Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
133,810
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14

Pagi-pagi lagi Iedil disuruh masuk ke dalam bilik pejabat Tengku Alauddin. Iedil sudah tergaru-garu kepala memikirkan apalah lagi kesilapan yang telah dibuatnya? Reza yang suka menyibuk, menaikkan ibu jarinya ke atas sebagai tanda ‘good luck’. Lelaki itu ketawa-ketawa melihat muka tidak ikhlas Iedil yang seperti ditolak-tolak saja batang tubuhnya menuju ke muka pintu. Lambat-lambat Iedil mengetuk pintu.

“Assalammualaikum daddy. Daddy nak jumpa Iedil?”

Tengku Alauddin menjawab salam yang diberi dan kemudian meminta anaknya itu untuk duduk. Iedil menyelesakan dirinya di atas kerusi. Dia seperti sudah dapat mengagak, perbualan ini pasti akan mengambil masa yang lama. Daddynya itu kalau sudah mula bercakap, meleret-leret ke perkara yang lain. Iedil sudah masak benar.

Mummy beritahu daddy yang Marsha ada datang ke rumah cari Iedil dua hari lepas. Kamu dah lama tak contact dia?” Tengku Alauddin memulakan bicara. Iedil mati kutu hendak menjawab. Kalau soal kerja, adalah modal untuk dia memberi jawapan.

“Eh, Marsha ada jumpa mummy dengan daddy ke? Apa yang dia beritahu kat daddy?”

“Kamu tak menjawab soalan daddy,” Tengku Alauddin mencelah. Kecut perut Iedil dibuatnya kalau Tengku Alauddin bernada serius begitu.

“Err... bukan dah lama tak contact cuma Iedil rasa bukan satu keperluan untuk Iedil menghubungi Marsha selalu.” Terasa formal pula ayat-ayat yang keluar dari mulutnya pada waktu itu. Serupa ayat karangan SPM pun ada juga. Ah, lantaklah. Kalau sudah gabra, memang skemalah jadinya.

“Baguslah kalau kamu akhirnya dah sedar...”

“Erk!” Iedil membuat muka pelik. Sangkanya, Tengku Alauddin akan memarahinya tetapi lain pula cerita yang berlaku. Bukankah selama ini, orang tua itu merestui perhubungan mereka? Hubungan Marsha dengan Tengku Alauddin pun baik-baik saja. Apa yang daddy mahu sampaikan sebenarnya ni?

Daddy tak berkenan dengan cara kamu usung anak dara orang ke sana ke mari. Kalau betul-betul kamu sukakan Marsha, jadikan dia halal untuk kamu terus. Bukan dengan cara berkepit seperti pasangan kekasih yang tak kenal mana dosa mana pahala. Kalau dulu, daddy perhati kamu tidaklah terlalu bebas, sebab tu daddy tak menegur. Tapi sekarang, daddy rasa perlu untuk menegur kamu.”

Nah! Itu dia dah kena setepek di muka! Iedil terkebil-kebil matanya. Rupa-rupanya, diam-diam si ayah bukanlah dia tidak mengambil peduli tetapi Tengku Alauddin mahu anaknya itu berfikir sendiri. Mana yang baik, mana yang tidak baik.

“Tapi Iedil tak pernah buat apa-apa pun dengan Marsha, daddy. Jauh sekali nak ambil kesempatan.” Iedil mempertahankan diri sendiri. Yalah, dia tidak mahu Tengku Alauddin hilang seluruh rasa kepercayaan terhadapnya.

“Itu daddy tahu. Tapi kita ni lelaki, Iedil. Nafsu kita biarpun ada satu dan sembilan yang lainnya akal tapi tetap nafsu yang satu itu kita turutkan. Daddy tak mahu kamu pergi terlalu jauh dan akhirnya cinta yang kamu agung-agungkan tu, sesuatu yang sia-sia.” Mendalam maksud Tengku Alauddin. Iedil tertunduk kepalanya. “Bila kamu mahu menikah dengan Marsha?” sambung Tengku Alauddin membuatkan Iedil seakan tercekik mendengarnya.

Actually... I think I'm not ready to get married at this point of time,”

May I know the reason?

“Iedil bukan mahu mempermain-mainkan perasaan Marsha, daddy tapi entahlah... hati Iedil rasa berat sangat,”

Then you should tell her... bukan dengan melarikan diri macam yang Iedil buat seperti sekarang ni. Jaga airmuka Marsha, dia juga ada keluarga. Nanti apa pula pandangan mereka terhadap kita,” nasihat Tengku Alauddin penuh lemah lembut. Lelaki itu bangun dari kerusinya dan menepuk-nepuk bahu si anak. Iedil mengangguk lemah.

Tengku Alauddin sebenarnya sudah tahu hujung pangkal cerita. Marsha sudah mengadu kepadanya. Kata gadis itu, Iedil asyik melarikan diri apabila diminta memberi jawapan tentang soal perkahwinan. Tengku Alauddin tidak boleh berbuat apa-apa kerana segala keputusan terletak di tangan Iedil. Lagipun anaknya itu nanti yang akan mengemudi bahtera rumahtangga mereka, bukan dia, bukan juga Engku Zulaikha, isterinya. Sebagai ayah, dia hanya boleh memberi nasihat dan berkongsi pengalaman.

“Marsha mesti mengamuk kalau Iedil kata Iedil belum buat keputusan. Hmm... entahlah daddy, deep bottom of my heart... I really feel that Marsha and I not meant to be together.” Iedil meluahkan isihatinya yang sebenar. Dan memang itulah yang dirasakannya hari demi hari. Sedangkan dulu, perempuan itulah baginya jodoh yang ditakdirkan Tuhan untuknya. Tetapi keyakinan itu semakin goyah tanpa sebab yang dia sendiri tidak tahu.

“Kamu ada buat istikharah?” soal Tengku Alauddin membuatkan dirinya sekali lagi serupa cicak tertelan kapur. Iedil tersengih-sengih sumbing dan kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. “Itulah kamu! Nak pasangan yang baik, jodoh yang baik, mintalah petunjuk dari ALLAH dulu. Tapi sebelum tu, jangan lupa cuci dosa kita dengan solat taubat. Ini daddy tengok, bangun Subuh pun nak harapkan Mak Mah kamu yang kejutkan. Macam mana ni nak jadi pemimpin keluarga?”

Habis! Tengku Alauddin sudah mula sesi tazkirah paginya. Iedil akui Tengku Alauddin bukan cakap sembarangan. Dia sendiri melihat dengan mata kepalanya sendiri, bagaimana disiplinnya orang tua itu dalam beribadah. Engku Zulaikha, mummynya yang dulu barangkali tidak pernah menyentuh tikar sembahyang pun sudah ditarbiah untuk tidak meninggalkan solat lima waktu.

Biarpun wanita itu sebenarnya tidak tahan asyik mendengar cecehan si suami, itu yang dipaksa dirinya untuk bersolat. Bagi Tengku Alauddin, perkara-perkara baik dan dituntut agama ini, ada kalanya perlu dipaksa-paksa supaya lama-kelamaan menjadi kebiasaan. Mungkin di awalnya tidak ikhlas, tetapi manalah tahu di hujung-hujung nanti ALLAH membuka hati isterinya itu.

Daddy macam mana boleh tahan dengan mummy eh?” Iedil tanpa sedar mengajukan soalan yang tidak pernah-pernah keluar dari mulutnya sejak Tengku Alauddin mengahwini Engku Zulaikha. Iedil menampar mulut sendiri. Harap-haraplah daddy tak terasa hati. Iedil bergumam sendiri.

