Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,479
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 7

Dia sudah berkemas diri untuk ke mahkamah. Selepas merehatkan minda dan fizikal dengan tidur nyenyak sepanjang malam, seawal jam 8.15 pagi itu dia mengatur langkah, cekal sungguh.    Perbicaraan di hadapan hakim buat kali ketiga untuk sebutan kes pengesahan lafaz talak yang dilakukan seorang suami kepada isterinya dalam keadaan marah. Isteri memfailkan  pengesahan perceraian tetapi tidak mendapat kerjasama baik dari suami.  Telah tiga kali perbicaraan dijalankan, suami   tidak juga bersedia  melerai  keserabutan.  Mengeluh dia  sendiri. Jika mementingkan keuntungan, dia lebih gemar kes begitu diperpanjangkan kerana setiap kali sebutan kes, anak guamnya perlu membayar.  Tetapi itu bukan prinsibnya, dia mahu membantu seadanya dan khidmatnya dibayar setimpal. Fail sederhana tebal di sisinya, dikerling.  Sengaja dibawa pulang kelengkapan itu kerana dia akan terus ke mahkamah melakukan persediaan mental dan fizikal sebelum sebutan kes.

Teringat dia perbualan bersama defendan yang menghubungi pejabatnya kelmarin sebaik surat saman memerintahnya hadir ke mahkamah untuk sebutan kes sampai ke tangannya.  Lelaki yang tidak kurang terpelajarnya itu dengan angkuh mencabar undang-undang.

“Kalau saya tak datang, apa yang puan lowyer boleh buat?”

“Saya berharap tuan hadir untuk menyelesai kemelut rumah tangga tuan.”

“Rumah tangga saya biar saya selesaikan.  Puan lawyer selesaikan kes lain yang berlambak di mahkamah.  Kes rompak, ragut, bunuh bertahun-tahun tak selesai, masalah rumah tangga orang yang disibukkan.”

Mutiara  tidak mahu melatah, terus cekal dengan prinsibnya, tidak akan bertikam lidah di luar mahkamah, menggeleng dia perlahan.  Kesal kebodohan lelaki terpelajar itu yang mencampur-adukkan kes sivil dan syariah.

 “Begini tuan, Puan Jasmin selaku plaintif sudah melantik saya selaku peguam untuk mendengar sebutan semula kes itu esok.  Oleh itu saya bertanggung jawab memerintahkan tuan hadir.”

“Perdengarkan saja pada dia.  Dia yang beria-iakan?”

“Tapi tuan wajib hadir untuk menyelesai.  Kalau kali ini tuan tidak muncul juga, kes ini akan bertangguh lagi.”

“Biar dia bertangguh seratus tahun. Ada aku kisah?”

“Jangan begitu tuan.  Nikah tuan dan isteri secara sah, persetujuan bersama. Apabila berlaku pertelingkahan, eloklah diselesai dengan persetujuan bersama juga.”

“Kalau saya tak nak hadir, apa mahkamah boleh buat?”

“Waran tangkap akan dikeluarkan.”

Tawa lelaki itu sungguh menyakitkan namun sebagai peguam yang sudah tebal ilmu dan pengalamannya, tidak mudah dia melatah. Beristighfar lebih baik dari mengikut bisikan syaitan. Itu pujuknya sendiri.

“Tuan di mana sekarang?”

Pertanyaannya langsung tidak dijawab, hanya terus tertawa dan mematikan panggilan.  Mengeluh Mutiara sendiri. Aku sendiri boleh jadi gila kalau semangat langsung tak kuat.  Senyum pula dia seraya menggeleng perlahan.

Plaintif  sudah dihubungi sebelumnya, mahu memastikan sama ada dapat mengesan di mana suaminya berada, Mutiara bercadang akan menemuinya sendiri, melakukan rundingan damai dan memujuknya hadir ke mahkamah.  Namun jawapan wanita itu tetap juga mengecewakan.

“Saya tak tahu di mana dia berada.  Dia sudah berhenti kerja di tempat lama dan rumah isteri barunya lengang tidak berpenghuni.” 

