Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,292
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

MENTARI sudah betul-betul tegak di atas kepala. Namun begitu, Indra dan dua rakan serumahnya masih terbungkam di tempat tidur. Indra seperti biasa sukakan privasi di bilik tidurnya. Amir dan Jeff tak sempat masuk ke bilik malam tadi terus berperang dengkuran di atas sofa dan di lantai ruang tamu. Mandi pun tidak sempat.Itulah bahananya balik lewat malam, gara-gara melepak bersama  Alice dan Farah di Rahmad Bistro, Alam Budiman. Resam anak-anak teruna, dapat semeja dengan dara cantik, jam tak ingat untuk dijeling.

            Jam loceng telefon bimbit Indra entah sudah berapa kali berdering. Kali ini, deringan itu berjaya jua akhirnya mengejutkannya. 

            "Astaga!" Serentak keluhan itu, dia bingkas bangun. Segera dicapainya tuala dan bergegas menapak ke bilik air.

           "Hoi, mangkuk ayun!" Dipijaknya kaki Jeff ketika melintasi ruang tamu.

            “Aduh!”

            Terus terjaga Jeff dibuatnya. Dalam mamai Jeff melihat ke kiri dan ke kanan sambil mengosok-gosok matanya yang bergam taik mata. Secara kebetulan juga lenanya tadi bermimpi dipijak seekor dinosaur. 

            "Tolonglah T-Rex, jangan makan aku! Kalau kau nak rasa daging manusia, kau makanlah Amir. Kalau masih tak cukup, kau lahap sekali Indra dalam bilik sana. Aku belum puas hidup, belum merasa ada makwe lagi." Bersungguh-sungguh Jeff merayu selepas melihat Indra seumpama seekor dinosaur yang mahu menerkamnya.

            Mendengar rayuan bersungguh Jeff itu, Indra jadi terbinggung seketika. Mulanya dia rasa nak gelak, tapi kemudiannya rasa nak bagi penyepak.

            "Nah, T-Rex bagi sekeh satu kali!"

            "Aduh!" Jeff akhirnya tersedar dari mamainya.

           "Berhenti bermimpi, cepat bangun!" Bentak Indra lagi. 

            “Bangun nak pergi mana?” Soal Jeff dalam kebingungan.

            “Nak pergi mana kau tanya? Hari ni kan ada perbincangan kumpulan berkaitan projek video muzik! Bukan ke malam tadi kau cakap, kumpulan kau pun nak buat discussion hari ini.” Indra meninggikan volume suaranya.

            “Alamak! Ya tak ya, lupa!”

            Jeff bergegas masuk ke biliknya. Bilik utama itu ada bilik air sendiri, jadi tidak perlu dia berebut bilik air dengan Indra. Amir masih lena dibuai mimpi berlari-lari anak di persisiran pantai sambil dikejar manja oleh Farah. Seronok orang yang tiada apa-apa agenda hari itu. Bolehlah buat taik mata sepanjang hari.

            Setengah jam kemudian, dua sahabat itu tiba di perkarangan Fakulti FiTA. Mereka kemudian berpecah ke dua lokasi. Dari kejauhan Indra sudah dapat melihat ahli-ahli kumpulannya yang sudah berkumpul di bawah Gazebo Pagar Cinta.

            “Err… sorry guys, ada hal sikit tadi.” Indra mencipta alasan untuk menyelamatkan dirinya.

            “Senang aje ya, lewat minta maaf. Lepas itu, cipta alasan. Macamlah orang tahu dia melepak sampai pagi dengan budak management poyo dua ekor itu malam tadi!” Ameera yang sudah berbulu menempelak. Mana tak berbulu, dah hampir setengah jam dia dan yang lain menunggu di situ.

            “Hisyy, sudahlah tu Mer. Kan Indra dah minta maaf,” tegur salah seorang ahli kumpulan yang bernama Nurin sambal menarik lengannya. Rakannya itu tidak mahu tercetus pulak perang kat situ. Bukan apa, takut kedua-duanya tarik muka dan perbincangan itu terbatal begitu sahaja. Sudahlah mereka menunggu lebih setengah jam.

            Mujur Indra tidak mahu mengambil pusing sindiran Ameera itu. Lebih-lebih lagi bila menyedari dia sendiri telah melanggar prinsip menepati masanya. Lagipun moodnya untuk bercakaran belum datang tika itu dan kalau boleh mahu dielaknya. Bukan apa, dia tidak mahu mendorong Ameera mengguna modal keputusan perlawanan futsal malam tadi untuk membahangnya.

            “Okey, kita mulakan perbincangan kita. Perkara pertama yang kita lakukan ialah menentukan posisi setiap orang. Memandangkan kita ada 10 orang, kalau boleh kita tentukan posisi itu mengikut kepakaran masing-masing. Nanti lebih lancar progress kita.” Indra dengan lagak tenang memukadimah sesi perbincangan itu. Dia harus menunjukkan keprofessionalannya. Paling penting juga dia mahu menunjuk kebolehannya memimpin kepada Ameera.

            “Setuju bro, itu yang sebaiknya.” Badrul pantas menyokong.

            “Yang lain macam mana?  Ada bangkangan?” Soal Indra. Sekilas dia menjeling kepada Ameera kerana dia sudah masak dengan pendebat utama kampus itu. Perkataan bangkang itu ibarat senjata kepadanya.

             Namun, apa yang difikirnya itu tidak terjadi. Ameera  melarikan pandangan daripada berlaga dengan anak matanya. Walaupun begitu, daripada riak wajah Ameera, dia tahu Ameera masih tidak berpuas hati dengan kelewatannya tadi.

            “Kami semua setuju.” Lalu Nurin bersuara sebagai mewakili semua selepas melihat tiada reaksi daripada Ameera.

            “Okey, memandangkan majoriti dah setuju, sekarang kita pakat isi posisi-posisi itu. Penolong pengarah dah ada, bagaimana dengan Jurukamera?”

            “Badrul yang paling cocok, sebab dia paling expert mengendalikan kamera. Aku boleh bertindak sebagai pembantu.” Alvin membuat cadangan.

            “Badrul, macam mana?” Pandangan Indra berkalih kepada Badrul, persetujuan daripada tuan empunya badan sendiri perlu diketahuinya.

            “Aku okey aje, bro,” balas Badrul.

            “Gaffer?”

            “Bak pencahayaan ni, bagi kat aku tak apa.” Razif pantas memberi reaksi.

            “Best boy untuk bantu Razif?”

            “Aku, bro.” Lukman mengangkat tangan.

            “Aku ambil posisi key grip,” 

            “Okey, terima kasih Fitri. Untuk set dresser dan prop master aku cadangkan kita gabungkan sekali sebab kita kekurangan tenaga kerja. Bagaimana, setuju?” Indra memperlihatkan kebijaksanaanya.

            “Setuju,” majoriti bersuara, kecuali Ameera yang masih belum selesai dengan perasaan egonya.

            “Nurin sesuai kut dengan posisi ni? Boleh Nurin?” Indra menghalakan kontek matanya kepada gadis bertubuh sedikit berisi itu.

            “Aye aye, captain! Sedia berkhidmat!” Nurin seperti biasa dengan semangat dan lagak gila-gilanya.

            “Dan yang terakhir ialah department kostum dan rias. Orang yang paling layak aku rasa tak lain tak bukan ialah Abigail dan Roslina.” Sememangnya perkara itu juga sudah bermain-main dalam fikirannya.

            “Setujuuuuu!!!” Bersorak semuanya kerana dua sahabat itu cukup sinonim dengan persalinan dan mekap. Masih juga Ameera tidak memberi reaksinya. Orang tengah bengang katakan, tak boleh nak move on lagi.

            “Okey, selesai bab posisi. Sekarang kita pergi kepada pemilihan artis pulak. Bila dah dapat artis senang untuk kita buat storyboard berdasarkan lagu artis tersebut. Jadi, macam mana? Ada apa-apa cadangan?” Indra terus dengan peranannya sebagai ketua.

            “Aku cadangkan kita berkolaborasi dengan artis-artis baru nak up macam Sufian Suhaimi, Hail Husaini, Ismail Izani, Aiman Tino, Khair Bahar dan Haqiem Rosli. Tak pun Tajul ataupun Wany Hasrita. Mereka ini sekarang tengah popular. Memandang kita buat projek ini secara percuma, mesti mudah-mudah aje pengurusan mereka setuju.” Razif memberi cadangan.

            “Macam mana kawan-kawan? Setuju?” Dalam kepala Indra sebenarnya kurang selesa dengan pilihan  barisan artis itu. Artis-artis pop jambu sebegitu bukanlah kegemarannya. Dia lebih suka membikin projek dengan band-band indie kerana lebih bebas. Malah, anggota band-band ini juga kaya dengan idea yang boleh dikongsi bersama. Namun, kuasa majoriti perlu didengari.

            Masing-masing mengangguk kepala.

