Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,290
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4

TIBAdi apartmen, Indra terus merebahkan tubuh ke atas katil bujangnya. Rasa malas memberat tubuhnya. Sesekali dia menguap. Walaupun tubuhnya penat, dia hanya mempunyai sedikit masa sahaja untuk berehat sebelum bergerak ke Lepak Port, Saujana Utama. Mereka tiga sahabat ada membuka gerai burger di situ demi mencari duit poket. Gerai itu merupakan salah satu fraincais gerai burge rseorang usahawan tempatan bernama Abang Man atau lebih dikenali sebagai Abang Botak. Nama gelaran itu kemudian menjadi satu jenama yang cukup popular di daerah itu.

            Mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada duit pinjaman PTPTN dan duit belanja dari kampung. Gerai mereka itu dibuka setiap hari kecuali hari rabu kerana pada hari itu ada pasar malam di seberang jalan. 

          Mereka faham akan polisi pihak universiti yang tidak membenarkan pelajar bekerja, namun begitu tidak pernah pula usaha separuh masa mereka itu menjejaskan pembelajaran mereka. Duit hasil jualan gerai itu pastinya dapat membantu mereka menampung perbelanjaan seharian dan membeli keperluan pembelajaran. Lebih-lebih lagi dalam situasi kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

         Jika Indra dan Jeff perlu menghadiri film screening yang menjadi keperluan kepada setiap pelajar jurusan filem seperti mereka, Amir akan menguruskan gerai itu bersendirian atau diganti  oleh pekerja gantian yang disediakan oleh Abang Man. Begitu juga sebaliknya jika Amir perlu menghadiri apa-apa acara berkaitan pengkhususannya. Tidak pernah sekali mereka ponteng sebarang program yang dianjurkan oleh pihak universiti di luar waktu kelas harian mereka. Nyata Abang Man juga sangat memahami status mereka sebagai pelajar dan dalam masa yang sama juga cukup menyokong usaha mereka berdikari mencari duit belanja.

           Tangan Indra meraba suis perakam cd di tepi katil bujangnya itu. Selepas menjumpai suis itu, jarinya menekan butang Play. Lagu Skinhead For Life dari band A.C.A.B kemudian menguasai ruang kamar tidur itu. Dia memejam matanya, seketika cuba menghantar fikirannya ke kampung halaman.

            Hatinya sedikit rindu kepada kampong halamannya itu. Rindu pada pantai dan laut yang menjadi tempat permainannya sejak kecil. Rindu pada hembusan bayu dan rindu juga pada deburan ombak. Sudah hampir enam bulan dia tidak balik. Semester 6 agak mendesak kerana banyak tugasan yang perlu disiapkan.

            Poket seluarnya diseluk. Sebuah Samsung J5 yang sudah retak skrinnya dikeluarkan dari poket itu. Dia bukan hantu gajet macam segelintir pelajar yang lain, menukar telefon tangan setiap kali keluaran baru masuk pasaran. Lebih parah, duit PTPTN yang dihalakan mereka ke situ. Bila dah graduasi, bukan main liat pula nak membayar hutang pinjaman itu. Pelbagai alasan dicari. Sampaikan isu pinjaman pendidikan itu menjadi gula-gula dalam manifesto parti-parti politik. Bagi Indra,  selagi telefon tangannya masih boleh berfungsi, selagi itulah dia akan menggunakannya. Dia juga berpegang teguh kepada prinsip hutang mesti dibayar!

           Dia memeriksa akaun Facebooknya. Bibirnyamengukir sedikit senyum tatkala melihat beberapa foto yang dihantar oleh kakaknya. Semua foto mimik muka hodoh seorang pekerja lelaki rumah tumpangan milik keluarganya. Pasti kakaknya itu cuba mencuri menangkap gambar pekerja itu. Pekerja itu yang sudah dianggap seperti  abang kandung itu sememangnya payah sekali untuk diajak bergambar.

            Indra terasa sedikit sebak bila melihat foto ayahnya. Namun, dia bersyukur kerana ayahnya itu sudah bertambah sihat selepas sekian lama menderita kemurungan. Rasa sebak itu beransur hilang bila dia melihat sekeping foto ayahnya yang tersenyum riang bersama dua kakaknya.  Foto yang berlatar belakangkan laut dan Blue Inn, rumah tumpangan milik keluarganya. Rumah yang menjadi tempatnya membesar itu dilihat sungguh cantik sekali. Dia tahu, pasti abang angkatnya yang menangkap gambar itu kerana pemuda itu mahir mengambil gambar dan kerja-kerja grafik. Cukup kontra dengan sikapnya yang tak suka bergambar. Setiap gambar yang diambil abang angkatnya itu pasti kelihatan cantik dan ada nilai artistik yang tinggi.

            Rasa gembira Indra itu sekonyong-konyong berubah hambar tatkala dia terpandang sekeping foto lama yang turut dimuat naik oleh kakaknya ke laman sosial itu. Wajah perempuan yang cukup dibencinya kelihatan di dalam gambar itu.

            “Perempuan sial!” Bentaknya keras sambil menghempas telefon tangannya itu ke tilam. Bertambah rtak lagi skrin telefon itu. Kemudian, dia bingkas bangun dan mencapai tuala. Selepas menanggalkan pakaian yang sudah seharian suntuk membalut tubuhnya, dia melewati pintu bilik dan melangkah ke arah bilik air. Ketika melalui hadapan bilik ketiga, matanya terpandang Jeff sedang khusyuk bertarung di hadapan komputer. Dia menggeleng-geleng sedikit kepalanya. Rakannya itu memang hantu permainan video, setiap waktu terluang pasti dia tercongkoh di hadapan komputer. Pandangan Indra kemudian beralih ke arah bilik utama. Kelihatan Amir sudah membungkam di atas katil.

            “Hoi, jangan nak membuat air liur basi pulak! Hari ini giliran kau buka gerai!” jerkah Indra dengan suara yang kuat sambil tapak tangannya menepuk daun pintu bilik utama itu. Seumpama jerat burung wak-wak di bendang, terus terbingkas Amir di buatnya.

            “Err... mana ada aku buat liur basi, aku baring-baring aje tadi,” balas Amir tersengih-sengih.

            “Tak buat air basi kau kata! Itu menjejer kat pipi apa? Bentak Indra lagi.

            Jeff tersenyum senget tatkala mendengar bebelan Indra itu. Amir segera mengesat air liur yang masih terlekat di pipinya. Sengihannya perlahan-lahan menjadi senget.

            “Dah, cepat siap! Aku keluar bilik air nanti aku nak tengok kau dah gerak ke sana. Kalau kau tak gerak lagi, aku bogelkan kau dan tangkap gambar! Lepas itu aku hantar kat Farah. Aku tulis captionnya Si Loser Arsenal yang terlampau!” gertak Indra. Dia sememangnya seorang yang tegas demi untuk mendisiplinkan dua rakannya itu. Kalau tidak, pasti mereka akan terlewat untuk memulakan urus niaga gerai burger mereka. 

           Amir segera bertindak seperti yang diarahkan Indra. Takut benar dia dengan Indra. Dia sebenarnya bersyukur mendapat sahabat seperti Indra kerana sejak dia mendampingi Indra, sudah tiada lagi pelajar yang berani membulinya. Cerita perkenalannya dengan Indra bermula secara tak sengaja. Tika itu vespa Indra kehabisan minyak dan tersadai di tepi jalan. Dia yang kebetulan melalui jalan itu telah menolong Indra menolak vespanya ke stesen minyak. Sebelum dia mengenali Indra, dia digelar budak nerd dan kerap dibuli pelajar-pelajar lain. Selalunya dipaksa menyiapkan assignment pembuli-pembuli itu. Namun, selepas seorang pembulinya itu dihentak topi keledar cengkeram kura-kura oleh Indra, tiada siapa lagi yang berani membulinya. Malah, dia pula sesekali membuli pelajar lain. Kebiasaannya yang menjadi mangsa sikap nakalnya itu ialah pelajar-pelajar junior. Memang dasar membalas dendam!

