Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,394
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

TIBA di apartmennya, Indra terus merebahkan tubuh ke tilam. Penat menolak vespanya dirasai di seluruh tubuh. Waktu dia tiba tadi, Jeff dan Amir dah terbungkam di ruang tamu. Tv yang menonton mereka. Tak sampai 5 minit berbaring, Indra juga terlelap.

             Pantas waktu berputar. Cahaya senja mula membias ke serata langit. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Namun begitu, Indra masih belum terjaga dari lenanya. Sejam lebih juga dia di alam mimpi yang abstrak. Jeff dan Amir sudah bersiap untuk ke kampus semula.   

           “Eh,Indra belum bangun lagi ke?” Soal Jeff yang sedikit musykil apabila melihat bilik Indra masih gelap.

           “Entah,”jawab Amir sepatah sambil mengangkat bahunya.

           “Dah lewat kita ni.” Jeff seraya bangun dan menapak ke arah bilik Indra. Suis di tepi pintu yang tidak dikatup itu dipetiknya.

           “Woi, bangun! Dah pukul berapa ni?” Laung Jeff bersama tepukan pada pintu bilik. Kepalanya dijonggol sedikit ke dalam.

           Indra tersedar.

          “Dah pukul berapa bro?” Soalnya sambil menguap panjang. Rasa mengantuk masih menguasai tubuhnya.

          “7.30,” balas Jeff  mengenapkan angka walaupun waktu yang tepat di tangannya ialah 7.33 petang.

           “Aduhai, malaslah aku nak main malam ni, bro. Kau dan Amir pergilah.” Nyata kemalasan menguasai Indra.

           “Kau jangan buat pasal, bro. Kena tapau pasukan kita nanti tak ada kau. Kau nak si Serigala Jadian dan Amirul pak turut tu kutuk kita kaw-kaw ke?” Jeff mula cuak. Dalam masa yang sama juga otaknya bergeliga mencari alasan supaya Indra segera bangun.

          “Aku penatlah, bro. Tak cukup tidur lagi ni.” Indra membalas. Terasa tubuhnya seperti disimen pada katil ketika itu.

           “Cepatlah bangun, minah kacuk itu pun pasti jadi penyokong mereka malam ni. Kalau kita tewas, berhari-hari dia ejek kau nanti. Otak Jeff terus bergeliga mencari akal selepas umpan terdahulunya tak termakan oleh Indra.

            Mendengar nama Ameera, mata malas Indra terjenggil. Namun, hanya bertahan beberasa saat sahaja. Kelopak matanya kembali memberat. Jeff memandang dengan rasa geram. Geram kerana umpannya tetap juga tak termakan. Ibarat pemancing yang berang bila ikan tidak memakan mata pancingnya walaupun mata pancing sudah disua betul-betul di depan mulut. Indra seumpama ikan yang sudah kekenyangan. Atau lebih tepat diumpamakan seperti seekor ular sawa. Resam ular sawa, bila dah kekenyangan akan tidur tak ingat dunia.

           “Itulah kau, lambat sangat balik tadi. Kan dah tak cukup tidur,” rengut Jeff yang masih tidak mahu berganjak. Dia sebenarnya tidak tahu apa-apa yang berlaku kepada Indra kerana sewaktu Indra balik ke rumah tadi, dia dan Amir sudah terkapar macam dua ekor kucing Garfield di ruang tamu.

           “Vespa aku pancitlah,  si sial mana entah pancitkan. Jenuh aku tolak vespa aku dari kampus ke bengkel. Itu yang tubuh aku penat sangat ni. Kalau aku pergi pun, tak rasa aku boleh main. Penat gila ni. Kau pergilah dengan Amir. Tanpa aku pun, team kita gerenti boleh menang punyalah. Team Serigala Jadian itu bukan pandai sepak bola pun. Sepak angin aje memanjang,” ujar Indra dengan kelopak mata yang masih layu. Dalam keadaan mamai sebegitu, sempat juga dia memperlekehkan pasukan seterunya.