            “Okey, memandangkan semua setuju, kita proceed dengan cadangan Razif ini. Bila dah dapat artis dan lagu, senang kita nak buat storyboardnya nanti. Jadi, seseorang perlu contact pengurusan artis-artis ini. Kita lantik dia buat kerja-kerja produser. Tapi dia kena pegang dua perananlah, memandangkan kita kekurangan tenaga. But don’t worry, kredit untuknya pasti akan dapat lebih nanti. Siapa yang nak volunteer ya?” Indra tenang memainkan peranannya sebagai ketua. Cukup demokrasi sekali.

            Selepas seminit, tiada siapa yang menunjukkan kesanggupan. Ameera mahu sebenarnya, tapi egonya untuk bersuara cukup tinggi. Siapa tak mahu markah lebih? Lagipun bab berurusan dengan artis ini pasti juga akan menaikkan lagi popularitinya.

            “Err… aku rasa Mer cukup layak untuk memainkan peranan ni, sebab sebelum-sebelum ini pun Mer dah biasa berurusan dengan artis.”  Nurin walaupun dalam serba salah memberi candangan itu. Dia memang sudah biasa bekerjasama dalam satu kumpulan dengan Ameera. 

            Semua mata kemudian menghala kepada Ameera. Ameera pura-pura jual mahal, tapi dalam hatinya gembira bukan kepalang. 

            “Okey, macam mana tuan empunya badan, setuju ke?” Melihat situasi itu, Indra mahu tak mahu terpaksa membuang sedikit egonya atas prinsip profesional.

           "Okey," lambat-lambat Ameera memberi jawapan dengan kalihan pandangan ke arah lain. 

           Mendengar jawapannya itu, semua jadi tersenyum. Masing-masing menarik nafas lega kerana buat pertama kali jangkaan mereka meleset sama sekali. Bagi pihak Indra juga. Dia kalau boleh mahu perbincangan itu berakhir dengan lancar. Soal peribadi perlu ditolak tepi buat sementara waktu kerana dia sesekali tidak mahu memudaratkan ahli-ahli kumpulan yang lain. Apabila memegang tampuk ketua, pastinya dia harus bertanggungjawab kepada setiap ahli kumpulannya.


SEMENTARA itu, perbincangan kumpulan satu lagi berakhir lebih awal. Sebabnya, Reza seperti mati kutu tak tahu apa-apa nak dibincangkan. Berlagak aje lebih. Itupun, banyak Amirul yang bercakap dalam sesi perbincangan itu. Sementara menunggu Indra, Jeff duduk melepak di sebuah kerusi batu sambil melayan playlist telefon bimbitnya.

            Dari kejauhan, Juliana melihat kelibat Jeff di situ. Menyedari peluang untuk berbual dengan Jeff, dia menghampiri.

            “Excuse me, boleh saya duduk?” Pinta Juliana dengan nada suara yang lembut. Jeff menyedari kehadiranya, namun dia tidak mendengar pintaan Juliana itu kerana di dua telinganya tersumbat earphone. Volume telefon bimbitnya pula dipasang semaksima mungkin.

            “Apa?” Soal Jeff selepas mencabut satu earphone. Suaranya kuat macam orang pekak.

            “Boleh saya duduk sekali dengan awak di sini?” Juliana menukas. Kali ini satu ukiran senyum dihadiahkan kepada Jeff. Cukup untuk meruntuhkan hati lelaki. Tapi Jeff tak terpedaya dengan tubaan itu. Hati lelakinya masih kental. Kontrol macho sebenarnya.

            “Duduklah, bukan kerusi aku punya pun.” Jeff menjawab acuh tak acuh. Telinganya disumbat kembali earphone. Seperti dia tidak mahu peduli akan kedatangan Juliana itu.

            Juliana dengan riang hati segera melabuhkan punggungnya. Zaman sekarang, perigi kena cari timba. Kalau menunggu timba mencari perigi, tak terceduklah air dalam perigi itu. Siapa yang rugi?

            “Tunggu Indra ke?” Juliana cuba mengajak Jeff berbual kembali.

            “Apa?” Sekali lagi Jeff macam orang pekak.

            “Tunggu Indra ke?” terpaksa Juliana mengulangi semula soalannya dengan volume suara yang lebih tinggi.

            “Ya,” balas Jeff sepatah. Dia kembali sibuk dengan playlistnya.

            “Rancak perbincangan mereka kut, itu sebab belum habis.” Juliana membuat telahan sendiri.”

            “Apa?” Repetisi orang pekak.

            Kebetulan, tanpa disedari tuan dekan melalui kawasan itu.

            “Kan bagus cabut dulu earphone tu. Cik adik manis kita ni nak ajak awak berbual.” Sampuk Tuan Dekan yang juga terkejut dengan suara kuat Jeff.

            “Err… assalamualaikum, Prof.” Jeff menjadi gelabah. Seraya dia bangun untuk menunjuk hormat kepada tuan dekan.

            “Waalaikumussalam. Tutup dan simpan dulu handphone tu. Jadi pendengar yang baik. Mata ke mata, barulah komunikasi itu akan jadi lebih bermakna,” balas tuan dekan. Sempat juga beliau memberi  Jeff buah-buah nasihat.

            “Baik, Prof.” Jeff jadi malu sendiri dan segera berbuat seperti yang disarankan oleh tuan dekan. Tuan dekan kemudian berlalu pergi.

            “Err, sorry tadi.” Ucap Jeff, seperti kepalanya baru dihentak ke dinding dan pulih kembali ingatannya.

            “Tak mengapa,” balas Juliana bersama lirikan senyum. Jeff melabuh semula punggungnya ke kerusi batu. Telefonnya sudah disimpan di dalam poket seluar, bimbang  takut-takut tuan dekan berpatah balik ke laluan itu.

            Beberapa saat kemudian, dua merpati itu seperti keputusan idea dan malu-malu kucing pulak. Juliana juga entah mengapa hilang keyakinannya. Seperti diragut pergi oleh tuan dekan tadi.

            “Err… harap-harap dua musuh ketat okey.” Jeff memecah kebisuan. Terasa canggung pulak diam lama-lama begitu.

            “Harap-harap begitulah.” Juliana menyambut dengan satu lagi lirikan senyum. Melihat senyuman manis itu, fikiran Jeff kembali teringat akan lemparan senyuman Juliana sebelum-sebelum ini.

             "Alangkah bagus kalau mereka itu tak seperti anjing dengan kucing.” Juliana terus bersuara, keyakinannya datang kembali.

            “Itulah pasal.” Jeff menyokong. Dia sebenarnya juga ada terfikir akan hal itu kerana pernah juga dia merasa muak mengadap pertikaman lidah Indra dan Ameera. Jauh di sudut hatinya mengakui kejelitaan Ameera yang berwajah pan-Asia itu, dan alangkah bertuah badannya juga seandainya dapat bermanis-manis muka dengan Ameera. Dia juga pernah mengharapkan akan ada satu waktu perdamaian antara dua seteru itu.

            Tapi, kalau dia dengan Reza memang tak ada istilah perdamaian. Amarahnya terhadap Reza dah menjadi barah. Barah pulak dah tahap 4.Takkan mungkin dapat dipulihkan lagi. Masih terasa tumbukan Reza yang hinggap di mukanya. Sampai pecah bibirnya itu. Terasa seperti tumbukan Conor McGregor. Dalam perbincangan kumpulan sekejap tadi pun dia bertikam lidah dengan Reza. Memang dah nampak ketidakserasian dalam kumpulan projek mereka itu. Amarah menjadi barah. Barah pula  semakin  parah! Cukup musibat, 3 dalam 1!

           “Awak pun mengangap saya musuh ke?” Soal Juliana, tak mahu disimpan-simpan lagi. Sebetulnya soalan itu lebih berkait kepada dirinya.

           “Err…err…” Terasa payah pulak Jeff nak menjawab soalan itu. Soalan metematik waktu dia SPM dulu pun dirasakan lagi senang dari soalan itu.

           Juliana masih menunggu jawapan daripada Jeff. Banyak saat juga jam berdetik.

           “Err… tak tahulah nak cakap macam mana, aku sebenarnya tak ada apa-apa isu pun dengan kau. Tapi macam kaulah jugak kan, tersepit di celah-celah.” Jeff akhirnya memberi satu jawapan yang selamat. Ikutkan kebenarannya juga, sememang dia tidak ada apa-apa masalah pun dengan Ameera. Tapi disebabkan Indra itu kawan baiknya, dia sekadar menjadi penyokong sahaja.

           Juliana melirik senyum. Terasa senang hatinya mendengar jawapan Jeff itu.

           “Betul cakap awak, kita ini tersepit di celah-celah.”

            Jeff mengangguk-angguk kepalanya, hilang kata-kata seketika.

           “Memandang kita ini dua insan yang tersepit di celah-celah, tidakkah kita boleh berusaha untuk cari jalan keluar?” Juliana menjadi semakin yakin untuk menuturkan apa yang sudah tersusun di dalam hatinya.

           “Maksud kau?” Jeff menyoal  dengan ekspresi kerutan di dahi.

           “Kita janganlah bermasam muka, yang bermusuh mereka berdua kita tidak kan? Err… saya sebenarnya ingin bersahabat dengan awak.”

           Mendengar sahaja jawapan balasan itu, misteri senyuman  Juliana sebelum-sebelum ini akhirnya terungkai. Jeff mengerti kini, rupa-rupanya Juliana ingin berbaik-baik dengannya.

          Sekadar mahu mengikat tali persahabatan atau lebih daripada itu sebenarnya?

          Krik, krik, krik.

          Amboi, perasannya kau, Jeff! 

         Kedengaran satu suara lain pula bergema di hati Jeff dan pantas membuat dia tersedar dari lamunan perasannya itu.

         “Err…okey,” balas Jeff, dan riak wajahnya secara automatik juga jadi malu-malu kucing. 

          Melihat ekspresi di wajah Jeff itu, Juliana terus dibawa melayang ke alam khayalan. Sekilas terbit sang mentari dan memancari desa paling sepinya. Selama ini, desa sepinya itu terlindung daripada cahaya. Dengan pancaran cahaya mentari itu, bercambahlah juga benih-benih harapan. Senyuman mentari kemudiannya menjadi semakin mekar dan menebarkan virusnya ke sekian alam. Tiba-tiba pula dia masuk ke dunia Bollywood. Bukan main gembira dia berkejar-kejaran dengan Jeff di pergunungan Kashmir. Menjadi semakin indah scene itu dilatari lagu Senyum dendangan Malique dan Najwa.

         Kacak luar, kacak dalam, kacak dengar sini, kalau saya senyum, awak mesti senyum sekali, kalau kita senyum, semua orang berjangkit, bila semua orang senyum, dunia tiada penyakit...

         "Jue!"

       Sayup-sayup suara Jeff bergema dalam terowong telinga Juliana dan lantas menyentap dia keluar dari lamunannya itu.  Nyata Jeff merasa pelik melihat gadis di depannya itu tersenyum sorang-sorang sambil memandangnya.

        "Err, sorry." Giliran Juliana pula dengan sipu-sipu malunya.

         Tercuit juga hati Jeff melihat reaksinya itu.

        “Kalau begitu, selepas ini kita bolehlah selalu lepak bersama.” Cepat sekali sipu-sipu malu dihilangkan oleh Juliana kerana dia tidak mahu rasa itu melenyapkan juga rencana yang sudah diaturnya. Ternyata pandai dia menyusun plot seterusnya. Perempuan zaman sekarang, bukannya macam perempuan zaman dahulu. Perempuan zaman sekarang dah lebih advance!

         “Err… kalau dilihat Mer nanti, tak marahkah dia?” Wajah masam Ameera sekonyong masuk ke fikiran Jeff.

          Keterujaan Juliana juga sepicing jadi malap tatkala mendengar soalan Jeff itu.

         “Awak pun, mesti Indra berbulu kalau dia lihat awak melepak dengan saya.” Juliana juga maklum akan hal itu berdasarkan pengalaman sebelumnya.

        “ Sebenarnya, Indra okey aje." Jeff memberi satu kebenaran yang selama ini tersirat di pandangan mata kasar

        “Betul ke Indra okey?” Juliana skeptikal.

        “Ya, dengan Mer aje dia berpatah arang. Tak pernah lagi depan saya dia tunjuk rasa berbulu atau marah pada awak. Indra nampak aje macam itu, tapi sebenarnya dia seorang yang rasional.” Jeff memberi penegasan untuk meyakinkan Juliana.  Gaya bahasanya kini semakin lembut.

         Mendengar penjelasan Jeff itu, ditambah pula dengan gaya bahasanya yang lebih mesra, sinaran kebahagian kembali membias di wajah Juliana. Sama sekali dia tidak menyangka begitu sebetulnya. Fikirnya, bila Indra membenci Ameera, dia turut terpalit sama.

       “Gerai burger awak buka tak malam ini?” Tercetus pertanyaan itu dari mulut Juliana.

       “Buka,kenapa?”

       “Kalau buka, malam nanti saya datang lepak Saujana.”

       “Err, datang dengan Mer ke?”

       “Hisyyy, mahu terbalik gerai awak itu nanti. Saya datang dengan rakan serumah saya yang lain. Mer tak ada malam ni. Dia selepas aje discussion tengah hari ini, terus balik ke KL. Ada family gathering katanya.”

       “Okey. Kalau macam tu, datanglah.”

       “Okey.”

       Satu janji telah termenterai, menuju plot yang telah tersusun rapi nun jauh di desa paling sepi.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan