AIDID berjalan keluar melalui pintu ketibaan di
KLIA. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Dia menarik nafas dalam.
Pandangan pertamanya, Malaysia sudah banyak berubah. Seingatnya ketika dia
kecil dahulu, Malaysia tidak semaju ini. KLIA pun belum beroperasi. Ternyata
Malaysia kini memiliki lapangan terbang yang sehebat negara-negara maju di
dunia.
“Welcome to
Malaysia, sir. May I help you?” tegur seorang
pemandu teksi KLIA kepada Aidid. Agaknya kerana melihat paras Aidid yang
sememangnya agak kurang rupa Melayu dan ditambah dengan ketinggian susuk
tubuhnya, membuatkan pak cik tersebut terus berbahasa Inggeris.
Aidid tergelak dalam hati. Boleh menyamar aku
macam ni. Hehehe…
“I want to go to
LCCT Sepang,” jawab Aidid juga dalam bahasa
Inggeris.
“Please welcome,
sir.” Cukup ramah pemandu teksi itu melayan.
Maklumlah budi bahasa budaya kita. Dia membukakan pintu di tempat penumpang
kepada Aidid.
Aidid terus masuk ke bahagian belakang teksi
tersebut. Beg galasnya diletakkan ditepi. Sekadar sebuah beg galas sahaja,
tidak perlu dimasukkan dalam bonet belakang pun. Bawa satu beg saja? Nampak
sangat pulang ke tanah air tidak
bersungguh hati.
Sepanjang perjalanan menaiki teksi menuju ke
LCCT, Aidid hanya memejamkan mata. Sepuluh jam penerbangan tadi seolah-olah belum
cukup tidurnya. Alah, hati tak ada di sini. Macam tulah. Permandangan indah di
hadapan mata pun tidak mahu dipandangnya.
“Are you coming
for holiday, sir?” Pemandu teksi itu terus ramah
berbicara.
“Yup!” Ringkas jawapan Aidid. Matanya masih terpejam.
Pemandu teksi itu terangguk-angguk. “Where?” soalnya lagi.
Aidid mendengus perlahan. Hisy, terlebih
peramahlah pulak orang-orang Malaysia ni. Menyibuk aje! Dia mengomel di dalam
hati.
“Langkawi.” Cuma sepatah jawapannya.
“Perfect choice,
sir. Langkawi is a nice place. You’ll never regret to be there,” katanya penuh teruja.
Aidid hanya diam. Dibiarkan sahaja pemandu teksi
itu menceceh seorang diri. Sombong betullah budak Aidid ni. Dia ingat duduk di
luar negara bertahun-tahun tu bagus sangat gamaknya.
Melihat Aidid tidak berminat bersembang
dengannya, pemandu teksi itu akhirnya memilih untuk mendiamkan diri. Penat
sahaja bercakap seorang diri.
Perjalanan yang dirasakan lancar dan selesa
tiba-tiba sahaja terganggu apabila pemandu teksi itu menekan brek secara
mengejut. Aidid yang tidak sedar keadaan sekeliling kerana sedang memejamkan
mata, tersentak. Badannya terdorong ke hadapan. Mujurlah tangannya sempat
memegang kerusi di hadapannya. Kalau tidak mahu biru juga dahi tu.
“Aduh! Kenapa ni pak cik?” Aidid terus bertanya.
Suaranya sedikit keras.
“Minta maaf, encik. Kereta depan tu tiba-tiba
sahaja masuk lorong ni. Nasib baik pak cik sempat brek,” jelas pemandu teksi
itu sambil mulutnya tidak berhenti meminta maaf kepada Aidid. Terasa bersalah
pula kerana menghadapi keadaan itu ketika membaca pelancong. Eh, kejap.
Pelancong? Bukankah tadi dia… “Encik ni orang sini ya?”
Aidid terdiam dengan pertanyaan pemandu teksi
tersebut. ‘Alamak, kantoilah pulak,’ desis hatinya.
Malas mahu berdolak-dalih, Aidid akhirnya mengakui.
Pemandu teksi itu terus ketawa senang hati. “La… pak cik tengok susuk badan,
wajah encik tadi, mati-mati pak cik ingat mat salih betul,” ujarnya sambil
terus ketawa.
Aidid tersenyum nipis. Pemandu teksi itu
menyambung kata lagi. “Mesti encik dah lama duduk di luar negarakan?”
“Ha’ah... lamalah juga. Saya membesar di sana,”
beritahu Aidid penuh bangga. Bangga kerana dia membesar di kota yang maju.
“Patutlah rupa pun dah macam orang sana,” komen
pemandu teksi tersebut sambil tergelak kecil.
Aidid masih tersenyum nipis.
“Ni balik bercuti ke atau balik terus?” soal
pemandu teksi itu lagi. Hai, dah macam wartawan pula pak cik ni.
“Bercuti.”
“Kenapa naik kapal terbang? Kalau nak ke
Langkawi, naik bas lepas tu naik feri, baru seronok. Boleh tengok permandangan
cantik sepanjang jalan. Pak cik pun orang utara juga. Orang Alor Setar. Kalau
balik kampung, memang seronok tengok permandangan sepanjang jalan. Tengok
kawasan kampung, tengok sawah padi. Penat memandu jauh pun tak apa,” celoteh
pemandu teksi itu panjang lebar.
Aidid tayang muka bosan. Jelas sekali dia tidak
berminat dengan apa yang diperkatakan oleh pemandu teksi itu. “Iya ke?” soal
balasnya sekadar berbahasa. Takut nanti kecil pula hati orang tua itu.
“Iya. Tapi tulah, makan masa. Naik kapal
terbang, sekejap aje dah sampai,” balas pemandu teksi itu sambil tersengih.
‘Tahu tak apa! Aku datang sini pun bukan nak
tengok pemandangan. Buang masa saja. Kalau tidak kerana abah, tak ingin aku ke
sini,’ ujar Aidid di dalam hati.
Akhirnya teksi yang dinaiki Aidid tiba juga di
LCCT Sepang. Lega hatinya kerana tidak perlu lagi mendengar celoteh pemandu
teksi yang semacam tidak tahu penat itu. Menceceh sepanjang jalan. Hisy!
Selesai menguruskan soal penerbangannya ke
Langkawi, Aidid memilih untuk duduk melepak sahaja di ruangan menunggu. Iyalah,
takkan nak melepak di restoran atau kopitiam pula. Bulan puasa ni beb!
Aidid masih ada masa dua jam lagi untuk berlepas
ke Langkawi. Menunggu sahaja tanpa berbuat apa-apa, membuatkan dia berasa
begitu bosan sekali. Beberapa majalah yang sempat dibeli tadi, dikeluarkan
daripada beg galasnya. Satu per satu dibeleknya. Mana yang hendak dibaca?
Akhirnya majalah
AUTO menjadi pilihannya. Leka sekali dia menatap majalah tersebut. Tanpa sedar,
masa berlalu dengan pantas. Panggilan supaya penumpang-penumpang pesawat yang
akan berlepas ke Langkawi sudah kedengaran. Majalah di tangan ditutup lalu
dimasukkan semula ke dalam beg.
Aidid
melangkah perlahan menuju ke balai berlepas domestik. Jujurnya, dia tidak
sepenuh hati mahu melangkah ke situ. Terpaksa. Ada keluhan kecil terbit dalam
mulutnya. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan sekaligus. Okey Langkawi.
Aku datang!