Home Novel Komedi/Romantik Komedi Calon Suami Buat Novelis
Calon Suami Buat Novelis
Rose Eliza
7/8/2015 23:07:42
32,592
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

ENCIK Borhan meneliti fail di hadapan. Berkerut-kerut dahinya meneliti maklumat di dalam fail itu. Seperti ada yang tidak kena pada maklumat yang dilaporkan oleh Qaira. Usai meneliti, diletakkan fail ke tepi. Matanya memandang wajah Qaira yang sedang mengelamun.

Sejak mula Qaira bekerja, dia sudah sebati dengan sikap dan perangai Qaira. Dari segi kerja, Qaira seorang yang amanah, bertanggungjawab dan jujur. Jarang sekali Qaira melakukan kesilapan. Gadis itu pandai membahagiakan masa di antara kerja dan menulis.

“Qaira!” tegur Encik Borhan kemudian.

Qaira tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Entah apa yang difikirkan dia sendiri tidak tahu. Adakah permintaan Puan Noraini yang sedang difikirkannya itu? Permintaan supaya hadir ke satu majlis di rumah teman ibunya.

Kenapa Puan Noraini mengajaknya ke majlis itu? Adakah Puan Noraini berniat untuk memperkenalkan dia dengan calon seterusnya? Calon yang diperkatakan oleh Puan Noraini sehari yang lepas.

“Qaira Nur Imani.” Encik Borhan memanggil dalam nada keras.

“Haaa… apa dia Encik Borhan?” soal Qaira sebaik sahaja tersedar.

“Awak ni tak habis-habis nak mengelamun. Awak ada masalah ke?”

“Tak adalah, Encik Borhan.”

“Awak dah lama jadi staf saya, Qaira. Segala riak di wajah awak tu saya dah boleh baca. Apa masalah awak?”

Qaira tersenyum kelat. Kepala menggeleng kecil.

“Pasal kerja?”

“Eh… tak. Bukan pasal kerja. Pasal peribadi.”

“Peribadi?”

Qaira sekadar mengangguk.

“Kalau awak tak keberatan, awak boleh cerita pada saya. Anggap saya ni macam ayah awak sendiri.”

“Tak apalah Encik Borhan. Saya boleh selesaikan sendiri masalah saya. Maafkan saya kalau tingkah laku saya kurang senang di hati encik.”

“Awak risau pasal jodoh?” tebak Encik Borhan.

Qaira tergamam. Bagaimana Encik Borhan dapat mengagak masalahnya ketika ini?

“Ayah Aira dah cerita kesemuanya pada uncle,” beritahu Encik Borhan.

Sudah berubah kata ganti diri. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Qamil, ayah Qaira. Encik Qamil merupakan rakan seuniversitinya dahulu.

“Aira tak risaukan pasal tu. Ibu tu yang lebih-lebih. Kadang-kadang naik runsing Aira dengan rancangan dan permintaan ibu,” luah Qaira. Selesa berbual begitu.

“Ibu Aira buat macam tu demi kebaikan Aira juga. Dia risaukan Aira.”

“Tapi…”

“Tak apalah Aira. Jika dah tertulis jodoh Aira, ada juga nanti. Banyakkan berdoa dan berusaha,” kata Encik Borhan bernada nasihat.

Qaira hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Encik Borhan.

“Petang nanti ikut uncle,” ujar Encik Borhan bernada arahan.

“Ke mana?” soal Qaira, berkerut dahi.

“Ada discussion dengan Haji Saiful.”

“Oh! Baiklah!”

“Aira boleh keluar sekarang. Apa-apa nanti, uncle beritahu. Tentang laporan kewangan ni, nanti uncle semak balik,” arah Encik Borhan.

Qaira tidak membalas. Dia bangun dan menapak keluar dari bilik. Otaknya sedang berfikir. Siapa Haji Saiful? Adakah dia lupa siapa Haji Saiful?


“HADIF!” tegur Haji Saiful.

Hadif mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Haji Saiful.

“Hadif nak ke mana?” soal Haji Saiful sambil melangkah menghampiri.

“Keluar makan,” jawab Hadif acuh tak acuh.

“Petang ni kita ada meeting dengan Encik Borhan. Wahida ada beritahu pada Hadif?”

“Ada!”

“Kita nak bincang tentang projek kita di Shah Alam tu. Papa….”

“Hadif keluar dulu,” pintas Hadif, laju lalu beredar dari situ.

Haji Saiful hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Hadif masih bersikap dingin dengannya. Adakah selama-lamanya Hadif akan bersikap begitu? Semuanya disebabkan keputusannya yang lepas.

Hadif melangkah keluar dari pejabat. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Orang ramai berpusu-pusu keluar menuju ke restoran.

Alone!” suara Hadif sendirian.