“Ya saya juga sudah ke alamat surat menyuratnya, tapi rumah berkunci.” 

Meski tipis untuk menyelesaikan kes dengan sekali lagi perbicaraan, namun Mutiara masih menaruh harapan defendan  akan muncul di mahkamah sebelum sebutan semula jam 10.30 pagi nanti.  Sekiranya defendan  masih gagal, kemungkinan hakim tidak akan menangguhkan lagi kes itu, sebaliknya akan meminta anak guamnya menutup kes dan memfailkan  tuntutan yang baharu.  Itu perlu dijelaskan kepada Puan Jasmin sebelum masuk ke mahkamah nanti agar wanita itu bersedia dengan mental yang kuat.    

Sedang giat membina kekuatan sendiri untuk diri sendiri, telefon bimbit di dalam beg sandang kecilnya bernada panggilan.  Segera dikeluarkan sambil terus melangkah menuju ke kereta.  Hanya sekilas dilihat skrin telefon bimbit, senyum berbunga.  Salam diberi, disambut Neor di kejauhan.  Segar suaranya.  

“Masih kat rumah atau sudah bergerak ke tempat kerja?”  itu soalan pertama Neor.

“Nak buka pintu kereta dah ni.”  Jujur benar dia, telus dan berasa mahu dimanjakan suara.

“Selamat jalan, jaga diri baik-baik.  Petang nanti saya call lagi.”  Hanya itu pesanannya, terlalu ringkas, kosong, tetapi berjaya membuat Mutiara senyum sendiri.  Semangat kian berbunga.

Sebelum muncul Neor dalam hidupnya, belum pernah dia merasakan apa yang dirasanya tika itu.  Padanya kerjaya dan keluarga sudah mencukupi dan sudah saling melengkapi.  Sering Ezeti mengemuka persoalan, sampai bila mereka akan terus meminggir dari meletak lelaki di dalam hidup mereka.  Mutiara akan hanya mentertawakan, tidak perlu lelaki katanya dalam senyum mulus.

“Tak nak kahwin?”

“Untuk apa berkahwin kalau hanya untuk dizalimi? Untuk disakiti?”

“Terlalu keras persepsi engkau pada  kaum Adam.”

“Belum ada lelaki yang benar-benar ikhlas mendampingi pasangannya.  Tidak ada yang benar-benar tulus menyayangi isterinya.”

“Kejam sungguh tuduhan tu.”  Masih berbau gurauan.

“Kejam lagi perbuatan lelaki pada kaum yang lemah.”

So, engkau tak nak mencari cinta?”

Dia hanya menggeleng.  Langsung tidak berminat katanya. 

“Kita boleh hidup tanpa lelaki, kenapa mesti kita mencari susah?”

Ezeti mentertawakan.  Akhirnya mengangguk juga.

“Dunia akan aman tanpa campur tangan kaum lelaki.”

“Ya betul, terutama lelaki-lelaki seperti Tuan Jaafar.” Tertawa meledak lagi, Mutiara mengerling, marah senda Ezeti yang keterlaluan itu.  Ezeti tidak memperduli, terus juga dengan rentak tawa biasanya.

 

“DEFENDAN gagal ditemui, Yang Arif.  Tempat kerja lamanya dia sudah berhenti, rumah tempat tinggalnya berkunci.  Tidak pernah ada maklumbalas setiap kali orang kita ke sana.”

Hakim lantas memandang Puan Jasmin sejurus mendengar penjelasan Mutiara.  

Prosiding ini tidak dapat diteruskan jika defendan  tidak  hadir, peguamnya juga tidak dikirim ke sini.  Jadi mahkamah menyarankan puan menutup kes pengesahan lafas cerai yang puan failkan setahun dulu.  Buka fail baru dengan tuntutan baru.”

