Home Novel Komedi/Romantik Komedi RIVALS
RIVALS
Miko Yan
16/3/2019 00:09:58
67,307
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

TENGAH HARI itu Indra beriringan dengan Jeff ke tempat makan yang di panggil Kandang oleh semua warga UiTM Puncak Perdana. Amir yang baru tiba kerana kelasnya pada hari itu bermula pada pukul 2.00 petang sudah menunggu mereka di situ.

            “Hello loser! Dah lama sampai? Tak lupa kan janji kita malam tadi, siapa kalah dia belanja!” Indra menyapa disusuli dengan hilai tawa trademarknya yang menjengkelkan itu. Hatinya riang bukan kepalang hari itu. Bukan hanya kerana pasukan kegemarannya, Liverpool berjaya menumbangkan pasukan kegemaran Amir, tapi juga kerana perbentangannya di dalam kelas tadi mendapat pujian melambung daripada pensyarah.

            “Belanja aku sekali kan?” sampuk Jeff yang cuba menangguk di air keruh.

            “Pundek kau! Cukup ada seorang serigala jadian di kampus ni! Penyokong Chelsea pergi jauh-jauh!” balas Amir. Indra dan Jeff mendekah tawa. Puas hati mereka dapat menyakat Amir. Lebih-lebih lagi bila ada modal untuk menutup mulut besar Amir.  Cakap besar Amir pasti akan berkurang buat sementara.

            “Itulah kau, aku dah cakap buang masa saja kau sokong Arsenal. Taktikal Arsene Wenger itu dah ketinggalan zaman. Berpuluh tahun dia pegang Arsenal, berapa piala dia dapat? Level Arsenal setiap tahun tangga keempat saja. Silap-silap, di akhir musim nanti terkeluar dari top 4. Mungkin juga tak layak ke Champion League tahun hadapan, ” ulas Jeff cuba untuk menghangatkan lagi Amir yang tersengih bengkek.

            “Tapi taktikal Arsene Wenger boleh pakai sikitlah kalau nak dibandingkan dengan si Jose Mourinho. Si arrogant itu hanya pandai guna satu taktikal saja, parking bas depan pintu gol.” Indra segera menokok tatkala melihat Ameera dan Juliana lalu di hadapan mereka. Nada suaranya ditinggikan, sengaja mahu membangkitkan kemarahan Ameera.

             Seperti juga Indra pagi itu, Ameera hanya sempat menyarung jersi pasukan kegemarannya da ndipadankan dengan jeans. Tak seperti hari-hari biasanya yang sentiasa ranggi bergaya. Maklum sajalah, selain bergelar pelajar universiti, dia juga berjinak-jinak dengan kerjaya model sambilan. Wajah pan-Asia yang dimilikinya banyak memberi peluang kepadanya untuk muncul di dada-dada majalah dan papan iklan di tepi jalan. Di Kampus UiTM Puncak Perdana itu, sudah pastilah dia seorang yang popular. Pasti juga dia menjadi siulan dan jelingan nakal pelajar-pelajar lelaki. Cuma Indra sahaja yang tak tergoda dengannya.

            “Glory Glory Man United, as thereds go marching on on on!” Ameera yang mendengar sindiran Indra itu segera  menyanyikan bait-bait lirik lagu tema pasukan kegemarannya. Lebih-lebih lagi juga pasukan kegemarannya itu menang malam tadi. Melanjutkan lagi keriangannya ekoran kejayaan Manchester United menjulang piala Comunnity Shield minggu sebelumnya.

            “Glory Glory naik lori, lalu terjun lombong!” Indra bingkas bangun dari labuhan punggungnya. Dia dengan penuh sarkastik membalas dengan mengajuk nyanyian Ameera itu dan disusuli dengan tawa trademarknya. Tawanya yang menjengkelkan itu kemudian menjadi makin kuat bila dia melihat Ameera mengetap bibirnya. Jeff dan Amir menambahkan lagi kemarahan Ameera dengan bergendang meja.

            “Woi, minggu lepas Man U dah julang satu piala! Loserpool nood itu apa ada? Bertahun dah tak julang apa-apa!” Bentak Ameera yang tercabar egonya.

            “Alah, piala talang pun nak bising! Kat rumah aku berlambak talang tu, aku boleh bagi free kalau kau nak.”Indra membalas. Makin kuat tawa trademarknya diletuskan. Makin berdekah-dekah juga Jeff dan Amir.

            “Sudahlah Mer, jangan dilayan sangat si Indra itu. Makin kau layan, makin menjadilah dia. Buat dono aje,” pujuk Juliana ketika dua sahabat itu melabuh punggung pada kerusi meja makan di satu sudut. Terpaksa mereka mencari sudut yang lebih jauh agar dapat mengelak daripada provokasi Indra, Jeff dan Amir yang masih galak dengan dekah tawa mereka.

            “Sial punya skinhead! Dahlah dalam kelas tadi dia perlekeh perbentangan aku, tanya macam-macam soalan macam sengaja nak cari salah aku! Tak habis-habis nak menyakitkan hati aku! Makin tambah buat aku hot spicy. Dr. Romi pun satu, tak membantu langsung! Asyik-asyik aku aje yang kena balik. Skinhead sial itu bukan main lagi dia puji! Melambung-lambung! Dia orang tu pasangan gay ke apa?” Ameera melepaskan peluru amarahnya bertubi-tubi.

            “Hisyy, tak baik kau kata Doc macam itu.”

            “Dah baik semacam aje dengan si skin tu, belum kahwin pulak tu, gay lah kan?” Ameera membuat tuduhan liar. Melepas geram betul dia.

           “Tak semuanya lelaki yang belum kahwin itu gay. Maybe Doc belum ketemu jodoh yang cocok. Kita pun nanti mana tahu jugak seperti Doc, lambat ketemu jodoh, tak semestinya kita lesbian kan?” Juliana terus berusaha menenangkan Ameera.

          “Ah, memang dasar sial tu, sial lah jugak!” Ameera makin rasa tercabar bila Juliana seperti mahu menyebelahi Indra.

          “Hah! Itulah puncanya!" tegas Juliana.

          "Punca apa pulak?" Ameera tidak mengerti maksud Juliana.

          "Ya lah, kau selalu caci dia skinhead sial! Skinhead sial! Hari-hari caci kata yang sama, lama-lama jadi doa. Sebab itu si Indra itu asyik berperangai macam itu, sebab kau yang doakannya begitu. Cuba tukar kata panggilan kau itu kepada yang lebih elok. Insha Allah berubah dan lembutlah hati dia nanti.” Juliana cuba menjernihkan kekeruhan fikiran Ameera.

            “Dah memang tak ada perkataan yang elok untuk dia, kata itulah selayak untuk dia!” Ameera masih membuak rasa geramnya.

            “Banyak lagi kata panggilan elok yang kita boleh pakai.” Juliana tersenyum. Sedikit senget, seperti ada makna.

            “Apa dia?” Soal Ameera sambal menjenggil biji matanya.

            “Kau boleh saja panggil dia abang botak sayang ke, abang macho ke,” Juliana tidak dapat meneruskan kata-katanya itu kerana terasa lucu sendiri.

            “Banyaklah kau sayang! Macho tang mana dia itu? Macam budak liar adalah!” Gerutu Ameera. Hatinya berubah memijar kepada Juliana pula. Sakit juga hatinya bila melihat Juliana yang tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia sendiri tidak faham mengapa Juliana sering berpihak kepada Indra setiap kali meletus perang antara mereka.

            “Eh, kau tak nampak ke kemachoanya? Walaupun dia selalu menggayakan budaya skinhead, tapi nampak kemas apa. Kau lihat dia dengan rasa geram, mana nak nampak kemachoannya, kekacakannya, kekemasannya. Cuba kau lihat dengan tulus hati kau, pasti kau akan nampak ketampanannnya. Aku rasa kalau dia berambut ala-ala Taylor Lautner dalam filem Twilight itu, atau BradPitt dalam filem Troy, pasti ramai awek yang datang kelilingnya. Raut wajahnya pun dah ada iras-iras.”Juliana memberi hujah-hujahnya dengan bersungguh.

            “Ada iras? Jauh benar persamaan yang kau buat tu. Tapi, kalau macam Gollum dalam filem Lord Of The Rings itu betul sejibik dengan dia,” tingkah Ameera. Kali ini kelat di bibirnya berubah. Ada seulas senyuman yang terukir di dua tubir itu. Seperti dia terhibur dengan kata-katanya sendiri. Juliana turut mengukir senyum. Senang hatinya melihat Ameera kembali tersenyum.

            “Hah, macam itulah! Mekarkan lagi senyum tu, barulah naik kembali seri muka Cik Ameera Natasha Moore kita bila senyum begitu, macam Julia Roberts dalam filem Pretty Woman,” puji Juliana.

            “Habis itu tadi kau lihat aku macam siapa?”Soal Ameera, mahu juga dia tahu sudut pandangan Juliana tentang dirinya bila dalam keadaan marah.

            “Tadi macam Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah,” balas Juliana dangan derai tawa. Ameera ikut ketawa. Pantas keriangan mereka itu dijeling dari jauh oleh Indra dan mulalah dating lagi niat untuk menyakitkan hati Ameera. Pantang dia melihat Ameera bergelak tawa.

 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan