Home Novel Keluarga APA DOSANYA?
APA DOSANYA?
Asmah Hashim
2/12/2018 15:04:43
58,035
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2



Biarlah Adira membencinya, asalkan peristiwa malang itu tidak diketahui oleh anak sulongnya.  Allah! Ujian yang terlalu berat bagiku, detik hati kecil Maria, tangisannya bergema di dalam hati.Jeritan hanya dia yang mendengarnya. Terlalu parah, namun dia pasrah. Biarlah seberat Gunung Kinabalu yang menghempap tubuhnya, rahsia tetapakan menjadi rahsia. 

Bagaimana mungkin dia melupakan kejadian awal pagi itu yang telah meragut maruah dirinya.  Sebagai seorang janda, belaian lelaki tidak lagi diperlukan.  Pinangan yang ditolak rupanya menyimpan dendam kesumat yang akhirnya mencemarkan maruah dirinya.  Maruah diri yang dijaga setelah kematian suaminya bertahun-tahun yang lalu. Kelahiran Ain mengundang bencana dan petaka dalam hidupnya.  Kata-kata nista dan hinaan orang kampung begitu menghiris hatinya. Dia anak beranak dipulaukan.  Tidak ada seorang pun yang sudi mengambil tahu.  Ceritanya dianggap hanya rekaan seorang janda yang kehausan.  Allah!Kejam sungguh tuduhan mereka.

Apakah dia buta hati, tidak kenal dosa dan pahala? Kalau sudah menggila nafsu berahi, dia rela bernikah sahaja.  Tetapi, itu bukan tuntutan nafsu kalau bukan kerana dipaksa oleh seorang lelaki durjana yang tergamak memusnahkan hidupnya.Lahirlah Ain yang tidak berdosa.  Anak luar nikah yang dibenci dan tidak diterima akan kelahirannya. Maafkan aku wahai anak! Bisik hati kecil Maria dalam sendu yang tidak sudah.  Tidak rela mengaku Ain anaknya.  Tidak sanggup memandang wajah kecil itu.Maria tahu, anak itu tidak berdosa. Namun, hatinya begitu keras tidak mampu menerima kehadiran Ain.  Hendak dibuang terasa kasihan.  Apa dosa Ain?

Lima tahun Ain hidup tanpa kasih sayang seorang ibu, biarpun ibu itu sentiasa ada di hadapannya.  Sakit demam Ain hanya Adirayang menjaga.  Tidur Ain Bersama Adira, mandi Ain, Adira segala-galanya.  Maria membuka mulut, gumpalan kain segera dikeluarkan setelah tangisannya semakin dapat ditahan. Matanya berasa bengkak dan perit. Sampai bila harus dia hidup begini? Hidup tertekan apatah lagi melihat wajah Ain, semakin rimas dirasakannya.

Kejamkah dia?  Ya! Benar, bukan dosa Ain, bukan salah Ain. Tetapi, dia tetap tidak boleh terima kehadiran anak itu.  Hendak hantar ke mana?  Siapa yang sudi menjaganya?  Rumah anak-anak yatim?  Ah! Adira tentu melarang.  Maria dapat melihat kecintaan yang teramat sangat Adira terhadap adiknya itu. Itu bukan adik Adira!  Ain bukan sesiapa.  Ain bukan adik Adira!

Lelaki durjana itu sebaiknya mati!  Berkerut wajah Maria.  Air matanya tumpah lagi.  Dia menarik-narik cadar yang telah usang warnanya itu.  Mengelodak jiwanya  Kalaulah masa boleh beralih,sudah pasti digodok sahaja lelaki itu dengan pisau menoreh getah. Biar mati!Mati! Mati! Jeritnya dalam hati. 

Sejakitu dia selalu berhati-hati. Parang panjang sering dibawa sebagai senjata untuk mempertahankan diri.  Tidak kira siapa yang menerpa ke arahnya. Akan dicincang sehingga lumat. Tidak dibiarkan dirinya menjadi mangsa kebuasan lelaki jahanam yang hanya tahu memusnahkan!  Dia sudah tidak peduli.  Maruah diri akan dipertahankan biarpun nyawa menjadi galang gantinya. Peduli dengan kata nista, pergi mampus dengan penghinaan.  Apa yang berlaku sekarang, sudah cukupmemeritkan.  Pisang tidak akan berbuah dua kali.  Tubuhnya tidak akan dibiarkan disentuh oleh tangan-tangan jahat yang durjana, kejam dan menjijikkan!  Ah! Kenapa semua ini berlaku kepada dirinya? 

            Tangisannya berlagu sayu,sempit dadanya.  Terasa sesak nafasnya.  Laju degupan jantungnya.  Tubuhnya bergetar menahan kemarahan.  Masih terbayang akan wajah setan yang bertopengkan manusia itu.  Meragut maruah dirinya dengan rakus, tanpa berperikemanusian biarpun  dia merayu minta dilepaskan.  Janda miskin yang teraniaya, itulah dirinya.  Hembusan nafasnya kasar.  Berapi-api dadanya menahan amarah yang amat sangat.  Kalaulah lelaki itu berada di hadapannya sekarang, sudah pasti digodoknya dengan parang panjang. Biar mampus!Mampus! Jerit Maria dalam hati. 

Dia memeluk lutut, menangis dan  meraung perlahan, biarlah derita itu ditanggungnya sendiri.  Keluarga membuangnya kerana berasakan dia perempuan sundal yang menjalang kerana tiada suami.  Kejamnya tuduhan mereka!  Tidak kenalkah mereka dengan darah daging sendiri? Apakah dia manusia asing yang tidak perlu diberi simpati?  Adik beradik menjauhkan diri sebaik sahaja Ain lahir ke dunia ini. Langsung tidak dipedulilan oleh mereka.  Rayuan dan ceritanya hanya dianggap sandiwara untuk menutup kejahilan diri.  Ah! Dia bukan seperti itu.  Dia masih manusia serupa yang punya Tuhan, ada hati, ada maruah diri. 

Maria mengetap bibir.  Jari jemari dikepal sekuat hati.  Wajah lelaki itu bermain-main dalam fikirannya.  Jantan tak guna! Jerit suara dalam hatinya. Aku benci kau! Aku benci kau! Ulang suara di hati berkali-kali. Ain! Kenapa kau tak mati saja! Semakin kuat suara itu bergema di hati Maria.

Tidak lagi kedengaran suara Ain menangis. Sunyi sepi.  Katil besi yang semakin dimamah usia berkeriuk bunyinya apabila Maria bergerak.  Daun pintu bilik yang tertutup rapat dibuka luas, terasa lemas berada di dalam bilik yang hanya mampu memuatkan sebuah katil dan almari baju dua pintu. Segala-galanya usang di dalam rumah itu.  Maria sebak. Sampai bila dia harus hidup begini? Keluhannya tidak terjawab.  Akhirnya Maria melelapkan mata. Letih memikirkan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

 

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.