Dia memulakan langkah menuju ke restoran yang berdekatan. Keluhan ringan terlepas daripada bibir untuk ke sekian kali.

“Hai!” tegur Qaira, tiba-tiba.

Tersentak Hadif buat seketika. Malah, pegangan di tangan membuatkan dia bertambah terkejut. Dia menoleh buat seketika. Wajah Qaira menyapa mata.

“Kau!” sebut Hadif kemudian.

“Syhhh!!!” suruh Qaira sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.

Berkerut Hadif melihat tingkah laku Qaira. Apa yang dimaksudkan oleh gadis itu?

“Qaira!” panggil Norman sedikit meninggi.

Qaira menoleh. Peluh dingin sudah membasahi dahi.

Please! Tolong saya!” bisik Qaira penuh mengharap.

“Qaira!” Norman memanggil buat kali kedua. Lengan gadis itu ditarik.

Terhenti langkah Qaira. Dilepaskan pegangan di tangan Hadif.

“Dah lama I cari you. Kenapa you larikan diri daripada I?” soal Norman.

“I… I….” Qaira tersekat-sekat.

“Kenapa Qaira?” Norman bertanya lagi.

Qaira serba salah. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Norman?

“Qaira!” panggil Norman lagi.

Hadif yang melihat tidak berminat untuk membantu. Dia menyambung langkah yang terhenti sebentar tadi.

“Awak!” panggil Qaira tatkala melihat pemergian Hadif.

“Qaira!” panggil Norman buat kali yang kedua.

“Saya ada meeting. Nanti kita jumpa lagi,” jawab Qaira, laju.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Tercungap-cungap nafasnya. Disentuh dadanya buat seketika. Cuba menahan kelajuan jantung.

“Fuh! Nasib baik dia tak ikut aku lagi. Ya Allah, kenapa la malang sangat aku ni. Asyik jumpa dengan lelaki-lelaki yang aku tolak dulu,” luah Qaira sendirian.

Nafas ditarik dan melepaskannya ringan. Ingatan memutarkan semula perkenalan dengan Norman. Pemuda itu merupakan anak kawan Puan Noraini dan salah seorang calon ibunya. Sejak pertemuan pertama mereka, Norman seringkali mengganggu hidupnya.

Gangguan itu terhenti selepas Norman berkahwin dengan pilihan orang tuanya. Tetapi, kenapa Norman masih menggangu hidupnya sedangkan lelaki itu sudah berumah tangga? Persoalan yang meniti di minda ketika ini.

“Ah! Malas aku nak fikir. Buat sakit otak saja,” putus Qaira lalu beredar dari situ.


“SEORANGnampak?” tegur Qaira seraya duduk.

Tersedak Hadif dek kerana teguran itu. Terkejut!

Sorry!” balas Qaira, kesal.

Segelas air minuman dihulurkan kepada Hadif. Tingkah laku pemuda itu diperhati penuh minat. Senyuman meniti di bibir.

“Kau nak apa?” soal Hadif sehabis sahaja air minuman diteguk.

“Tak ada apa. Saja!” balas Qaira lalu bersandar ke kerusi. Dia berpeluk tubuh di situ.

Hadif memandang tajam wajah Qaira.

“Awak ni boleh tahan handsome juga.”

“Kau nak apa sebenarnya?”

“Nak bincang business dengan awak. Nak tak?”

Business apa?”

Qaira menghela nafas ringan.

“Jangan buang masa aku boleh tak?”

“Awak jadi calon suami saya boleh?”

What?!!!” Hadif terkejut pantas berdiri.

“Relax la bro. Takkan itu pun nak terkejut?” kata Qaira lalu ketawa kecil.

Hadif mendengus kasar. Dia duduk di kerusi semula lalu meneguk rakus air dari dalam gelas. Wajah tersenyum Qaira ditatap benci.

“Kalau awak setuju, kita tetapkan syarat. Macam mana?”

“Masalah kau. Aku tak nak masuk campur.”

“Saya tahu, awak pun mempunyai masalah yang sama macam saya.”

Hadif terkedu. Serta-merta perbualan Haji Saiful dan Hajah Halijah bermain di minda.

Come on la. Awak pun hadapi masalah yang sama macam saya kan? Saya dah siasat pasal awak,” suara Qaira lagi.

Wajah Hadif ditatap mesra. Senyuman terbias di bibir. Pandai-pandai saja kau ni, Aira. Dibuatnya dia mengamuk, mampus kau nanti, bisik Qaira dalam hati.

“Kalau aku ada masalah sama macam kau, itu bukan masalah kau.”

“Memang la bukan masalah saya. Tapi, tak salah kalau kita berkongsi masalah yang sama. Betul tak?”

Hadif tidak membalas. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.

“Macam mana?” soal Qaira lagi.

“Aku tak berminat!” balas Hadif bingkas bangun.

Qaira yang melihat turut sama bangun.

“Gila!” kutuk Hadif lalu beredar dari situ.

“Eh… nanti dulu!” panggil Qaira sedikit lantang.

Hadif tidak mengendahkan panggilan Qaira. Dia melangkah menuju ke pejabat. Di kerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka 2.00 petang.

“Berlagak betul mamat tu. Bukannya betul-betul. Aku main-main saja,” kutuk Qaira sambil mencebirkan bibir. Meluat melihat tingkah laku Hadif.

“Hei.. aku tak minat la dengan lelaki macam kau. Perasan bagus! Perasan handsome!” laung Qaira bernada bengang. Masih tidak berpuas hati.

Hadif yang mendengar mematikan langkah. Seminit kemudian, dia menyambung langkah menuju ke pejabat.

“Minah gila!” kutuk Hadif buat Qaira.

“Macam mana la aku boleh spontan saja tadi. Hisy… kau ni Aira. Buat malu sajalah,” kutuk Qaira pula kepada dirinya sendiri.

Tanpa menunggu, dia melangkah jalan menuju ke tempat yang dituju. Seperti yang diberitahu oleh Encik Borhan tadi. Mesyuarat di pejabat Haji Saiful.


“TERIMA kasih!” ucap Encik Borhan, ramah.

Haji Saiful dan Wahida merangkap setiausaha Haji Saiful mengangguk dan tersenyum. Masing-masing melabuhkan duduk di kerusi.

“Apa khabar tuan haji?” tegur Qaira, sopan.

“Sihat alhamdulillah, Qaira. Awak macam mana? Sihat?” balas Haji Saiful.

“Saya sihat alhamdulillah. Maafkan saya atas tingkah laku saya dalam mesyuarat yang lepas,” ucap Qaira bernada kesal.

“Tak mengapa Qaira. Saya tak ambil pusing pasal tu. Maafkan saya juga atas tingkah laku anak saya.” Haji Saiful bersuara.

“Anak tuan haji?” Qaira berkerut dahi. Cuba untuk mengingati tentang itu.

“Itulah! Mengelamun lagi masa mesyuarat. Siapa suruh?” tegur Encik Borhan.

Qaira tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru.

“Maaf lambat,” ujar Hadif, tiba-tiba.

Mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Hadif yang baru menapak masuk ke dalam bilik.

Qaira turut sama menoleh. Buntang matanya melihat gerangan yang masuk ke dalam bilik itu. Serta-merta dia menundukkan wajah. Tidak menyangka lelaki itu anak kepada Haji Saiful. Peristiwa yang berlaku di restoran tadi bermain di tubir mata.

“Masuk Hadif!” arah Haji Saiful.

Hadif melangkah masuk ke dalam bilik. Matanya memandang wajah-wajah di dalam bilik itu. Pandangannya terhenti ke seraut wajah di sebelah Encik Borhan.

“Boleh kita mulakan sekarang?” tanya Haji Saiful bernada lembut.

“Boleh, tuan haji,” jawab Encik Borhan.

Haji Saiful mengangguk. Tanpa berlengah, mereka memulakan perbincangan. Satu persatu usul diutarakan dan diperjelaskan oleh Encik Borhan.

Qaira hanya mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk. Rasa gementar dan berdebar ketika ini. Dapat dirasakan yang Hadif sedang memandang ke arahnya. Walaupun dia tidak pasti, dia yakin pemuda itu sedang memerhati tingkah lakunya.

Usai berbincang, Qaira segera beredar dari bilik itu. Disentuh dadanya yang berdetak hebat. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Situasi yang sama dihadapi ketika bermesyuarat di syarikat dulu. Adakah disebabkan Hadif, dia berkeadaan begitu?

“Ah, tak mungkin!” tukas Qaira, menggeleng laju.

Mustahil dia menyukai pemuda itu? Mustahil juga pemuda itu calon yang sesuai buat dirinya. Kata-katanya yang lepas terngiang-ngiang di cuping telinga.

“Kalau aku jumpa dengan seorang lelaki dan lelaki itu bisa buat jantung aku berdegup kencang. Rasa serba tak kena. Gelabah! Kalut! Macam pertemuan hero dan heroin ciptaan aku dalam kesemua novel aku tu. Lelaki itu yang aku cari selama ini,” ucap Qaira kepada kata-katanya yang lalu.

“Mustahil… mustahil… mustahil. Tak mungkin!” tukas Qaira, berkali-kali.

Tidak masuk dek akalb pemuda itu lelaki yang dicari selama ini. Jauh dari apa yang diingininya. Tidak seperti hero-hero ciptaannya itu.

“Arghhh!!! Stress aku kalau fikirkan pasal calon suami ni,” rengus Qaira lalu beredar dari situ menuju ke ladies room.

Belum sempat dia melangkah menghampiri ladies, tubuhnya ditarik masuk ke dalam sebuah bilik. Dia terkejut dengan tindakan itu.

“Awak nak buat apa ni?” soal Qaira, bergetar.

“Aku ada business proposal untuk kau,” jawab Hadif sambil melangkah ke kerusi.

Dilabuhkan duduk di situ dan memandang ke wajah Qaira. Senyuman sinis menghiasi bibirnya.

Qaira membetulkan keadaan. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Hadif. Riak selamba terlukis di wajah itu.

“Kau berminat tak?” tanya Hadif pula.

“Berminat apa?” soal Qaira, berkerut dahi.

“Aku jadi calon suami kau dan kau jadi calon isteri aku.”

What?!!!” Terjerit Qaira mendengarnya.

“Bukankah itu yang kau cadangkan pada aku tadi?”

Wait! Saya bergurau saja tadi. Janganlah ambil serius.”

“Aku tak bergurau. Aku serius!”

Qaira menelan liur. Kelat! Perbuatannya di restoran beberapa jam yang lepas telah memakan dirinya sendiri.

“Kau setuju?”

“Saya tak setuju!”

“Bukankah itu masalah kau sekarang ni?” Hadif memulangkan pertanyaan Qaira tadi.

“Errr…” Qaira termati kata-kata.

“Aku pun hadapi masalah yang sama. Jadi tak salah kalau kita selesaikan masalah kita dengan cara ni,” kata Hadif sambil berpeluk tubuh.

Sejak dari tadi dia memikirkan tentang kata-kata Qaira ketika di restoran tadi. Ada baiknya dia menggunakan pendekatan seperti itu. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menerima cadangan Hajah Halijah. Mengupah seorang gadis untuk diperkenalkan kepadanya. Biar dia sendiri yang melaksanakan rancangan tersebut.

“Saya akui yang saya sedang menghadapi masalah tentang jodoh. Tapi itu tak bermakna saya perlu terima cadangan awak,” ujar Qaira sambil melabuhkan duduk. Dia turut sama berpeluk tubuh.

Why?” Hadif berkerut dahi.

“Pertama, saya tak kenal dengan awak. Macam mana awak nak jadi calon suami saya? Sekurang-kurangnya kena kenal hati budi masing-masing. Kedua, awak bukan dalam kategori yang saya idam-idamkan selama ini. Bukan macam hero-hero yang saya cipta dalam kesemua novel saya tu.”

“Ketiga, saya tak rasa awak seorang yang terdesak sama macam saya. Awak sekadar untuk suka-suka saja. Keempat, awak ni seorang yang tak mesra alam. Sombong dan berlagak. Dan yang terakhir, awak tak boleh nak jadi imam yang baik untuk saya,” jelas Qaira, panjang lebar.

Tanpa menunggu, dia bingkas bangun dari duduk dan memulakan langkah untuk beredar dari bilik itu. Kepala menggeleng dengan rancangan pemuda itu. Entah apa namanya pun dia sendiri tidak tahu.

“Nanti dulu!” tahan Hadif seraya bangun.

Qaira mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang dan memandang wajah Hadif. Menanti butir bicara daripada pemuda itu.

“Terlalu awal untuk kau menilai diri aku,” ujar Hadif sambil melangkah menghampiri Qaira di muka pintu bilik.

Qaira memandang Hadif yang sedang melangkah menghampirinya.

“Pertama, kita boleh berkenalan. Tak lama mana pun kita berkenalan. Kedua, hero-hero yang kau cipta? Kau novelis?” suara Hadif.

“Ya! Saya part timenovelis,” balas Qaira.

“Oh! Tak sangka yang kau ni novelis. Impressed!”

Qaira tidak membalas.

“Kau belum kenal dengan aku. Kalau kau dah kenal, kau boleh nilai aku sama ke tidak macam hero-hero dalam kesemua novel kau tu. Mungkin sedikit dan bukan 100%. Ketiga, memang aku tak terdesak.”

“Tapi, untuk persiapan diri aku sendiri sebelum ayah dan umi aku cari calon untuk aku dan aku tak percaya langsung dengan perkahwinan atas dasar keluarga. Jawapan untuk yang keempat sama seperti jawapan aku yang kedua tadi. Dan yang terakhir, belum tentu kau boleh jadi makmum yang terbaik untuk aku,” jelas Hadif, panjang lebar. Matanya memandang tepat ke wajah Qaira.

Qaira hanya membisu. Otaknya cuba merencana penjelasan Hadif. Perlukah dia bersetuju dengan cadangan dan permintaan Hadif?

So? Kau setuju?” tanya Hadif lagi.

Qaira menghela nafas ringan. Anggukan diberikan tanda setuju. Tak salah mencuba, bisik hati Qaira.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.