Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
128,873
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

AIDID berjalan keluar melalui pintu ketibaan di KLIA. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Dia menarik nafas dalam. Pandangan pertamanya, Malaysia sudah banyak berubah. Seingatnya ketika dia kecil dahulu, Malaysia tidak semaju ini. KLIA pun belum beroperasi. Ternyata Malaysia kini memiliki lapangan terbang yang sehebat negara-negara maju di dunia.

Welcome to Malaysia, sir. May I help you?” tegur seorang pemandu teksi KLIA kepada Aidid. Agaknya kerana melihat paras Aidid yang sememangnya agak kurang rupa Melayu dan ditambah dengan ketinggian susuk tubuhnya, membuatkan pak cik tersebut terus berbahasa Inggeris.

Aidid tergelak dalam hati. Boleh menyamar aku macam ni. Hehehe…

I want to go to LCCT Sepang,” jawab Aidid juga dalam bahasa Inggeris.

Please welcome, sir.” Cukup ramah pemandu teksi itu melayan. Maklumlah budi bahasa budaya kita. Dia membukakan pintu di tempat penumpang kepada Aidid.

Aidid terus masuk ke bahagian belakang teksi tersebut. Beg galasnya diletakkan ditepi. Sekadar sebuah beg galas sahaja, tidak perlu dimasukkan dalam bonet belakang pun. Bawa satu beg saja? Nampak sangat pulang ke tanah air tidak bersungguh hati.

Sepanjang perjalanan menaiki teksi menuju ke LCCT, Aidid hanya memejamkan mata. Sepuluh jam penerbangan tadi seolah-olah belum cukup tidurnya. Alah, hati tak ada di sini. Macam tulah. Permandangan indah di hadapan mata pun tidak mahu dipandangnya.

Are you coming for holiday, sir?” Pemandu teksi itu terus ramah berbicara.

Yup!” Ringkas jawapan Aidid. Matanya masih terpejam.

Pemandu teksi itu terangguk-angguk. “Where?” soalnya lagi.

Aidid mendengus perlahan. Hisy, terlebih peramahlah pulak orang-orang Malaysia ni. Menyibuk aje! Dia mengomel di dalam hati.

“Langkawi.” Cuma sepatah jawapannya.

Perfect choice, sir. Langkawi is a nice place. You’ll never regret to be there,” katanya penuh teruja.

Aidid hanya diam. Dibiarkan sahaja pemandu teksi itu menceceh seorang diri. Sombong betullah budak Aidid ni. Dia ingat duduk di luar negara bertahun-tahun tu bagus sangat gamaknya.

Melihat Aidid tidak berminat bersembang dengannya, pemandu teksi itu akhirnya memilih untuk mendiamkan diri. Penat sahaja bercakap seorang diri.

Perjalanan yang dirasakan lancar dan selesa tiba-tiba sahaja terganggu apabila pemandu teksi itu menekan brek secara mengejut. Aidid yang tidak sedar keadaan sekeliling kerana sedang memejamkan mata, tersentak. Badannya terdorong ke hadapan. Mujurlah tangannya sempat memegang kerusi di hadapannya. Kalau tidak mahu biru juga dahi tu.

“Aduh! Kenapa ni pak cik?” Aidid terus bertanya. Suaranya sedikit keras.

“Minta maaf, encik. Kereta depan tu tiba-tiba sahaja masuk lorong ni. Nasib baik pak cik sempat brek,” jelas pemandu teksi itu sambil mulutnya tidak berhenti meminta maaf kepada Aidid. Terasa bersalah pula kerana menghadapi keadaan itu ketika membaca pelancong. Eh, kejap. Pelancong? Bukankah tadi dia… “Encik ni orang sini ya?”

Aidid terdiam dengan pertanyaan pemandu teksi tersebut. ‘Alamak, kantoilah pulak,’ desis hatinya.

Malas mahu berdolak-dalih, Aidid akhirnya mengakui. Pemandu teksi itu terus ketawa senang hati. “La… pak cik tengok susuk badan, wajah encik tadi, mati-mati pak cik ingat mat salih betul,” ujarnya sambil terus ketawa.

Aidid tersenyum nipis. Pemandu teksi itu menyambung kata lagi. “Mesti encik dah lama duduk di luar negarakan?”

“Ha’ah... lamalah juga. Saya membesar di sana,” beritahu Aidid penuh bangga. Bangga kerana dia membesar di kota yang maju.

“Patutlah rupa pun dah macam orang sana,” komen pemandu teksi tersebut sambil tergelak kecil.

Aidid masih tersenyum nipis.

“Ni balik bercuti ke atau balik terus?” soal pemandu teksi itu lagi. Hai, dah macam wartawan pula pak cik ni.

“Bercuti.”

“Kenapa naik kapal terbang? Kalau nak ke Langkawi, naik bas lepas tu naik feri, baru seronok. Boleh tengok permandangan cantik sepanjang jalan. Pak cik pun orang utara juga. Orang Alor Setar. Kalau balik kampung, memang seronok tengok permandangan sepanjang jalan. Tengok kawasan kampung, tengok sawah padi. Penat memandu jauh pun tak apa,” celoteh pemandu teksi itu panjang lebar.

Aidid tayang muka bosan. Jelas sekali dia tidak berminat dengan apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi itu. “Iya ke?” soal balasnya sekadar berbahasa. Takut nanti kecil pula hati orang tua itu.

“Iya. Tapi tulah, makan masa. Naik kapal terbang, sekejap aje dah sampai,” balas pemandu teksi itu sambil tersengih.

‘Tahu tak apa! Aku datang sini pun bukan nak tengok pemandangan. Buang masa saja. Kalau tidak kerana abah, tak ingin aku ke sini,’ ujar Aidid di dalam hati.

Akhirnya teksi yang dinaiki Aidid tiba juga di LCCT Sepang. Lega hatinya kerana tidak perlu lagi mendengar celoteh pemandu teksi yang semacam tidak tahu penat itu. Menceceh sepanjang jalan. Hisy!

Selesai menguruskan soal penerbangannya ke Langkawi, Aidid memilih untuk duduk melepak sahaja di ruangan menunggu. Iyalah, takkan nak melepak di restoran atau kopitiam pula. Bulan puasa ni beb!

Aidid masih ada masa dua jam lagi untuk berlepas ke Langkawi. Menunggu sahaja tanpa berbuat apa-apa, membuatkan dia berasa begitu bosan sekali. Beberapa majalah yang sempat dibeli tadi, dikeluarkan daripada beg galasnya. Satu per satu dibeleknya. Mana yang hendak dibaca?

Akhirnya majalah AUTO menjadi pilihannya. Leka sekali dia menatap majalah tersebut. Tanpa sedar, masa berlalu dengan pantas. Panggilan supaya penumpang-penumpang pesawat yang akan berlepas ke Langkawi sudah kedengaran. Majalah di tangan ditutup lalu dimasukkan semula ke dalam beg.

Aidid melangkah perlahan menuju ke balai berlepas domestik. Jujurnya, dia tidak sepenuh hati mahu melangkah ke situ. Terpaksa. Ada keluhan kecil terbit dalam mulutnya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan sekaligus. Okey Langkawi. Aku datang!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.