Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
128,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

AIDID Mukhlis terkial-kial mencari kunci di dalam beg sandangnya. Mulutnya tak henti-henti menceceh apabila kunci yang dicari tidak diketemui. Entah dimana dia campakkan kunci rumah. Sesuka hati sahaja dicampakkan ke dalam beg sandangnya ketika keluar ke tempat kerja tadi. Sekarang bila hendak digunakan, mulalah terkial-kial mencari.

Dalam dia kelam-kabut mencari kunci tersebut, Aidid terdengar bunyi pintu rumah sedikit berkeriuk. Tercegat abahnya di muka pintu.

“Apa yang tercari-cari tu Aidid?” tegur Encik Azman. Matanya mencerun memandang anak lelakinya.

“Cari kunci rumah, abah,” jawab Aidid jujur.

Encik Azman mendengus perlahan. “Suka sangat campak barang sesuka hati. Macam tulah jadinya.”

Aidid diam. Dia tahu tiada guna dia menjawab. Balik-balik nanti, kena batang hidung sendiri juga. Jadi, lebih baik dia diam.

Sebaik memasuki rumah, deria baunya sudah menangkap sesuatu yang enak dari dapur. Serta-merta perutnya, berdendang riang. Sudah macam paluan gendang tarian singa di waktu Tahun Baru Cina pula dibuatnya.

Abah yang sedang kusyuk menatap buku dikerlingnya seketika. Aidid membatalkan hasratnya untuk melepaskan lelah di sofa ruang tamu. Buat masa ini, dia merasakan tidak ada ‘kimia’ untuk dia duduk bersama dengan abahnya. Bau yang datang dari dapur lebih menarik perhatiannya. Laju langkah dihayun menuju ke dapur.

“Hai, mama,” sapa Aidid sebaik tiba di dapur.

Puan Mariam yang begitu asyik memasak, terus berpaling sebaik terdengar sapaan anak teruna kesayangannya. Senyuman memekar di wajahnya.

“Assalamualaikum,” sahut Puan Mariam berbaur sindiran.

Aidid tersipu-sipu sendiri. Sedar yang mamanya sedang menyindir. Salahnya juga, suka sangat terlupa adab seorang muslim. Hendak tutup malu, dia sengih tayang gigi sajalah.

“Aduh! Sekali mama smashed daa. Waalaikumussalam,” jawab Aidid sambil tergelak-gelak.

Puan Mariam hanya tersenyum. “Itulah. Siapa suruh bagi bola tanggung!”

“Perghhh! Mama pun pandai tengok badminton ek. Ingatkan mama tengok rancangan masak-masak aje,” gurau Aidid.

“Jangan pandang mama sebelah mata tau.” Puan Mariam tidak mahu kalah.

Aidid tergelak lagi. Seronok pula melayan mamanya berbual. Kalau dengan abah, jangan haraplah nak bergurau-gurau macam ni. Serius memanjang. Huh!

“Mama sikit punya cantik bergetah macam ni, fuh! Rugilah kalau Aidid pandang sebelah mata,” usik Aidid lagi.

Laju tangan Puan Mariam mengangkat sudip di tangan. Aidid ketawa nakal sambil mengeyitkan mata pada mamanya.

Tergeleng kepala Puan Mariam dengan telatah anak bujangnya. Anaknya itu sudah pandai bermain kata dengan wanita nampaknya. Hmm...

“Anak mama dah pandai gatal-gatal sekarang ni ya,” sindir Puan Mariam. Dia kembali mengadap periuk di atas dapur.

Aidid tersengih. Dia menghampiri mamanya lalu tubuh itu dipeluk kejap. “Alah, orang gatal sikit aje,” ujarnya.

Puan Mariam menjuihkan bibirnya. “Dah besar pun nak manja dengan mama lagi.”

Aidid tersengih lagi.

“Memandangkan anak mama ni sekarang dah pandai ‘gatal sikit’, apa kata carikan menantu untuk mama.” Puan Mariam mula mengutarakan topik yang kurang digemari Aidid.

“Errr... mama masak apa ni. Sedapnya bau. Sampai ke luar bau tadi.” Aidid pantas mengalihkan tajuk perbualan. Dia mengintai-intai ke dalam periuk.

Puan Mariam terus memicit hidung mancung Aidid. Geram kerana anak terunanya itu ada sahaja alasan bila dia berbicara tentang jodoh.

“Pandai tukar topik ya,” tempelak Puan Mariam.

Aidid tersengih. “Mana ada. Betul, bau mama masak ni bukan main sedap lagi,” dalihnya bersungguh-sungguh.

“Sudahlah tu. Tak payah nak bodek-bodek mama. Mama tahu apa dalam kepala Aidid tu,” balas Puan Mariam, sudah dapat membaca niat anaknya.

“Apa pulak mama? Mana ada bodek-bodek.” Aidid masih terus berdalih.

Puan Mariam merenung wajah anak tunggalnya. Aidid pula pantas melarikan anak matanya ke arah lain.

‘Mama main tenung-tenung mata ni yang takbest. Dahlah mama macam pakar hipnosis. Tahu aje apa dalam kepala aku ni,’ gumam hati Aidid.

“Aidid, Aidid tu anak mama. Sembilan bulan duduk bertapa dalam perut mama ni tau. Mama boleh bacalah,my dear,” ujar Puan Mariam sambil tersenyum.

Aidid tersengih. Kantoi sudah dengan mamanya.

“Mama…” panggil Aidid dengan suara mendayu. Memang niatnya mahu meminta pertolongan Puan Mariam.

“Soal tu, mama tak nak dapat tolong. Aidid bincang dengan abah sendiri.” Puan Mariam lebih pantas memotong. Dia sudah tahu apa yang hendak diperkatakan oleh anak bujangnya itu. Sejak sebulan yang lepas, perkara ini juga yang tidak habis-habis dibincang mereka anak-beranak.

“Alaaa…” Suara Aidid meleret kecewa. Pandai pula mamanya membaca taktik membodeknya.

“Mama dah penat jadi orang tengah antara Aidid dengan abah. Naik pening kepala mama dibuatnya dengan perangai Aidid dan abah. Abah cakap macam ni, Aidid cakap macam tu. Mana satu yang mama nak ikut?” Puan Mariam mula membebel.

“Aidid ni pun satu. Cuba-cubalah berbaik dengan abah tu. Ini tidak, macam nak berperang saja mama tengok. Lagipun apa yang susah sangat nak balik Malaysia tu. Bukannya abah suruh Aidid pergi berperang kat Afghanistan tu,” sambungnya lagi. Puan Mariam memang jenis yang tidak banyak bercakap tetapi sekali dapat membebel, boleh pijar telinga dibuatnya.

“Aidid tak ada jiwalah nak balik Malaysia, mama. Aidid bukannya biasa kat sana. Bukan ada apa yangbest pun. Kawan pun tak ada. Duduk tercongok kat kampung tu, apa ada? Bosanlah mama,” protes Aidid. Dia menyandarkan tubuhnya ke kabinat dapur mengadap muka Puan Mariam.

Sejak Encik Azman membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia sebulan yang lepas, Aidid memang tidak tenteram duduk. Dia faham, abah dan mama mahu tinggal di kampung setelah abah pencen. Sudah lama duduk di luar negara, pastinya abah dan mama mahu menghabiskan hidup di kampung halaman.

Tetapi yang membuatkan Aidid tidak berpuas hati, kenapa dia harus diheret bersama? Dia masih mahu tinggal di kota London ini. Kehidupannya ada di sini. Kawan, kerja, semuanya di sini. Balik ke Malaysia, apa yang dia hendak buat?

“Abah bukan suruh Aidid balik terus pun. Cuma balik bercuti aje,” pujuk Puan Mariam.

Aidid mendengus. Hatinya tetap meronta-ronta tidak mahu pulang ke Malaysia. Tapi mamanya sudah mengangkat bendera putih. Itu bermakna, dia perlu bertentang mata berbicara sendiri dengan abah. Ish, payah ni!

Puan Mariam hanya tersenyum. Malas dia mahu mengambil pusing masalah Aidid. Sebetulnya, bukan ada masalah apa sangat pun. Cuma balik bercuti. Tapi dia sendiri tidak faham, apa sangat yang menjadi masalah kepada anaknya itu.

Dia kembali meneruskan kerja masak-memasaknya. Lambat karang, dia juga yang akan kelam-kabut untuk menyiapkan juadah berbuka nanti. Nak harapkan suami dan anak, hmm… faham-faham ajelah.


TERASA lega urat saraf dirasakan sebaik sahaja tubuhnya menyentuh tilam. Keenakan itu membuatkan, badan yang sememangkan letih, semakin sayang mahu meninggalkan katil. Mata pula semakin memberat.

Aidid memperkemaskan baringannya. Bantal golek ditarik rapat. Lupa sudah yang dia masih belum menunaikan solat asar.

“Hah! Elok sangatlah tu. Tidur waktu-waktu asar macam ni. Sembahyang entah ke mana. Buatnya malaikat maut datang menjemput, sia-sia saja mati dalam dosa.”

Sergahan Encik Azman, pantas mengejutkan Aidid yang mula diulit mimpi. Terus dia terbangun dan duduk menegak. Tangannya meraup muka dengan laju untuk menghilangkan rasa mamai kerana disergah tiba-tiba begitu. Kus semangat! ‘Abah ni memanglah. Suka sangat sergah macam tu. Memang boleh meninggal dibuatnya,’ rungut hati Aidid. Muka tidak puas hati ditayangnya.

Encik Azman buat tidak endah. Puas hati ke, tak puas hati ke, nasib kaulah. Memang patut pun kena sergah. Suka sangat main-main dengan soal solat. Pantang sungguh dia. Dengan selamba, dia berlalu sambil membiarkan pintu bilik anak bujangnya ternganga luas.

Aidid mendengus geram. Abahnya suka benar mencari pasal dengannya. Ada sahaja yang tidak kena di mata. Itu salah, ini salah. Hisy! Serba tidak kena dibuatnya.

Aidid mendengus lagi. Masih tidak puas hati dengan tindak-tanduk abahnya. Hendak kata abah pilih kasih terhadap anak, dialah satu-satunya anak abahnya. Apa yang hendak dipilih-pilih lagi? Tapi tak tahulah pula, kalau-kalau abah ada cawangan lain.

Aidid tiba-tiba tergelak sendiri apabila terfikirkan tentang itu. Kalaulah mama tahu apa yang difikirkannya ketika itu, mahu juga sudip mama naik ke kepalanya. Orang perempuan memang cukup sensitif bila sebut tentang isu cawangan. Hehehe…

“Gelak sorang-sorang. Itulah, suka sangat tidur waktu asar, kepala otak pun dah tak betul.” Sekali lagi sergahan Encik Azman menyapa telinga Aidid. Pedih dirasakan.

Mati ketawanya. “Abah ni suka sangat sergah Aidid macam tu. Lama-lama boleh meninggal tau,” protesnya. Kali ini dia tidak berdiam diri lagi.

“Kalau takut meninggal, rajin-rajin solat. Jangan nak lalai aje,” jawab Encik Azman penuh sinis. Fulamak! Sindiran makan dalam tu.

Aidid terkedu. Dia terkebil-kebil sendiri mendengar kata-kata tidak bertapis daripada abahnya. Dia terasa seram sejuk tiba-tiba. Kata-kata si abah bagaikan igauan buat dirinya. Tidak mahu bertangguh lagi, dia terus ke bilik air. Mahu membersihkan diri. Mahu bersolat!

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.