BERSUNGGUH-SUNGGUH
Aida ketawa setelah mendengar cerita Suriya tentang Luqman Haqim. Cerita Suriya
membuatkan dia merasa teringin benar mahu berjumpa lelaki itu. Benar-benar
maniskah senyuman lelaki bernama Luqman itu? Tahap diabeteskah? Suriya kawannya
ini bagaikan berantakan hatinya diusik si penjual sayur. Hebat! Hebat benar
lelaki bernama Luqman itu.
“Eh, kau curilah gambar dia.” Aida
memberikan idea.
“Kau gila! Mahu retak telefon aku
nanti.” Suriya menggeleng. Tidak mahu. Tidak sanggup. Kalau tertangkap dek
Luqman, lelaki itu pasti membuat kenduri untuk seluruh warga pasar. Malu seumur
hidup.
Aida ketawa di hujung talian. Retak
konon. Sudah hampir setengah jam mereka berbual dan sepanjang perbualan mereka
itu, entah berapa banyak kali nama Luqman disebut oleh Suriya. Tidak terkira.
Macam setiap saat saja disebut, dicanang oleh Suriya.
“Eh Suriya kau tahu tak, aku rasa
bila kau sebut nama dia aje macam seolah-olah kau ada semangat baru aje. Macam
ada bunga-bunga cinta aje. Macam penuh pelangi aje.” Aida mengusik.
“Aku pulak rasa, macam ada orang nak
kena sepak aje.” Suriya laju membalas dan Aida menyambung ketawa. Gila ganas
Suriya dibuatnya kerana angkara Luqman.
“Jangan menyampah orang wei. Nanti
hati tu terbalik, buat kuak lentang...langsung naik pelamin.” Aida
mengingatkan. Bukankah itu yang selalu orang katakan. Dari benci menjadi cinta
lalu mengikat takdir untuk jodoh bersama?
“Argh kau pun sama sengal macam
dia.” Suriya merasa geram. Mahu mengadu supaya mendapat rakan sokongan namun
Aida pula seperti seronok mentertawakan saja. Sah, pagar yang membawa rebah.
Pagar jenis kayu yang sudah dimamah anai-anai.
“Kau kata dia ada gigi taring?”
“Ya. Aku rasa malam-malam dia jadi
‘vampire’.” Sesuka hati Suriya membuat telahan dan kemudiannya ketawa.
“Argh...habis tu kau dah kena gigit
ke? Berapa kali?”
“Kau gila ke apa?” Terkejut Suriya
mendengar soalan Aida. Ingat dia ini apa? Semudah itu menyerahkan batang
lehernya untuk dihisap darah? Dijauhkan.
“Manalah tahu.” Aida gelihati
apabila disergah sebegitu. Nampaknya memang Suriya naik angin dengan Luqman
ini. Jarang Suriya naik angin hanya kerana seorang lelaki yang tidak dikenali.
Sekali lagi Aida terasa yang Luqman ini memang hebat.
“Aku rasa nak ke KL lah. Prof Safiah
nak jumpa.”
Di hujung talian, Aida sudah
menjerit. Gembira.
“Dah kenapa kau jerit-jerit ni? Aku
baru ada kat sini tujuh hari.” Suriya menegur Aida. Memang baru seminggu pun.
Bukan sebulan tetapi yalah, mereka sudah biasa hidup bersama. Tiga tahun
sama-sama belajar di KDU. Dan tidak dapat dinafikan, Aidalah yang banyak menolong
dirinya selama dia merantau di Kuala Lumpur. Keluarga Aida juga sudah dianggap
seperti keluarga sendiri. Memang nasib dirinya, menumpang kasih orang lain.
Menumpang kasih dengan Mak Jah. Menumpang kasih dengan keluarga Aida tetapi
terbuang dari keluarga sendiri.
