TERBAHAK-BAHAK Aida
ketawa. Kalau ada pingat dalam dunia cinta, dia pasti pemenangnya adalah
Luqman. Tiada pemenang yang lain. Lelaki ini memang kaya strategi. Gigih mahu memenangi
hati Suriya.
“Aku serius dan kau ketawakan aku?”
marah Suriya.
“Aku rasa macam nak peluk-peluk
Luqman tu.” Aida membalas.
“Kau dah gila?”
“Dia bestlah Suri. Mana pernah kita jumpa, kau yang dapat kerja tapi dia
yang beria-ia keluarkan belanja buat kenduri kesyukuran.” Aida menyambung
tawanya lagi.
“Itu bukan best. Itu psiko!” Suriya membantah. Malu. Sangat malu apabila di
hujung majlis, pak imam telah memberitahu majlis itu diadakan sempena dia
mendapat kerja. Menambah merah di muka apabila pak imam berjenaka, supaya
dirinya mampu memahirkan diri di dalam skil memasak supaya boleh menjadi bakal
isteri yang baik. Cis, Luqman memang melampau.
“Dia buat kambing golek tu. Patutnya
dia sarung cincin aje terus.” Aida membalas.
“Karang ada orang yang putus sahabat
ni kang.” Suriya mengugut. Sudahlah jauh di Kuala Lumpur, meminjamkan telinga
pun Aida tidak boleh lakukan.
“Semenjak wujudnya Luqman dalam
hidup kau nikan...aku rasa kau kerap merajuk. Dan...kerap merajuk tu adalah
salah satu petanda orang yang diamuk cinta.” Aida membuat hipotesisnya sendiri.
Seronok. Terasa gembira mengenakan kawannya ini yang dari zaman mereka
belajar lagi pun memang tidak mahu ada hubungan dengan mana-mana lelaki. Alasan
utamanya adalah dia lebih selesa berkawan sahaja. Mana-mana lelaki yang datang
menghampiri, Suriya tolak dengan sebaik mungkin. Alergik dengan gender mereka?
Mungkin ya. Atau kerana Suriya sebenarnya tidak percaya kepada kaum Adam?
“Sila betulkan fakta. Tiada
perkataan wujud untuk Luqman di dalam hidup aku.” Suriya tetap membantah.
“Meriah ke kenduri semalam?” tanya
Aida.
“Sedap lauknya. Briyani kambing tu
boleh buat kau tak tidur malam.” Suriya membalas. Memang sedap. Cukup perisa
dan cukup rempahnya.
Di hujung talian, Aida ketawa.
“Kau ni dah kenapa?” Suriya merasa
jengkel.
“Kau lebih tertarik dengan kambing
dari Luqman! Mahu aku tak ketawa. Kelakarlah wei!” Aida memberitahu.
Suriya terdiam. Erk...benarkah
begitu?
MELIHAT Suriya yang
termenung panjang, Irma mendekati dan menepuk bahu.
“Hisy, terkejutlah.”
“Ingat kat siapa tu? Macam jauh aje
fikiran melayang.” Irma mengusik.
“Tolong jangan sebut nama dia. Please!Akak tak benarkan nama dia
disebut lagi sampai minggu depan.” Suriya merayu. Cukup-cukuplah. Sudah
berdarah telinganya ini kerana ditertawakan oleh Aida.
“Akak nanti pergi kerja bawak
keretalah ya?” Irma menukar tajuk perbualan.
“Kalau dekat, bagus jugak kalau naik
basikal.” Suriya ketawa kecil. Yalah, mahu naik basikal. Macam larat sangat. Separuh
jalan, mahu dia tinggalkan basikal di tepi jalan dan mencari teksi.
“Kerja waktu pejabat ke kak?” tanya
Irma.
“Katering mana ada masa pejabat.
Akak pun tak pasti macam mana kerjanya. Main hantam aje sebab duit dah habis.”
Suriya ketawa.
Irma turut ketawa juga. Dia melihat
wajah bersih Suriya. Rambutnya yang lurus mencecah bahu itu memang macam iklan
syampu. Kalau jadi model iklan syampu memang luluslah.
“Akak memang tak ada kekasih ke?”
Suriya menggeleng.
“Takkan cantik macam akak ni, tak
ada orang yang nak?” soal Irma lagi. Kata kawan-kawannya, Suriya memanglah
tidak secantik Izara Aisyah, pelakon kecil molek itu tetapi senyuman Suriya
memang manis dan kesederhanaannya memikat. Entah betul atau tidak, dia pun
tidak pasti. Yang dia tahu, Mak Jah memang sayang Suriya macam anak sendiri.
“Akak ni biasa ajelah. Irma tak
tengok kat KDU tu. Muka awek dia, macam selebriti. Akak ni muka kampung.”
Suriya bercerita sambil senyum.
“Tapi muka kampung akak nilah yang
buat orang tu gila bayang.”
