BAB 7 : DIKAU MULA MENGUSIK JIWA
“Kurang ajar punya perempuan! Kalau I jumpa dengan dia lagi,
siaplah dia! Ini semua you all punya pasal, patutnya you all tak benarkan orang
macam tu masuk dalam butik ni.” Netty menghamburkan kata-kata kesat itu kepada
gadis jurujual yang hanya terpinga-pinga.
“Netty, apa yg kecoh-kecoh ni? Ini tempat awam, bukannya
sarkis! You tak malu ke?” Sentap jiwa Netty dibuatnya. Kata-kata Tengku Aidil
itu begitu pedih untuk ditelan.
“Darling, you tak tahu apa dah jadi. Tadi ada seorang
perempuan tu biadap sangat dengan I. Tulah you bukannya nak temankan I, dari
tadi you sibuk memanjang dengan handphone sampai tak perasan dengan apa yang
telah terjadi.” Rengekan Netty itu gagal mengundang simpati Tengku Aidil.
“Siapa cakap I tak perasan? Dari tadi I dah nampak dan dengar
sendiri apa yang telah berlaku. Memang betul apa yang dikatakan oleh gadis tu. You
should learn how to respect other people, Tengku Natalia,” bidas Tengku Aidil
dengan wajah yang serius.
“Dahlah! Malas I nak bertekak dengan you! Memang you tak
pernah nak backing I, asyik nak condemn saja! Kalau macam ni I nak baliklah!
Malas nak shopping lagi!”
“Baguslah kalau macam tu. I pun banyak lagi kerja lagi kat
pejabat tu. Jom kita balik sekarang.” Tengku Aidil terus melangkah keluar dari
butik itu. Terpaku Netty seketika, di sangkanya Tengku Aidil akan berpatah
balik dan memujuknya namun ternyata telahannya silap belaka. Akhirnya Netty
tiada pilihan dan dia terpaksa mengikuti langkah Tengku Aidil dengan perasaan
sebal.
SEMENTARA ITU…
Aku dan Linda berjaya mendapatkan
beberapa persalinan menawan dan aksesori bersesuaian yang akan digayakan olehku
pada majlis makan malam itu nanti. Selepas itu kami berpisah seketika; Linda bergegas
semula ke pejabat manakala aku meneruskan perjalanan ke hospital. Tak sabar hati
ini rasanya berjumpa dan bercakap dengan ibu. Sesampainya di hospital tanpa
berlengah lagi aku terus bergegas ke Wad ICU dan mendapatkan jururawat yang
bertugas di kaunter. Menurut jururawat itu ibuku masih tidak sedarkan diri lagi
dan masih menjalani rawatan intensif. Buat masa ini sesiapa pun tidak dibenarkan
untuk menjenguknya. Hampa sungguh rasanya hatiku ini, namun tiada apa yg dapat
ku lakukan buat masa ini, hanya doa yg mampu aku titipkan buat ibu. Baru ku teringat, aku belum solat zuhur lagi!
Ku hayunkan kaki ini ke surau yg berdekatan. Nasibku baik kerana tidak ramai
orang yang berada di surau ketika ini, mungkin kebanyakan dari staf hospital
ini keluar untuk makan tengahari. Usai solat dengan segera aku bergegas semula
ke wad ICU. Dari kejauhan dapat ku lihat kelibat makcik Som dan anaknya Azri.
Aku mula rasa tidak sedap hati melihat kemunculan mereka berdua. Kebiasaannya kalau
munculnya dua susuk tubuh manusia ini pasti ada sesuatu yg di inginkan oleh
mereka.
“Ira..mana kamu pergi? Puas
makcik menunggu kamu kat sini, kan Azri?” Azri hanya mengganggukkan kepalanya
sambil tersengih-sengih.
“Kenapa makcik, ada apa-apa
hal yg penting ke?” Soalku dengan nada kurang senang.
“Hehehe..tak ada apa-apa
sebenarnya...”
“Ish mak ni, janganlah
malu-malu kucing pula, mak terus-terang jelah dengan si Ira ni,” dengan cepat
Azri memotong kata-kata ibunya.
“Kenapa ni makcik, baik
makcik cakap terus-terang dengan saya, saya tak faham bahasa-bahasa kiasan ni.”
Makcik Som dan Azri saling bertolakan antara satu sama lain. Kemudian secara
separuh berbisik Makcik Som mula mengungkapkan kata-kata.
“Begini Ira. Sebenarnya
makcik sekarang ni kesempitan duit sikit. Semalam ada lagi duit makcik RM 50
tapi semalam abang Azri kamu ni dah pakai buat duit minyak untuk hantar mak
kamu ke hospital. Jadi..kamu faham-faham sendirilah ya.”
Tepat sungguh ramalanku kali
ini. Memang dua beranak ini mempunyai agenda yg tersendiri. Sanggup mereka datang
ke hospital semata-mata kerana duit RM 50 tanpa mempedulikan keadaan ibu yg
sedang sakit tenat! Tidak dapat dinafikan ibuku kerap meminta pertolongan
daripada keluarga Makcik Som terutamanya bantuan kewangan namun ibu akan segera
melangsaikan hutang tersebut sebaik sahaja ibu mempunyai duit. Tiba-tiba aku
teringat akan duit yang diberi oleh Tengku Aidil pagi tadi. Segera ku seluk
poket seluarku dan kebetulan ada dua keping duit RM 50. Ku hulurkan sekeping
duit RM50 kepada Makcik Som.
“Mana cukup banyak ni, bagi
sini lagi RM 50 tu, lagipun masih ada hutang mak kamu yang belum langsai.”
tukas Azri sambil merampas kedua-dua keping wang itu dari tanganku. Tak guna
betul! Aku cuba merampas semula wang tersebut dari tangan Azri namun ternyata
dia lebih cekap. Ditolaknya aku ke tepi dinding namun aku bingkas bangun dan ku
layangkan sebiji penumbuk sulung tepat di pipi kanannya. Kali ini Azri betul-betul
naik hantu! Tanganku diregut dengan kasar sehingga aku berteriak kesakitan.
“Kalau betul anak jantan, nak
beradu tenaga sangat, carilah lawan yg sepadan, bukannya menganiayai kaum
wanita yg lemah,” herdik Tengku Aidil sambil menolak Azri ke tepi. Azri dan
Makcik Som bergegas meninggalkan tempat itu. Aku pula terpinga-pinga. Bila masa
pula dia sampai ke sini?
“You tak apa-apa Ira?”
Renungannya itu sekali lagi mencairkan jiwaku ini.
“Saya ok Tengku.”
“Ok apanya? Cuba tengok,
tangan you lebam ni. Mari kita pergi jumpa doktor sekejap.” Tengku Aidil
menarik tanganku namun aku perasan ada sepasang mata sedang merenung
kelakuan kami berdua dengan penuh minat. Segera ku rungkaikan pegangan
tangannya! Tengku Aidil tidak keseorangan hari ini. Di sisinya seorang pemuda berkulit
sawo matang yang tidak kurang kacaknya melemparkan sebuah senyuman mesra
buatku. Wajahnya segera membuatkan pita perakam di dalam mindaku mula memutar
rancak. Ya, aku kenal siapa dia!
“Hai Cik Safira. Cam tak
saya? Ingat tak semalam awak ada datang ke kedai saya?”
“Oh..ini Encik Fikri, tauke
kedai alat tulis kan?” Fikri tersenyum simpul.
“Tak sangka Cik Safira masih
ingatkan saya. Kuat juga ingatan Cik Safira ni.” Ada riak kurang senang di
wajah Tengku Aidil apabila melihat kemesraan di antara kami berdua.
“Ira, jom ikut I ke farmasi,
I nak ambil ubat untuk tangan you yg
lebam tu.”
“Tak payah lah Tengku. Sikit
je ni. Esok lusa baiklah nanti.” Tiba-tiba telefon bimbit Fikri berbunyi dan
dia meminta diri sebentar untuk menjawab panggilan itu. Kesempatan ini
digunakan oleh Tengku Aidil untuk meminta penjelasan dariku.
“Siapa lelaki tadi? Kenapa you
bagi duit pada dia?” Sekali lagi aku membatukan diri. Buntu aku seketika. Haruskah
aku ceritakan semua kepadanya?
“Hmm..dia tu Azri, anak
Makcik Som, jiran saya.” Jawapan ringkas yang terpacul dari mulutku itu nyata kurang memuaskan hati Tengku Aidil.
“Oh..jiran. So kenapa pula you
bagi duit pada dia? You ada berhutang dengan dia ke?”
Secara automatik kepala yang
tidak gatal ku garu. “Tak ada hutang cuma...Eh mak saya yang berhutang agaknya.”
“Agaknya?? You ni biar betul,
kejap ada hutang, kejap tak ada hutang, mana satu yg betul ni?” Terkial-kial
aku menepis persoalan demi persoalan yang ditimbulkan oleh Tengku Aidil.
Mujurlah Fikri muncul semula di situ sekaligus menyelamatkan aku dari keadaan yang
semakin genting itu. Fikri memandang wajah Tengku Aidil yang kelihatan tegang dengan
penuh rasa kehairanan.
“Kenapa ni bro? Nampak
semacam je. Ada apa-apa yg tak kena?” Soalan Fikri itu di biarkan tergantung.
Aku segera memalingkan wajahku ke arah lain. Harap-harap Fikri tidak akan dapat
mengesan pertelingkahan kecil yang tercetus di antara aku dan Tengku Aidil.
“Tak ada apa-apalah. Hah
Fikri, tadi you cakap nak melawat mak Ira kan? Jomlah kita pergi.” Fuhh! Lega
hatiku apabila mendengarkan jawapan Tengku Aidil. Pandai juga mamat ni ‘cover
line’ kami berdua.
“Encik Fikri, saya minta
maaf. Buat masa ini ibu saya tak boleh dilawati oleh sesiapa pun. Dia sedang
dalam pemerhatian lanjut dan masih berada dalam keadaan yg kritikal.” Sayunya
suaraku itu bagaikan menyentak Tengku Aidil. Air mukanya segera berubah. Mungkin
dia berasa bersalah kerana bertikam lidah denganku di atas perkara yang
remeh-temeh sedangkan ibuku sedang bertarung nyawa di dalam sana.
Fikri menghembus nafas kasar.
“Oh begitu. Tak apalah kalau macam tu saya nak minta diri dulu. Kedai saya tu tak
boleh nak tinggal lama-lama, risau pula nanti pekerja saya tak boleh nak uruskan
nanti.”
“Tak apa Encik Fikri, saya
faham. Encik Fikri dah datang sini untuk menjenguk ibu saya ni pun saya dah
rasa berterima kasih sangat.” Polos ungkapanku namun ianya kedengaran tawar dan
hambar. Bukannya aku marah padanya namun keadaan ibuku yang masih kritikal sedikit
sebanyak menggusarkan jiwa ini.
Tengku Aidil menggamit Fikri.
“Jom Fik, I hantarkan you balik.”
“Tak payah susah-susahlah
bro, aku boleh ambil teksi saja lagipun bukannya jauh sangat hospital ni dengan
kedai aku.”
“Hmm…kalau you sendiri yang
cakap macam tu, I tak boleh nak kata apa-apa. Jom I hantar you sampai bawah.” Bingkas
Tengku Aidil melangkah sambil di ikuti oleh Fikri. Aku hanya merenung mereka
berdua sehingga kelibat mereka hilang dari pandanganku.
“Aidil, aku nak cakap sesuatu
tapi kau jangan marah ya? Betul ke kau nak jadikan Safira tu sebagai teman
wanita kau? Dia memang cantik, comel, jelita tapi kau jangan lupa sesuatu,
Aidil. Parent kau! Dapatkah mereka menerima calon menantu yang tidak setaraf
dengan mereka?”
“Come on lah Fik, apa yang
tak setarafnya? Pangkat, kedudukan tu hanyalah duniawi sahaja. Di sisi Allah
kita semua sama sahaja, yang membezakan kita adalah amal ibadat.” Bungkam Fikri
mendengar hujahan Tengku Aidil. Sejak bila pula Tengku Aidil pandai bersyarah
sebegini? Fikri masih belum mahu mengalah.
“Aku bukannya prejudis dan
memilih bulu, tapi yang aku maksudkan adalah mummy kau. Agaknya mummy kau boleh ke terima si Safira
tu? Lagipun kau tengok sendiri tadi kan, si Safira tu mana ada ciri-ciri wanita
melayu terakhir. Mujur sahaja dia tidak bertumbuk dengan lelaki tadi.” Tengku
Aidil terdiam. Memang tidak dapat dinafikan ada benarnya kata-kata itu namun hanya
Safira sahajalah pilihan terbaik yang dimiliki oleh Tengku Aidil buat masa ini.
“Fik, you jangan risau ok. I
dan Ira tu hanya berlakon sahaja. Kami tak pernah dan tak akan pernah ada
apa-apa hubungan. Takkanlah I nak pilih dia sebagai girlfriend I. Tapi sekarang
ni I memang betul-betul terdesak. I tak nak bertunang dengan si Netty tu. Daripada
si Netty tu lebih baik I berpacaran dengan Ira, janji I terlepas dari genggaman
perempuan itu.” Fikri terkedu. Nampaknya sahabat baiknya ini benar-benar nekad
kali ini.
Fikri menebak. “Tapi aku
musykil sikit. Betul ke kalian berdua tiada apa-apa hubungan? Dari renungan
mata masing-masing macam ada sesuatu je.”
“Dahlah Fikri, you jangan nak
mengarutlah. Mustahil I akan bersama dengan Ira tu. You jangan nak buat
spekulasi yang bukan-bukan,” gerutu Tengku Aidil sambil merenung tajam ke arah
sahabat baiknya itu. Fikri hanya tersenyum sumbing. Sejurus kemudian sebuah
teksi tiba dan Fikri terus menaiki teksi itu menuju ke destinasinya. Tengku
Aidil pula bergegas semula ke atas untuk mendapatkan Ira. Namun fikirannya
masih berlegar-legar dengan kata-kata Fikri sebentar tadi. Tengku Aidil sendiri
keliru dengan perasaannya sendiri. Adakah dia sudah jatuh hati dengan Safira?
Tidak mungkin!!
Dari jauh kelihatan kelibat
Tengku Aidil sudah menari-nari di mataku. Kelihatan seperti dia mengelamun
jauh, entah apalah yang sedang difikirkannnya. Mulalah terbetik rancangan jahat
di dalam kepalaku. Kebetulan ada buku nota dan pen di dalam begku. Dengan
pantas aku mencatit sesuatu kemudian segera bersembunyi di belakang pintu. Sejurus
tibanya Tengku Aidil terus aku melompat dan berteriak kepadanya.
“SURPRISE!!!”
“OPOCOT!!”
Tengku Aidil merenungku
dengan wajah yang menyinga. Aku hanya tersengih-sengih sambil menghulurkan
sehelai nota yg tertulis “SAYA SUKA AWAK”. Seraya itu Tengku Aidil merampas
cebisan kertas itu dan terus tersenyum. Kemarahan yang membuak-buak dalam
dirinya sebentar tadi terbang menghilang entah ke mana.
“Sori, saya bergurau je.
Jangan marah ya..tapi kalau Tengku marah, lagi bertambah handsome tau.” Aish! Kenapa
pula bibirku ini gatal benar memujinya? Wajah putih bersih Tengku Aidil terus
bertukar ke rona kemerahan.
“Kalau pasal ambil hati
memang nombor satu kan. Ni yg buat I bertambah sayang kat you.” Hidung mancungku
di cuit olehnya. Entah mengapa hati ini rasa di gigit bahagia apabila dia
memperlakukan aku sebegitu. Hilaian tawa terus meletus di antara kami. Buat
pertama kalinya aku dapat merasai keindahan dan kebahagian dalam hidupku. Alangkah
baiknya jikalau aku adalah kekasih hatinya yang sah, bukan sekadar kekasih
samaran sahaja.