Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
128,871
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

“HAH! Curi buah!” Sergahan kuat dari arah belakang membuatkan bidikkan lastik budak lelaki itu tersasar jauh dari sasaran yang sepatutnya.

Pantas sekumpulan budak-budak itu menoleh ke belakang. Tercegat Nurul Liyana dengan wajah garang mengalahkan komander pencen. Kedua-dua belah tangannya dicekakkan ke pinggang.

“Apalah Kak Nana ni. Buat orang terkejut aje. Tengok, kan dah tak kena,” rungut Ipin. Termuncung-muncung mulutnya tanda tidak puas hati. Wajah Liyana yang menyinga langsung tidak ditakutinya.

“Padan muka hang! Tulah, siapa suruh mencuri,” ejek Liyana.

“Mana ada orang mencuri. Buah tukan banyak. Apa salahnya kami ambil sikit,” jawab Ipin penuh berani.

“Eh, eh budak botak ni. Sekolah mana hang belajar ni? Kalau ambil suatu benda tu tak minta izin tuannya, tu mencuri namanya. Itu pun tak reti ke?” bidas Liyana.

“Dahlah tu, bulan-bulan puasa macam ni pulak hangpa mencuri. Apalah nak jadi dengan hangpa ni? Cubalah jadi anak manusia, jangan ikut sangat perangai anak jin.” Panjang lebar Liyana menyambung syarahannya.

Budak yang bernama Ipin itu hanya mengherot-herotkan mulutnya, mengajuk bebelan Liyana. Kawan-kawannya yang lain hanya ketawa mengejek. Kata nasihat Liyana langsung tidak berbekas di hati mereka.

Liyana terdiam tiba-tiba. Dahinya berkerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. “Eh, kejap, kejap. Sekarang ni bulan puasa. Kenapa hangpa curi buah?” Dia menarik nafas panjang sebaik habis berkata-kata.

“Ooo…hangpa tak puasa ek? Tak guna punya budak-budak!” Serentak dengan itu, bermulalah aksi kejar-mengejar di antara seorang budak besar dan sekumpulan budak kecil. Berpusing-pusing keliling rumah, Liyana cuba mengejar budak-budak itu.

“Hoi, hoi! Apa yang berlari tak tentu hala ni hah?” jerkah satu suara.

Kelam-kabut budak-budak itu menarik brek larian mereka. Liyana yang begitu bersungguh-sungguh mengejar, tidak sempat menarik brek. Laju sahaja dia merempuh si pemilik suara, Haji Salleh, tok wannya sendiri.

Gedebuk! Kedua-dua jatuh tergolek. Apa lagi, berderailah ketawa budak-budak nakal tadi.

“Adoi! Awatlah hang langgar tok wan Nana oii? Tok wan ni dahlah sekeping. Boleh patah riuk dibuatnya.” Haji Salleh mengaduh kesakitan. Tangannya menggosok-gosok pinggang yang terasa sengal.

“Aiseh, sorrylah tok wan. Nana tak sempat tarik brek tadi,” jawab Liyana kesal sambil kelam-kabut membantu tok wannya bangun.

Budak-budak tadi sudah bantai gelak tidak terhingga. Sampai ada yang menekan-nekan perut.

“Apa gelak-gelak? Pi balik sebelum aku lastik seorang demi seorang,” jerkah Liyana. Sakit betul hatinya apabila diketawakan sedemikian rupa.

“Buekkk…” Ipin menjelirkan lidah kepada Liyana sebelum berlalu pergi bersama kawan-kawannya. Dan sebagai jawapan balas, Liyana pantas melontarkan sebelah seliparnya. Mencicit-cicit budak-budak itu berlari meninggalkan kawasan rumah Haji Salleh.

Haji Salleh yang memandang terus menggeleng melihat karenah cucunya. “Apalah nak jadi dengan Nana ni. Dengan budak-budak pun boleh jadi cerita,” leternya sambil memusing-musingkan pinggangnya ke kiri dan kanan. Membetulkan urat-uratnya yang terasa sengal. Maklumlah sudah dirempuh secara ganas tadi.

“Budak-budak tu yang cari pasal, tok wan.” Liyana membela diri.

Haji Salleh hanya diam. Dia berjalan menuju ke arah pangkin yang terletak di bawah pohon ceri yang merendang. Liyana mengekor dari belakang.

“Si Ipin dengan kawan-kawan dia nak mencuri buah mempelam tu, tok wan,” adu Liyana lagi apabila melihat tok wannya seakan-akan tidak mempercayai kata-katanya tadi.

Biaq pi la, Nana. Buah mempelam tu banyak. Tak habis dimakannya,” balas Haji Salleh selamba.