“Rindulah. Dahlah bila telefon
pulak, kau asyik cerita pasal orang lain. Bukan nak tanya khabar aku.” Aida
pura-pura merajuk.
“Ngada-ngadalah kau.”
“Kau bawak kereta?” tanya Aida penuh
teruja.
“Taklah. Nak naik bas aje. Kau ambik
aku kat TBS?”
“Boleh-boleh. Selagi aku tak naik
kerja.” Aida bersetuju.
“Kau serius tak nak sambung
belajar?”
“Tak naklah. Kalau sambung pun, kena
tolong syarikat ayah aku ni jugak. Baik aku kerja sekarang dari siksa otak aku
yang tentu-tentu bukan kategori genius macam kau.” Aida membalas. Yakin sudah
dengan keputusan yang dibuatnya itu ketika mereka habis minggu peperiksaan
tempohari.
“Genius apanya.” Suriya merendah
diri.
“Prof nak suruh kau jadi tutor dia
ke? Macam yang dia ajak hari tu eh?’ tanya Aida. Antara dia dengan Suriya,
memang kawannya itu lebih bagus keputusannya. Anak emas para pensyarah. Dia
setakat anak gangsa saja. Bolehlah setakat mahu hidup.
“Aku tak buat keputusan lagi.”
“Kau tak balik rumah ayah kau lagi
ke?” Nada suara Aida mengendur. Seboleh mungkin memang dia mengelak berbincang
tentang isu keluarga dengan Suriya namun sebagai kawan, dia perlu juga memberikan
nasihat apabila perlu dan jika bersesuaian.
“Dia orang tak ada kat sini. Cuti ke
Turki katanya.”
“Oh.” Rasa kasihan melimpahi hati
Aida. Ke Turki sekeluarga kecuali Suriya. Kasihan sungguh temannya ini.
“Eh, oklah. Kirim salam ibu ayah
kau. Nanti aku bagitahu bas pukul berapa ya.” Suriya mahu menghentikan
perbualan. Telefon pun sudah terasa panas. Kredit pun pasti akan jadi nyawa-nyawa
ikan.
“Jangan lupa...curi gambar dia.”
Aida mengingatkan.
“Jangan mimpi.”
“Curilah. Nak jugak tengok.” Aida
masih mahu memujuk.
“Nanti kalau terpikatkan susah.
Jadi, tak payah ok.” Suriya menolak.
“Kau takut siapa yang terpikat ni?
Aku ke engkau?” soal Aida dengan laju.
Disergah dengan soalan sebegitu, Suriya
jadi terdiam. Apa yang dia katakan tadi ya? Jadi lupa. Inilah padahnya jika
bercakap ikut sedap mulut saja. Jenis tiada insurans. Bahaya. Baik berundur.
Baik diam. Nanti Aida jadikan modal untuk 44 hari yang akan datang. Aniaya
namanya. Mari reka alasan.
“Mak Jah panggil aku. Nanti jumpa,
kita cerita panjang-panjang.”
Talian dimatikan sebelum Aida mampu
melancarkan satu lagi serangan dan Suriya menarik nafas lega. Kenapa tiba-tiba wajah
Luqman datang dalam fikiran? Kesan karipapkah? Argh, jangan mengarut. Masa
makan tempohari dia ada membaca bismillah. Haru betul. Jangan percaya benda
yang mengarut, Suriya.
PERUT yang kenyang
diusap. Sarapan yang mudah tetapi memang terasa seperti di syurga. Lempeng
bercicah sambal tumis dan kari daging lebihan lauk semalam. Lama-lama duduk di
sini memang sajalah menambah kolestrol. Suriya memandang dapur yang sudah
dibersihkan. Pinggan mangkuk pun sudah dilap. Mata mengerling ke dinding. Baru
jam 7.30pagi. Kalau zaman belajar dulu, ini memang waktu tidur lagi. Kini, dia
sudah terbiasa bangun pagi.
Dia menjejak Mak Jah yang sudah
keluar ari dapur. Dia melihat Mak Jah sedang duduk di ruang tamu dan di
tangannya sedang sibuk mengira duit.
“Wah, pagi-pagi dah buka bank ya?”
Mak Jah tersenyum.
“Jadi nak ke KL esok?”
“Jadi. Ke sana dua, tiga hari
rasanya.”
“Kalau macam tu, nanti tolong pergi
belikan barang dapur di pasar.”
Mendengar perkataan pasar itu pun,
perut yang kenyang terasa menggelodak. Hati jadi tidak keruan.
“Suri pergi kedai runcit aje boleh?”
“Mak Jah nak suruh bayarkan duit
pada Luqman jugak.” Mak Jah menghulurkan sampul yang berisi duit.
“Masuk lalu bank tak boleh ke?”
tanya Suriya dengan harapan untuk mengelak. Dan dia melihat Mak Jah menjeling.
Alahai Mak Jah. Belum pukul lapan pagi, takkanlah sudah mahu merajuk!
“Hari tu, Luqman dulukan duit derma
nak bina masjid untuk Mak Jah. Ni baru Mak Jah ada duit nak pulang. Suri
tolonglah pergi pulangkan ya. Tak sedap pulak hati bila hutang lama-lama.” Mak
Jah menerangkan.
Tak nak. Itulah jawapan yang terbit
di kepala Suriya namun rasa bersalah mengatasi segala rasa kekejaman yang ada.
Maka akhirnya tanpa rela, kepala diangguk.
“Mak Jah suruh bayar duit Luqman,
bukannya suruh suruh Suri kahwin dengan dia.” Selamba Mak Jah bersuara apabila
melihat wajah Suriya yang sejauh lima kilometer pun dapat dilihat
ketidakikhlasannya.
Amboi. Berdesing telinga mendengar
sindiran Mak Jah. Mahu tidak mahu ke pasarlah destinasinya pagi ini nampaknya. Mahu
pakai perisai besikah? Tak apa. Sampai di pasar nanti, kalau jumpa orang yang
dia kenal...upah saja untuk serahkan pada Luqman. Suriya terasa mahu ketawa.
Kan Aida kata, dia ada otak yang genius? Maka gunalah kepandaian itu ke jalan
yang betul.
“Dah kenapa senyum sorang-sorang?
Berangan ke?” tanya Mak Jah.
“Hisy Mak Jah ni. Berangan apa pukul
lapan pagi ni?”
Mak Jah mencebik.
“Mak Jah ni lebih dulu makan garam.”
Dan Suriya pun ketawa.
“Tak bermakna Mak Jah ada darah
tinggi.” Cepat-cepat Mak Jah memepertahankan diri. Rekod kesihatannya memang
bagus.
“Ya, Suri tahu Mak Jah ni sihat dan
kuat. Apa kata Mak Jah ikut ke pasar sekali? Jum!” Suriya melancarkan
strateginya yang kedua.
“Lupa ya? Kan ada rewang dekat rumah
Mak Limah tu. Aqiqah untuk cucu dia lepas Zuhur nanti.” Mak Jah mengingatkan.
“Oh...” Suriya membalas. Argh, punah
harapan.
“Nanti nak pergi tak?”
Suriya menggeleng. Dirinya belum
bersih lagi. Dan dia melihat Mak Jah sudah bangun dan mencapai tudung.
“Kunci rumah, jangan kunci hati.”
“Apa Mak Jah?” Suriya bertanya namun
Mak Jah hanya senyum dan mencapai beg kecilnya pula. Memberi salam dan
terkedek-kedek keluar dari rumah. Cis, Mak Jah masih sempat menyindir dirinya
lagi. Jangan kunci hati ya. Bukan setakat kunci, hati Suri ni dah lama tak
berpintu. Maksudnya tiada jalan masuk wahai, Mak Jah!