           Selain membukai gerai burger di Lepak Port, Indra dan Jeff juga menghibur para pengunjung dengan persembahan busking. Indra sememangnya mempunyai bakat bermain gitar dan mempunyai suara yang merdu dan unik.

           Selepas beberapa ketika membilas diri di bilik air, Indra melangkah semula ke kamar tidurnya. Bibirnya tersenyum kambing bila melihat topi keledar Amir sudah tiada di atas rak kasut. Namun, senyuman itu sekelip berubah hambar tika melewati pintu bilik ketiga. Jeff dilihatnya masih terpacak di depan komputer.

           “Hello Mr.Gamer, hari ini tugas encik apa ya?” Soalnya dengan suara yang dibuat-buat berhemah.

           “Err…ambil bahan mentah kat kedai,” balas Jeff tergagap-gagap.

           “Habis itu, nak tunggu komputer itu melayang ke bawah ikut tingkap baru kau nak pergi!” Bentak Indra dengan wajah sinisnya. Kawan-kawan jugak, tapi dalam bab disiplin tiada kompromi.

           “Kejap bro, sikit aje lagi ni.” Jeff memang satu-satunya yang berani mencanggah Indra.

           “Okey, tak apa. Kalau kau tak siap lagi bila aku dah siap nanti, kau kutiplah komputer itu kat bawah.” Indra memberi amaran dengan nada yang lembut sebelum masuk ke biliknya. Walaupun nada amarannya itu lembut, tapi ia sudah cukup menggentarkan Jeff. Jeff faham benar sikap Indra yang pasti mengotakan apa yang dikatanya. Dia segera menutup suis komputer itu dan bersiap untuk keluar.

 

TAK sampai tiga minit Indra menunggang vespanya, dia tiba di Lepak Port. Tapak peniaga-peniaga kecil Saujana Utama itu betul-betul terletak bersebelahan dengan stesen minyak Petronas. Dia mengukir senyum tatkala melihat gerai sudah siap beroperasi.

            “Hah, macam inilah! Baru betul apa yang dikata Amy Mat Piah dalam filem Rock Ooo, pantang anak petani moden menyerah kalah!” Laung Indra selepas menongkat vespanya di sebelah gerai burger mereka. Jeff dan Amir hanya mengukir sengih.

            Tiga sahabat itu mula sibuk di gerai mereka. Mereka juga mula mendapat pelanggan petang itu. Masuk waktu maghrib, Amir meminta izin untuk ke surau yang disediakan stesen minyak Petronas bersebelahan tapak Lepak Port itu.

             Amir walaupun nakal, solat tidak pernah ditinggalnya. Lebih-lebih lagi dia anak seorang tok imam. Memang benar iman tak boleh diwarisi, tapi boleh diteladani. Kebiasaannya dia akan bergilir dengan Indra ke surau itu. Tapi Jeff hanya jarang-jarang mengerjakan solat. Cuma solat Jumaat sahaja dia tak pernah ketinggalan. Sebabnya, dia segan dengan jiran depan rumah walaupun jiran itu berbangsa India dan tiap-tiap waktu maghrib menjual aiskrim di depan pintu rumahnya. Inilah yang dikatakan beribadat bukannya kerana malu kepada tuhan, tapi malu kepada orang.

            Ketika mereka berehat seketika di meja plastik yang mereka sediakan di hadapan gerai, Jeff mendapat satu panggilan.

            “Hello, ya kami dari Burger Abang Botak Hot, telan sampai licin. Apa yang saya boleh bantu?”  Sambut Jeff dengan laras bahasa yang cukup sopan sekali. Biasalah, peniaga kalau nak pancing pembeli, suaranya lebih lembut daripada gula kapas. Mereka sebenarnya juga menawarkan khidmat penghantaran ke rumah-rumah di sekitar Saujana Utama, Sunway Alam Suria, Alam Budiman dan Puncak Perdana.

            “Okey, nombor 212, Blok 1, Pangsapuri Alam Budiman. Dua burger ayam biasa dan dua burger daging special. Okey, terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami, harapan kami anda akan mendapat kepuasan yang maksimum, telan sampai licin!” Ujar Jeff lagi sambil menulis maklumat yang diberi pemanggil pada kertas. Tagline di akhir dialognya itu tak pernah dilupakan setiap kali mendapat tempahan daripada pelanggan.

            “Masyuk! Masyuk! Masyuk!” cetus Jeff. Indra telah bersedia di ruang dapur dengan membesarkan semula api gas. Dia kemudian meletakkan dua keping daging lembu dan dua keping ayam  ke atas kuali pembakar, sebelum membelah empat biji roti untuk dilumurkan dengan marjerin. Roti yang siap dilumur marjerin kemudian dicampakkan pula ke atas kuali yang mula membahang itu. Jeff menyertai di sisinya dengan bahan-bahan lain dan plastik pembungkus.

            “Sejak kita iklankan perniagaan kita ini, aku tengok boleh tahan jugak masyuknya,” ungkap Jeff dengan senyum masih melekat di bibirnya.

            “Kan betul apa yang aku cakap, kau tak percaya. Promotion is the key of a business!” tingkah Indra sambil menggenggam tangan dan meluruskan jari telunjuknya ke udara. Tak ubah gaya Amy Mat Piah.

            “Bukan aku tak percaya, tapi aku malu.”  Jeff membalas.

            “Hah, Itulah! Sebab itulah bangsa Melayu tak maju. Kau ni tak pegang kata-kata Amy Mat Piah, anak Melayu jangan sesekali rasa malu walaupun sekadar berniaga ais kacang!” Indra terus dengan kata-kata semangatnya. Cukup obsess sekali dia dengan watak Amy Mat Piah.

            “Eh, ada ke Amy Mat Piah cakap macam itu?” Soal Jeff  yang sedikit berkerut dahinya.

            “Entah, aku main hentam aje,” balas Indra disusuli dekah tawa trademarknya.

            “Siapa nak hantar ni, bro?  Si loser Arsenal tak ada ni,” tanya Jeff kembali seperti dia keberatan.

            “Dah tak ada orang lain, akulah. Siapa lagi? Engkau memang tak nak punya bawak motor malam-malam begini. Pengecut, takut sangat pada hantu.” Indra membebel.

            “Engkau tak kena lagi bolehlah cakap. Dah kena baru kau tahu, tercirit dalam seluar,” balas Jeff yang  masih teringat-ingat di fikirannya lembaga yang dilihatnya sebulan yang lalu pada satu lewat malam. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari menjenguk adiknya yang sedang melanjutkan pelajaran di IPG Ilmu Khas, Cheras. Tiba di satu kawasan gelap dan berbukit, matanya terlihat satu susuk lembaga serba putih sedang berdiri di tepi jalan. Tak cukup tanah dipecut motosikalnya. Dua hari dia demam. Lokasi itu memang cukup menyeramkan. Lebih-lebih lagi kalau lewat malam. Di lokasi itu kata orang, pernah berlaku kemalangan maut dan boleh dikatakan juga saban bulan mesti ada kemalangan yang berlaku di situ. Kata orang juga, lokasi itu memang keras.

            “Itu perasaan kau ajelah, terpengaruh sangat dengan Filem Jalan Puncak Alam. Aku dah banyak kali lalu jalan itu tengah malam, tak ada apa-apa pun. Terserempak dengan tenuk nak lintas jalan adalah sekali.” Indra bercakap besar.

            “Kau jangan cakap besar, bro. Sekali kau jumpa nanti, terberak dalam seluar engkau.” Jeff cuba memberi nasihat berdasarkan pengalamannya. Indra hanya mendengar nasihatnya itu acuh tak acuh.

            Selepas beberapa minit, tempahan itu siap dimasak oleh Indra. Jeff segera membungkusnya. Indra kemudian mencapai topi keledarnya. Enjin vespanya segera dihidupkan.

            “Mana  alamatnya?” Pinta Indra ketika memasang pin topi keledarnya.