Liyana mendengus tidak puas hati. “Memanglah buah tu banyak tok wan, tapi budak-budak tu tak boleh dibiarkan. Jadi tabiat mencuri nanti,” tukas Liyana.

Haji Salleh diam, mengakui kata-kata cucunya di dalam hati. Memang logik apa yang dikatakan Liyana itu. Orang tua-tua dahulu pernah berpesan, kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Dia mengeluh. Melepaskan lelah badan.

“Tok wan dari mana tadi?” soal Liyana sekadar bertanya kosong.

“Dari bendang tu hah. Jenguk-jenguk padi yang mula masak,” jawab Haji Salleh sambil mengesat peluh yang merenek di muka.

Liyana terangguk-angguk.

“Nana.”

“Ya, tok wan.”

“Tadi bukan main laju lagi Nana lari tok wan tengok. Hang tak puasa ya?” Selamba Haji Salleh bertanya. Tersengih-sengih menampakkan giginya yang sudah ronggak sebatang dua.

“Ceh! Tok wan ni, Nana puasalah. Tak baik tau main tuduh-tuduh,” sangkal Liyana, pantas. Muncung mulutnya. Hati keciklah tu.

Meletus ketawa daripada mulut Haji Salleh. Sudah dijangkakan, cucunya itu akan cepat sahaja menjawab usikannya. Bukan dia sahaja, malah satu kampung kenal dengan perangai cucunya itu. Pantang dituduh sembarangan, laju sahaja mulutnya nak berpidato. Yang peliknya tu, sekolah tidaklah pandai mana. SPM pun lulus setakat cukup makan sahaja kata orang. Tapi bila dapat bercakap, kalah Pak Jabit dapat mikrofon. Hmm…

“Tok wan tu... mengata orang la tu,” tuduh Liyana.

Tersentak Haji Salleh. Dia tersenyum. “Hisy, tak baik tau main tuduh-tuduh.” Dia memulangkan paku buah keras.

Liyana mendengus lagi. “Eleh, macamlah Nana tak tahu. Tok wan, Nana duduk dengan tok wan sejak kecil tau. Setiap gerak tok wan tu, Nana dah boleh bacalah. Dalam poket ni hah!” Tuturnya penuh yakin. Kocek seluarnya ditepuk-tepuk.

Sekali lagi, Haji Salleh ketawa besar. Tercuit sungguh hatinya dengan celoteh cucu kesayangannya itu. Sememangnya Liyana dibesarkannya sejak dari kecil lagi. Susah senang, suka duka, cucunya itu bersama dengannya dan isteri, Hajah Kamariah.

Liyana tidak menghiraukan ketawa tok wannya. Mulutnya sibuk menyanyi-nyanyi kecil. Entah apa lagu yang didendangkan. Macam bunyi langau hurung sampah pun ada. Siap hayun-hayun kaki lagi tu.

“Macam mana dengan projek baru Nana tu?” soal Haji Salleh ingin tahu.

“Projek ikan keli tu ke tok wan?” Liyana memulangkan soalan.

“Projek tulah. Berapa banyak projek baru hang ada?” balas Haji Salleh kembali.

Bukannya memerli tetapi manalah tahu, dalam diam banyak pula projek yang diusahakan oleh cucunya itu. Walaupun cucunya itu tidak pandai dalam pelajaran tetapi dia sedar, Liyana seorang yang kuat berusaha dan berjiwa besar. Malah dia tahu, cucunya itu memang tak tahu duduk diam. Ada sahaja kerja yang akan difikirkannya. Janji boleh buat duit! Itulah Liyana.

Liyana tersengih memandang tok wannya. Kepalanya digaru-garu seketika. “Projek tu okey tok wan. Tip top!” Ibu jari kanannya dinaikkan tegak mengisyaratkan tanda bagus.

“Habis bisnes ‘toping-toping’ kau tu macam mana. Siapa nak uruskan?”

Kali ini, Liyana ketawa berdekah-dekah mendengar sebutan ayat tok wannya. Lawak betullah tok wan ni. Ada ke ‘toping-toping’ pula. Ingat projek buat kek ke? Hahaha…

“Bukan ‘toping-topinglah’ tok wan. Island hopping. Toping tu hiasan kek.” Dia membetulkan sebutan Haji Salleh setelah tawanya agak reda.

“Hah, menatang tulah. Alah, tok wan bukannya reti cakap orang putih ni. Janji bunyinya ‘ping-ping’ kira okeylah tu.”

Liyana ketawa lagi. Tok wannya itu memang kelakar. Ada-ada sahaja.

“Amboi, gelak sakan tok wan dengan cucu noo... Dari hang dok hayun kaki, gelak dengan tok wan hang, baik hang masuk tolong tok lagi bagus Nana oii!” sergah Hajah Kamariah yang tiba-tiba sahaja muncul di muka pintu dapur.

Liyana sudah tersengih. Sebelum neneknya itu membebel panjang, lebih baik dia turutkan sahaja perintah. Dia terus melompat turun dari pangkin yang didudukinya lantas berdiri tegak. Tangan kanannya diangkat ke dahi penuh jitu.

Ai, ai kapten!” Tabik Liyana, jangan tak tabik! Masak kau nanti dengan Hajah Kamariah. Hehehe...

“Banyaklah hang punya ai, ai. Tak payah nak mengarut. Masuk cepat!”

Laju hanyunan langkah Liyana menghala ke pintu tempat neneknya berdiri. Seperti tadi, dia masih tersengih-sengih. Tinggal lagi tiga langkah untuk sampai, telinganya menangkap suatu suara melaungkan namanya.

Dia pantas berpaling ke belakang. Serentak dengan itu, bunyi motosikal diberhentikan secara tidak berhemah kedengaran.

“Weh! Nana.”

Liyana merenung tajam kepada pemilik suara itu. “Hang ni apahal, Ijam? Kelam-kabut macam kena kejar hantu Kak Limah aje. Dah tak reti nak bagi salam?”

“Cepatlah, Nana. Jom ikut aku,” gesa ijam tiba-tiba.

Hang ni apahal. Angin tak ada, ribut tak ada, tau-tau mai macam Taufan Katrina ni pasal apa?”

“Awat yangdok kalut sangat ni Ijam?” sampuk Haji Salleh dari pangkin yang didudukinya.

“Entahnya. Bawa motor macam ribut. Nasib baik tak tertungging tadi,” sahut Hajah Kamariah pula.

Ijam menggaru laju kepalanya. Serabut sungguh lagaknya. Liyana memang rasa pelik habis. Apa saja yang tidak kena dengan mamat ni.

“Relaks, kawan. Cuba tarik nafas dulu. Lepas tu bagitau aku, apa masalah hang?

Ijam menurut kata-kata Liyana. Dia menarik nafas dalam-dalam, lalu melepaskannya dengan sekali hembus. “Jom ikut aku cepat!” katanya kemudian.

Liyana tepuk dahi. Si Ijam ni memanglah. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja dia hentak. Biar nampak bintang.

Hang dok ajak aku ikut hang, apahal? Dahlah tu, hala cerita pun aku tak tau. Weh, hang tau tak sekarang ni dah petang. Sekejap lagi nak buka puasa. Kuih badak berendam tok aku belum siap tu. Aku sibuk ni!” Panjang lebar Liyana bersyarah.

Hajah Kamariah terus memandang Liyana. ‘Bila pulak aku suruh budak ni buat kuih badak berendam? Ada aku sebut ke tadi?’ Dia terus terpinga-pinga.

‘Errr... betul ke tok nak buat kuih badak berendam? Aku main redah cakap aje ni. Alah, hentam aje la,’ gumam hatinya sendiri.

“Alah, kuih badak berendam tu kemudian boleh buat. Jom ikut akupi kolam dulu. Karang badak tak berendam, si Usin tu pulak yang berendam kat kolam ikan hang.”

Mata Liyana terus membulat. Usin? Huh! “Usin? Usin Jingga tu?” Dia meminta kepastian.

“Yalah. Si Usin Jingga tulah. Siapa lagi?” balas Ijam.

“Apa yang dia buat?” soal Liyana lagi. Tangannya dicekakkan ke pinggang. Macam bagus sahaja gayanya.

Ijam garu kepalanya laju. Geram dengan Liyana yang banyak soalan. ‘Orang nak cepat, lagi mau banyak tanya,’ gumam hatinya.

“Apa saja yang kelam-kabut sangat ni Ijam?” Haji Salleh yang sedari tadi diam, tiba-tiba menyampuk.

Terperanjat Ijam bila bahunya ditepuk dari belakang. Entah bila, tahu-tahu sahaja Haji Salleh sudah berdiri di belakangnya. Dadanya diurut laju. Kus semangat.

“Tok Leh, jangan buat macam ni selalu. Boleh meninggal saya tok. Saya belum kahwin lagi ni,” ujar Ijam.

“Meninggal, hang tahu takut. Tapi bukan amal ibadat hang nak ambil kira. Kahwin pulak yang hang ingat noo,” tempelak Haji Salleh dalam senyuman.

Terdiam Ijam dengan ungkapan selamba dari Haji Salleh. ‘Kena aku!’

“Woi! Sudahlah gelak tu. Jom ikut aku cepat!” Ijam sedikit bengang apabila Liyana tidak mengambil kisah dengan ajakannya. Sebaliknya, boleh pula digelakkan Ijam kerana mendapat ceramah percuma daripada Haji Salleh.

“Yanghang kalut sangat ni pasal apa?” Liyana mengulang soalan yang sama maksudnya dengan soalan Haji Salleh tadi.

Ijam mengeluh. Muka bosan ditayangkan. Liyana memang spesis kepala batu belah batu bertangkup. Cakap dia saja nak kena ikut. Hisy!

“Si Usin Jingga tu, tengah siap sedia nak baca puisi cinta untuk Nurul Liyana Binti Azmi. Kat kolam ikan keli nun!”

“Apa?” sahut Liyana dengan mata membulat mengalahkan burung hantu berjaga malam.

Ijam sudah tersengih. ‘Tahu hang kalut. Tadi berlagak selamba sangat!’ kutuknya dalam hati.

Haji Salleh dan Hajah Kamariah sudah saling berbalas senyum. Nampaknya petang ni kecoh lagilah Mukim Ulu Melaka.

“Memang kepala jingga punya Usin Jingga. Cari nahas dengan akulah tu! Jom Ijam. Cepat!” hamun Liyana sambil langkahnya panjang menuju ke arah motosikalnya yang terletak di bawah rumah.

“Bulan-bulan puasa ni tak elok gaduh-gaduh Nana. Selesai cara baik.” Hajah Kamariah sempat menasihati cucunya. Ketika itu Liyana sudah bersedia di atas motornya.

Liyana hanya mengangguk sedikit. Nasihat memang tak masuk dalam hatilah tu kalau sudah rupa anggukkannya begitu.

“Naik motor akulah wei!” jerit Ijam.

“Tak payah nak mengada-ngada. Aku tahu niat dalam kepala otakhang tu. Motor aku ni lagipower daripada motorhang. Dah jom blah,” ajak Liyana lalu terus memecut motornya.

Ijam masih terkebil-kebil.

“Hang tunggu apa lagi?” sergah Haji Salleh.

“Ha’ah kan?” Ijam bagaikan baru tersedar. Kelam-kabut dia menghidupkan enjin motosikalnya lalu memecut mengejar Liyana yang sudah jauh di hadapan.

“Macam-macam hal budak-budak ni,” keluh Haji Salleh sambil menyimpan tong racun yang dibawa ke sawah tadi.

“Risau pulak hati Yah ni, abang haji oii. Pergilah tengok kejap,” luah Hajah Kamariah pula. Wajahnya penuh kerisauan. Bukan dia tidak kenal dengan cucunya.

“Hal orang muda, Yah. Biarlah orang muda selesaikan.” Mudah jawapan Haji Salleh.

“Tapi Nana tu bukannya abang haji tak tau perangai dia.” Hajah Kamariah masih memujuk Haji Salleh.

Haji Salleh hanya tersenyum nipis. Dia masih leka mengemaskan tempat simpanan peralatan taninya.

Hajah Kamariah mula bengang dengan gelagat suaminya. Nampak sangat kata-katanya dipandang enteng. “Abang haji!”

“Ya. Saya dengar Hajah Kamariah oii. Tua-tua saya pun, belum pekak lagi ni,” jawab Haji Salleh. Kini pandangannya memusat kepada wajah isteri yang sedang bengang.

“Habis tu Yah cakap, abang haji buat tak tau aje.” Bibir Hajah Kamariah mula memuncung.

Haji Salleh tersenyum geli hati. Rasa seronok pula tengok isterinya muncung begitu. Merajuk macam mereka muda-muda dahulu.

“ALLAH… macamlah Yah tak kenal cucu kita tu. Tak ada bendalah yang nak dibuat budak tu.” Haji Salleh masih bersikap tenang.

“Susahlah bercakap dengan abang haji ni. Semuanya ambil mudah aje,” bentak Hajah Kamariah, Dia terus berlalu ke dalam.

Haji Salleh hanya menggeleng dengan senyuman yang masih tersungging di bibir. Bukan dia tidak kisahkan cucunya tetapi dia lebih kenal Liyana. Dia tahu, cucunya itu bijak mengawal keadaan.

Melihat matahari mula memerah di ufuk sana, Haji Salleh segera menyudahkan kerja mengemas peralatannya. Dia mahu membersihkan diri kerana waktu berbuka bakal tiba sejam dua lagi.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.