“ALA, awat Nana pulak yang kena pi ambil dia?” protes Liyana apabila mendengar arahan Haji Salleh.
Tubuhnya dipeluk kejap dengan kedua-dua belah tangan.
“Habis tu, takkan tok wan nak suruh tok hang pulak yang pi
jemput?” jawab Haji Salleh. Ada loyar buruk dalam ayat itu.
Liyana mendengus geram. ‘Aiseh! Aku tengah
angin, boleh pulak tok wan buat lawak ya.’
“Tok wan, dekat Langkawi ni, teksi betul, teksi
sapu, semua ada. Berlambak-lambak. Pilih saja yang mana suka. Letak punggung,
sekejap saja dah sampai kat laman rumah ni,” balas Liyana.
“Uish, tak eloklah buatlagu tu. Abang Aidid hang tu
baru sampai sini. Berpuluh tahun dia tak balik. Bukannya dia reti jalan sini,”
sanggah Haji Salleh.
“Alah, pemandu teksi kat airport tu kebanyakannya kenal tok wan. Cakap aje nak ke rumah Haji Salleh.
Apa yang susahnya. Tak perlu pun cucu London tok wan tu kenal jalan ke tidak,”
protes Liyana lagi. “Tok wan, Nana ni bukan tak mau pi ambil dia. Tapi Nana ni
sibuk. Banyak kerja nak buat,” sambungnya lagi.
Haji Salleh diam.
Liyana menyambung kata. “Tak pun tok wan
suruhlah pak su. Pak su tu kan dok saja aje kat rumah tu.”
Haji Salleh mengeluh mendengar kata-kata Liyana.
Cucunya itu memanglah. Kalau bab bagi alasan, serahlah kat dia. Memang pandai!
Seribu pun dia boleh beri.
“Hmm… tak apalah. Nana sibuk, kan? Pi la buat kerja Nana. Biar tok wan sendiri pi ambil Abang Aidid hang tu.” Haji Salleh terus bangun sebaik selesai menuturkan ayat sedih
tersebut.
Liyana terus dilanda serba-salah. Takkanlah dia
hendak biarkan datuknya pula pergi mengambil abang sepupunya itu. Nampak sangat
dia bukan cucu yang bertanggungjawab. Tok wan ni memanglah. Suka buat ayat-ayat
sedih macam tu tau. “Tok wan… tok wan,” panggil Liyana kalut.
Langkah Haji Salleh terhenti. Dia sudah mengulum
senyum. Jeratnya mengena. Tahu sangat dia kelemahan cucu perempuannya itu.
Semua dalam poket tok wan lah. Hehehe…
Haji Salleh berpaling. Senyuman disembunyikan. “Awat pulak?” Dia buat muka sedih.
Liyana melepaskan keluhan. “Tak apalah. Biar
Nana pi
ambil.”
“Nana kan sibuk. Takpalah, biar tok wan pi ambil. Bukan jauh mana pun Padang Mat Sirat tu.” Haji Salleh cuba
bermain tarik tali dengan cucunya.
“Tak payah… tak payah. Biar orang buat. Tok wan
duduk diam-diam kat rumah. Nanti orang bawa cucu London kesayangan tok wan tu
balik dengan selamat dan sejahteranya,” pintas Liyana.
Haji Salleh hanya tersenyum lebar apabila
melihat Liyana menapak turun ke bawah rumah. Tahu hati cucunya itu tengah
sebal. Liyana kalau sudah bercakap pakai bahasa orang, orang… faham-faham
sajalah.
Tetapi hatinya jadi cuak, apabila melihat Liyana
sudah memakai helmet lalu melangkah naik ke motorsikalnya. Ah! Sudah.
“Astaghfirullah al azim… takkanlah Nana nak pi
jemput Abang Aidid naik motor kot?” tegur Haji Salleh.
“Entahnya,” sampuk Hajah Kamariah yang tiba-tiba
sahaja muncul dari belakang rumah. Di tangannya ada serumpun ubi kayu yang
masih penuh dengan tanah.
“Pakai motorlah cepat tok wan, tok. Lecehlah nak
bawa-bawa kereta ni. Nak kena cari parking lagi,” omel Liyana. Orang sudi nak pergi jemput pun dah kira baik
tau!