           “Alah bro, balik nanti kau sambunglah tidur balik. Nak sambung tidur sampai tengah hari esok pun tak apa, kita tak ada kelas esok. Tapi malam ini, kita tapau team Reza cukup-cukup dulu. Biar dia tahu, hanya team kita yang layak mewakili Fakulti FiTA ke kejohanan antara fakulti itu nanti.” Jeff tak berputus asa untuk terus mendorong. Baginya, tanpa Indra dalam pasukan mereka maka hilanglah serinya. Indra bukan hanya memiliki bakat dan kemahiran bermain futsal tapi juga pandai menganggu konsentrasi pihak lawan dengan provokasinya, yang kadang juga boleh membuatkan pasukan lawan hilang sengat dan semangat. Kadangnya juga turut membuatkan suasana jadi hangat. Jeff memang suka suasana kecoh-kecoh sebegitu. Baru happening katanya.

           Agenda perlawanan persahabatan itu telah diaturkan sejak dua hari yang lalu lagi. Pastinya Jeff dan Amir tidak mahu terlepas daripada terpilih mewakili Fakulti FiTA walaupun pada hakikatnya Indra kurang berminat. Demi hasrat dua rakan baiknya itu, dia menuruti sahaja. Ikutkan hati, dia tidak mahu menonjolkan dirinya dalam sukan walaupun dulu zaman sekolah dia pernah diangkat sebagai olahragawan.

           Selama ini pun dia bermain futsal sekadar untuk mengeluar peluh semata-mata. Namun,selepas melihat Reza begitu beriya-iya mahu menujuk lagaknya dalam gelanggang, ego kejantanannya tercabar. Bak si Jalak si jagoan laga. Lebih-lebih lagi bila Ameera sentiasa memberi sokongan moral kepada Reza, makinlah mendorongnya. Niatnya tidak lain tidak bukan, mahu menghangatkan lagi permusuhan mereka.

           “Hmm… iyalah, kau berdua pergi dulu. Nanti aku menyusul.” Akhirnya Indra akur jua, demi sahabat-sahabatnya.

           “Okey, kau jangan tak datang pulak. Jangan jadi seperti politikus, janji selalu dicapati.”Jeff menarik sedikit nafas lega. Sempat juga dia mengingatkan Indra supaya berpegang teguh kepada prinsipnya yang berkonfrontasi dengan orang yang suka memungkiri janji. Namun begitu, masih ada daki-daki skeptikal di hatinya dengan janji Indra itu, sebab dia tahu Indra kalau tak cukup tidur dia akan jadi malas semalas-malasnya. Macam kerbau yang sedang berkubang ditarik balik ke kandang, mana mahu kerbau itu mengikut..

          “Ya, aku datang!” Indra memberi sedikit penegasan dalam uapan panjang. Seperti mahu melenyap terus rasa malas yang hebat itu, satu jeritan dilepaskannya di hujung uapan itu. Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia, rasa malas yang paling hebat itu hadir sewaktu bangun dari tidur. Lebih-lebih lagi di pagi hari Isnin. Monday Blues kata orang!

 

KETIKA Jeff dan Amir tiba di gelanggang futsal kampus Puncak Perdana, rakan sepasukan yang lain sudah menunggu. Reza dan pasukannya juga sudah lama sampai. Sepak mula mereka sudah lewat hampir 10 minit. Sepatutnya sepak mula itu berlangsung tepat-tepat pukul 8.00 malam. Memandangkan gelanggang futsal di kampus itu hanya ada satu, soal masa penggunaanya perlu ditepati supaya tidak mengganggu jadual pengguna seterusnya.

           “Macam mana ni, Jeff? Dah pukul 8.10 dah ni. Masa kita berjalan. Kan tak puas main nanti.” Amir kelihatan rimas. Dia yang sudah tidak sabar-sabar mahu menunjuk kehebatannya meminta Jeff segera memulakan perlawanan. Lebih-lebih lagi apabila melihat kelibat Alice dan Farah turut berada di tepi gelanggang.

          “Sabarlah kejap, Indra belum sampai lagi,” ujar Jeff. Wajahnya juga menjelaskan yang dia gusar. Matanya juga tidak putus-putus melihat jam. Lebih merimaskan bila pasukan Reza sudah masuk ke gelanggang memanaskan badan. Ameera dan Juliana juga sudah berada dalam kelompok penonton di tepi gelanggang.

          “Hoi, bila nak start ni? Tak payah tunggulah star kau orang tu. Dia takkan datang, sebab bahu dia terkehel tolak vespa buruk dia petang tadi!”Kedengaran Reza melaung dengan lantang dari arah tengah gelanggang. Laungan ejekannya itu disambut gelak tawa daripada yang lain. Paling kuat pastinya daripada mulut Ameera. Puas hatinya dapat membalas dendam terhadap Indra.

          Jeff mengetap geram bibirnya. Secara pantas juga dia dapat mengagak si pelaku khianat terhadap Indra petang tadi. Mahu tidak mahu dengan rakan-rakan pemain yang ada, dia masuk ke dalam gelanggang untuk memulakan perlawanan. Permainan terus bermula dengan rancak.

           Nyata ketiadaan Indra menghilangkan sedikit sengat pasukan yang diketuai buat sementara waktu oleh Jeff itu. Amir juga kurang efektif selaku penjaga gol pasukan mereka. Dua gol bodoh telah membocori gawang yang dijaganya. Entah apa yang tidak kena padanya malam itu. Mungkin kerana sikap terlalu ingin menunjuk-nunjuk selepas melihat kehadiran Alice dan Farah. Mudah-mudah sahaja pasukan yang diketuai oleh Reza mendahului pasukan mereka dengan jaringan dua gol tanpa balas walaupun perlawanan baru sahaja 10 minit berlangsung. Situasi itu membuatkan Reza dan rakan-rakannya riang bukan kepalang. Makin menjadi-jadi juga mereka menghambur kata-kata provokasi.

           Sehingga setengah jam perlawanan berlangsung, batang tubuh Indra masih juga belum muncul. Kedudukan kini sudah menjadi 6 berbalas 2 dan pasukan Reza terus mendahului. Reza sendiri sudah menjaringkan 4 gol. Situasi itu membuatkannya menjadi semakin angkuh dan yakin betapa Indra, Jeff dan Amir akan menjadi bahan kutukannya  dan Ameera sepanjang minggu nanti.

           Namun…jeng, jeng jeng! Angan-angan Reza itu tampak bakal berkecai. Hero Tamil sudah muncul.Tak ubah seperti gaya Rajnikanth. Hanya kesan bunyi dan asap sahaja yang tiada.

          Dengan wajah yang tak bersalah Indra masuk ke gelanggang. Walaupun menanggung rasa bengkek, Jeff dan Amir menarik nafas lega tatkala melihat kelibatnya. Begitu juga dua rakan sepasukan mereka yang lain.

          “Dah berapa score? Sorry, aku terlewat sikit. Perut pulak tiba-tiba sahaja memulas” Indra mengungkap ketika menghampiri Jeff dan Amir. Dia memberi alasan palsu, padahal dia sambung tidur beberapa minit lagi.

        “Kita  dah ketinggalan 4 gol. Dia orang leading 6-2 sekarang.” Jeff membalas. Nyata keletihan sudah memamah tubuhnya. Namun,selepas melihat Indra muncul, api semangatnya kembali bernyala.

        “Apa hal teruk sangat? Lawan team kaki bangku pun tak boleh makan ke?” sambut Indra. Sengaja nada suaranya dikuatkan supaya Reza dapat menangkap perliannya itu.

Nyata perliannya itu didengari oleh Reza. Malah juga jelas menusup ke liang telinga Ameera di luar gelanggang.

        “Tak habis-habis nak berlagak!” Rengus Ameera. Namun, regusannya itu hanya menusuk ke liang telinga Juliana di sisinya sahaja.

          Si Serigala Jadian  mengerling tajam ke arah Indra. Makin Indra apikannya dengan senyuman sinis menganjing. Arah pandangan Indra kemudian berkalih kepada musuh ketatnya di luar gelanggang. Senyuman menganjing itu menjadi makin senget apabila Ameera seperti selalunya, segera melarikan anak matanya.

         Aku senyum pun kau dah tak berani nak tentang, macam mana nak menang! Hati lelaki Indra berdesis sinis, sesinis senyum di wajahnya.

        Jeff segera menyepak semula bola dari titik tengah selepas beberapa saat tadi gawang pasukannya bocor angkara sepakan kencang daripada Reza. Bola bergolek terus kekaki Indra. Indra segera menyambut bola itu dengan outside footnya. Amirul datang menerpa ke arahnya dan cuba merampas bola bersaiz 5 itu. Dengan tenang Indra menggunakan skill kepitan dan libasan ekor paus atau dalam bahasa futsalnya digelar sebagai rainbow flick untuk memperdayakan Amirul yang umpama seekor babi hutan menyondol. Bola melambung naik dari arah belakangnya melewati kepala Amirul. Gamat seketika suasana di kalangan penonton di luar gelanggang apabila melihat situasi itu.Terhibur hati mereka, terutamanya Alice dan Farah. Tak henti-henti mereka menepuk tangan.

          Ameera jadi terpaku seketika. Seperti dia tidak percaya Indra mempunyai kemahiran seumpama raja futsal Brazil, Falcao.  Mati-mati dia ingat Indra itu kaki bangku berpandukan pengamatannya yang melihat Indra kurang terlibat dengan aktiviti rekreasi dan sukan yang dianjurkan pihak universiti selama ini.

          Kemudian Indra berpusing dengan gaya inside out nutmeg untuk memperdaya Reza pula. Terkedu Reza jadinya apabila bola meleret melalui celah kangkangnya. Sekali lagi penonton di luar gelanggang terpegun. Bola terus dibawa Indra mara ke hadapan namun cuba dihadang seorang lagi pemain lawan. Namun tenang dan bersahaja dia menghadapi situasi itu. Mudah sekali dia mengatasi pemain itu dengan menggunakan teknik elastico yang dipopularkan oleh lagenda bola sepak Brazil, Ronaldinho. Sia-sia sahaja pemain itu menyepak angin. Bola kemudian dilorongkan kepada Jeff yang sudah menjadi pencuri ayam di depan pintu gol. Memang sudah Jeff ketahui, kerjanya akan menjadi semudah itu apabila ada Indra di dalam gelanggang. Apa lagi, Jeff merembat sekuat hatinya. Bola meluru dan berputar bak sebutir peluru lalu terus membocori pintu gol pihak lawan.

Menjerit keriangan penonton di luar gelanggang. Paling kuat menjerit, siapa lagi kalau bukan Alice dan Farah. Cukup terhibur mereka dengan kemahiran yang ditunjukkan oleh Indra, seumpama seorang pemain futsal professional. Pastinya keletah mereka itu mengudang rasa meluat teramat kepada Ameera di seberang gelanggang.  Merah padam wajahnya.

          “Itulah faedahnya kalau kita selalu menonton Youtube secara berhemah! Bukannya layan video Tik Tok minah rempit 24 jam!” Jerit Indra sekuat hati. Dia sebenarnya menempelak Reza dan Amirul yang cukup diketahuinya sikap mereka itu, terutama Amirul yang gila seks. Biar juga Ameera tahu siapa sebenarnya teman lelakinya itu.

           Ameera mengetap bibir, menahan geram. Fikirnya Indra mahu menunjuk lagak. Makin membuatkan dia rasa geram, bila melihat Juliana di sebelahnya secara spontan turut bangun dan melonjak meraikan gol cantik itu tadi. Terkedu-kedu Juliana kemudiannya untuk cover. Mahu tak gembira, pemuda yang menjadi secret admirenya menjaringkan gol walaupun dalam posisi mencuri ayam. Dalam permainan futsal tak ada undang-undang offside, jadi tak kisahlah curi ayam sekalipun. Janji dapat rembat bola masuk gol.

