Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,320
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

“CELAKA!”

            Seranah itu hadir secara serentak dari dua mulut musuh ketat. Namun, di dua lokasi yang berbeza. Ameera ketika itu di tandas perempuan bersama Juliana. Manakala Indra pula bersama Jeff di tandas yang berlawanan. Keempat-empatnya mencuri sedikit masa pertukaran kelas ke lokasi lepak utama pelajar-pelajar itu. Pelik kan, tempat bermastautin syaitan iblis itulah menjadi port istimewa kepada semua pelajar di serata dunia untuk melepak. Barangkali tahi ada aroma memanggil.

            “Doc macam sengaja nak kenakan kitalah!” Ameera melemparkan kata bengangnya. Juliana  sekadar mengikut mood dan rentak Ameera dengan  buat-buat mengangguk kepalanya. Walaupun dia sendiri berbaur rasa, namun dia tidak fikir pensyarahnya sengaja berbuat demikian. Hatinya kuat mengatakan, ada sesuatu tujuan di sebalik aturan pensyarah mereka itu.

            “Aku tak kisah letak dengan sesiapa pun dalam satu kumpulan, asalkan bukan dengan si Setan Merah tu. Sial betul lah!”Terlontar kata-kata itu pula di bilik sebelah dari mulut Indra.

            “Aku lagi sial bro, kena hadap si Serigala Jadian!” Jeff menyambut dengan wajah putus harapannya. Laksana baru putus cinta dengan awek beban dirasainya ketika itu.  Kali pertama dalam sejarah juga, dia akan menjadi Yang Menurut Perintah musuh ketatnya. Semester lepas dia dan Reza pernah bertinju gara-gara berebut tempat parkir yang akhirnya menjerumus Indra sekali dalam perkelahian itu. Lebam juga biji mata Reza ditinju Indra. Mujur perkelahian itu cepat disuraikan oleh dua orang polis bantuan. Kes itu juga hampir berlarutan ke balai polis. Namun, dengan campur tangan pihak pentadbiran universiti kes itu diselesaikan secara dalaman sahaja. Namun, kedua-duanya telah diberi amaran keras. Andainya berulang perkara yang sama, tindakan yang lebih berat akan dikenakan terhadap mereka.

            “Yang si Irma itu pulak, apa hal gedik semacam aje tadi?” Kata Ameera lagi, berselang kembali di tandas sebelah. Rasa curiga mula menjentik tangkal hatinya.

            “Itulah, menyampah aku dengan gediknya tu. Err… si Reza pun apa hal melayan si minah gedik itu?” Juliana menyokong. Mencuba juga dia memberi sedikit klu supaya Ameera menyedari sikap buaya darat si  Reza itu.

            “Itu yang membuat aku mendidih. Bukannya dia nak bantah Doc letak aku dalam kumpulan si skin sial itu, dia boleh pulak bertepuk tampar dengan si minah gedik tu.” Ameera mula memakan umpan pancing Juliana.

            “Damn! Damn!” Indra berselang pula melepaskan geramnya dengan menyimbah air paip ke muka.

            “Alah, kau sekumpulan dengan si Setan Merah itu pun kau yang jadi ketua. Mudah-mudah aje dia di bawah telunjuk kau nanti. Tapi aku, silap-silap tak jalan projek video itu. Semua dapat markah telur ayam. Silap-silap hari bulan jugak, kena repeat paper nanti. Kau tahu ajelah si mamat poyo tu. Bukan dia tahu apa, berlagak aje lebih. Sah-sah kami ahli kumpulan yang dikerah setengah mati nanti.” Jeff menambah rungutan putus harapannya.

            “Betul jugak kata kau, aku ketua. Inilah peluang aku nak kenakan si minah kacuk itu cukup-cukup.” Melirik kembali senyuman nakal di bibir Indra.

             "Jom lah kita masuk ke kelas semula, takut dah lama Cik Sherry menunggu kita," ajak Juliana selepas sekilas menjeling jam di tangannya, tak mahu waktu subjek seterusnya dilewati lebih lama.

              Ameera membuntuti Juliana menapak ke kelas mereka semula. Begitu juga Indra dan Jeff, mengatur langkah mahu masuk ke kelas semula.

             Tak semena-semena keempat-empat remaja itu bertembung di muka pintu.

            “Ops! Biar ketua yang masuk dulu, ya.” Indra pantas mencapai tombol pintu, cuba mendahului dan sengaja mahu mengapikan Ameera.

            “Ketualah sangat!” Ameera yang merah padam mukanya membalas bersama cebikan.

            Keluhan dan cebikan Ameera itu pantas mengundang letusan tawa trademark Putra  yang menjengkelkan itu. Makin menyirap darah Ameera dibuatnya. Juliana yang sudah lali melihat situasi itu mengeleng-geleng sedikit kepalanya bersama senyuman di bibirnya. Senyuman itu sebenarnya ditujukan kepada Jeff. Namun, Jeff yang canggung  segera melarikan pandangannya.

            Sesi kuliah seterusnya bermula sehingga sesi itu berakhir pada pukul 4.30 petang, setengah jam lebih awal dari waktu sepatutnya. Sebabnya ada permintaan daripada pelajar mahu balik lebih awal kerana pada sebelah malam ada di antara kalangan mereka terlibat dengan latihan sukan sempena karnival sukan antara fakulti yang bakal berlangsung hujung bulan nanti.

           Tamat sahaja sesi kuliah itu, semua pelajar beransur-ansur pulang ke kediaman masing-masing. Namun, Indra tidak menyertai Jeff kerana dia perlu ke pejabat pentadbiran universiti untuk menyelesaikan kompaun denda memarkir vespanya di tempat larangan dua hari yang lalu.

            Ketika dia dalam perjalanan ke pejabat pengurusan universiti, tak semena dia melintasi Ameera yang sedang berbual dengan Reza di satu sudut kampus berhampiran sebuah mesin air automatik. Kelihatan wajah kedua-duanya tegang. Fikiran Indra dapat mengagak punca ketegangan itu. Pastinya pasal Reza bertepuk tampar dengan Irma sewaktu kelas Dr. Romi tadi. Cemburu dengan perempuan sememangnya tak boleh dipisahkan. Tapi cemburu lelaki lagi hebat, sampai berbunuhan.

           Beriak senyuman sinis di tubir bibir Indra melihat situasi itu. Lantas dia buat-buat ingin membeli minuman. Di dalam kotak fikirnya sudah merencana sesuatu.

          “Senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, terasa dunia ini, ana yang punya… Mesti pandai pembohong, mesti pandai temberang, tetapi jangan sampai, hai pecah tembelang…” Sambil bersiul Indra berlagu karya agung seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sengaja dia mahu mengapikan lagi kedua-dua pasangan itu, terutamanya Reza.

           Ternyata perliannya itu difahami oleh Reza dan Ameera. Apa lagi, wajah kedua-duanya menjadi semakin merah bak udang kena bakar. Bengang sebengang-bengangnya. Paling ketara pastilah Reza kerana dia lebih berasa malu, juga risau temberang playboynya pecah. Kejantanannya kembali rasa tercabar. Dia menggenggam buku limanya, berbaur marah dan dendam. Ameera sekadar melarikan pandangannya. Tidak sanggup dia melihat wajah sinis Indra yang sudah menang berganda pada hari itu. Bibir bak delima merekahnya mengetap geram.

           Ketika mahu berlalu dari situ, sempat lagi Indra mengangkat nakal keningnya kepada Ameera sewaktu anak mata mereka sekilas menyabung. Makin merah wajah Ameera yang putih melepak itu jadinya. Sengaja Indra mahu mengapikannya lagi. Makin galak dan sinis juga wajah Indra selepas itu. Reza dan Ameera merenungnya dengan ekor mata yang tajam sehingga dia hilang dari pandangan.

           Setelah selesai urusannya, Indra mengatur langkah pantas menuju ke tempat parkir vespanya. Hari ini dia mengikut peraturan kerana tidak mahu membazir duit lagi membayar denda. Soal duit memang dia sangat berkira.

           “Damn!” Entah kali ke berapa sudah seranah itu menelusi antara dua tubirnya pada hari itu. Itulah bahananya kalau sudah terbiasa. Ringan sahaja mulut untuk mengungkap perkataan kesat seperti itu. Saat dia memasukkan gear pertama vespanya, pacuan vespanya itu dirasakan sedikit berat dan seperti payah untuk bergerak. Lalu dia menjenguk ke arah tayar hadapan vespanya.

           “Sial, time macam ini pulaklah kau nak pancit!” sumpahnya lagi. Dia sememang ingin pulang cepat kerana malam nanti dia perlu kembali semula ke kampus Puncak Perdana itu untuk satu perlawanan futsal persahabatan. Bermakna operasi jualan gerai burger mereka malam nanti akan diambil alih oleh pekerja gantian yang diupah oleh Abang Man.

           Lawan pasukan Indra nanti tak lain tak bukan pasukan yang diketuai oleh Reza. Walaupun tujuan perlawanan persahabatan itu diadakan sebagai persediaan Karnival Sukan Kampus yang akan berlangsung hujung bulan nanti, jauh di sudut hatinya lebih kepada mahu mengambil peluang untuk mengenakan Reza secukup-cukupnya. Begitu juga di pihak Reza.  

           Dia menongkat semula vespanya. Tayar hadapan yang tiada angin itu segera diperiksanya untuk mencari punca tayar itu kehilangan angin. Kebiasaannya, kalau berlaku seperti itu pasti ada paku atau besi yang tertucuk pada roda getah itu. Namun, selepas puas dia membelek tayar itu tiada pula tanda-tanda tertucuk sesuatu. Diperiksa pada sumbu tiup pula. Sumbu tiup itu juga dalam keadaan yang baik. Penutupnya pun tertutup ketat.

          “Sial kau Reza!” Pantas dia membuat telahan. Yakin benar dia tidak berserkap jarang kerana sudah selalu Reza dan Amirul menyusahkan hidupnya dengan perbuatan khianat seperti itu. Ikutkan hati barannya, sudah patah riuk Reza dan Amirul dikerjakan. Namun, bila memikirkan Reza sering mendapat perlindungan daripada seorang polis bantuan di kampus itu, dia tidak mahu mencipta masalah yang lain pula. Hukuman yang dikenakan terhadapnya sebelum ini angkara menumbuk muka Reza hingga lebam juga membuatkan dia serik. Dia tidak mahu perkara remeh seperti itu berlanjutan menjadi satu kes jenayah yang membawanya ke balai polis dan sampai ke pengetahuan  keluarganya di kampung. Sesekali dia tidak mahu menyusahkan hati ayahnya yang baru pulih dari kemurungan itu.

          Mahu tak mahu dia harus menolak vespanya ke bengkel di pusat perniagaan Alam Budiman untuk mengisi semula angin tayar itu. Pastinya dia akan bermandi peluh kerana jarak antara kampus ke bengkel itu hampir satu kilometer. Ditambah pula dia harus menolak vespanya itu melalui jalan yang berbukit.

         Ketika mula menyorong vespanya, datang rasa menyesal menyuruh Jeff balik dahulu tadi. Kalau ada rakannya itu, pasti kerja menolak vespanya itu menjadi lebih mudah.

         Selepas 200 meter menolak, dia menghampiri kawasan jalan raya yang sedikit bercerun. Di bahu kiri dan kanan jalan ada tasik kecil yang pada asasnya berfungsi sebagai kawasan tadahan air. Walaupun tak besar, cukup untuk menarik kaki-kaki pancing melontar tali pancing ke dalam tasik itu sesuatu masa. Keadaan muka bumi itu membuatkan hadir sedikit senyuman di bibir Indra. Dapat dia menyimpan kudrat tenaganya buat seketika. Dia melompat ke atas vespanya dan memacu vespanya menuruni jalan bercerun itu. Walaupun vespanya bergerak tak selaju biasa ekoran tayar hadapannya pancit, tapi cukup untuk dia menjimatkan tenaga empat keratnya. Beberapa saat Vespa Super 150 itu membawanya meluncur menuruni bukit. Kemudian dia turun semula untuk kembali  menolak.

          Ketika dia mengerah tenaganya, tanpa disedari sebuah kereta datang menghampiri dari arah belakang. Setiba kereta itu setentang dengan Indra, panduan kereta itu menjadi perlahan.

          PONN!!!

         Terkejut beruk Indra bila bunyi hon itu menyentap masuk ke halwa telinganya. Seraya dia berpaling.

         “Tolak motor ya, bang?” Intonasi yang cukup menyakit hati  tiba-tiba menelusi liang telinganya, ajukan sepotong dialog yang dilafazkan oleh Ajis dalam filem Seniman Bujang Lapok. Suara itu datangnya dari dalam sebuah kereta yang cukup dicam oleh Indra.

         Kereta kompak berwarna putih solid itu kemudian menderu laju semula selepas itu meninggalkannya.

        “Celaka kau Setan Merah!”

        Seranah itu meletus bersama luapan lava putih berbuih dan berkahak yang diludah ke rumput. Rumput yang tak berdosa pula tak pasal-pasal menjadi mangsa.

        “Nasib baik adinda kesayangan kekanda, kalau tak dah lama kekanda humban adinda ke dalam tasik tu!” Indra mengeluh manja, cuba meredakan sedikit rasa berangnya. Satu nafas panjang ditariknya demi menyamankan semula kehangatan hatinya. Kemudian, satu lagi tarikan. Tarikan kali kedua itu sebagai perangsang untuk dia menyambung semula sorongannya. Pastinya dia perlu mengerah lebih kudrat tenaga untuk mendaki bukit seterusnya kerana bukit itu lebih tinggi daripada sebelumnya.

         Keringat kian membasahi bajunya. Di bahagian belakangnya sudah terasa lenjun. Hampir50 meter juga dia mendaki. Setiba di puncak bukit, dia kembali menghela nafas lega. Selepas berjaya melewati bukit itu, dia tidak perlu lagi mengerah tenaga empat keratnya kerana selepas bukit itu permukaan jalan kembali bercerun. Malah cerun kali ini sungguh lanjut sekali. Memanjang sehingga ke persimpangan pusat perniagaan Alam Budiman. Tanpa membuang masa dia melompat sekali lagi ke atas vespanya dan memberi sedikit tanjakan kepada vespanya untuk bergerak lebih laju. Tanpa menekan brek,  vespanya meluncur agak lancar walaupun tak sekata sehingga tiba di persimpangan pusat perniagaan Alam Budiman.

        Vespanya kemudian menyelusuri terus simpang di sebelah kiri jalan itu. Lajakan dan tarikan graviti tidak mampu lagi membawa vespa itu bergerak lebih jauh kerana keadaan tayar hadapannya. Mahu tak mahu Indra perlu turun semula dari vespa itu untuk menolak.

         Kira-kira 20 meter dari simpang itu terletaknya restoran Rahmad Bistro yang sentiasa sendat dengan pengunjung itu. Rata-rata pengujung tetap restoran itu pula ialah dari kalangan pelajar dan pensyarah universitinya. Mengenangkan hal itu, pipinya mula terasa tebal. Hatinya memohon doa, moga-moga tak ramai pengunjung di perut restoran ketika itu. Dia pastinya mahu mengelak dilihat berkeadaan sebegitu.

        Namun, kebimbangannya menjadi nyata. Rupa-rupa kehadirannya di kejiranan itu sudah dinanti oleh sekumpulan pelajar. Seperti sengaja mereka duduk di meja paling tepi dengan jalan. Ketika Indra menghampiri restoran itu dia telah disorak oleh kumpulan pelajar itu. Setiap wajah dalam kumpulan itu cukup dikenalinya dan dua di antaranya tak lain tak bukan ialah musuh ketatnya, termasuk pemandu kereta yang baru mengejeknya sebentar tadi.

       Sial! Tak apa, ada lori ada bas!

       Dalam menahan rasa malu, hatinya menyemat satu dendam.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan