Home Novel Komedi/Romantik Komedi Calon Suami Buat Novelis
Calon Suami Buat Novelis
Rose Eliza
7/8/2015 23:07:42
33,678
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

QAIRA memerhati tingkah laku Puan Noraini. Ibunya itu sedang mundar mandir sambil berpeluk tubuh. Apa yang tidak kena dengan ibunya itu? Kenapa dia disuruh pulang dengan tiba-tiba? Adakah disebabkan hal yang lepas maka dia dipanggil pulang? Hal di mana dia mengelakkan diri daripada berkenalan dengan Sharmin, anak imam Mahadi.

Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Sejak dari dulu lagi ibunya tidak putus-putus mencari calon suami buatnya. Naik muak dan jemu tatkala dipaksa untuk bertemu dengan kesemua calon tersebut. Jika tidak diikutkan, dikatanya anak derhaka. Mahu tidak mahu, terpaksa jugalah dia berjumpa dengan mereka semua. Sekadar syarat sahaja.

“Ibu dah cari calon yang sesuai untuk Aira,” ujar Puan Noraini.

“Calon lagi!” keluh Qaira, perlahan.

“Selagi Aira tak bawa calon untuk ibu, selagi itu ibu akan kacau hidup Aira,” tegas Puan Noraini. Dilabuhkan duduk di hadapan Qaira.

“Ibu ni tak bagi chance pada Aira nak hidup aman la.”

“Ibu tak peduli. Selagi Aira tak jumpa dan bawa calon untuk ibu dan ayah, selagi itu ibu akan cari calon untuk Aira.”

“Sampai hati!”

“Sampai hati ke tak sampai hati ke, ibu tetap dengan rancangan ibu. Nak tak nak, Aira kena juga dengar cakap ibu.”

Qaira mengeluh untuk kesekian kali. Keputusan Puan Noraini menjeruk hati. Bukannya dia tidak mahu berusaha mencari. Sejak dari universiti lagi dia berusaha. Setiap kali dia meminati seorang lelaki, pasti ada halangan yang mendatang.

Wajah Ady menyapa mata dengan tiba-tiba. Lelaki yang pernah disukai ketika di universiti dahulu. Disebabkan Ady mempunyai komitmen terhadap keluarga, maka dia ditolak. Dalam erti kata yang lain, dia hanyalah bertepuk sebelah tangan.

“Dengar tak apa yang ibu cakap ni?” tegur Puan Noraini.

“Haa… apa dia ibu?” soal Qaira, terpinga-pinga.

“Orang tengah bercakap, dia mengelamun pulak.”

Qaira hanya tersenyum. Entah kenapa rasa rindu dengan kenangan bersama Ady. Adakah rasa kasih dan sayang terhadap Ady masih tersemat kemas di hati?

Setiap kali dia membuka akaun facebook, tidak pernah terlepas melihat akaun facebook Ady. Tatkala melihat kebahagiaan Ady, rasa cemburu hadir di benak hati. Adakah dia akan sebahagia Ady suatu hari nanti?

“Aira!” Puan Noraini menegur buat kali yang kedua.

“Apa dia ibu?” tanya Qaira, perlahan.

“Ibu nak Aira jumpa dengan lelaki tu. Ibu dah tetapkan hari, masa dan tempat. Aira pergi jumpa saja dengan dia,” jelas Puan Noraini.

“Perlukah ibu?” Qaira bertanya lagi.

“Seperti yang ibu katakan tadi. Perlu!” tegas Puan Noraini lalu bangun dari duduk.

Qaira tidak membalas. Wajah Puan Noraini ditatap seketika.

“Kali ni ibu tak nak ada masalah lagi seperti yang lepas. Ingat Aira!” amaran Puan Noraini lalu beredar dari situ.

Qaira hanya memandang. Dia menyandarkan tubuh ke sofa. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Perlukah dia menerima cadangan Puan Noraini?

“Kenapa aku susah nak lupakan dia?” soal Qaira, sendirian. Dia bangun dari duduk dan melangkah menuju ke bilik. Otaknya memikirkan permintaan Puan Noraini.

“Perlukah aku terima kali ni?” tanya Qaira pula. Satu persatu anak tangga didaki. Permintaan Puan Noraini berlegar-legar di minda.

“Cadangan Lija!” Terpacul ayat itu daripada bibirnya.

Cadangan yang diutarakan Lija dua hari yang lepas berlegar-legar di minda. Ada baiknya dia menerima cadangan Lija itu.

“Baik aku call Lija. Bincang pasal ni,” suara Qaira lalu tersenyum senang.


“DARI tadi Jah tengok abang termenung saja ni, kenapa? Abang ada masalah ke?” tegur Hajah Halijah sambil duduk.

Haji Saiful sedikit tersentak. Dihalakan mata ke wajah Hajah Halijah.

“Abang fikirkan apa? Hadif?” soal Hajah Halijah lagi.

Haji Saiful menghela nafas ringan. Anggukan kecil diberikan kepada isterinya itu.

“Kenapa dengan Hadif?”

“Abang fikirkan masa depan Hadif.”

“Masa depan Hadif?”

“Umur Hadif dah nak masuk 27 tahun. Sampai ke hari ni, Hadif tak pernah bawa mana-mana gadis untuk diperkenalkan kepada kita.”

“Oh! Itu yang abang risaukan.”

Haji Saiful mengangguk lemah.

“Abang janganlah risau. Lambat laun nanti, ada la tu.”

“Abang tetap risau, Jah. Abang yakin Hadif masih marah dengan abang atas apa yang berlaku kepada Hazleen dulu.”

Hajah Halijah tidak membalas.

“Hadif masih marah dengan abang atas keputusan abang yang dulu. Abang paksa Hazleen berkahwin dengan pilihan abang. Disebabkan keputusan abang tu, Leen tinggalkan kita tanpa khabar berita. Abang tak pernah nak memahami perasaan Leen. Abang ikutkan perasaan ego abang sehingga abang tak menyelami hati anak abang sendiri.”

“Semua tu dah berlaku. Tak boleh nak diputarkan kembali.”

“Abang tetap rasa bersalah, Jah.”

Hajah Halijah menggeleng perlahan. Tangan Haji Saiful ditarik lalu digenggam erat.

“Mungkin sebab tu Hadif tak nak kita carikan calon untuk dia. Mungkin juga Hadif takut nak bercinta atau berkawan dengan mana-mana perempuan.” Haji Saiful menyuarakan apa yang dirasai selama ini.

“Tak apalah bang. Mungkin Hadif dah ada calon yang sesuai dan tak nak beritahu kepada kita. Mungkin belum tiba masanya untuk kenalkan dengan kita.”

Hajah Halijah sekadar menduga. Mungkin ada benarnya kata-kata Haji Saiful. Disebabkan keputusan Haji Saiful terhadap Hazleen membuatkan Hadif memendam perasaan marah. Sehingga ke hari ini, anak beranak itu tidak seia dan sekata. Ada sahaja perkara yang dibahaskan oleh anak beranak itu.

“Jah ada rancangan,” ujar Hajah Halijah.

“Rancangan? Rancangan apa?” tanya Haji Saiful, berminat.

“Kita upah seorang perempuan dan kenalkan dengan Hadif.”

“Upah perempuan? Awak biar betul Jah?”

“Kita suruh perempuan tu kerja dengan Hadif. Jadi PA Hadif dan tolong siasat untuk kita. Mungkin kita boleh tahu sama ada Hadif ada kawan perempuan atau pun tidak.”

Haji Saiful berfikir sejenak. Otaknya cuba merencana kata-kata Hajah Halijah.

“Mana la tahu kan lepas kenal dengan perempuan tu Hadif jatuh cinta. Itu pun kalau Hadif tak ada kawan perempuan lain.”

Haji Saiful masih lagi berfikir.

“Macam mana?”

“Boleh ke kita buat macam tu, Jah? Kita permain-mainkan perasaan Hadif. Kalau Hadif dapat tahu, kita juga yang susah nanti. Bertambah benci Hadif dengan abang.” Haji Saiful menyuarakan rasa kerisauan.

As long Hadif tak tahu tentang ni.”

“Kita menipu Hadif. Tak pasal-pasal kita aniaya anak gadis orang.”

Hajah Halijah tidak membalas. Ada benarnya juga kata-kata Haji Saiful itu. Seandainya Hadif mengetahui perkara yang sebenar, pasti gadis itu akan dibenci oleh Hadif.

“Kita bagi peluang pada Hadif cari pasangan hidupnya sendiri. Kalau tak ada juga, baru kita masuk campur. Kita carikan calon untuk Hadif,” ujar Haji Saiful.

Hajah Halijah sekadar mengangguk. Senyuman diberikan kepada Haji Saiful.

“Kita doakan yang terbaik untuk anak-anak kita.”

“Insya-Allah, abang.”

“Abang rindukan Hazleen.”

“Jah pun sama bang. Dah macam-macam usaha kita lakukan untuk mencari Hazleen. Tapi, semua tu tak mendatangkan hasil. Di mana kita nak cari Hazleen lagi?”

“Abang harap suatu hari nanti Leen pulang ke pangkuan kita. Abang rasa bersalah dengan Leen. Abang…”

“Sudahlah bang. Kita doakan agar terbuka pintu hati Leen untuk pulang.”

Haji Saiful menghela nafas berat. Hanya doa yang dapat diberikan buat Hazleen agar selamat di mana sahaja anaknya itu berada.


SO, kau terima tak dengan cadangan aku tu?” tanya Lija tidak sabar.

“Ada somethingla dengan cadangan kau tu,” balas Qaira. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi lalu berpeluk tubuh.

“Apa yang something?”

“Yalah! Siapa yang boleh kita upah jadi calon suami aku tu?”

Lija berfikir sejenak. Wajah-wajah calon suami Qaira menyapa seorang demi seorang.

“Macam tak ada siapa pun yang sesuai.”

“Haaa… Sharmin.”

“Sharmin? Anak tok imam tu?”

Lija mengangguk.

“Hisy.. tak nak aku. Dibuatnya ibu aku berkenan, tak pasal-pasal aku dinikahkan oleh bapak dia sendiri.”

Lija ketawa mendengarnya.

“Apa kata kita iklan kat dalam facebook, nak tak?”

“Wei, kau biar betul?”

“Betul la.”

“Kau gila? Aku ni dah la novelis. Tak pasal-pasal jadi isu pulak.”

Lija tersengih.

“Kalau Haris macam mana?”

“Haris? Maksud kau Haris Samad? Kawan matrik kau dulu?”

Qaira mengangguk lalu tersenyum.

“Kau dah buang tabiat ke? Dia kan suami orang. Dah ada dua orang anak pun. Kau tahu kan wife dia tu macam mana. Cemburu!”

“Aku cadang saja. Aku pun tahu Fatimah tu macam mana orangnya.”

“Aku rasa kita tolak ke tepi cadangan pertama ni. Apa kata kita guna cadangan kedua? Itu lebih senang daripada cadangan pertama.”

“Maksud kau daftar kat My Jodoh?”

Lija mengangguk laju.

“Err….” Qaira termati kata-kata.

“Ala… bukannya orang tahu kau daftar kat sana. Aku ada terbaca satu artikel ni. Ramai yang bertemu jodoh melalui website My Jodoh tu.”

“Aku tak rasa rancangan kau tu bernas.”

“Belum cuba belum tahu. Kau cuba la.”

Qaira menggaru kepala. Buntu ketika ini.

“Meh, aku tolong bukakan website dia,” ujar Lija sambil menghampiri Qaira. Laptop di hadapan ditarik. Jemarinya memainkan peranan dengan menggerakkan tetikus dan menekan papan kekunci.

Qaira hanya memandang. Tingkah laku Lija diperhati penuh minat.

“Aku dah tolong bukakan website. Kau daftarlah. Freesaja. Cuma kalau kau nak communicate dengan orang lain, mean hantar mesej and so on, kau kena bayarlah,” terang Lija penuh semangat. Diserahkan laptop kepada Qaira.

Terror juga kau bab-bab ni,” puji Qaira sambil jemari menggerakkan tetikus.

“Aku pun daftar kat situ,” ujar Lija lalu tersengih.

Qaira ketawa mendengarnya. Kepala menggeleng kecil.

“Wah! Handsome-handsome lelaki dalam ni. Perempuan-perempuan dalam ni pun boleh tahan juga. Ada juga yang cantik. Takkan semuanya masih single?”

“Dia orang tu memilih. Mana nak dapat kalau nak cari yang cantik atau handsome.

Qaira mengangguk faham. Satu persatu profil diperhati. Tingkah lakunya terhenti tatkala tertarik kepada satu profil.

“Novelis!” sebut Qaira, perlahan.

“Siapa? Kau ke?” tanya Lija seraya menoleh.

“Eh… bukan aku. Ni ha. Ada satu profil. Nickname dia novelis.”

Lija segera menatap skrin laptop. Membaca profil tersebut.

“Lelaki!”

“Macam menarik dan tertarik saja.”

Qaira tidak membalas. Dia meneliti profil itu.

Beb, aku nak keluar beli barang sekejap. Kau nak pesan apa-apa tak?”

“Tak ada!”

“Kalau macam tu, aku keluar sekejap.”

Qaira hanya mengangguk. Matanya masih meneliti profil tersebut.

“Umur 27 tahun. Ampang. Pengurus. Perghh! Jawatan dia. Tapi, kenapa dia guna nickname ‘novelis’?” soal Qaira sendirian. Matanya masih menatap skrin laptop. Satu persatu maklumat tentang novelis itu dibuka dan dibaca.

“Baik aku mesej dia. Macam menarik saja mamat ni,” kata Qaira.

Tanpa berlengah, dia segera membuat bayaran melalui online pada pakej yang diambil. Setelah itu, dia meneroka senarai kenalan satu persatu. Rasa teruja untuk melihat mereka yang berdaftar di dalam website itu.


HADIF menyandarkan tubuh ke kepala katil. Kepenatan bermain tenis mulai terasa dan minta direhatkan. Otaknya mengimbas semula perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah. Bukannya dia sengaja mencuri dengar perbualan kedua-dua orang tuanya itu. Secara tidak sengaja dia terdengar perbualan mereka.

Keluhan dilepaskan. Cadangan Hajah Halijah meniti di minda. Cadangan mengupah seorang gadis untuk diperkenalkan dengannya. Adakah dia tidak laku sehingga uminya sanggup menyuarakan cadangan tersebut?

Hadif membaringkan tubuh. Kata-kata Ikhwan terngiang-ngiang di minda ketika ini. Ikhwan tidak pernah berputus asa dalam menasihatinya.

“Jodoh itu rahsia Allah. Kita dijadikan berpasang-pasangan. Lambat dengan cepat sahaja,” suara Ikhwan, perlahan.

Hadif hanya tunduk mendengar. Tidak berniat untuk membalas.

“Ajal, maut, jodoh dan pertemuan. Semua itu ketentuan Allah. Aku yakin, jodoh kau dah ditetapkan oleh Allah. Cuma belum tiba masanya untuk kau bertemu dengan jodoh kau tu,” sambung Ikhwan lagi.

“Aku tahu Wan. Semua tu ditentukan oleh Allah,” balas Hadif seraya mengangkat wajah.

“Kalau kita tak berusaha, kita takkan dapat hasilnya. Kau kena berusaha mencari.”

“Aku belum bersedia lagi.”

“Sampai bila nak tunggu kau bersedia? Kalau kau cakap macam tu, selama-lamanya kau takkan bersedia nak ke alam perkahwinan. Mungkin kau perlu cuba berkenalan dengan seorang perempuan. Selama ini aku tak pernah tengok kau keluar dengan mana-mana perempuan sedangkan masa di universiti dahulu, kau seorang yang boleh dikatakan popular,” terang Ikhwan, panjang lebar. Wajah Hadif ditatap mesra.

Hadif tidak membalas. Ada benarnya penerangan Ikhwan. Dulu, dia seorang yang popular di universiti dan menjadi rebutan para gadis di universiti itu. Kini, dia bukanlah seperti itu. Semenjak dia bekerja, masanya dihabiskan pada kerjaya. Untuk bersosial, jarang sekali. Disebabkan itu, sehingga ke hari ini dia belum mempunyai kekasih hati.

“Kalau kau dah bersedia, kau beritahu pada aku. Insya-Allah, aku akan bantu kau.”

“Tengoklah nanti.”

Bunyi mesej masuk menyentak lamunan pendek Hadif. Dicapai telefon bimbit lalu membaca kiriman mesej.

“Mungkin aku boleh ikut rancangan umi,” kata Hadif sendirian.

Skrin telefon ditatap dengan pandangan yang kosong. Otaknya sedang cuba memproses rancangan Hajah Halijah.

“Mungkin aku perlu cari seorang perempuan untuk berlakon. Dengan cara itu, mereka takkan cari calon untuk aku. Aku tak nak jadi macam Kak Leen,” sambung Hadif lagi.

Berkerut dahinya memikirkan tentang itu. Jika dia mengikut cadangan Hajah Halijah, siapa yang sanggup memegang watak itu?

“Minah gila!” sebut Hadif seraya mengangkat tubuh.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.