            “Nah! Kalau awek yang sambut kau nanti, kirim salam kat awek itu, cakap abang Jeff hensem yang masak,” balas Jeff dengan senyuman nakal sambil menghulur kertas yang tertulis alamat pelanggan kepada Indra.

            “Hensemlah sangat. Jaga gerai elok-elok. Si Amir itupun kau jaga dia elok-elok. Aku tengok sejak jumpa dengan Farah dan Jessica meleleh aje air liur dia. Kan tak pasal-pasal marjerin itu dibuatnya pelincir, dahlah aku tengok sabun di bilik air rumah kita itu dah banyak luaknya. Rasanya baru dua tiga hari lepas aku beli,” pesan Indra sebelum memasukkan gear vespanya. Vespa panduan Indra kemudian menderu di jalan raya menuju ke arah kejiranan Alam Budiman.

            Jeff mengeleng-geleng kepalanya sambil tersenyum sumbing, tercuit dengan kata-kata Indra sebelum pergi tadi.

            “Sabun di bilik mandi! Sabun dibilik mandi!” Secara spontan dia menyanyikan bait-bait lirik yang disiulkan oleh Allahyarham Ibrahim Din dalam filem Laksamana Do Re Mi sambil mengelap meja gerai.

 

SEMENTARA itu, di Pangsapuri Alam Budiman bernombor 212 telah menanti empat sahabat yangsememangnya ketika itu sedang kelaparan.

            “Mana burger kau order ni Jue? Lambat betul. Perut aku dah krut krut krut  ni!” Keluh Ameera sambil memegang perutnya. Sesekali dia menjeling ke arah pintu.

            “Be patient my dear, kejap lagi sampailah tu,” balas Juliana dengan matanya tak lepas dari skrin televisyen.

            “Aduhai, laparnya! Gerai burger mana kau order ni?” Setengah jam dah tunggu, tak sampai-sampai lagi.” Ameera terus merungut.

            “Itulah aku cakap tadi, bungkus makanan kat RB kau tak nak. Bergegas nak balik. Takut sangat terlepas episod akhir Suamiku Paling Sweet,” tingkah Fatihah pula. Dia juga pelajar UiTM Puncak Perdana tapi dalam jurusan yang berbeza dengan Ameera dan Juliana.

            “Betul tu,” sokong Linda, rakan sebilik dan sekuliah Fatihah.

            Di perkarangan pangsapuri itu, Indra baru sahaja tiba. Selepas menongkat vespanya dia segera memanjat anak tangga ke tingkat 2. Tiba di tingkat 2, dia melilaukan matanya mencari pintu bernombor 212. Selepas berjalan dari pintu ke pintu, akhirnya dia menjumpai alamat yang dicari. Pintu pangsapuri bernombor 212 segera diketuknya.

            “Burger delivery!” Laung Indra selepas mengetuk pintu itu tiga kali.

            “Hah! Itu dah sampai. Pergilah buka pintu. Duit yang aku kumpul tadi ada atas meja makan itu,” kata Juliana kepada Ameera. Ameera  bingkas bangun dan mengambil duit di atas meja sebelum melangkah pantas ke muka pintu.

            “Burger deli….” Laungan Indra terhenti tatkala matanya menangkap Ameera yang terjonggol di muka pintu. Dia menelan sedikit air liurnya.

            “Hoi, budak skin sial! Apa kau buat depan rumah aku ni,” herdik Ameera dengan wajah mula menyinga. Indra yang terkelu lidahnya sekadar mengangkat beg plastik yang dijinjing kepada Ameera. Ameera yang memandang beg plastik itu tergendala seketika letusan amarahnya. Namun beberapa saat kemudian, rasa ego kembali merajainya.

            “Pergi balik! Jangan nak menyemak depan rumah aku! Aku tak hingin nak makan burger kau!” Ameera menyambung semula letusan lava kemarahannya.

            “Okey, kau tak nak sudah. Aku boleh bagi semua burger ini kepada pak guard kat depan itu. Dapat jugak aku pahala daripada aku layan royan engkau Setan Merah!” Indra membalas, mula rasa tercabar dengan cacian Ameera. Juliana, Fatihah dan Linda yang dapat mendengar ribut taufan itu segera datang masuk campur.

            “Err, tak apa Indra. Bagi kat Jue. Kami tengah lapar ni,” celah Juliana. Mendengar celahan itu, Indra menghulurkan plastik yang dijinjingnya kepada Juliana kerana mahu segera meninggalkan pangsapuri itu. Tak mahu dilihatnya wajah menyinga Ameera. Juliana segera mengambil  plastik burger yang dihulurkan oleh Indra dan cuba mengambil duit di tangan Ameera. 

           PANG!!

           Semua jadi tergamam.

          Ameera membaling duit itu secara kasar ke muka Indra sebelum berpaling dan berlalu menuju ke biliknya. Terasa pedih juga kulit muka Indra bila terkena duit syiling. Juliana, Fatihah dan Linda masih tergamam dengan sikap keterlaluan Ameera itu.

            “Sial punya betina!” Hambur Indra. Dia terus berlalu meninggalkan pangsapuri bernombor 212 itu tanpa mengutip duit yang bertaburan di lantai koridor. Juliana segera mengutip duit itu dan cuba mengejar Indra sambil memanggil nama Indra. Namun Indra tanpa berpaling hanya mengangkat tangan kiri ke udara dan menunjukkan jari tengahnya. Melihat tanda kemarahan Indra itu, Juliana tidak jadi mengejarnya. Dia berpatah semula ke arah pintu pangsapurinya dengan wajah hampa.

            Berselimut rasa kesal di hati Juliana. Andai dia tidak menghubungi perkhidmatan Indra dan rakan-rakannya tadi, pasti kejadian itu takkan berlaku. Niatnya cuma mahu berbaik-baik dengan Indra, Jeff dan Amir. Indra seorang yang pintar di dalam kelasnya, sudah pasti dia tidak mahu mereka bermasam muka. Sudah tiga semester berturut Indra mendapat Anugerah Dekan. Sedikit sebanyak hal itu mendorong kepadanya untuk berdampingan dengan Indra sebagai sahabat. Dia buntuhkan bantuan tunjuk ajar daripada Indra berkaitan pelajaran yang tak difahaminya. Paling penting sebenarnya dia mahu mendekati Jeff yang sekian lama sudah menjadi secret admirenya. Wajah Jeff yang ada iras Que Haidar itu cukup menambat hatinya. Lebih-lebih lagi pelakon watak Amy Mat Piah dalam cerita Rock Ooo itu juga merupakan hero filem Melayu kegemarannya. Tapi sejak Que Haidar menikah dengan bekas pereka tari Akademi Fantasia, dia frust menonggeng. Kadang Linda rakan serumahnya itu menjadi mangsa meluatnya kerana mempunyai nama sama dengan bini pelakon kegemarannya itu.

            “Sabarlah Jue, nak buat macam mana. Ibu singa memang tak boleh bertembung dengan bapak naga. Dua-dua panas baran. Esok, kau jumpa Jeff bagi duit itu.” Fatihah cuba memujuk Juliana yang kehampaan.

            “Jom kita makan. Mer tak nak makan, lantak dia. Aku dah kebulur ni. Bau burger ini pulak menyelerakan,” ajak Linda yang membulat tubuhnya. Pantang dia terbau aroma makanan.

           “Betul kata Linda tu.” Fatihah menyokong.

           “Kan aku dah cakap jangan panggil nama itu!” Mula datang kembali penyakit rasa meluat di hati Juliana saat mendengar nama penuh Linda disebut. Dalam saat-saat meruncing sebegitu pun masih tergamit dendamnya terhadap bini Que Haidar. Mahu tak berdendam, frust menonggeng katakan.

           “Errr…sorry, betul kata Lin tu.” Fatihah membetulkan semula katanya sambil memberi isyarat peace. Linda sekadar mengukir sengih. Sedikitpun dia tidak terasa dengan Juliana. Dia faham, orang frust menonggeng katakan.

            “Jom!!!”Juliana menyambut pendamaian itu.

            Begitulah Juliana, orangnya cepat merajuk tapi cepat juga sejuknya.



Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan