IKUTKAN hati,
memang malas mahu ke balairaya. Namun kasihan pula Mak Jah yang baru elok
kakinya jika mahu berjalan sendirian ke sini. Dan kerana rasa kasihan itulah,
Suriya terperangkap di sini. Duduk di satu sudut, memakai baju kurung lagi.
Bukan main sopan dan elok. Di bahagian depan sana, Mak Jah sedang seronok
berbual dengan kawan-kawannya. Manakala dia memilih untuk membaca novel di satu
sudut belakang. Mesyuarat yang sebenar masih belum bermula namun mesyuarat yang
tidak rasmi sudah lama berlangsung.
Walaupun duduk sedikit jauh, namun
telinganya menangkap perbualan mereka. Memang menakjubkan. Bermula dari cuaca,
beralih ke resepi kuih dan kini bercerita tentang majlis perkahwinan yang akan
berlangsung hujung bulan nanti. Wah, terasa seperti dia watak tambahan di dalam
drama bersiri Desperates Housewives. Serius, perbualan mereka sungguh
berwarna-warni. 1001 malam pun masih akan ada episod yang seterusnya.
“Apasal duduk jauh ni?”
Suriya menoleh. Siapa pula yang
menegur? Argh, Luqman.
“Luqman, tempat duduk lelaki sebelah
sana.”
Erk, punyalah berterus terang
teguran itu dan dia melihat Luqman senyum dan melambai kepada kaum wanita yang
duduk berkumpul di bahagian depan.
“Saya hantar kuih muih ni Mak Jah.”
Luqman menunjukkan beberapa bekas berisi kuih yang dia letakkan di meja
hidangan sebentar tadi.
“Meja kuih jauh dari orang yang awak
tegur tu. Salah arah ya?” tanya seorang lagi mak cik yang Suriya tidak kenal.
“Salahkan magnet mak cik.” Luqman
menjawab dengan selamba. Kakinya masih kekal di situ. Berdiri hampir dengan
Suriya. Wajahnya bersahaja. Lagak seperti orang yang langsung tidak bersalah.
Jawapan itu mengundang tawa.
“Amboi Luqman. Tak sabar nampak.”
“Hisy mana ada Mak Nab. Ni kuih
muihnya ya. Saya keluar dulu. Nak jemput ahli mesyuarat yang lain.” Luqman
membalas.
Suriya hanya diam saja. Oh, selain
dari jual sayur, Luqman ini menjual kuih?
“Minta nombor telefon boleh?” Sempat
Luqman berbisik.
Cepat-cepat Suriya menggeleng.
Jangan mimpi!
“Jangan sombong.”
Suriya menjeling.
“Mana tahu saya perlu pertolongan
dan awak seorang saja yang boleh selamatkan saya. Kan susah nanti kalau saya
tak ada nombor telefon awak. Kan? Kan?” Luqman merasionalkan permintaannya.
“Apa kan? Kan? Ingat saya anak
ikan?” balas Suriya. Tidak selesa dengan mata yang banyak memerhati. Aduhai.
Patutnya dia hantar Mak Jah dan duduk saja di dalam kereta.
Luqman senyum. Oh, ada juga suara dan
garang orangnya.
“Ikan merah. Manis. Segar. Sedap.”
Erk, adjektif yang terakhir itu
sungguh tidak sesuai. Mentang-mentanglah dia memakai kurung Pahang berwarna
merah maka dia ikan merah. Mengarut betul Luqman ini. Suriya menundukkan wajah.
Baca novel. Fokus dan pura-pura fokus.
“Luqman, panggillah yang lain tu
masuk. Jangan nak jual minyak aje.”
“Saya jual sayur je mak cik. Minyak
belum lagi.” Luqman membalas dan menyebabkan balairaya itu meriah dengan bunyi
tawa.
Merah muka Suriya. Mereka semua ini
selamba sahaja sedangkan dia sudah merasakan seperti suhu balairaya ini naik ke
100 darjah celsius. Panas.
MESYUARAT selesai.
Suriya merasa lega. Bolehlah balik ke rumah. Hoorey. Namun itu adalah anggapannya setengah jam
yang lalu. Setengah jam, ok. Rupa-rupanya selepas mesyuarat ada pula
demonstrasi membuat kuih bingka labu. Aduh. Terpaksalah dia menonton sama.
“Kuih.”
Suriya menoleh. Sepiring kuih
diberikan kepadanya oleh Mak Jah.
“Terima kasih. Lama lagi ke?” tanya
Suriya. Dia mengambil sebiji kuih karipap. Argh, sedapnya.
“Sedapnya. Luqman jual kuih juga ke
Mak Jah?” tanya Suriya dalam nada berbisik.
Mak Jah ketawa kecil. Ada orang yang
berminat nampak?
“Taklah. Ini dia sedekah.”
“Sedekah?” Gigitan jadi terhenti.
Karipap sardin itu memang cukup perisanya. Berintikan sardin dan bawang yang
banyak. Memang jenis yang digemarinya.
“Ya. Luqman memang macam tu. Kalau
ada majlis-majlis dekat tempat kita ni, dia suka sedekah. Luqman ni hatinya
baik macam emak bapanya jugak. Suka bersedekah, menghormati orang tua dan
memang suka buat amal jariah.” Mak Jah bercerita panjang lebar.
Suriya diam. Promosi lagi!
“Sebab tu ramai orang suka dia.
Ramai sangat berangan nak jadi isteri dia. Ramai jugak yang berangan nak ambik
dia jadi menantu.”
Suriya masih diam. Mendengar dengan
baik. Ekor mata melihat ke arah luar tingkap balairaya. Luqman sedang
berkejaran dengan anak-anak kecil bermain bola.
“Tak selalu kita jumpa budak lelaki
yang baik macam Luqman tu.” Mak Jah menyambung lagi.
“Baguslah.” Suriya menjawab sepatah.
Mak Jah menoleh.
“Bagus?”
“Yalah, baguskan suka bersedekah dan
buat amal jariah.”
Tersenyum meleret bibir Mak Jah
mendengar pujian itu.
“Mesti ramai teman wanita dia, kan
Mak Jah?” Suriya membuat telahan.
“Dia berkenan dekat kamu.” Mak Jah
membalas lalu bangun dan menuju ke arah kaum ibu yang lain. Bingka labu sudah
dikeluarkan dari oven. Baunya semerbak mewangi seperti hati tuanya juga. Suriya
Hanum dan Luqman Haqim. Kalau ALLAH menjodohkan mereka, dialah yang paling
bahagia.
SURIYA sudah
berdiri di tepi kereta. Dia sudah bersalam-salaman dengan mereka yang lain.
Kini dia menunggu Mak Jah yang masih belum habis bercerita. Macam dah sepuluh
tahun tidak bersua saja mereka semua padahal dua hari lepas Mak Jah ada kelas
agama bersama mereka juga. Sah, memang kalah keakraban pelakon Desperate
Housewives.
“Nak balik dah?” tegur Luqman.
Suriya mengangguk.
“Mahal benar suara Suri ya.”
Eh, bila pulak lelaki ini mendapat
kebenaran memanggilnya Suri? Suriya tetap berdiam.
“Kalau nak dengar bersuara pun
susah...mesti lagi susah kalau nak dengar Suri menyanyi kan?” Luqman terus
berbicara.
“Apasal pulak saya nak menyanyi?”
soal Suriya tanpa berfikir panjang.
Dan Luqman pun tersenyum. Suriya
segera membuang pandang. Sah, lelaki ini gembira kata-katanya berjaya
mengundang suara juga.
“Tak elok kuat melenting. Nanti
darah tinggi naik.” Luqman menegur.
“Huh!”
“Tak baik mendengus macam tu. Hilang
kemanisan wajah 50 peratus.”
Aduhai Luqman ini banyak pula
pantang larangnya. Gumam Suriya namun hanya di dalam hati sahaja. Seksalah
kalau berpacaran dengan lelaki ini. Ini tidak boleh, itu tidak boleh. Pasti
hidup penuh tekanan.
“Kalau suara masa mengaji sedap
tak?”
Suriya menjeling. Apa ingat aku tak
pandai mengaji? Argh, bicara itu tetap juga hanya di dalam minda sahaja.
Khuatir lelaki ini jika dilayan hanya akan menambah masalah.
“Berzanji?”
Tidak fahamkah lelaki ini yang
perbualan ini tidak mahu diteruskan? Mahukah diberitahu yang ini contoh
perbualan bertepuk sebelah tangan? Suriya semakin rimas. Mata memandang ke arah
Mak Jah. Cepatlah Mak Jah. Marilah kita balik. Hati berdoa tidak henti.
“Karipap yang Suri makan tu, saya
dah jampi. Malam ni pasti tidur tak lena, resah ingatkan saya.” Luqman
mengangkat kedua-dua keningnya sambil tersenyum manis.
“Sedekah apa kalau niat macam tu?”
Suriya membalas. Mahu dicepuk saja wajah Luqman yang tersenyum sebegitu.
“Untuk orang lain, saya sedekah.
Untuk Suri, lain percaturannya.”
“Mana ada catur dalam karipap.”
Suriya mencebik.
Dan Luqman ketawa. Sekuat-kuat
hatinya. Suriya jadi takut. Dia segera memasuki kereta. Aduhai, Luqman. Teruk
betul. Sekarang semua mata memandang ke arah sini. Luqman ini memang
menyusahkan betul. Apa pula kata Mak Jah? Apa pula kata jiran tetangga yang
lainnya. Pasti ada pandangan yang tidak elok untuk dirinya.
Kalau ada pistol mesti paling kurang pun tiga das tembakan dia lepaskan.
Satu di kepala biar Luqman tiada idea mengarut untuk mengusik dirinya. Kedua
tepat di hati, biar Luqman tidak mampu memporak –perandakan hidupnya. Yang
terakhir, biar di bibir. Biar tiada lagi gigi taring dan senyuman manis yang
membunuh makna waras.