“Ya ALLAH... budak ni. Kalau pakai motor, nanti
beg-beg Abang Aidid kamu tu nak letak kat mana?” ujar Haji Salleh menolak
kata-kata Liyana.
“Alah, Nana berani kerat daun serai tok kat
belakang rumah tu hah, kalau cucu London tok wan tu bawa pakaian berguni-guni.
Tok wan tengok ajelah nanti. Satu beg pun belum tentu penuh.” Penuh yakin
Liyana menjawab.
Haji Salleh dan Hajah Kamariah berpandangan
sesama sendiri. Ke situ pula budak bertuah ni! Liyana sudah memecut
motorsikalnya meninggalkan datuk dan neneknya yang masih terkebil-kebil dengan
kelakuannya.
Sepuluh minit merempit dengan motorsikal kesayangannya, Liyana sampai di
Lapangan Terbang Padang Mat Sirat. Alah, jauh mana sangat Mukim Ulu Melaka tu
dengan Padang Mat Sirat.
‘Liyana tercari-cari kelibat Aidid. Hisy! Mana
satu pulak mamat London ni? Aku bukannya pernah jumpa dia pun. Macam mana nak kenal
ni?’ Liyana menyoal dirinya sendiri. Menyesal pula dia tidak bertanyakan lebih
lanjut dengan tok wan tentang abang sepupunya.
Lehernya dipanjangkan, cuba mengintai-intai
wajah yang dirasakan sesuai sebagai cucu London tok wannya. Tiba-tiba dia
terpandang kelibat seorang lelaki. Hatinya kuat mengatakan itulah cucu London
tok wannya.
Dengan penuh keyakinan di dada, Liyana melangkah
jitu ke arah lelaki tersebut. “Hai... Aidid?” tegur Liyana.
Jejaka itu membuka kaca mata hitamnya. Wajah
gadis yang tiba-tiba sahaja menegurnya direnung. Wow! Kacaknya. Sabar Liyana,
sabar. Jaga kelakuan.
“Adik salah orang agaknya. Saya bukan Aidid.
Saya Aaron,” jawab lelaki itu.
Mendengar kata-kata lelaki itu, Liyana terus
ketawa bagaikan orang sakit meroyan. Pinggangnya dicekak kuat, cuba menahan
sakit pada urat-urat akibat ketawa yang tidak berhemah.
Jejaka yang kononnya bernama Aaron itu,
terkebil-kebil memandang gelagat Liyana. ‘Apa ke hal pulak budak perempuan ni?
Tiba-tiba sahaja meroyan semacam ni. Aku ada buat lawak ke?’ “Adik, adik okey
ke?” soalnya. Pelik ada, risau pun ada juga. Ada pesakit hospital bahagia
terlepaskah?
Liyana masih ketawa tetapi frekuensinya sudah
semakin menurun. “Awak jangan buat lawak boleh tak. Sakit urat kentut saya ni
tau tak?” Selamba sahaja dia berkata-kata.
Lelaki itu semakin pelik dengan kelakuan Liyana.
“Bila masa pulak saya buat lawak?”
“Awak ni pun. Kalau nak buat lawak pun
agak-agaklah. Nampak benor nipunyer. Teman
tahu ler kome tu kacak bergaye.
Tapi, kalau nak ngaku Aaron Aziz pun agak-agakler,” kata Liyana sambil kembali ketawa berdekah-dekah. Dah cakap Perak
pulak dah budak ni!
“Dik. Bila masa pula saya kata yang saya ni
Aaron Aziz? Saya cuma cakap, nama saya Aaron,” jelas pemuda itu membuatkan
ketawa Liyana mati serta merta.
Liyana terdiam. Ha’ah... kan? Dalam dunia ni,
bukan Aaron Aziz tu seorang sahaja yang nama Aaron. Alamak, malunya… malunya.
“Eh?” kata Liyana sambil tersengih menayang
gigi.
Pemuda itu tersenyum selamba. Tahu Liyana sudah
termalu dengannya. “Hmm...”
“Hehe…sorry.
Peace!” ucap Liyana dengan perasan malu yang
teramat sangat. Dia mengangkat dua jarinya membuat tanda ‘peace’ lalu terus
cabut lari. Malu… malu… Doreamon, mana kau? Aku nak pinjam poket ni. Nak
sembunyikan diri!
Ibarat lipas kudung Liyana melarikan diri. Malu
teramat sangat. Sudahlah salah orang, boleh pula dengan selamba kataknya dia
pergi ‘sound’ mamat tu. Tanpa soal selidik pula tu. Hisy! Liyana… Liyana.
Kerana kelam-kabut mahu melarikan diri, Liyana
tidak peduli lagi kiri dan kanannya. Sudahnya, dia merempuh seseorang yang
sedang berjalan di hadapannya. Tergolek kedua-dua hamba ALLAH itu.
“Aduh!” Serentak mereka bersuara.
“Kenapa main langgar-langgar pula ni?” tegur
pemuda itu sedikit marah. Dia bangun sambil membetulkan kembali kedudukan beg
galasnya.
Liyana turut sama bangun. Tangannya memegang
pinggang yang terasa sedikit nyilu akibat terjatuh tadi. Punggung dah ada rasa
kebas-kebas. Malam ni sah kena cari Hajah Kamariah untuk betulkan urat.
“Minta maaflah,
encik. Saya tengah main Amazing Race sebenarnya,” auta si Liyana. Macam-macam
hal betul budak ni.
Mata pemuda itu mencerlung memandang Liyana.
‘Tengah main Amazing Race? Menipu tak agak-agak langsung budak ni.’
Liyana sengih tayang gigi lagi. Rasanya
kecil-kecil dulu, mesti Liyana ni cita-citanya hendak jadi model iklan ubat
gigi. Sekali lagi dua jarinya diangkat menunjukkan tanda ‘peace’.
Sekali lagi dia buat perkara yang memalukan diri
sendiri. Liyana terus menapak laju meninggalkan pemuda itu terkulat-kulat.
Tetapi, baru empat langkah menapak, Liyana kembali berpaling.
“Eh, eh... awak boleh cakap Melayu?” soal Liyana
pelik.
Pemuda itu yang baru hendak bergerak, tercengang
apabila ditegur Liyana lagi.
Tiba-tiba Liyana ketawa.
Apa masalah budak ni? Pemuda itu tertanya-tanya
sendiri. Sudah macam terlebih gen aktif pun ada.
“Walaweh… saya ingat awak mat salih tadi,” ujar
Liyana lalu menampar bahu pemuda itu.
Terpusing sedikit tubuh pemuda itu akibat
tamparan Liyana. Asal boleh saja budak ni. Sesuka hati kambing dia nak
tampar-tampar anak teruna orang.
“Saya Liyana. Kalau awak nak cuba Island Hoping,
carilah saya ya,” ujar Liyana sambil menghulurkan kad perniagaannya. Sempat
lagi buat bisnes tu. Hai, kalau otak sudah diset duit, duit sajalah yang
difikirkannya.
Pemuda itu menyambut kad yang dihulurkan Liyana.
“Aidid.” Dia memperkenalkan dirinya.
“Oh…” Liyana terangguk-angguk.
“Hah? Apa? Aidid?” jerit Liyana tiba-tiba.
Aidid sekali lagi terkejut campur tercengang.
‘Apa lagi masalah budak ni? Tadi tiba-tiba langgar aku. Lepas tu tiba-tiba
gelak macam orang meroyan. Sekarang ni, tiba-tiba menjerit pulak. Aduh! Boleh
mental aku dibuatnya.’
“Aidid Muflis?” soal Liyana lagi. Matanya
merenung tajam wajah Aidid.
“Err… bukan Muflis. Aidid Mukhlis.” Aidid
membetulkan sebutan namanya.
Liyana menggawang tangan kanannya. “Alah, lebih
kuranglah tu. Datang dari London, kan?” Dia meminta kepastian lagi.
Aidid mengangguk. “Ya.”
“Sah!”
“Apa yang sah?” Makin tinggi tahap tercengang
Aidid.
“Sah. Awak cucu London Haji Salleh,” ucap Liyana
penuh yakin.
“Hah?”
“Dah… dah. Tak payah nak buat rupa babun
terkejut. Jom cepat. Dah lama saya cari awak ni. Saya ni dahlah banyak kerja
nak buat. Haji Salleh sibuk suruh jemput awak lagi. Cepat, cepat,” gesa Liyana
sambil berjalan pantas mahu menuju ke tempat motorsikalnya.
Aidid tidak berganjak. Dia masih berdiri tegak
di tempat tadi. Dia jadi keliru apabila tiba-tiba sahaja bertemu dengan Liyana
yang berperangai selamba tahap tak ingat. Macam orang gila pun ada juga.
Liyana yang menyedari Aidid tidak menurutinya,
menghentikan langkah sambil bercekak pinggang. “Cepatlah weh. Banyak kerja lagi
saya nak buat ni,” gesa Liyana.
Akhirnya Aidid menapak mendekati Liyana. Hatinya
masih bersarang curiga. “Kenapa saya nak kena ikut awak pulak? Awak ni siapa?”
Liyana menepuk dahi. “La... kan dah cakap tadi.
Nama saya Liyana.”
“Saya tahulah nama awak Liyana, tapi awak ni
siapa? Tiba-tiba nak suruh saya ikut awak. Entah-entah awak ni orang jahat ke,
apa ke, manalah saya tahu,” celopar mulut Aidid berkata membangkit bahang di
wajah Liyana.
“Eh, Helo Mr. London! Cuba awak tengok wajah
comel saya ni baik-baik. Ada rupa orang jahat? Ada?” Liyana sudah mula naik
angin. Jari telunjuknya ditekan-tekan pada pipinya. Orang dah cukup baik nak
tolong jemput, boleh pula tuduh orang jahat. Melampaulah tu!
“Iyalah. Tiba-tiba saja suruh saya ikut.” Aidid
membela diri sendiri.
Liyana mendengus. “Encik Aidid Muflis…”
“Aidid Mukhlis!”
“Ah, iya. Encik Aidid Mukhlis. Awak cucu Haji
Salleh yang baru sampai dari London, kan?”
Aidid mengangguk.
“Haa… ini Liyana The Samseng. Disuruh oleh tok
wan awak yakni Haji Salleh menjadi driver awak untuk menghantar awak ke rumahnya dengan selamat dan
sejahtera. Sekian, terima kasih.”
Habis sahaja mengucapkan ayat panjang lebar itu,
Liyana kembali menyambung langkah ke motorsikalnya.
‘Mak aii! Liyana The Samseng tu! Patutlah
perangai pun macam samseng. Kenapalah tok wan hantar orang macam ni jemput
aku?’ omel hati Aidid.
Melihat Liyana yang sudah jauh ke hadapan, Aidid
kelam-kabut berlari. Hisy! Haru betullah perempuan ni. ‘Kenapalah tok wan suruh
budak ni yang datang menjemput?’
Sebaik sampai ke motosikalnya, Liyana melihat
ada seorang jaga sudah menyandar cantik di situ. Sambil hayun-hayun cota lagi.
Aiseh!
“Aku dah agak dah! Tak ada YB lain yang berani
nak parking
kuda jadian ni kat depan pintu utama ni kalau bukan hang,” tempelak jaga itu sebaik sahaja Liyana terpacak di hadapannya.
Rupa-rupanya tadi Liyana selamba sahaja
memarkirkan motosikalnya di hadapan pintu masuk utama lapangan terbang
tersebut. Sesuka hati dia sahaja. Agaknya Haji Salleh ada share dengan lapangan terbang ni kot.
Liyana tersengih, buat muka tidak bersalah.
“ALLAH, sat aje
Che Mat. Takkan tu pun nak marah.”
“Sat tengkorak hang. Aku
dok kat kuda jadian hang ni dah dekat 20 minit hang tau,” balas Che Mat itu dengan garangnya.
Liyana sengih lagi.
“Memang nasib hang baik tau dak.
Seminit lagi hang tak
muncul, memang selamatlah kuda jadian hang ni aku kerjakan,” gertak Che Mat.
“Janganlah macam tu, Che Mat. Minta maaflah.
Lain kali Nana tak buat lagi. Sungguh,” pujuk Liyana sambil mengangkat tangan
kanannya bagaikan sedang berikrar.
“Che Mat jangan marah-marah. Nanti kena darah
tinggi. Takpa… takpa. Nanti Nana belanja Che Mat makan cendol kat kedai Leha Janda tu
okey,” umpannya lagi.
“Hang nak rasuah aku ka?”
“Huish! Ada ke rasuah pulak. Apalah Che Mat ni.
Tu bukan rasuah, tapi membalas budi sebab Che Mat tolong jaga kuda jadian Nana
ni.” Liyana menyangkal tuduhan Che Mat.
Aidid sedari tadi hanya menjadi patung cendana
di situ. Dia memerhati sahaja perbualan antara Liyana dengan lelaki yang
dipanggil Che Mat itu. Bukannya dia faham sangat apa yang dikatakan mereka tapi
kuda jadian tu apa ek?
“Huh! Iyalah tu. Belanja konon. Nanti hang seorang yang tibai.”
“Dak aih! Kita makan sama-samalah. Lagipun Nana tau, Che Mat suka ushar Leha Janda tu, kan?” tebak Liyana tergelak-gelak. Keningnya
diangkat-angkat nakal.
‘Hisy! Tahu pulak budak ni yang aku suka tengok
si Leha Janda tu. Bahaya ni! Budak Liyana ni bukan boleh pakai sangat. Silap
gaya, habis heboh sekampung nanti,’ desis hati Che Mat.
“Yalah.”
“Hehe… terima kasih Che Mat.” Liyana masih
tersengih-sengih.
“Hah! Apa lagi? Baliklah,” sergah Che Mat.
“Tu, pasung tu bila nak buka? Kesian kuda jadian
saya ni Che Mat.”
La… dah kena clamped rupanya. Hahaha…
Che Mat mendengus lalu membuka kunci di
motosikal Liyana. Aidid pula akhirnya memahami apakah kuda jadian yang
dimaksudkan. Motosikal dipanggil kuda jadian. Ish…ish… ish…
“Terima kasih, Che Mat,” ucap Liyana sambil
tersenyum manis.
“Hah! Cepatlah naik,” arah Liyana kepada Aidid
pula.
Aidid terasa tidak percaya. Naik motor? Dengan
Liyana The Samseng? Uish! Ini dah kira nyawaku pertaruhkan ni.
“Apa hal?” tanya Liyana apabila Aidid masih
tercegat berdiri.
“Naik motor ni?”
Liyana juling mata ke atas. “Iyalah. Takkan nak
bawa kapal terbang landing
kat sawah tok wan awak pulak,” sinis balasannya.
“Tak naklah saya,” putus Aidid.
“Hekeleh dia ni. Mengada-ngadalah pulak.”
“Siapa budak ni Nana?” Che Mat yang masih berada
di situ, tiba-tiba menyampuk. Hairan juga dia. Sejak dari tadi lelaki itu berdiri
terpacak bersama mereka. Tak pernah pula dia nampak muka sebelum ni. Sudahlah
tu, tak macam orang Melayu pun.
“Ni?” Jari telunjuk Liyana menunding ke arah
Aidid.
Che Mat angguk.
“Ini cucu London Haji Salleh,” cerita Liyana.
“Ya ka? Anak Azman? La… dah besar pun,” ujar Che
Mat sambil memandang Aidid.
Aidid tersenyum sambil mengangguk sedikit tanda
hormat. Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Che Mat pantas menyambut.
“Haa… sudah, sudah. Che Mat kalau nak interview ke, apa ke, lain kali ek. Nana dah lambat ni. Banyak lagi kerja nak
buat ni.” Liyana pantas menghalang apabila melihat Che Mat seperti ada ura-ura
mahu memanjangkan temu ramahnya.
“Weh, cepatlah naik,” marah Liyana.
Melihat gaya Liyana yang hampir berubah menjadi
singa jadian, Aidid terus melompat naik di belakang Liyana. La… takut juga dia
dengan Liyana The Samseng rupanya. Hahaha…