AIDID Mukhlis terkial-kial mencari kunci di
dalam beg sandangnya. Mulutnya tak henti-henti menceceh apabila kunci yang
dicari tidak diketemui. Entah dimana dia campakkan kunci rumah. Sesuka hati
sahaja dicampakkan ke dalam beg sandangnya ketika keluar ke tempat kerja tadi.
Sekarang bila hendak digunakan, mulalah terkial-kial mencari.
Dalam dia kelam-kabut mencari kunci tersebut,
Aidid terdengar bunyi pintu rumah sedikit berkeriuk. Tercegat abahnya di muka
pintu.
“Apa yang tercari-cari tu Aidid?” tegur Encik
Azman. Matanya mencerun memandang anak lelakinya.
“Cari kunci rumah, abah,” jawab Aidid jujur.
Encik Azman mendengus perlahan. “Suka sangat
campak barang sesuka hati. Macam tulah jadinya.”
Aidid diam. Dia tahu tiada guna dia menjawab.
Balik-balik nanti, kena batang hidung sendiri juga. Jadi, lebih baik dia diam.
Sebaik memasuki rumah, deria baunya sudah
menangkap sesuatu yang enak dari dapur. Serta-merta perutnya, berdendang riang.
Sudah macam paluan gendang tarian singa di waktu Tahun Baru Cina pula dibuatnya.
Abah yang sedang kusyuk menatap buku
dikerlingnya seketika. Aidid membatalkan hasratnya untuk melepaskan lelah di
sofa ruang tamu. Buat masa ini, dia merasakan tidak ada ‘kimia’ untuk dia duduk
bersama dengan abahnya. Bau yang datang dari dapur lebih menarik perhatiannya.
Laju langkah dihayun menuju ke dapur.
“Hai, mama,” sapa Aidid sebaik tiba di dapur.
Puan Mariam yang begitu asyik memasak, terus
berpaling sebaik terdengar sapaan anak teruna kesayangannya. Senyuman memekar
di wajahnya.
“Assalamualaikum,” sahut Puan Mariam berbaur
sindiran.
Aidid tersipu-sipu sendiri. Sedar yang mamanya
sedang menyindir. Salahnya juga, suka sangat terlupa adab seorang muslim.
Hendak tutup malu, dia sengih tayang gigi sajalah.
“Aduh! Sekali mama smashed
daa. Waalaikumussalam,” jawab Aidid sambil
tergelak-gelak.
Puan Mariam hanya tersenyum. “Itulah. Siapa
suruh bagi bola tanggung!”
“Perghhh! Mama pun pandai tengok badminton ek.
Ingatkan mama tengok rancangan masak-masak aje,” gurau Aidid.
“Jangan pandang mama sebelah mata tau.” Puan
Mariam tidak mahu kalah.
Aidid tergelak lagi. Seronok pula melayan
mamanya berbual. Kalau dengan abah, jangan haraplah nak bergurau-gurau macam
ni. Serius memanjang. Huh!
“Mama sikit punya cantik bergetah macam ni, fuh!
Rugilah kalau Aidid pandang sebelah mata,” usik Aidid lagi.
Laju tangan Puan Mariam mengangkat sudip di
tangan. Aidid ketawa nakal sambil mengeyitkan mata pada mamanya.
Tergeleng kepala Puan Mariam dengan telatah anak
bujangnya. Anaknya itu sudah pandai bermain kata dengan wanita nampaknya.
Hmm...
“Anak mama dah pandai gatal-gatal sekarang ni
ya,” sindir Puan Mariam. Dia kembali mengadap periuk di atas dapur.
Aidid tersengih. Dia menghampiri mamanya lalu
tubuh itu dipeluk kejap. “Alah, orang gatal sikit aje,” ujarnya.
Puan Mariam menjuihkan bibirnya. “Dah besar pun
nak manja dengan mama lagi.”
Aidid tersengih lagi.
“Memandangkan anak
mama ni sekarang dah pandai ‘gatal sikit’, apa kata carikan menantu untuk
mama.” Puan Mariam mula mengutarakan topik yang kurang digemari Aidid.
“Errr... mama masak apa ni. Sedapnya bau. Sampai
ke luar bau tadi.” Aidid pantas mengalihkan tajuk perbualan. Dia
mengintai-intai ke dalam periuk.
Puan Mariam terus memicit hidung mancung Aidid.
Geram kerana anak terunanya itu ada sahaja alasan bila dia berbicara tentang
jodoh.
“Pandai tukar topik ya,” tempelak Puan Mariam.
Aidid tersengih. “Mana ada. Betul, bau mama
masak ni bukan main sedap lagi,” dalihnya bersungguh-sungguh.
“Sudahlah tu. Tak payah nak bodek-bodek mama.
Mama tahu apa dalam kepala Aidid tu,” balas Puan Mariam, sudah dapat membaca
niat anaknya.
“Apa pulak mama? Mana ada bodek-bodek.” Aidid
masih terus berdalih.
Puan Mariam merenung wajah anak tunggalnya.
Aidid pula pantas melarikan anak matanya ke arah lain.
‘Mama main tenung-tenung mata ni yang takbest. Dahlah mama macam pakar hipnosis. Tahu aje apa dalam kepala aku
ni,’ gumam hati Aidid.
“Aidid,
Aidid tu anak mama. Sembilan bulan duduk bertapa dalam perut mama ni
tau. Mama boleh bacalah,my dear,”
ujar Puan Mariam sambil tersenyum.
Aidid tersengih. Kantoi sudah dengan mamanya.
“Mama…” panggil Aidid dengan suara mendayu.
Memang niatnya mahu meminta pertolongan Puan Mariam.
“Soal tu, mama tak nak dapat tolong. Aidid
bincang dengan abah sendiri.” Puan Mariam lebih pantas memotong. Dia sudah tahu
apa yang hendak diperkatakan oleh anak bujangnya itu. Sejak sebulan yang lepas,
perkara ini juga yang tidak habis-habis dibincang mereka anak-beranak.
“Alaaa…” Suara Aidid meleret kecewa. Pandai pula
mamanya membaca taktik membodeknya.
“Mama dah penat jadi orang tengah antara Aidid
dengan abah. Naik pening kepala mama dibuatnya dengan perangai Aidid dan abah.
Abah cakap macam ni, Aidid cakap macam tu. Mana satu yang mama nak ikut?” Puan
Mariam mula membebel.
“Aidid ni pun satu. Cuba-cubalah berbaik dengan
abah tu. Ini tidak, macam nak berperang saja mama tengok. Lagipun apa yang
susah sangat nak balik Malaysia tu. Bukannya abah suruh Aidid pergi berperang
kat Afghanistan tu,” sambungnya lagi. Puan Mariam memang jenis yang tidak
banyak bercakap tetapi sekali dapat membebel, boleh pijar telinga dibuatnya.
“Aidid tak ada jiwalah nak balik Malaysia, mama.
Aidid bukannya biasa kat sana. Bukan ada apa yangbest pun. Kawan pun tak ada. Duduk tercongok kat kampung tu, apa ada?
Bosanlah mama,” protes Aidid. Dia menyandarkan tubuhnya ke kabinat dapur
mengadap muka Puan Mariam.
Sejak Encik Azman membuat keputusan untuk pulang
ke Malaysia sebulan yang lepas, Aidid memang tidak tenteram duduk. Dia faham,
abah dan mama mahu tinggal di kampung setelah abah pencen. Sudah lama duduk di
luar negara, pastinya abah dan mama mahu menghabiskan hidup di kampung halaman.
Tetapi yang
membuatkan Aidid tidak berpuas hati, kenapa dia harus diheret bersama? Dia
masih mahu tinggal di kota London ini. Kehidupannya ada di sini. Kawan, kerja,
semuanya di sini. Balik ke Malaysia, apa yang dia hendak buat?
“Abah bukan suruh Aidid balik terus pun. Cuma
balik bercuti aje,” pujuk Puan Mariam.
Aidid mendengus. Hatinya tetap meronta-ronta
tidak mahu pulang ke Malaysia. Tapi mamanya sudah mengangkat bendera putih. Itu
bermakna, dia perlu bertentang mata berbicara sendiri dengan abah. Ish, payah
ni!
Puan Mariam hanya tersenyum. Malas dia mahu
mengambil pusing masalah Aidid. Sebetulnya, bukan ada masalah apa sangat pun.
Cuma balik bercuti. Tapi dia sendiri tidak faham, apa sangat yang menjadi
masalah kepada anaknya itu.
Dia kembali meneruskan kerja masak-memasaknya.
Lambat karang, dia juga yang akan kelam-kabut untuk menyiapkan juadah berbuka
nanti. Nak harapkan suami dan anak, hmm… faham-faham ajelah.
TERASA lega urat saraf dirasakan sebaik
sahaja tubuhnya menyentuh tilam. Keenakan itu membuatkan, badan yang
sememangkan letih, semakin sayang mahu meninggalkan katil. Mata pula semakin
memberat.
Aidid memperkemaskan baringannya. Bantal golek
ditarik rapat. Lupa sudah yang dia masih belum menunaikan solat asar.
“Hah! Elok sangatlah tu. Tidur waktu-waktu asar
macam ni. Sembahyang entah ke mana. Buatnya malaikat maut datang menjemput,
sia-sia saja mati dalam dosa.”
Sergahan Encik Azman, pantas mengejutkan Aidid
yang mula diulit mimpi. Terus dia terbangun dan duduk menegak. Tangannya meraup
muka dengan laju untuk menghilangkan rasa mamai kerana disergah tiba-tiba
begitu. Kus semangat! ‘Abah ni memanglah. Suka sangat sergah macam tu. Memang
boleh meninggal dibuatnya,’ rungut hati Aidid. Muka tidak puas hati
ditayangnya.
Encik Azman buat tidak endah. Puas hati ke, tak
puas hati ke, nasib kaulah. Memang patut pun kena sergah. Suka sangat main-main
dengan soal solat. Pantang sungguh dia. Dengan selamba, dia berlalu sambil
membiarkan pintu bilik anak bujangnya ternganga luas.
Aidid mendengus geram. Abahnya suka benar
mencari pasal dengannya. Ada sahaja yang tidak kena di mata. Itu salah, ini
salah. Hisy! Serba tidak kena dibuatnya.
Aidid mendengus lagi. Masih tidak puas hati
dengan tindak-tanduk abahnya. Hendak kata abah pilih kasih terhadap anak,
dialah satu-satunya anak abahnya. Apa yang hendak dipilih-pilih lagi? Tapi tak
tahulah pula, kalau-kalau abah ada cawangan lain.
Aidid tiba-tiba tergelak sendiri apabila
terfikirkan tentang itu. Kalaulah mama tahu apa yang difikirkannya ketika itu,
mahu juga sudip mama naik ke kepalanya. Orang perempuan memang cukup sensitif
bila sebut tentang isu cawangan. Hehehe…
“Gelak sorang-sorang. Itulah, suka sangat tidur
waktu asar, kepala otak pun dah tak betul.” Sekali lagi sergahan Encik Azman
menyapa telinga Aidid. Pedih dirasakan.
Mati ketawanya. “Abah ni suka sangat sergah
Aidid macam tu. Lama-lama boleh meninggal tau,” protesnya. Kali ini dia tidak
berdiam diri lagi.
“Kalau takut meninggal, rajin-rajin solat.
Jangan nak lalai aje,” jawab Encik Azman penuh sinis. Fulamak! Sindiran makan
dalam tu.
Aidid terkedu. Dia terkebil-kebil sendiri
mendengar kata-kata tidak bertapis daripada abahnya. Dia terasa seram sejuk
tiba-tiba. Kata-kata si abah bagaikan igauan buat dirinya. Tidak mahu
bertangguh lagi, dia terus ke bilik air. Mahu membersihkan diri. Mahu bersolat!