GELIHATI memikirkan
Suriya yang marahkan dirinya apabila mengetahui yang Nisa itu kawan satu
sekolahnya semasa mereka sekolah rendah dan menengah. Kata Suriya, ini
konspirasi. Kata dia, eh mana ada. Ini suratan dan kebetulan. Luqman ketawa
sendiri. Hari ini dapat mengusik Suriya, hidup terasa indah sekali. Eh bukan
sekali tetapi dua kali. Di dalam keadaan marah, Suriya naik juga keretanya.
Walaupun duduk di bahagian penumpang, Luqman tetap gembira.
“Kau senyum macam dunia ni takkan
kiamat dah.” Latif menyergah. Dia menghulurkan bungkusan minuman yang dipesan
oleh Luqman.
“Haruman dia aku rasa kekal
tersemadi dalam kereta aku. Tak akan hilang.” Luqman sudah membuat gaya
menghidu haruman Suriya yang lembut dan manis.
“Bro, ada bau ikan aje kat dalam
ni.” Latif menggeleng kepala.
“Kau mana tahu.”
“Yalah, bab cinta akulah yang paling
lemah sekali. Masa SPM dapat gred C. Tapi bab agama aku dapat A.” Latif ketawa
kecil. Memuji dirinya sendiri. Melihat cebikan bibir Luqman, dia menyambung
ketawa lagi.
“Sejarah kau dapat S, Ekonomi kau
dapat E lah ya?” balas Luqman.
“Dik, akak nak sayur nangka ni.
Penat akak cari tak jumpa nangka muda. Mujur kat sini jumpa.” Seorang wanita
berbaju kurung biru muda menegur mereka. Latif segera bergegas ke gerainya dan
membungkuskan kepingan nangka muda untuk kakak itu.
“Nak masak apa ni kak? Lemak cili
api?” teka Latif.
“Nak masak kari dengan daging.”
Kakak itu menjawab.
“Akak buat saya rasa nak minta
alamat.” Latif berjenaka.
Selepas membayar dan mengucapkan
terima kasih, wanita itu berlalu.
“Kau, kalau dengan orang lebih tua,
bukan main manis mulut. Kalau dengan anak dara, ketar segala sendi. Macam mana
nak cari awek.” Luqman mengusik. Memang sudah diperhatikan tingkah Latif.
Memang begitu.
“Anak dara tu kan lain kategori.”
Luqman ketawa. Oh begitu. Habis tu,
mahu kahwin dengan wanita tuakah?
“Mungkin jodoh kau dengan janda,”
usik Luqman lagi.
Mendengar usikan Luqman itu, Latif
terdiam. Mana tahukan? Tapi kalau sudah ALLAH jodohkan tidak akan mampu
mana-mana hamba-NYA mahu menolak. Hisy, apa yang dia berangankan ni! Latif
menyepak pipinya perlahan. Huh! Luqman semenjak mabukkan Suriya, semua orang
pun dia mahu masukkan dalam dunia cintanya. Biar ikut berselirat sama.
“Kurang orang hari ni ya.” Milah
pula bersuara. Dia menyusun bungkusan minya yang masih meninggi.
“Tengah bulan kak.” Luqman
memberikan alasan.
“Atau mungkin akak kena buat sesuatu
yang kebabom kot. Baru orang datang.” Latif sudah sampai mood menyakatnya.
“Nak buat apa tu Latif? Pak cik nak
join jugak.”
“Kita pasang lagu dangdut nak? Kita
goyang...” Latif menggelekkan punggungnya dan menyebabkan semua orang ketawa.
Dan tiba-tiba terdengar dehaman. Mata pun tertumpu kepada arah bunyi dehaman
itu.
“Assalamualaikum Tok Imam. Apa
khabar?” Luqman memecahkan keheningan suasana. Latif, dia lihat sekejap lagi
memang boleh dihantar ke muzium. Sudah keras macam mumia.
“Waalaikumusalam. Alhamdulillah. Tok
nak cari sayur meranti. Ada kamu jual?” tanya Tok Imam yang bernama Haji Ahmad
tetapi lebih mesra dipanggil Tok Imam kerana dialah imam bagi masjid di kawasan
mereka itu.
“Sayur meranti Latif ada jual tok.
Ada lagi ke Latif? Tok nak masak lemak ya tok?” tanya Luqman. Apabila
dilihatnya Latif masih keras, disinggungnya tubuh kawannya itu. Ini Tok Imam,
bukan cucu Tok Imam. Apalah Latif ni!
“Nak berapa ikat tok?” Latif
bertanya seolah-olah baru terjaga dari pukau.
“Bagi tok dua ikat. Wah, cantik
petai kamu ni. Boleh buat sambal tumis udang dengan petai. Tifa suka lauk tu.
Bagi jugaklah petai tu dua ikat.” Tok Imam memesan.
“Udang dua ikat ya tok.” Latif
mengambil petai dan kata-katanya itu mengundang tawa. Menyedari kesilapannya,
merah muka Latif.
“Tengok tu tok. Panik kawan saya.”
Tok Imam melihat wajah Latif. Memang
benar. Ada peluh merintik di dahi anak muda itu. Telinganya merah dan wajahnya
pucat sedikit. Namun bibirnya tersenyum manis.
“Kamu ni sihat ke tak Latif?
Sekarang ni musim denggi. Jaga sikit kesihatan. Berapa jumlahnya?” tanya Tok
Imam sambil memberikan nasihat juga.
“Tak apalah tok.”
“Eh, jangan macam tu. Tok tak main
rasuah-rasuah ni. Berapa?”
“Enam ringgit tok.” Laju Latif
menjawab. Pergh, terkejut dengar suara Tok Imam punya amaran. Latif menundukkan
kepala mengucapkan terima kasih. Melihat Tok Imam yang melangkah meninggalkan
gerai mereka. Kemudiannya dia menarik nafas lega.
Luqman datang menghampiri Latif.
Bahu kawannya itu dipeluk.
“Baru dia tanya berapa ringgit kau
dah hilang 100 tulang. Belum dia minta kau buat solat jenazah.” Luqman
terkekeh-kekeh ketawa. Gelihati. Orang yang banyak cakap memang pandai
bersandiwara. Kena batang hidung sendiri, sama saja gementarnya.
“Jenazah, jenazah jangan sebut. Aku
belum kahwin lagi tau.”
“Ada hajat nak kahwin.”
“Wei, kau tak dengar tadi betapa tok
imam prihatin dengan kesihatan aku. Cukup risau kalau aku kena denggi.
Maksudnya dia sayang tu kat aku.” Latif dengan yakin bersuara. Tiba-tiba hari
ini terasa terang benderang. Terasa indah dan ada pelangi tujuh warna.
Luqman menggeleng. Parah! Jeritan
suara memanggil namanya menyebabkan dia menoleh. Alahai, masalah sudah sampai.
“Luq, lama tak nampak. Makin lama
makin handsome akak tengok.”
Bibir pun terukir senyuman. Ini
pelanggan. Kenalah hormat dengan baik walaupun tidak selesa. Argh, dia buat
dah. Mahu beli sayur tetapi jari jemari tu macam ketam.
“Makin lama makin sasa. Tengok
lengan ni...”
“Amboi kamu ni Bibah, satu pasar ni
ramai lagi manusia, kamu nampak Luqman saja ya,” tegur Milah.
“Janganlah panggil Bibah. Kau ni
Milah. Ini zaman makin mencabar. Panggil aku Baby.” Bibah mukanya masam apabila
dipanggil dengan namanya yang sebenar.
“Argh, terasa mencabar tekak aku aje
nak panggil kau Baby. Kalau kau tu kecik comel bayi bolehlah.” Milah menolak.
Mereka sama satu sekolah maka memang di antara mereka selalu bercakap lepas
saja.
“Aku ni comel dari dulu, kini dan
selamanya.”
“Nak pitam pulak akak rasa tiba-tiba
Latif. Kau tolong tengokkan kedai ya. Akak nak pergi cari air kejap.” Milah
meminta diri. Dia menjeling ke arah Luqman yang kelihatannya menahan ketawa.
Dia tidak tahu mahu kasihan siapa. Luqman yang dari dulu, kini dan selamanya
dikejar Bibah, janda tiada anak itu ataupun kasihan pada Bibah yang tidak sedar
diri itu.
“Akak nak beli apa kak?” Luqman
menegur.
“Nak brokoli, lobak merah dengan
cendawan. Akak nak buat tomyam. Bagi cili jugak. Akak nak buat pedas-pedas biar
terbakar.” Bibah membalas sambil tangannya mengurut dada menunjukkan aksi
seperti panas terbakar.
Mahu ketawa tetapi Luqman menahan
diri.
“Lagi kak? Jagung muda tak nak kak?
Tomato?”
“Hisy, kamu ni Luqman pandai benar
meniaga. Karang silap-silap satu kedai ni akak beli sayur-sayurnya.” Bibah
ketawa senang hati.
“Beli dengan tuannya sekali kak.
Lagi bagus kak.” Latif menyampuk.
Serta merta Bibah berpusing dan
menunjukkan penumbuknya. Menyibuk sungguh Latif ini. Kacan daun.
“Ala kak, janganlah marah. Makin
marah makin manis saya nampak. Ni, sayur pucuk ubi tak nak ke kak? Pucuk paku
ke? Daun pucuk labu masak lemak memang terangkat kak.” Latif terus mengusik.
“Mana kelas makan pucuk-pucuk tu.”
“La, tak ada kelas ya kak. Ingatkan
akak memang suka pucuk muda.” Latif selamba bersuara. Mendengar dengusan Bibah,
Latif menahan ketawa. Cepat-cepat dia membuang sampah dan menyusun bakul di
belakang.
“Oui, tak yahlah berlakon.” Luqman
memanggil.
Latif pun keluar dan ketawa. Luqman
menggeleng.
“Kesian dia. Tak elok kau usik macam
tu.”
“Memang dia suka pucuk muda dan
engkaulah pucuk muda yang dia nak kunyah-kunyah.” Latif tidak mahu mengalah.
“Bukan luak pun.”
“Kalau Suri tahu macam mana?”
Luqman berhenti menyusun bakul yang
sudah kosong. Latif ini demam ke apa? Dan gegaran telefon di poket menyebabkan
dia menutup mulut seketika. Nama diskrin dilihat. Suri!
“Saya nak order barang.”
“Nak order apa? Kan semalam dah
setuju warna turquiose dengan pink.” Luqman menjawab dengan senyuman.
“Hah?”
“Pelamin. Warna pelamin kita.” Dan
Luqman ketawa suka hati.
“Luqman. Cepatlah saya ada banyak
kerja ni. Sayur ni nak pakai esok pagi. Nisa terlupa order.” Suriya sudah naik
angin.
“Ok, saya akan tempah cepat. Pelamin
satu. Pengantin satu...”
“Luqman!” Suriya sudah menjerit di
hujung talian.