Dan Suriya pun membaling bantal
kepada Irma. Bukankah sudah diberitahu yang nama Luqman jangan disebut? Degil
betul.
“Mak Jah suka akak duduk sini.” Irma
tersenyum simpul. Dia pun suka. Tidaklah sunyi rumah ini dengan kehadiran
Suriya.
“Yalah...tak lama lagi mesti Mak Jah
dengan Irma bosan.”
“Jangan cakap macam tu depan Mak
Jah. Kecik hati dia nanti. Akak tu buah hati pengarang jantung Mak Jah.” Masih
dia ingat airmata yang membasahi pipi Mak Jah ketika mendapat tahu selepas
pengajian Suriya tamat, Suriya mahu kembali ke rumah mereka ini. Mulanya Mak
Jah menyuruh Suriya pulang ke rumah orang tuanya namun Suriya tidak mahu ke
sana dan memilih untuk ke sini.
“Akak tahu. Jasa Mak Jah bela akak
dari kecik sampai tua bangka ni, tak akan sesaat pun akak lupa.” Dada terasa
sebak jika mengingatkan jasa pengorbanan Mak Jah. Tanpa Mak Jah, dia adalah
anak yang dahagakan kasih sayang sebuah institusi yang bernama keluarga. Makna
kasih sayang itu juga mungkin tidak akan dia fahami. Segala-galanya asing bagi
dirinya yang serba serbi miskin dengan rasa itu.
“Kalau dah tua bangka...tu petanda
kena kahwin dah tu. Irma teringin nak dapat abang ipar.” Irma ketawa.
“Huh, akak baru 23 lah. Nak kahwin
lewat sikit.”
“Lewat tu berapa? 24?”
“29?” Suriya ketawa. Saja suka-suka
mengenakan Irma. Calon pun tidak ada, suka-suka mahu menyusun agenda penting di
dalam hidup. Perkahwinan bukan perkara mudah dan yang paling penting, ikatan
itu bukan sesuatu yang dia mahu fikirkan pada ketika ini. Kerja dulu. Cari duit
banyak-banyak. Jalan merayau ke mana sahaja yang dia mahu. Bebas dan tidak
terikat dengan sesuatu yang boleh membawa luka dan sengsara. Itulah matlamat
hidupnya.
“Enam tahun lagi? Ayoyo, masa tu
abang Luqman dah 33.” Irma membuat kiraan.
“Hey, apa kena mengena dia dengan
akak?” Suriya mencebik.
Irma ketawa. Sudah gaharu, cendana
pula.Sudah terlepas, baru tahu makna merana!
TUALA digantung di
rak. Suriya duduk di birai katil. Suasana sunyi. Duduk di sini memang tiada
hingar bingar seperti di bandar. Nyaman saja. Jiwanya tenang di sini. Tiada
gangguan. Dan telefon pun berbunyi.
Esok
kerja baik-baik.
Jaga
etika kerja.
Jaga
mata.
Jaga
hati.
Amboi, pesanan berjela. Luqman,
Luqman! Ini pesanan tanpa ikatan. Agaknya kalau Luqman betul menjadi teman
lelaki dia, seluruh kehidupannya pun ada undang-undang tersendiri.
Tak
nak bagitahu... saya boleh tarik nafas berapa kali sehari?
Kelip
mata berapa kali?
Curi
tulang berapa kali?
Mesej itu Suriya hantar. Kali
pertama dia membalas mesej Luqman. Selepas menekan butang hantar, Suriya terasa
menyesal. Argh, sudah. Kenapalah jarinya gatal menekan butang hantar?
Harap-harap Luqman sudah tidur. Dan harapan tinggal harapan kerana telefonnya
sudah bergegar. Mungkin Aida. Mungkin Ajak dari kumpulan Shiro. Dan Suriya
ketawa sendiri. Dia sudah semakin melalut. Telefon dicapai. Wah, ini baru betul
panjang berjela-jela. Karangan SPMkah?
Suri...
Kalau
dunia ini kehabisan udara, saya bekalkan tong oksigen cap cinta
khas
untuk Suri...
Kalau mata
Suri terlalu letih mahu melihat dunia...biar saya tuntun langkah Suri
sampai ke syurga...
Kalau
tulang...erk...kalau tulang kurang kalsium, selori keju saya hantarkan di
penghujung hari.
Hanya
untuk Suri...
Pitam. Rasa mahu pitam membaca mesej
dari Luqman itu. Tolonglah. Penyair dari daerah mana agaknya yang singgah di
sini dan akhirnya menjadi penjual sayur? Ayat bergula. Manis menggila. Abaikan
sahaja. Suriya naik ke atas katil dan membiarkan telefonnya di atas lantai. Dia
menutup lampu. Dari jauh dia melihat telefon itu yang masih bersinar. Luqman,
apa yang boleh dia lakukan supaya lelaki ini berhenti mengganggunya?