         Reza di tengah gelanggang juga menahan rasa geram teramat. Kulit mukanya terasa tebal beberapa inci. Dia tahu Indra menuju kata-kata tadi kepadanya. Sudahlah dia tak tertahan malunya diperdaya oleh Indra tadi. Dalam arena bola sepak dan futsal, tipu daya melorong bola melalui celah kangkang sebegitu dianggap sebagai tipu daya tahap paling dewa dan satu penghinaan kepada mangsanya. Pemain yang terkena tipu daya sebegitu pasti akan berasa malu besar.

        Permainan segera dimulakan semula dari titik tengah oleh Reza. Dia menghantar bola kepada Amirul dan Amirul berjaya menggelecek Jeff sebelum menghantar semula bola kepada Reza. Reza kemudian berhadapan dengan Indra. Menyedari peluang untuknya merebut kembali kemasyhuran daripada penonton, terutamanya Ameera dia cuba meniru gaya rainbow flick yang telah digayakan oleh Indra sebentar tadi.  Namun cubaanya itu tak menjadi dan sekelip mata pula dia menjadi bahan jenaka. Sememangnya bukan senang untuk membuat helah sebegitu jika tidak berlatih banyak kali.  Mudah-mudah sahaja bola dirampas oleh Indra dari kaki Reza.

         Sambil berlari Indra mengulas teknik pemainannya sendiri, meniru gaya Rahman dalam filem Ola Bola. Niatnya tidak lain tidak bukan, mahu menghangatkan lagi hati Ameera dan Reza.

        “Larian lipas kudung Adam Lallana, helah berpusing Sadio Mane dan diakhiri dengan satu rembatan lencong Philipe Countiho,”

        “Gol!”Ulasannya itu disambut dengan jeritan para penyokong di luar gelanggang. Bergema sekali lagi sekeliling gelanggang itu dengan sorakan Alice, Farah dan beberapa orang pelajar lain. Sebagai tanda menghargai sorakan itu, Indra berlari ke arah mereka untuk bertepuk tangan dengan semua. Sengaja juga dia melakukan tarian keraian ulat beluncas di depan Ameera.

          Makin merah padam Ameera jadinya. Kulit wajahnya bertambah menyala selepas pintu gol pasukan teman lelakinya terus dibolosi selepas itu.  Provokasi berterusan daripada Indra juga membuatkan hatinya makin mendidih. Rasa cemas juga mula menekannya kerana jurang gol pasukan Reza dengan pasukan Indra kini hanya dipisahkan satu gol sahaja.

         Berbaki waktu kecederaan kerana kurang seminit lagi waktu penggunaan gelanggang akan tamat, Reza segera mengarahkan Amirul dan rakan-rakannya lain membentuk formasi taktikal yang selalu digunakan oleh Jose Mourinho, iaitu tak lain tak bukan pengurus pasukan bola sepak kegemaran Ameera.

        “Woi, apa cer main taktikal parking bas ni!” Laung Indra selepas melihat semua pihak lawan berkampung di depan pintu gol. Nyata taktikal yang digunakan Reza dan rakan-rakannya itumenyukarkan Indra dan Jeff untuk menembusi kubu pertahanan mereka. Sedang Indra berusaha mencari lubang untuk membuat tembakan, tiba-tiba lampu limpah di tepi gelanggang dipadamkan oleh penjaga gelanggang menandakan waktu permainan mereka telah berakhir.

          Maka bersoraklah Reza dan rakan-rakannya meraikan kemenangan mereka itu. Paling kuat, pastinya sorakan dari mulut Ameera. Sungguh puas hatinya dapat melihat Indra ditewaskan buat kali kedua pada hari itu. Kali kedua? Sebenarnya, tayar vespa Indra pancit itu juga adalah angkaranya. Dia begitu licik sekali menyelinap menghampiri vespa Indra tanpa dikesan oleh sesiapa sewaktu mahu pulang dari kampus lewat petang tadi.

          “SIAL!”

           Mahu tak mahu, Indra dan pasukannya perlu akur dengan kekalahan itu. Bagi  Jeff, Amir dan 3 rakan sepasukannya yang lain, kekalahan itu tidaklah memberi kesan yang ketara. Namun sebaliknya kepada Indra.Tewas kepada pasukan Reza bermakna  juga akan mengundang malapetaka. Telinganya pastinya akan mendidih dan bernanah untuk dua tiga hari yang akan datang. Ameera pasti tidak akan mensia-siakan peluang itu untuk membalas dendam menyakitkan hatinya. Sweet revenge kata orang putih.

           Berdenyut-denyut rasa geram di hati Indra. Ibarat berak yang tak lawas, dia tidak dapat melepaskan sepenuhnya rasa geram itu. Sudahlah rasa itu sudah membengkak lewat petang tadi. Dia menghempas botol air yang diteguknya ke lantai simen, simbolik kepada rasa yang tak terlepas itu.

          “Kalaulah kau datang lebih awal tadi,”

          Jeff yang bersandar pada tiang jaring yang memagari keliling gelanggang melepaskan keluhan itu walaupun dia cukup memahami perasaan Indra tika itu.

          Indra hilang kata. Dia dongkol. Perkataan Mat Jenin KALAU memang menyakitkan telinganya, namun dia mengakui kebenaran kepada perkataan yang diluahkan Jeff itu. Dia cuba mengabaikan perkataan itu daripada terus bergema di dalam terowong telinganya.

         “Well done guys! Despite losing, but it’s  a  good game, guys. Indra, you’re really good. Terhibur I melihat skill yang you peragakan. Like a real football star.” Alice yang datang menghampiri menghambur kata-kata pujian. Indra sekadar memberi senyum tawar.

         “Jeff pun apa kurangnya, 4 gol.”  Farah menyelit. Ulas senyum diberikan kepada Jeff membuatkan rasa kecewa Jeff terus terubat.

          “Just unlucky,” balas Jeff. Jelas senyuman bangga di tubir bibirnya, menarik terus rasa sebal di hatinya keluar. Mendapat pujian daripada jelitawan, takkan tak bangga.

          “Yup, actually if goalkeeper tak buat silly mistake tadi, tak adalah gawang you all bocor banyak macam itu.” Farah mengulas pula sambil menjeling sinis kepada Amir. Amir yang tercunggap-cunggap automatik jadi terkedu. Pedih juga hatinya bila mendengar kritikan itu. Lebih kepada malu sebenarnya. Mana tak malu, awek cantik yang menjadi kegilaannya selama ini sendiri yang mengkritik. Terasa ditampar-tampar kulit mukanya.

          “Glory glory Man United, as the reds go marching on on on!”

           Nyata Ameera tidak mahu menunggu lama. Dia, Reza dan Amirul menyanyi dengan penuh bangga ketika kelompok itu melintasi Indra dan rakan-rakannya. Seperti sengaja mereka mahu melanjutkan lagi bahang di tengah gelanggang tadi. Satu provokasi yang sudah dijangka oleh Indra.

          Namun, Juliana seperti sekadar menjadi pak turut dalam kelompok itu. Air mukanya seperti dia terpaksa dan serba salah. Dalam lakonan keterpaksanya itu, sempat juga dia melempar sekuntum senyum ketika dia melintasi Jeff. Jeff yang mulanya turut membengkak rasa geram mengerut sedikit dahinya kerana berasa sedikit pelik. Dah dua tiga kali Juliana melempar senyum sebegitu kepadanya sebelum ini.

          “Its okay guys, just buat dono aje provokasi dia orang itu. Bukan hebat manapun team dia orang tu. Nasib aje dapat menang tadi. Apa kata untuk meredakan keadaan, lepas ini kita lepak di RB. Pekena teh tarik or whatever. I belanja.”Alice cuba memujuk dan membuat candangan.

          “CANTIKKKK!!!!!”

           Begitulah tiga budak nakal itu. Pantang orang mahu belanja, cepat aje sahutan setujunya. Lupa sudah apa yang berlaku sebelumnya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan