayang awak bukan sebab kerjaya atau orang sekeliling awak. Saya sayang awak sebab awak. Tak boleh ke awak buat perkara yang sama?” sambung Tengku Hadwan sambil menyentuh kedua jemari gadis itu  Adwa agak terharu mendengar kata-kata lelaki itu. Dia dapat melihat kejujuran pada pandangan Tengku Hadwan.

“Jom, tak baik kita berdiri lama kat sini,” ajak Tengku Hadwan dengan senyuman. Dia tidak mahu terlalu menekan gadis itu untuk memikirkan hubungan mereka. Adwa perlu banyak masa. Dia tahu gadis itu masih ragu-ragu membuat keputusan. Adwa menurut langkah lelaki itu dari belakang. Dia mengeluh perlahan sambil membuang pandang ke arah sawah yang berada di sebelah kiri mereka.

                                   *****

Langkah Adwa terhenti apabila melihat Izdan sedang tersenyum memandangnya. Adwa agak panik. Sudah seminggu selepas pengakuan lelaki itu. Baru hari ini dia terserempak dengan Izdan semula.

“Apa khabar?” tanya Izdan sambil memandang skirt yang dipakai oleh Adwa.

“Singkat sangat,” komennya. Adwa mendengus.

“Kau datang sini sebab nak komen aku aje? Aku tahu lah nak pakai apa. Kau tak payah nak menyibuk,” balasnya geram. Lelaki itu tidak pernah berubah. Sebenarnya dia tahu teguran Izdan sebentar tadi adalah untuk kebaikannya juga. Namun hatinya tetap panas mendengarnya. Apatah lagi teguran itu daripada Izdan.

“Rindu kau,” balas Izdan selamba. Terangkat kening Adwa memandang lelaki itu

Kang aku guna bahasa monyet baru mamat ni faham agaknya!

“Aku nak lunch dengan kau hari ni,” sambung Izdan masih tenang memandang wajah gadis itu. Dia tahu Adwa sedang berang dengannya saat ini. Namun dia tidak mahu pedulikan itu.

“Kau memang tak tahu malu Iz,” balas Adwa sinis.

“Kau yang ajar aku. Ad, kau tak akan jadi milik sesiapa selagi cop ni masih ada kat sini,” kata Izdan sambil menarik lembut jemari kanan gadis itu. Adwa terkedu. Dia pantas menarik semula tangannya.

“Kau memang gila!” balasnya sebelum melangkah semula untuk masuk ke dalam bangunan galeri.

Lunch nanti aku tunggu kat sini,” kata Izdan dengan nada kuat. Adwa yang mendengar langsung tidak menoleh. Izdan hanya tersenyum melihat langkah laju gadis itu.

                                ****

Adwa masih memandang jemarinya.

Cop?

Lamunan Adwa terhenti apabila telefonnya berdering. Nama Lufia terpampang pada skrin telefon.

“Ya,” jawabnya.

“Nak keluar lunch tak hari ni?” tanya Lufia. Adwa mengeluh perlahan. Teringat semula pesanan Izdan sebentar tadi.

“Malas,” balasnya.

“Hei, kenapa mengeluh? Aku tanya aje pun,” soal Lufia hairan.

“Iz dah gila,” beritahu Adwa dengan kening berkerut. Lufia terdiam. Dia mula faham.

“Dia suka aku,” sambung Adwa. Lufia tidak dapat menahan tawanya. Berkerut kening Adwa mendengar gadis itu tergelak.

“Kau pun dah gila ke?” soalnya geram. Semakin kuat Lufia tergelak.

“Kau nak aku tutup?” soal Adwa semula separuh mengugut.

“Okay, sorry. Aku cuma tak sangka. Aku terkejut,” balas Lufia masih dengan senyuman. Dia memang tidak berniat untuk memberitahu akan pertemuannya dengan Izdan pada gadis itu.

“So, kau nak terima ke?” soal Lufia apabila sepi seketika antara mereka.

“Aku tak nak cerita pasal ni lagi. Lunch ni aku tak keluar tau. Bye,” ucap Adwa sebelum mematikan telefonnya. Lufia menggeleng.

Asyik nak larikan diri aje. 

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.