“Sebab daddy mahu dapat pahala kesabaran Nabi Ayub alaihisalam,” ringkas Tengku Alauddin menjawab. Iedil agak terpinga-pinga mencerakin makna. Melihat kerutan pada wajah putera kesayangannya itu, tahulah Tengku Alauddin yang Iedil masih tidak dapat menangkap akan maksudnya. “Kamu masih ingat kisah Nabi Ayub?” uji Tengku Alauddin bertanyakan kepada si anak. Iedil menganggukkan kepala antara yakin dengan tidak. Hakikatnya, dia ingat-ingat lupa apabila ditebak soalan secara tiba-tiba.

“Cerita Nabi Ayub yang kena penyakit kudis tu kan, daddy?” Iedil menjawab ragu-ragu. Walaupun separuh hati mudanya ingin saja menghilangkan diri dari bilik pejabat Tengku Alauddin pada waktu itu juga tetapi sebahagian hatinya menyuruh dia untuk terus mendengar. Iedil masih ingat lagi, sirah-sirah nabi begini selalunya arwah mamanya yang suka berkongsi cerita dengannya pada waktu kecil-kecil dulu. Serta-merta, rasa rindu kepada yang telah pergi, mencuit sanubari.

“Betullah tu. Pada fikiran kita, kesakitan, kemiskinan dan kesusahan itu ajelah ujian yang diturunkan ALLAH. Tetapi sebenarnya, kemewahan, kejayaan dan kesihatan yang ALLAH kurniakan kepada kita juga satu ujian. Macam kisah Nabi Ayub, sebelum fasa kesusahan yang dihadapi baginda, fasa kesenangan hidup yang dinikmati baginda selama 80 tahun tu juga satu ujian untuk kita fikirkan bersama.” Tengku Alauddin menjurus sembang-sembang santai mereka anak-beranak ke arah konteks yang lebih intelektual. Iedil terangguk-angguk kepala.

Apabila Tengku Alauddin membangkitkan kisah Nabi Ayub pagi-pagi sebegini, sedikit sebanyak membuka fikiran Iedil untuk mengingati kisah agung itu semula. Nabi Ayub alaihisalam yang punya segala-galanya di dunia. Baginda punya kekayaan yang melimpah ruah, perniagaan yang berjaya, anak-anak yang ramai, isteri yang taat dan keluarga yang bahagia. Barangkali, bagi seorang lelaki, inilah puncak kebahagiaan.

Syaitan yang berasa hasad dengan Nabi Ayub, meminta izin dari ALLAH untuk menimpakan malapetaka satu persatu dalam hidup kekasih ALLAH itu. Sebaik saja ALLAH memberi sedikit kekuasaan kepada syaitan untuk menggoyahkan iman Nabi Ayub, bersegeralah syaitan dan kuncu-kuncunya melakukan kerosakan demi kerosakan. Segala harta kekayaan Nabi Ayub terbakar dalam sekelip mata, anak-anak Nabi Ayub meninggal dunia serentak, masyarakat menyumpah seranah, isteri-isteri meninggalkannya dan paling getir sekali ujian Nabi Ayub adalah penyakit kudis nanah yang memakan seluruh daging pada tubuhnya.

“Sehinggalah ada dua cacing pada tubuhnya yang berkudis dan bernanah teruk itu hendak memakan hati dan lidahnya, pada waktu itulah Nabi Ayub baru memohon belas kepada ALLAH. Bukan kerana baginda berputus asa dan mengalah tetapi Nabi Ayub bimbang kalau hati dan lidahnya dimakan cacing-cacing itu, hatinya tidak boleh mentakzimkan ALLAH dan lidahnya tidak lagi boleh berzikrullah. ALLAH... ALLAH... ALLAH... betapa tingginya tahap kesabaran Nabi Ayub alaihisalam,”

Iedil merinding bulu romanya. Entah kenapa, kisah Nabi Ayub itu walaupun sebelum ini sudah berkali-kali dia mendengarnya, tetapi kali ini benar-benar menyentap perasaannya. Iedil beristighfar di hujung lidah. Memuhasabah diri yang serba-serbi kekurangan.

“Bila Iedil tanya daddy, macam mana daddy boleh tahan dengan perangai mummy. Itulah jawapannya, nak. Daddy tak mahu jadi hamba ALLAH yang tak bersyukur. Daddy ada anak-anak yang berjaya, ada perniagaan yang menguntungkan tinggal lagi... seorang isteri yang daddy perlu tarbiah jiwanya. Daddy tahu mummy bukan seperti arwah mama kamu, Iedil. Tapi mummy tetap mummy kamu biar macam mana dia sekalipun.”

Seakan-akan sebongkah batu besar menghempap batang tubuh Iedil ketika itu. Ya Tuhan, dia benar-benar berasa bersalah kerana sesuka hati saja melemparkan soalan tanpa memikirkan hati dan perasaan si ayah. Didorang rasa bersalah yang amat sangat, Iedil meraih tangan Tengku Alauddin dan memohon maaf bersungguh-sungguh.

“Maafkan Iedil, daddy. Iedil tak patut tanya soalan mengarut macam tu. Maafkan Iedil kalau daddy terasa hati. Iedil betul-betul tak berniat nak buat daddy tersinggung,”

Tengku Alauddin terasa senang hati. Iedil sebenarnya seorang anak muda yang baik. Arwah isterinya sudah mendidik putera kesayangan itu dengan sebaik-baik didikan sejak kecil lagi. Barangkali lewat sekarang ini, Iedil sedikit tergelincir dalam menjalani kehidupannya. Salahnya juga kerana terlepas pandang lantaran terlalu sibuk dengan urusan perniagaan. Pun begitu, doa-doa yang baik tidak pernah lupa dia panjatkan untuk Iedil, Fetri dan isterinya Engku Zulaikha.

“Hisy, daddy okey ajelah. Tentang Marsha, daddy harap Iedil dapat buat keputusan yang tepat. Daddy tidak mahu masuk campur cuma apa yang daddy boleh nasihatkan, mintalah petunjuk dari ALLAH. Jangan lupa beristikharah. Siapa saja pilihan hati Iedil, daddy terima dengan hati terbuka. Lagipun daddy pun tak sabar nak menimang cucu.” Tengku Alauddin mengusik anaknya di hujung-hujung ayat. Iedil tersenyum lebar. Inilah kali pertama agaknya, dia keluar dari bilik pejabat Tengku Alauddin dengan muka berseri-seri. Kalau sebelum ini, mesti monyok serupa tikus mondok saja rupanya. Barangkali, baru kali ini pintu matahatinya terbuka.

“Amboi, senyum sokmo! Selalunya kalau keluar bilik Tengku, muka kedut seribu!” pangkah Reza yang tidak sabar-sabar menanti cerita daripada ketuanya itu. Lama juga Iedil di dalam bilik pejabat Tengku Alauddin, setengah jam jugalah.

Daddy aku kata tak sabar nak menimang cucu... Ha...ha...ha...” beritahu Iedil sambil tergelak-gelak. Reza mengekori Iedil masuk ke bilik pejabat pengarah kreatif Art Media itu. Serupa orang tidak ada kerja. Sibuk hendak mendengar cerita.

“Wow! Mati-matilah aku ingat Tengku panggil kau sebab nak bambu soal kerja. Jadi, Tengku dah setujulah ye nak terima Marsha sebagai menantu dia?” Reza serkap jarang biarpun tidak mengena.

Daddy aku cakap dia akan terima siapa aje yang aku pilih...” Iedil memilih ayat yang lebih bijak supaya tidak kedengaran, dia sebenarnya berat hati hendak menerima Marsha sebagai jodohnya hingga bawa ke syurga.

Wait a minute, I sense something elusive... Come on, tell me!

“Aku dapat rasa... Marsha dan aku tak ditakdirkan untuk bersama...” luah Iedil melepaskan segumpal rasa yang semakin menekan-nekan jiwanya. Dia tidak sedar luahan jujurnya itu singgah ke indera pendengaran orang ketiga. Pintu bilik pejabat yang tidak dikatup rapat, dibuka kasar. Berdiri sesusuk tubuh dengan wajah menahan marah di muka pintu.

What??? What do you mean by we’re not meant to be together? Are you trying to make a silly jokes here, Iedil?

Reza ternganga mulutnya apabila melihat Marsha Gordon sudah bercekak pinggang di depan pintu. Dia pula yang terasa takut dengan perang dunia ketiga yang bakal meletus itu. Terbayang-bayang di dalam kepala Reza, perempuan itu memakai sepersalinan hitam Darth Vader. Hisy! Tak habis-habis imaginasi melampaunya itu. Iedil tertelan air liur. Tetapi tidak pula lelaki itu pucat lesi wajahnya. Entah kenapa, Iedil berasa jiwanya cukup aman untuk berdepan dengan kemarahan Marsha.

It’s not what you think, Marsha. What I really meant to say... we're just not ready for forever yet...

“You jangan nak putar belit dengan I lah, Iedil!!! You better, don’t!!!” jerit Marsha sekuat-kuat hati. Iedil mengisyaratkan Reza untuk keluar dari bilik itu dan menutup pintu bilik pejabatnya sejurus itu. Dia tidak mahu suara Marsha yang berketinggian tiga oktaf itu mendatangkan keriuhan dan spekulasi staf-stafnya kelak.

“Duduk dulu, Marsha. You perlu bertenang terlebih dulu, baru you boleh faham apa yang I cuba maksudkan...” pujuk Iedil apabila melihat Marsha terjegil matanya seolah-olah panahan mata perempuan itu mampu membakar semua benda yang dilihatnya.

“You suruh I bertenang??? Sekarang baru I faham kenapa you liat sangat nak bagi jawapan. You memang tak nak kahwin dengan I kan? You memang nak permain-mainkan hati I kan? Tell me, Iedil! Tell me who’s that bitch!!!

Iedil menepuk dahi. Aduh, makin parah nampak gayanya. Marsha terus-terusan menjerit-jerit. Bercakap dengan orang yang sedang hatinya meluap-luap api amarah, tidak memberi makna apa-apa. Bahkan sia-sia.

“Marsha, please behave yourself. Daddy I dekat bilik sebelah aje tu. Nanti daddy I ingat apa pulak nanti?”

“Biar! Biar daddy you tahu! Biar dia tahu anak dia ni munafik! Tak pegang pada janji! I tahu you ada perempuan lain kan? Beritahu I siapa perempuan jalang tu?”

You always jump to conclusions, Marsha. Perempuan mana pulak ni?” Iedil mengeluh halus. Kalau diikutkan hati yang sama-sama marah, mahu saja diheretnya Marsha keluar dari bilik itu. Tetapi apabila jiwa tenangnya teringat akan kisah Nabi Ayub baru sekejap tadi, serta-merta Iedil cuba untuk melapangkan dadanya. Bukankah kesabaran itu terletak pada hentaman yang pertama?

Okay, fine kalau you berdolak-dalik! But remember Iedil, once I found that bitch, I’ll kill her!!! I warned you!!!” Marsha menjerit untuk kesekian kalinya. Iedil hanya mampu terduduk dan tergeleng-geleng kepala melihat kekasihnya itu beredar dari situ. Inilah kali pertama dia melihat sisi yang lain pada diri Marsha. Marsha yang tidak lagi manja menggoda tetapi penuh dengan dendam yang membara. Iedil beristighfar.

Kelihatan Reza terjenguk-jenguk dari luar. Begitu juga dengan staf-staf yang lain. Masing-masing kecut perut bila mana Marsha Gordon sudah bertukar menjadi singa betina! Iedil mengangkat tangan dan menyuruh mereka semua, menyambung kerja semula.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.