Home Novel Komedi/Romantik Komedi Calon Suami Buat Novelis
Calon Suami Buat Novelis
Rose Eliza
7/8/2015 23:07:42
33,678
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

“KAU biar betul?” Lija sedikit terkejut.

“Betullah! Kenapa?” soal Qaira, berkerut dahi.

“Takkan semudah tu saja kau terima cadangan dia? Kau dah habis fikir ke?”

“Dah! Aku dah habis fikir. Aku dah timbang dengan neraca. Seimbang!”

Lija yang mendengar segera mencubit lengan Qaira. Sengaja Qaira mempermain-mainkannya.

“Aduh! Macam ketam la kau ni,” rengek Qaira sambil mengusap lengan.

“Tapi, betul ke dia setuju nak jadi calon suami kau?” soal Lija bernada curiga.

“Menurut kata dia… yalah. Dia setuju,” balas Qaira lalu mengangguk.

“Dan kau setuju nak jadi calon isteri dia?”

“Kalau dengan cara ni dapat mengelak daripada kesemua lelaki, aku setuju.”

Lija mengangguk faham. Otaknya dikerah berfikir.

“Aku rasa kan, dia dah lama syok kat kau tak? Kalau tidak, takkan dia buat tawaran macam tu pada kau.”

“Entah! Mana la aku tahu.”

“Kau dah kenal dengan dia la?”

“Belum lagi. Nanti kami akan adakan sesi perkenalan.”

“Nama dia apa?”

“Hadif Ashraf Haji Saiful.”

“Hurm… sedap nama dia. Mesti handsome!”

“Kau ingat tak masa aku larikan diri daripada Fadzli? Masa tu aku menyempit kat meja dia dengan kawan dia.”

Lija cuba mengingati peristiwa itu. Seminit kemudian, dia mengangguk tatkala mengingatinya.

“Dia anak Haji Saiful. Business partner Uncle Borhan.”

“Oh! Kau dah pernah jumpa dengan dia la.”

“Dah! Masa meeting kat ofis dulu.”

Lija mengangguk perlahan.

“Yang kau banyak tanya macam polis pencen ni kenapa?”

“Tak ada. Aku tengah fikirkan masalah kau orang berdua.”

“Masalah apa lagi? Dah settle. Cukup masa nanti, aku kenalkan dia dengan ibu dan ayah,” beritahu Qaira akan perancangannya itu.

“Dia pun sama?” soal Lija, ingin tahu.

“A’ah. Dia pun sama,” balas Qaira lalu mengangguk.

“Kau pasti yang kau orang berdua takkan jatuh cinta sesama sendiri?” tanya Lija sekadar menduga. Wajah Qaira ditatap kasih.

Qaira terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Lija?

“Macam mana?” soal Lija lagi.

“Tak mungkin. Aku dan dia akan buat perjanjian nanti. Salah seorang antara kita orang berdua tak boleh jatuh cinta,” jelas Qaira, tenang.

“Yalah tu. Ingat boleh ditahan-tahan perasaan tu.”

“Tak mungkin! Aku akan pastikan yang kami berdua takkan jatuh cinta antara satu sama lain,” tegas Qaira pula.

Well! Wait and see. Cinta tak boleh nak dipaksa. Cinta hadir dengan tiba-tiba tanpa kita sedari. Once kau dah jatuh cinta, kau tak boleh nak undur balik.”

Lija sekadar memberi pendapat. Bukannya apa. Khuatir, Qaira akan mengalami perkara yang sama seperti yang lepas. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang kembali.

“Aku tak nak pisang berbuah dua kali. Aku tak nak kau bertepuk sebelah tangan sama seperti yang terjadi dahulu. Asfan dan Ady.” Lija mengingatkan Qaira.

Qaira tidak membalas. Asfan dan Ady. Dua nama itu sedang berlegar-legar di minda. Kenangan lama menggamit memori ketika ini.

So, macam mana dengan novel kau? Bila keluar?” tanya Lija menukar topik perbualan. Tidak mahu Qaira memikirkan tentang itu lagi.

“Kalau tak aral melintang, dalam bulan depan. Encik Ghazali mintak aku hadiri sesi tanda tangan yang akan diadakan nanti.”

“Baguslah! Kalau kau perlukan apa-apa daripada aku, kau beritahu saja. Insya-Allah, aku akan bantu.”

“Insya-Allah. Thanks beb.”

“Aku masuk tidur dulu. Jangan fikirkan sangat perkara yang dah lepas.”

Qaira hanya tersenyum. Matanya memandang Lija yang sudah pun masuk ke dalam bilik. Keluhan ringan dilepaskan. Kenangan lama masih terimbas di fikiran. Sukar untuk melupakan kesemua kenangan itu.


WHAT?!”Ikhwan sedikit terkejut.

“Aduh! Pekak telinga aku dibuatkan kau,” tegur Hadif kurang senang.

Sorry! Aku tak sengaja. Aku terkejut.”

Hadif menggosok telinga.

“Kau biar betul, Dif? Jangan cari pasal.”

“Aku serius dan aku tak main-main.”

“Kau dah fikirkan kesan dan akibatnya nanti?”

“Aku tak nak umi dan ayah aku carikan calon untuk aku. Kau sendiri tahu yang aku tak percaya pada perkahwinan keluarga. Aku tak nak tempias Hazleen kena pada aku.”

“Tapi Dif, bukan dengan cara ni.”

“Kau tak faham apa yang aku rasa Wan. Aku terdengar perbualan umi dengan ayah aku. Soal jodoh, dia orang serahkan pada aku. Tapi, kalau aku tak boleh nak bagi komitmen, dia orang akan carikan calon untuk aku. Dia orang sanggup upah seorang perempuan untuk kenalkan dengan aku,” cerita Hadif bernada sebak.

Ikhwan hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas.

“Bila aku buat macam ni, aku terlepas dari perkahwinan keluarga.”

Ikhwan menghela nafas ringan. Otaknya memikirkan kata-kata Hadif.

“Aku rindukan Hazleen,” ujar Hadif, perlahan.

“Aku mintak maaf. Aku tak cuba nak fahami kau,” ucap Ikhwan, kesal.

Hadif tidak membalas. Rasa sebak menghuni di hati ketika ini.

So, buat permulaaan kau dengan dia….”

“Sesi perkenalan.”

“Hurm… okeylah kalau dah macam tu.”

“Kami akan buat perjanjian.”

“Perjanjian? Perjanjian apa?”

Once kami dah jumpa pasangan yang sesuai, kami akan berterus-terang kepada keluarga masing-masing.”

“Maksud kau?”

“Kami berdua takkan jatuh cinta antara satu sama lain.”

“Dif, cinta tu datang tanpa disedari. Kalau kau betul-betul jatuh cinta dengan dia macam mana?”

“Aku akan cuba elak daripada jatuh cinta.”

Menggeleng Ikhwan mendengarnya.

“Aku dan dia hanya berlakon. Cukup masa, aku dan dia akan berpisah.”

“Ikut suka hati kau la Dif. Aku tak tahu nak cakap apa dah.”

“Sekurang-kurangnya masalah dia dah selesai.”

“Masalah dia?”

“Ibu dia tak perlu nak cari calon suami untuk dia lagi.”

Ikhwan mengangguk faham.

“Kau pulak macam mana? Kau kata keluarga kau dah cari calon untuk kau.”

“A’ah. Family aku dah cari calon untuk aku. Mereka tengah berbincang dengan family perempuan.”

“Kau dah kenal dengan perempuan tu?”

“Belum lagi. Mama aku tengah nak arrange pertemuan kami berdua.”

“Oh! Baguslah! Aku doakan yang terbaik untuk kau.”

Thanks Dif. Aku pun doakan yang sama.”

Hadif sekadar tersenyum. Setelah berbual selama lima minit, dia mematikan talian. Nafas dihela ringan. Dibawa tubuh keluar dari bilik menuju ke balkoni. Langit malam ditatap dengan pandangan yang kosong.

“Betul ke keputusan aku ni?” soal Hadif kepada dirinya sendiri. Disandarkan tubuh ke palang di balkoni itu. Otaknya sedang ligat berfikir. Memikirkan tentang rancangan yang bakal dilaksana.

“Minah tu boleh tahan juga. Dia pun alami masalah yang sama. So, tak ada masalah untuk kita orang laksanakan rancangan tu,” kata Hadif lagi.Dia memandang ke langit semula. Bulan dan bintang menghiasi dada langit.

“Ah! Tak payah fikir. Buat penat otak saja,” rengus Hadif pula. Hanya kepada Allah dia berserah segala-galanya.


“YANG awak tersenyum seorang-seorang ni kenapa?” tegur Encik Qamil.

Puan Noraini tersentak. Dihalakan mata ke wajah Encik Qamil.

“Awak senyumkan apa?”

“Pasal rancangan saya tu.”

“Rancangan apa?”

“Nak kenalkan Aira dengan calon saya.”

“Awak ni Ani, tak habis-habis. Cukup-cukuplah tu. Biar Aira tentukan kehidupan dia sendiri,” tegur Encik Qamil lalu menggeleng.

“Kita sebagai orang tua ada hak untuk tentukan masa depan anak-anak,” bidas Puan Noraini bernada tegas.

“Memang la kita ada hak. Tapi, ini soal hati dan perasaan. Dibuatnya Aira dah ada calon pilihan sendiri macam mana?”

“Aira? Aira ada pilihan sendiri? Tak ada maknanya bang. Nak jumpa dengan calon-calon saya pun budak tu buat perangai, inikan pula nak cari sendiri. Berjanggutlah nak tunggu,” kata Puan Noraini berserta cebikan di bibir.

Tergelak Encik Qamil melihat cebikan isterinya. Kepala menggeleng kecil.

“Kali ni saya pasti Aira akan setuju dengan pilihan saya.”

“Siapa calon awak?”

“Abang ingat tak dengan jiran kita kat Ampang tu dulu?”

Encik Qamil mengerahkan otak supaya berfikir.

“Ingat tak?”

“Siapa? Abang ni dah tua. Ingatan pun tak berapa nak kuat.”

“Hanafi dan Fazilah.”

Encik Qamil masih cuba mengingati kedua-dua nama itu.

“Maksud awak, Napie driver?” tanya Encik Qamil inginkan kepastian.

Puan Noraini mengangguk laju.

“Awak jumpa dengan dia orang ke? Dia orang buat apa sekarang?”

“Saya terserempak dengan Zila kat pasaraya minggu lepas.”

Encik Qamil mengangguk perlahan.

“Sekarang ni Napie dah ada company sendiri. Zila ada butik kecantikan.”

“Tak sangka pulak Hanafi ada company sendiri. Abang ingat lagi yang dia bercita-cita nak buka syarikat sendiri. Impian dia dah jadi kenyataan.”

“Kalau abang dah ingat, mesti abang ingat dengan anak mereka.”

“Ya! Abang ingat lagi. Mesti dah besar dan sebaya Aira.”

“Ani ingat nak jemput dia orang makan di rumah. Macam mana?”

“Elok juga. Dah lama abang tak jumpa dengan mereka.”

So, abang setuju la dengan rancangan saya ni?” tanya Puan Noraini sekadar menduga. Wajah Encik Qamil ditatap kasih.

“Hurm… keputusan di tangan Aira. Bukan abang,” balas Encik Qamil lalu beredar dari bilik. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.

Puan Noraini hanya memandang. Senyuman terukir di bibir.

“Aku harap kali ni jadi. Eee… tak sabar nak tengok Aira kahwin,” luah Puan Noraini, girang. Sudah terencana rancangan di kotak fikiran. Tidak sabar untuk melaksanakannya.


“ASSALAMUALAIKUM,” sapa satu suara lembut.

“Waalaikumussalam,” balas Qaira, berdebar.

“Terima kasih,” ucap suara itu.

“Terima kasih untuk apa?” tanya Qaira, berkerut dahi.

“Sebab sudi jadi isteri saya,” jawab suara itu.

Qaira sekadar tersenyum. Dia cuba mengintai gerangan suara di sebalik tirai pemisah. Siapa sebenar suaminya itu? Bagaimana paras rupa suaminya?

“Saya akan cuba jadi imam yang terbaik untuk awak. Saya akan cuba membahagiakan awak,” kata suara itu penuh ikhlas.

“Terima kasih kerana sudi jadi imam saya,” ucap Qaira lalu tersenyum malu.

Dia menundukkan wajah sambil bermain dengan jemari sendiri. Berdebar-debar ketika ini. Semakin suaminya menghampiri, semakin laju jantungnya berdetak.

“Terima kasih sayang!” ucap suara itu pula.

Qaira mengangguk perlahan. Deruan nafas suaminya menyapa halwa telinga. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah. Melihat wajah suaminya itu.

“Awak!” sebut Qaira, terkejut.

Hadif sekadar tersenyum.

“Tidak!!!” Jerit Qaira, lantang.

“Aduh!” rengek Qaira kemudian tatkala terjatuh daripada katil.

“Dah kenapa dengan kau ni Qaira?” tegur Lija, tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.

Qaira menoleh. Dia segera bangun dari jatuhan. Punggung yang terasa sakit diusap perlahan.

“Kau mimpi apa pulak kali ni?” tanya Lija sambil menapak masuk ke dalam bilik.

“Kahwin!” jawab Qaira, sepatah sambil duduk di birai katil.

“Kahwin? Dengan siapa pulak?”

“Hadif Ashraf!”

“Hadif Ashraf?”

Qaira sekadar mengangguk. Jam di dinding dipandang. Masa baru menginjak ke pukul 11.30 minit malam. Agak lama dia tidur.

“Calon suami kau tu?”

“Huh!”

Lija melepaskan ketawa. Geli hati mendengar kenyataan Qaira.

“Macam mana mamat tu boleh masuk dalam mimpi aku pun aku tak tahu.”

“Hai, belum apa-apa lagi dah mimpi bagai.”

“Bukan aku yang mintak nak mimpi dia tu.”

“Kalau kau tak fikir sangat, tak adalah kau mimpikan dia.”

“Aku tak fikirlah. Benda tu datang dengan tiba-tiba.”

“Yalah… yalah. Kau menang!”

Qaira mendengus geram. Entah macam mana dia boleh termimpikan Hadif. Menjadi suaminya pula. Dia menggelengkan kepala.

“Mungkin Allah nak tunjuk sesuatu pada kau.”

“Maksud kau?”

“Suruh kau kahwin cepat,” gelak Lija.

“Kurang asam!” geram Qaira sambil mencampak bantal ke arah Lija.

“Aku gurau saja,” sengih Lija.

Bunyi dari arah telefon mematikan perbualan mereka berdua. Dicapai telefon bimbit dari atas meja solek dan menatap nama di skrin telefon.

“Hadif?” sebut Qaira, berkerut dahi.

“Hai, takkan dia pun sama mimpikan kau?” usik Lija lalu ketawa kecil.

“Mengarut! Mesti ada benda dia nak beritahu aku,” tukas Qaira bernada keras.

Lija masih lagi ketawa. Dia melangkah keluar dari bilik. Memberi ruang kepada Qaira berbual bersama dengan Hadif.

Qaira hanya memandang. Dia melepaskan nafas ringan sebelum menjawab panggilan Hadif. Selepas mendapat kata sepakat, mereka berdua bertukar nombor telefon.

“Kau dah tidur ke?” tanya Hadif dari hujung talian.

“Dah!” jawab Qaira, spontan.

“Dah?” ulang Hadif, berkerut dahi.

“Eh… tak. Dah tidur tadi tapi terjaga.” Qaira membetulkan ayat.

“Oh, aku ingatkan apa.”

“Ada apa awak call saya malam-malam buta ni?”

“Aku nak tukar planning!” beritahu Hadif.

Planning? Maksud awak?” tanya Qaira, berdebar.

“Kita kahwin!” kata Hadif bernada serius.

What?!!!” Qaira terjerit kecil pantas berdiri.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.