Pukul
5-30 petang, semua staff bersiap
untuk meninggalkan pejabat. Ada yang akan terus pulang ke rumah, ada pula yang
mempunyai agenda tersendiri samada dengan keluarga atau rakan-rakan. Tidak
kurang juga yang tidak mampu mengelak tugas, terpaksa meneruskan assignmentyang
diberi demi mengejar deadline yang mendekat.
Intan
masih di mejanya. Masih banyak yang perlu disiapkan.
“Belum
siap ke Puan Intan oi!” Tegur Nora yang sudah menyandang begnya.
“Tinggal
sikit saja lagi. Mungkin sekejap lagi siaplah.”
“Kalau
macam tu, aku balik dululah. Ada kawan aku tunggu di bawah tu,”
“Kawan
lelaki ke kawan perempuan?” Tanya Intan tanpa menoleh.
“Aku mana
ada kawan lelaki. Malas! Lelaki semuanya penipu dan pembohong!”
“Hai..tak
sunyi ke hidup sendirian…?” Intan cuba berjenaka.
“Lebih
baik hidup sendirian dari menumpang kasih suami orang ,” balas Nora dengan
ketawa.Intan terdiam. Hajatnya untuk mengenakan Nora tidak
tercapai. Sebaliknya dia pula yang terkena. Sindiran Nora itu membuatkan dia
terdiam dan menyengih sambil melambaikan tangan. Dalam senyum dia keliru.
Benarkah hidup ini sepi tanpa lelaki? Atau kehadiran lelaki hanya mengundang
bala?
Setengah jam
kemudian, ‘POLIGAMI- KELOPAK KASIH YANG TERSIAT ’ sudah siap secara
keseluruhannya. Intan terus on-linekan artikel itu kepada Encik Helmi.
Dia menarik nafas lega. Harap-harap tidak ada yang tersilap lagi. Dan
harap-harap skop itu mampu menarik minat pembaca.
Usai
semuanya. Intan berkemas untuk pulang. Dia membelek jam di tangannya, pukul
6-45 petang. Dia lalu mencapai beg dan berjalan keluar dari pejabat menuju ke
kereta dengan tenang. Kemudian dia
memandu keretanya dengan penuh hati-hati. Kuala Lumpur dan kesesakannya memang amat
membosankan. Kebosanan itu kalau tidak mampu dikawal akan menjadi punca tekanan
yang amat kuat. Dan tekanan itu pula akan menjadi sebuah kengerian kepada
penduduk bandar yang hidup mengejar masa.
Lagu-lagu
nyanyian penyanyi Alleycats menemaninya sepanjang perjalanan itu. Dia
menghayati lagu-lagu yang irama dan liriknya cukup menyentuh rasa itu.
Sekali-sekala dia ikut menyanyi.
Sekuntum
mawar merah sebuah puisi
Untuk
gadis pilihan
Oo..o..o…
Telefon berdering. Intan mengecilkan volume kaset
yang terpasang. Dia mencapai telefon bimbitnya dan melihat nombor yang tertera.
Kemudian menekan butang ‘yes’ untuk menjawab panggilan. Suara Jasmin
bergema di hujung telinga.
“Hello
Intan, aku ni. Kau di mana ni?”
“On
the way balik rumah.Kau kat mana?”
“Aku di KLCC
ni. Boring sangat. Boleh aku jumpa kau sekejap?”
“Datanglah
ke rumah aku,” jawab Intan.
“Alah…malaslah.
Kau datanglah ke sini Intan. Kita makan malam bersama,”
“Minta
maaflah Min, aku tak boleh ke sana.Tak
ada izin untuk keluar rumah hari ini.”
“Telefonlah
datuk kau tu. Minta izin,” rengek Jasmin bersungguh.
“Sebenarnya
aku tak ada mood nak keluar hari ini. Aku penat. Seharian aku tak rehat
langsung. Kalau kau nak jumpa aku, datanglah ke rumah. Kau tahulah rumah aku
bukannya ada sesiapa. Kita boleh melepak sampai pagi. Dapat sembang sambil
baring-baring. Kalau kau nak tidur rumah aku pun tak boleh, tak ada masalah,”
“Nanti
aku fikirkan dulu. I’ll call you back, bye!”
Talian
putus. Intan senyum. Jasmin, seorang wanita korporat yang berjaya dan mampu
menyaingi lelaki dalam dunia perniagaan. Namun dalam meniti kehidupan sebagai
wanita, Jasmin satu kapal dengannya. Mereka berdua berada di dunia yang sama,
dunia poligami!
Betul
kata Nora. Kalau ditubuhkan persatuan poligami seMalaysia, dia tentu akan
dilantik menjadi pengerusinya. Pertama, kerana dia sendiri melalui pengalaman
itu. Kedua, kerana kebanyakan teman-teman di sekelilingnya adalah orang-orang
yang terlibat dengan poligami. Dia sering dijadikan pakar rujuk untuk ketika
mereka dilanda masalah dalam rumah tangga. Intan sendiri hairan. Kenapa
rakan-rakan yang mempunyai masalah dalam rumah tangga mencarinya sebagai penasihat.
Baik yang sudah dimadukan atau yang belum dimadukan, semua mencarinya.
Seolah-olah dia pandai sangat memberi nasihat.
Beberapa
bulan lepas, Kak Zaiton jiran lamanya semasa di Kampung Baru menelefon dengan
suara cemas merayu. Wanita yang sebaya dengan kakak sulungnya di kampung, minta
Intan datang segera.Mustahak katanya. Dengan tergesa Intan pergi ke rumah Kak
Zaiton.Sampai di sana, dia tidak disambut dengan tawa riang
macam selalu.Sebaliknya oleh raungan dan tangisan wanita itu.
“Abang kamu
Intan….”
“Kenapa
dengan Abang Mud?”
“Dia sudah
berubah laku. Dari muda tidak pernah buat hal.Dah tua-tua
ni baru nak menggatal. Lelaki, macam mana kita jaga dan belai pun tetap akan
buat perangai,”
“Apa yang
sebenarnya berlaku kak?”
“Dia
berkepit dengan perempuan Indon. Siang malam tak ingat rumah tangga. Bila akak
tanya, dia melenting marah. Anak-anak tak boleh tersilap sikit, dimaki hamun
sesuka hati.Dulu dia tak macam ni Intan. Dia jarang berkasar dengan
kami,”
“Kak,
sabarlah. Mungkin itu semua fitnah orang…” pujuk Intan. Dia tidak mahu Kak
Zaiton cepat melatah. Dalam dunia ada bermacam cara orang mahu menyakiti hati
orang lain. Umpat keji dan kutuk mengutuk dan laga melaga seperti perkara yang
biasa saja dalam masyarakat hari ini.
“Bukan
fitnah lagi Intan. Akak sendiri dah pergi jumpa perempuan tu. Dia dah mengaku.
Mereka sedang merancang nak kahwin dalam masa terdekat ini. Ya Allah! Intan…tak sedar diri betul orang tua tu…!”
Kak Zaiton mengesat air matanya yang
berderai laju.
“Tolonglah
Intan…tolonglah….apa yang akak nak buat ni.?” Rayu Kak Zaiton. Intan mengeluh
lemah. Apakah yang mampu ditolongnya. Siapalah dia dalam menangani masalah
rumah tangga orang lain.
“Apa yang
boleh saya tolong kak?”
“Tolonglah
nasihatkan abang kamu tu.Dia tu dah tua Intan.Beberapa
bulan lagi nak pencen. Perempuan tu cuma inginkan duit dia saja. Sekarang ni
pun, dia dah pandai keluarkan duit simpanan di bank tanpa pengetahuan akak.
Itulah simpanan kami untuk hari tua Intan. Akak takut dia lupa diri,”
“Siapalah
saya ni nak nasihatkan dia kak.Silap-silap dia kata saya ni memandai-mandai pula. Suka
campur urusan orang lain. Saya ni orang luar. Lebih elok kalau akak berbincang
dengan keluarga abang Mud dan keluarga akak. Mungkin mereka lebih berhak untuk
menegur. Dalam masa yang sama, akak kena banyak sabar. Kalau akak menangis
macam ni, tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya akan menambahkan lagi
masalah yang ada. Akak akan jatuh sakit nanti. Tenangkan hati kak. Banyakkan
berdoa dan bersembahyang. Minta pada Allah agar diberikan petunjuk, ” pujuk
Intan. Kak Zaiton semakin histeria dengan kata-kata Intan itu. Dia menangis
mengongoi-ngongoi macam anak kecil kehilangan ibu.
Begitulah
nasib wanita.Tangisan
adalah teman akrab. Air mata adalah rakan karib. Setiap kali berdepan dengan
masalah, tangisan yang tiba dulu sebelum yang lainnya. Namun, tangisan itu
kadang-kadang tidak mampu menyekat hajat
yang sudah melekat di hati suami. Kalau mereka kata nak kahwin, menangis macam
mana pun suami tetap nekad. Kalau tidak
secara terang, dia akan buat secara gelap. Mereka akan bernikah secara senyap-senyap.
Lepas itu bermulalah episod ‘bohong sunat’ yang berpanjangan.
Hati
lelaki bernama suami tidak sama dengan hati wanita bernama isteri.
Begitulah
apa yang terjadi kepada Kak Zaiton dan Abang Mud. Wanita yang setia susah
senang bersama dari muda hingga ke tua itu, akhirnya dimadukan juga. Seminggu
Kak Zaiton terlantar di hospital kerana terkejut. Kurus kering badannya kerana
melayan derita hati. Namun, Abang Mud yang baru menikah itu terus ketawa
bahagia dengan isteri barunya seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Berseri
wajahnya bersama semangat muda. Ibarat kambing tua yang baru mendapat rumput
muda, hilang semua sakit giginya!
Kini
airmata Kak Zaiton dah kering.Dia dah tak menangis lagi. Sebaliknya dia mencari
kekuatan dirinya sendiri. Intan yang syorkan dia menghadiri sessi kaunseling
yang dianjurkan oleh sebuah badan pertubuhan wanita.
“Akak tak
mahu menangis lagi. Buat apa kita menangis dan merintih sedangkan mereka
bahagia dengan hilai ketawa. Akak kurus kering, mereka gemok gedempol. Sekarang
akak nak mulakan hidup baru dengan anak cucu. Abang Mud…biarlah dia.
Sekurang-kurangnya ada orang baru yang menjaga makan minumnya. Dapatlah akak
menziarahi anak-anak dan tinggal lama sikit dengan mereka,”
“Baguslah
macam tu kak.Jangan
akhiri hidup ini dengan airmata. Kita masih ada jalan yang panjang sementara
menanti hari mati. Ibarat kata orang, jangan mati sebelum mati. Bagaimanapun,
akak masih isteri Abang Mud. Akak kena minta izin walau ke mana akak nak pergi.
Hukum tetap hukum kak,”
“Itu
akak tahu. Akak dah cakap dengan dia. Dia kata, akak boleh pergi ke mana yang
akak suka asal akak tidak menyalahi undang-undang dan hukum. Sebenarnya dia
lagi suka kalau akak tak ada Intan. Senang dia nak duduk di sana siang malam di
sana tanpa perlu fikirkan akak…”
Itulah
sekelumit peristiwa yang sering berlaku kepada wanita. Intan juga wanita. Jadi
dia faham perasaan seorang wanita lain. Dia faham perasaan Datin Rosnah ketika
Datuk Amar Kamarul mengambil keputusan untuk mengahwininya. Dia dapat rasakan
sesak nafas dan kencangnya jantung Datin Rosnah ketika itu. Tidak mustahil
sampai kini namanya menjadi racun kepada Datin Rosnah dan keluarganya.
Dia juga
dapat rasakan keperitan sakitnya bila hak kita diambil orang. Dia sudah
merasakannya ketika Datuk Amar mengambil keputusan menambah bilangan yang sedia
ada. Dari satu jadi dua. Dan dari dua kini jadi tiga….Dia merasakannya.
Betulkah
kata orang, musnahnya seorang wanita dek wanita juga? Dan betulkah wanita yang
bermadu itu musnah hidupnya? Entahlah. Lain orang lain pendapatnya. Bagi Intan,
dia rasa wanita itu bukan musnah kerana bermadu. Musnahnya wanita itu kerana
sikapnya sendiri. Sikap yang negatif terhadap kehidupan dan pemikiran yang
pesimis terhadap masa depan. Bulan yang terang sekali pun, kalau dirasakan
gelap akan gelaplah ia. Dia menganggap setiap rasa dan kata-kata yang berdetik di
dalam hati itu adalah doa. Kalau kita asyik memikirkan derita, maka deritalah
kita selamanya. Semuanya terletak pada persepsi sendiri. Orang lain tidak akan
mampu menolong kita selain kita sendiri.
“Jadi kau
mahu wanita itu sentiasa senyum walaupun suaminya mengepit perempuan lain? Kau
mahu mereka ketawa walaupun suami sudah membelah kasih?”
“Senyum
bukan semestinya kita merelakan. Tapi lebih baik senyum daripada meraung-raung.
Kerana itu hanya akan menjatuhkan martabat kita sebagai wanita. Apa kata kalau
kita berbincang dengan penuh toleransi dan cuba memahami keadaan dan mengkaji
sebab ianya berlaku. Bukankah baik kalau kita tidak meletakkan semua kesalahan
kepada orang lain. Kadang-kadang kaum kita juga ada silapnya. Dan kesilapan itu
memberi lorong kepada suami untuk mencari cinta baru,” kata Intan perlahan.
“Aku kurang
faham dengan cara pemikiran kau Intan. Terlalu sabar dan terlalu hambar..” Itu
kata Nora. Mungkin kenyataan Nora itu benar. Tapi itulah dirinya. Apa yang
penting baginya ialah dia tidak melanggar hukum Allah mengenai poligami dan
telah menjalankan hak dan tanggung jawab yang terbaik sebagai isteri. Berhubung
dengan hal ini Allah telah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang maksudnya
: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ( Allah ) ialah Dia menciptakan untuk
kamu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan mesra tenteram kepadanya dan
dijadikan antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian
itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,”