Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 29

“Nenek, Wan nak ikut balik kampung. Adwa tak sampai hati nak tolak sebab Wan tu tak ada kampung,” beritahu Adwa. Maria tersenyum.

“Boleh aje. Rumah nenek kat kampung tu besar. Adwa nak bawa kawan-kawan pun tak apa,” balasnya.

“Adwa bukannya ada ramai kawan nek,” balas Adwa dengan senyuman.

“Adwa ada ajak Iz tak?” tanya Maria. Adwa terdiam mendengar soalan orang tua itu.

“Hari tu Iz ada datang lawat nenek,” beritahu Maria sengaja ingin melihat reaksi gadis itu.

“Biar lah nek. Adwa tak ada masalah kalau dia nak lawat nenek. Cuma satu yang Adwa nak kata. Adwa tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan dia. Adwa bukan berdendam. Dah lama Adwa maafkan Iz. Tapi Adwa dah tak boleh terima Iz lagi nek,” balas Adwa dengan nada tegas. Maria menarik nafas panjang.

“Nenek faham. Tu hak Adwa. Nenek dah cukup lega bila Adwa dah maafkan Iz. Tak baik berdendam dengan orang,” katanya separuh menasihati. Adwa hanya tersenyum hambar.

                              *****

“Luf,” tegur satu suara. Lufia yang sedang memilih barang dapur berpaling menoleh. Kelihatan Razi sedang tersenyum menghampiri.

“Razi,” balasnya dengan senyuman.

“Apa khabar?” soal Razi.

Okay aje. Kau? Dah lama tak dengar khabar. Sejak bila kau balik Malaysia?” soal Lufia.

“Kau rindu aku ke? Tu lah jual mahal sangat dengan aku,” usik Razi. Lufia tergelak kecil.

“Aku tanya lain, kau jawab lain. Aku serius lah,” balas Lufia sambil membesarkan matanya. Razi tergelak.

“Aku dah lama lah balik Malaysia. Aku ikut Iz hari tu. Tu lah kau. Lupa kawan,” sindir Razi.

“Tak lah. Cuma busy. Tu yang kita tak dapat lepak lagi,” balas Lufia dengan senyuman hambar.

“Kau pun masih marahkan Iz? Luf, kau pun tahu yang Iz tak tahu pun apa yang berlaku. Selama kat sana aku lihat sendiri bagaimana Iz bersusah payah mulakan hidup baru selepas Adwa pergi. Aku yakin kau pun dah lama tahu yang Iz dan Adwa saling sayang menyayangi. Macam-macam Iz buat untuk hubungi Adwa. Tapi sayang Adwa langsung tak beri Iz penjelasan atas kehilangannya. Malah terus salahkan Iz,” kata Razi.

“Adwa malu Razi. Kau tak tahu bagaimana Adwa teruskan hidup dengan hinaan dan cacian orang. Dia trauma,” balas Lufia. Razi mengangguk.

“Aku faham. Aku bukannya nak salahkan Adwa. Aku juga bukan nak menangkan Iz. Aku cuma kesal yang mereka berdua tu tak jujur dengan diri masing-masing. Kalau mereka jujur, tak lah sampai macam ni sekali mereka kena lalui,” katanya. Lufia mengangguk setuju.

“Kita ni baru jumpa tapi hal orang yang kita nak ulas. Jom lah kita makan malam. Kau belanja,” ajak Lufia sambil tergelak.

“Boleh sayang. Jom,” balas Razi sambil menarik lembut tangan Lufia.

“Issh, kalau ya pun jangan lah pegang aku,” rungut Lufia. Razi hanya tergelak.

                          *****

Adwa memandang lama kertas lukisan di hadapannya. Kertas itu masih bersih tanpa sebarang lakaran. Adwa mengeluh perlahan. Dia sendiri tidak faham dengan kemahuan hatinya. Mulutnya tidak pernah mendengar kata hatinya. Begitu juga hatinya yang tidak pernah melarang mulutnya untuk berbicara perkara yang tidak sepatutnya dia ucapkan. Adwa mencapai pensel. Dia kena buat keputusan. Seperti Tengku Hadwan, dia juga perlu mulakan hidup baru.

                           *****

Langkah Tengku Hadwan terhenti apabila melihat Izdan yang baru melangkah masuk ke dalam cafe.

“Iz,” tegurnya. Langkah Izdan terhenti.

“Kau sibuk?” soal Tengku Hadwan. Izdan menarik nafas panjang.

“Jom, aku belanja,” ajak Tengku Hadwan sambil melangkah ke arah sebuah meja yang kosong. Izdan mengikut dengan berat hati.

                              *****

Selepas memesan minuman, Izdan memandang lelaki itu semula.

“Kau sihat?” tanya Tengku Hadwan. Walaupun mereka mempunyai hubungan keluarga, namun mereka tidak seperti keluarga lain. Mereka berkumpul hanya bila perlu.

“Macam yang kau lihat sekarang ni,” balas Izdan tanpa senyuman.

“Iz, aku sebenarnya nak tanya sikit pasal Adwa. Aku dengar kau dan dia rapat,” kata Tengku Hadwan. Izdan tersenyum sinis.

“Aku minta maaf tapi aku tak boleh bantu kau. Semua perkara mengenai Adwa, aku tak boleh kongsi dengan orang yang tak ada kaitan dengannya. Bukan tak boleh tapi aku memang tak nak,” balas Izdan dengan nada tegas. Tengku Hadwan agak terkejut dengan reaksi lelaki itu.

“Kenapa?” soalnya dengan perasaan berdebar.

“Kau jangan pura-pura tak tahu Wan. Kau pun lelaki sama seperti aku,” balas Izdan dengan riak wajah serius. Tengku Hadwan bersandar pada kerusinya. Matanya masih memandang lelaki itu.

“Aku tak boleh kehilangan Adwa lagi. Tapi aku tak halang siapa pun nak dekat dengannya. Kau juga tak ada hak nak halang aku,” sambung Izdan. Tengku Hadwan terdiam seketika.

“Aku memang tak ada hak nak halang kau,” akhirnya dia bersuara perlahan. Izdan bangun dari kerusi.

“Aku pergi dulu,” katanya sebelum berlalu. Sejujurnya dia sangat takut. Tengku Hadwan dilihatnya sangat sempurna untuk Adwa Riana. Sangat jauh berbeza dengan dirinya. Tengku Hadwan meraup wajahnya. Dia mula menyesal kerana mengikut kata-kata Adwa hari itu. Jika tidak sudah pasti kini Adwa telah jadi miliknya. Izdan juga tentu tidak ada peluang untuk mendekati gadis itu lagi.

                               *****

“Uqash datang jumpa Adwa lagi. Kali ni kat pejabat,” beritahu Tania. Maria yang sedang membelek pasu bunganya menoleh ke arah wanita itu.

“Jadi? Adwa kata apa?” soalnya.

“Adwa tu tak ada masalah dengan papanya. Cuma dengan mama tirinya. Tu sebab Adwa sering mengelak nak bertemu dengan Uqash. Adwa kata dia perlukan masa untuk biasakan diri,” kata Tania. Maria mengangguk faham.

“Macam mana dengan Nia?” soalnya lagi kini kembali membelek pasunya.

“Maksud ibu?” tanya Tania semula. Dia meletakkan semula cawan yang berisi kopi panas.

“Nia dah maafkan Uqash?” soal Maria. Tania tergelak kecil.

“Gelak pula. Ibu tanya betul ni,” balas Maria sambil menjeling wanita itu.

“Nia dah maafkan lelaki tu ibu. Buat apa nak marah lagi. Benda dah pun berlaku beberapa tahun yang lalu. Lagipun tak baik berdendam. Takut si Adwa tu nanti ikut jejak Nia pula,” katanya separuh bergurau. Maria tergelak kecil.

“Cakap pasal cucu ibu tu, dia dah jalan?” tanyanya pula.

“Macam biasa lah ibu. Kalau masa sarapan dia tak ada, sudah pasti dia dah keluar awal. Semalam Nia ada masuk bilik Adwa. Dia dah mula melukis ibu,” beritahu Tania dengan riak wajah yang teruja. Sudah lama dia menunggu detik gembira di mana gadis itu mewarisi bakatnya.

“Syukur lah. Tapi jangan paksa dia sangat. Dulu masa kecil pun Adwa memang suka melukis. Tapi sejak pindah sekolah dia mula berhenti. Mungkin tak ada idea kot,” teka Maria.

“Mungkin juga sebab kawan baiknya jauh di kampung,” teka Tania pula. Kedua-duanya saling berpandangan sebelum tergelak.

“Ibu, betul ke Iz pun nak balik kampung?” soal Tania dengan senyuman. Maria mengangguk. Tania tersenyum lebar.

                               *****

“Semalam aku terserempak dengan Razi,” beritahu Lufia. Adwa yang sedang membuka bekalan makanan yang dibawa oleh gadis itu hanya tersenyum.

“Kenapa dengan dia?” soalnya.

“Rupanya dia dah lama balik Malaysia. Dia tu kerja dengan Iz. Tapi dalam masa yang sama dia ada buka gimnasium kat sini,” beritahu Lufia lagi. Adwa hanya mengangguk. Tangannya mula mencapai sudu.

“Dia ajak lepak macam dulu,” kata Lufia sambil memandang tepat wajah gadis itu.

“Maksudnya?” soal Adwa dengan perasaan berdebar.

“Kalau dia ajak lepak sudah pasti kau tahu siapa anggotanya,” balas Lufia. Adwa tergelak kecil.

“Aku undur diri,” katanya sambil mula menyuap makanan ke dalam mulut. Lufia bersandar pada kerusinya.

“Kalau macam tu, aku pun sama,” balasnya. Adwa membalas pandangan gadis itu.

“Aku tak halang,” katanya selamba sebelum menyambung suapannya. Lufia menggigit bibir melihat reaksi gadis itu.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.