Puan Jasmin hanya berdiri kaku, wajah tegas, bengis hakim di hadapannya ditatap.  Dia sedikit mendongak kerana kedudukan hakim sedikit tinggi dari tempat mereka berdiri. Mahu dia menyanggah, menolak perintah itu, mahu dirinya mendapat pembelaan sewajarnya namun mulut terus berkunci, mengeras sudah lidahnya. Hanya kelipan keraguan dibaca hakim yang terkenal bijak sana. Semua di kamar itu bagaikan dapat merasai apa yang sedang dirasainya.  Suasana yang sentiasa sunyi dan dingin itu kekal begitu, membangkitkan pelbagai rasa bukan sahaja pada  wanita yang sedang berdiri di tempatnya berhadapan hakim tetapi yang lain-lain juga yang sedang menunggu kesnya dibicarakan.

“Puan faham maksud saya?”

Puan Jasmin menggeleng perlahan dalam tunduknya.

“Puan faham?”  Hakim terus menekan, sudah berulang kali diperintahkan untuk tidak memberi sebarang isyarat bisu apabila disoal, tetapi puan Jasmin  sering terlupa.  Gementar hatinya membuat dia sering alpa.

“Saya tak faham.”  Terlalu perlahan.

“Jawab dengan jelas.”  Sudah sedikit lembut intonasinya namun kekal kedengaran tegas di telinga Puan Jasmin.

Puan Jasmin mengulang jawapannya seraya mendongak memandang tepat ke anak mata Hakim.

“Mahkamah tidak boleh meneruskan tuntutan puan sebab suami puan tidak hadir, waran tangkap sudah dikeluarkan tapi si penama gagal ditemui.  Sudah setahun kes puan tertangguh dan ditangguh, puan berulang-alik ke sini mengikut tarikh disediakan mahkamah. Jadi, mahkamah hendak membantu meringankan.  Puan senang, mahkamah juga mudah.”  Tepat wajah Puan Jasmin  ditikamnya.  Puan Jasmin  tidak juga tewas, menunggu terus apa selanjutnya.

“Puan boleh pergi semula ke pejabat mahkamah, tarik balik tuntutan lama, failkan tuntutan baru. Tuntutan fasakh.”

Pantas wajah Mutiara ditoleh Puan Jasmin, kesal dan takut juga.

“Tapi saya ke sini bukan untuk mintak cerai.”  Sudah bergelam suaranya, ditahan terus.

“Mahkamah faham, tapi dalam kes puan ini, puan tak boleh teruskan tuntutan asal, sebab suami puan tidak hadir.  Puan faham   maksud saya?”

Puan Jasmin  tunduk sebaik mengangguk perlahan.

“Puan sudah ditinggalkan dua tahun tanpa nafkah zahir dan batin,  bukan?  Tambah setahun lagi selama sebutan   kes pengesahan lafaz cerai   di mahkamah ini, jadi sudah tiga tahun puan terbiar tanpa identiti yang jelas.”  Terang bergema suara Hakim memberi nasihat yang ternyata perintah.

Sesak   nafas puan Jasmin  semakin membungkam di dada.  Itu jelas dilihat semua termasuk Mutiara dan Hakim. Perlahan dia mengurut dada, Mutiara  memandang, simpati.

“Perlakuan suami puan itu   sudah cukup menguatkan bukti puan diabai dan puan layak menuntut fasakh.”

“Tapi kadang-kadang suami saya menelefon anak saya.  Kadang-kadang mereka berjumpa di luar dan bagi duit belanja.”

“Berapa selalunya?”

“Tak lebih dari 50 ringgit.”

“Tiap-tiap minggu?”

Puan Jasmin menggeleng.  “Beberapa kali setahun.”

“Cukupkah dengan wang sebanyak itu untuk menyara hidup puan dan tiga orang anak puan yang semuanya sedang bersekolah?”

Puan Jasmin  menggeleng perlahan, sudah berkaca di dalam matanya.  Hakim dan Mutiara gagal dibohongi, pengalaman mereka berada di kerusi itu membuat mereka seorang yang tajam mata hati.

“Puan, Islam tidak menzalimi mana-mana kaum.  Sama ada lelaki atau perempuan, semuanya dilayan sama adil.  Masing-masing ada hak menuntut dan diberi hak untuk memperbaiki kehidupan.”  Sedikit motivasi untuk menguatkan keyakinan Puan Jasmin diselitnya.  Puan Jasmin  hanya mengangguk dalam keterpaksaan.  Mutiara  di sebelah dikerlingnya seakan meminta sokongan emosi. 

Mutiara  menangkap renungan ringan itu, mengangguk juga dia dalam bisunya.

“Mahkamah menutup kes, kes ini tidak akan disebut lagi di lain tarikh.”  Hakim sudah membuat keputusan, tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan selain bersetuju.

Puan Jasmin  bernafas sesak lagi, sesak sudah hatinya.  Tidak langsung dia terlintas untuk menuntut cerai.  Hina benar dia sebagai wanita dan isteri, menuntut cerai dari suami yang dikahwini di atas dasar cinta, jodoh pilihannya sendiri.  Tiada cinta lagi, benci juga tidak dan dia tidak mengharap apa-apa dari lelaki yang menghilang itu.  Namun prinsib hidupnya tidak akan membuat Arasy bergegar dengan tuntutan cerai dari pihak isteri.

Mutiara sudah bangun, membantu menyedarkan Puan Jasmin, mahkamah tidak lagi memberi  ruang baginya berkata apa-apa dan Hakim sudah bersedia untuk mendengar kes   lain yang juga berkaitan syariah.  Mutiara mengangguk  sekali kepada anak guamnya, isyarat supaya mereka beredar, meninggalkan Ruang Bicara.  Puan Jasmin  menghela nafas sedikit sesak, bagai seruh bumi dipijak, namun digagahkan juga menghayun langkah perlahan.

Mutiara menghulur  tangan menunjuk hormat, meminta Puan Jasmin mendahuluinya meninggalkan tempatnya.

“Puan peguam, tolong terangkan kepada plaintif apa yang harus dilakukannya selepas ini.”  Hakim masih mahu membantu meredakan perasaan Puan Jasmin yang tampak sangat-sangat tertekan.

Mutiara menghadap Hakim, mengangguk dia sekali.  Faham dan hormat.

“Jom.”  Terlalu perlahan dia memberi arahan, fail yang dikepit masuk tadi, dikepit juga keluar.     

 

DI KERUSI menunggu di luar kamar mahkamah, Mutiara mempelawa Puan Jasmin duduk bertenang.  Sudah bertitisan air yang dikandung di lopaknya sejak dari Kamar Bicara.  Mutiara  hanya menunggu, membiar anak guamnya membasuh sesak dengan air mata.  Sudah kerap benar dia menjadi peneman wanita-wanita malang begitu yang menangis begitu sehingga dia sudah menjadi wanita yang begitu tegar, sukar merenikkan air suam begitu.  Dia sekadar melihat, membiar sebelum memberi buah fikiran untuk membantu kaum sejenisnya merintis jalan seterusnya.

Beberapa minit berlalu kosong, Puan Jasmin  terus terangguk-angguk dalam tunduknya, kesan tangis yang ditahan-tahan.  Mutiara  membiar terus, hanya menyemak dokumen di dalam fail yang diribanya.  Masih ada dua kes kelolaannya yang akan disebut pagi itu, bermakna dia hanya ada 10 minit untuk bersama Puan Jasmin.  Namun tidak mungkin dia meninggalkan wanita yang sedang sarat kesedihan itu begitu di situ tanpa ditemani sesiapa.

“Tadi, asalnya saya hendak menerangkan perkara ini pada  puan, supaya puan tidak terlalu terkejut. Tapi malangnya puan lewat sampai dan kebetulan kes puan menjadi sebutan pertama pagi ni sebab kes pertama dibatalkan.”   Perlahan intonasinya, hanya mahu Puan Jasmin di sebelah mendengar.

“Saya ada masalah di rumah…”  terketar dia memberi alasan kelewatannya.   Air jernih di pipi diseka berkali-kali, sudah merah mata putihnya dan sudah bengkak kelopak matanya.  Pipi yang mulus juga sudah memerah.  Semuanya diperhatikan Mutiara.  Faham benar dia perasaan anak guamnya saat itu.

“Tak mengapa. Sekarang macam mana? Puan nak teruskan dengan tuntutan ke dua?”

“Mintak cerai?”

Mutiara mengangguk perlahan.  “Fasakh.”

“Sumpah, saya ke sini bukan untuk bercerai.”

“Allah tahu hati kita…”

Mengangguk lagi dia.  “Tak pernah terlintas untuk mintak itu.”  Diungkapnya ayat lain meski memberi maksud yang sama.

“Saya faham dan   Allah Maha Besar, Maha Mengasihi, Mengasihani.  Sama ada wanita atau lelaki semuanya diberi hak yang serupa di bumiNya ini.”

“Bergegar Arasy dengan tuntutan cerai kakak.”

“Allah kan Maha Tahu? Tidak satu pun terlepas dari perhatianNya.  Saya yakin, Allah melihat isi di dalam hati puan.”

“Tak berdosakah kakak jadinya?”

“Islam itu maha adil, tidak ada agama lain sesucinya.   Hukum syariah ada dalam al-quran dan Allah menghalalkan perceraian yang membawa maksud pembubaran perkahwinan di atas sebab-sebab tertentu.  Dan, salah satu yang tertentu itu adalah seperti kes puan  ini.”

“Puan peguam nak suruh kakak bercerai?”  yang itu juga dipersoalnya sehingga dia kelihatan seperti si bodoh yang sangat bodoh.

“Saya bukan menyuruh, tapi saya bersedia membantu kalau puan perlukan bantuan.”

Angguk Puan Jasmin  ditangkap Mutiara, direnung lama.  Dibiarnya terus.

“Saya ada kes lagi selepas ini. Jadi, puan fikirkan saranan Hakim tadi dan buat keputusan sendiri. Saya tidak punya kuasa mempengaruhi puan untuk membuat keputusan.  Tapi sekiranya puan   mahukan sebarang   bantuan atau nasihat, puan tahu kan?  Di mana mahu mencari saya?”

Puan Jasmin   mengangguk lagi.

“Nombor telefon saya masih ada dalam simpanan puan?”

Puan Jasmin   memeriksa beg tangannya, mengeluar pelbagai kertas yang sudah sedikit berkeronyok, tampak gopoh dan tergesa-gesa.  Jelaslah, fikirannya sangat tidak tenteram tika itu.  Dicari sekeping demi sekeping yang sudah berupa sampah.  Mutiara tidak menunggu lagi, terus mengeluar kad namanya, dihulur.

“Tak payah cari, ini kad saya, simpannya baik-baik dan hubungi saya bila-bila puan perlukan bantuan.”   Mutiara sudah bersedia  bangun.  Sebelum sempat Puan Jasmin  ikut berdiri tegak, tangan sudah dihulurnya.

“Saya minta diri dulu, puan buatlah keputusan, sama ada nak terus pulang atau singgah di pejabat mahkamah untuk memfailkan tuntutan baru.”

Puan Jasmin  angguk lagi.  “Terima kasih puan, lama benar sanggup  membantu saya.”

“Sudah menjadi tanggungjawab saya.”  Senyum Mutiara mahu membekalkan sebanyak mungkin semangat kepada wanita itu.

 

EZETI terus senyum, panjang sungguh lirikannya.  Neor sudah bersahaja, terus menyelak lembaran majalah, memeriksa gambar-gambarnya di situ.  Di studio itu mereka akan selalu bertemu, melunas tanggungjawab dan bekerjasama.  Artis dan juru foto dua cabang kerjaya yang saling bergantungan, kerjasama erat dan serasi itu membuat perhubungan Ezeti dan Neor kekal bertahun-tahun, sejak ke duanya dipertemu buat kali pertama dalam sesi rakaman fotografi untuk sambutan Aidilfitri pertama Neor bergelar artis. 

“Apa yang dibualkan dengan Ira  selama waktu makan tengah hari?”   Ezeti sudah tidak sabar menunggu Neor memulakan ulasan pertemuan pertama mereka tanpa ditemani dia.

Neor menghela nafas panjang, majalah yang dipegang dan dibelek dari awal, diletak di meja.

“Sembang biasa-biasa….”  Ringan benar jawapannya.

“Tak ada yang menarik?”

“Menarik juga, tapi kawan awak tu macam tak ada perasaan pada saya.”

“Pulak…”

“Kena saya saja yang call dia.”

“Usaha tangga kejayaan, kan?”  Ezeti bersahaja, berbekal sekelumit senyum.  Sibuk juga dengan kerja biasanya, membersih cermin kecil kamera berselang seli dengan mengintip lubang gambar kamera. Dihala ke sana ke sini, arah yang boleh membantunya mengesan ketidak seimbangan kamera.  Sering dia begitu di waktu senggangnya, sentiasa dia mahu memastikan barang  kesayangannya itu dalam keadaan baik.

“Iya lah, kadang-kadang tu terasa macam hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.”

Ezeti tertawa besar, kamera yang diangkat setinggi mata, diletak di ribaan, terus tertawa.  Neor ditujahnya dengan mata sedikit menyepet dik tawa yang melebar.  Neor berkerut kening, riang Ezeti membuatnya hairan.

“Memang hidung you tak berapa mancung, kalau dibandingkan dengan hidung lelaki Bangla,”  pecah lagi tawanya yang sudah berbaki sedikit.  Sedikit lama begitu, dia kembali mengendur.  Semakin serius.

“Tetapi  kalau dibandingkan dengan hidung bangsa kita, awak boleh dikira okeylah….”  Senyumnya membuat Neor tertawa sedikit memanjang.

Lama tawa mereka meledak akhirnya melonggar dan berpenghujung juga.

“Sejak bila aktor hebat ni sesensitif ini?”

“Aktor juga namanya manusia biasa.”

“Bukankah yang namanya Mior Rezamudin ini menjadi buruan wanita?”

Neor mengerling marah disindir Ezeti.  Ezeti senyum, kamera yang dipegang, diletak di meja, berhati-hati kerjanya.  Majalah yang terabai di atas meja di tengah-tengah mereka, diangkat lalu dibelek.  Selembar demi selembar helaian majalah diselak, sampai pada helaian   yang mempamer foto Neor yang dirakamnya sendiri, dia berhenti.  Dibelek sedikit lama, direndah, diletak di atas meja untuk membolehkan Neor turut memberi perhatian.  Ezeti memberi komen biasa, gaya bergambar dari sudut pandangan seorang juru foto berpengalaman.  Neor menumpu dan mengangguk-angguk juga, bersetuju.

            “Harap-harapnya lepas ni tak ada lagi kontroversi-kontroversi gila yang mengaitkan saya dengan perempuan.”

            “Hai, takut? Sejak bila si Rezamudin ni jadi penakut?”

            “Yang namanya Rezamudin ni memang penakut, yang berani tu Neor…”   bersahaja dia, Ezeti tersenyum cuma.

            “Dan yang menjadi buruan wanita pun Neor, bukan Reza.  Reza hidupnya sepi sendiri.”

            Ezeti mengeluh perlahan, serius dan jatuh simpati.

            “Benarlah kata orang, anak wayang hidup umpama lilin….”  Tidak disudahkannya ayat itu.  Dibiarkan Neor mengeluh pula.

            “Kadang-kadang saya nak lari dari semua ini.”  Sudah jauh serius dia.

            “Kalau takut dilambong ombak, jangan   berumah di tepian pantai, kawan…”

            “Saya tak takut, cuma tak gemar dijadikan bahan senda demi menaikkan pihak lain.”

            “Awak bukan sahaja menaikkan pihak satu lagi, tapi juga menaikkan nama sendiri juga.  Dalam dunia hiburan ini, semuanya saling bergantungan, kan?”

            “Ya, saling bergantungan tapi pihak satu lagi, sewenang-wenangnya  memijak saya untuk meraih untung.”

            “Tanpa wartawan, nama Neor tidak akan ada di akhbar dan majalah, so, redalah.”

            “Saya reda dan berterima kasih pada  wartawan semua, tapi sesetengahnya keterlaluan.”

            “Tidak akan dapat kita mengutip yang baik sahaja, setiap kali menjala, sampah juga akan ditarik keluar.  Jadi, kutip rezeki Allah itu, asingkanlah sarapnya.  Berhati-hati dalam melakukan pengasingan itu supaya jala tidak koyak, ikan tidak terlepas.”  Bijak dia  berperibahasa, Neor tidak langsung terpanggil untuk memikirkannya.  Mengeluh pula dia perlahan.

            Sedang berbual, pejabat Ezeti diterjah Mutiara. 

            “Hai, tiba-tiba aja muncul, apa hal?”

            “Tak boleh?”  Mutiara senyum menangkap keterujaan Ezeti yang sudah bangun dari sofa didudukinya sejak tadi, untuk menyambut kedatangan tetamu.

            Neor juga turut bingkas selepas meluncurkan majalah yang diletak Ezeti di atas meja, laju tindakannya menyelit majalah yang baharu terbit itu ke bawah meja. Mutiara langsung tidak mempeduli, dik rasa kaget menemui lelaki itu di situ.

            “Hai, apa khabar?”  Neor menyapa ramah.

            Mutiara  mengangguk, senyum seraya menyebut baik, perlahan.

            “Dari mana tadi?”  Ezeti sudah mempelawa Mutiara  duduk di tempat yang didudukinya sebelum itu sementara dia beralih ke mejanya lalu menarik sebuah kerusi beroda, menghampir sofa.  Di sebelah Neor masih ada ruang kosong kerana sofa itu sedikit panjang dan memuatkan dua orang, tetapi Ezeti lebih selesa menempat di kerusi yang diletak di antara dua tetamunya.

            “Dari mana tadi?”  soalan sama diaju sekali lagi.

            Office.”  Ringkas juga jawapan Mutiara untuk soalan tidak penting Ezeti.

            “Awal balik, tak sibukkah?”

            Workshop datang ambil kereta, Ira mintak mekanik tu drop Ira di sini.”

            Ala sorrylah, aku tak dapat tumpangkan engkau balik, aku ada appointment  lepas ni.”

            Mutiara terkedu, kesal juga rupanya. “Kalau gitu, Ira  ambil teksi sajalah.”

            “Neor, you kata nak balik, kan? Why not kalau you tumpangkan Ira?”

            Terpinga-pinga Neor namun segera faham maksud yang tersirat.

            “Tak apa, saya boleh ambil teksi.”  Beralih juga Mutiara kepada Neor yang seakan berkira-kira dalam diam.

            It’s okay, I boleh hantarkan.  Kereta you kenapa?”

“Mekap.”  Ezeti membantu Mutiara menjawab.

“O.”  mengangguk-angguk Neor, faham.

“Kalau nak tahu, buah hati awak ni memang selalu memekap keretanya. Dalam setahun berkali-kali menambah macam-macam dan membuang macam-macam.”

Mutiara  tidak membantah Ezeti membentang minatnya, senyum dia mengakui.

“Satu aktiviti yang baik.  Tapi tak membazir ke?”

“Dia ni kemut pat lain, kalau fasal kereta, dia tak kedekut.”

Mutiara  tertawa pula, perlahan.

Neor mengangguk perlahan, faham apa yang dimaksudkan Ezeti.   Tidak juga mahu menelingkah atau merendahkan minat dan hobi Mutiara  itu, masing-masing ada kegemaran sendiri.  Itu diperhitungnya sendiri.

“Nak balik sekarang ke? Jom?” 

Mutiara memandang Ezeti, Ezeti menjungkit bahu, menyerahkan keputusan pada  Mutiara  sendiri.

You free ke?”  Mutiara  meragui keselesaan Neor membantunya.

Yes, sure.  Saya memang nak gerak dah ni.”

            Mutiara  senyum seraya mengangguk.  “Tapi kalau you nak bersembang lagi dengan Zet, kita boleh duduk dulu sini. Kejap-kejap lagilah kita balik.”

            “Tak apa, saya memang dah lama dekat sini.  Zet pun ada hal, tak boleh lagi diganggu.”   Neor bingkas, menunjuk kesungguhannya.  Kunci kereta dan telefon bimbit di atas meja kecil di hadapannya dikutip satu persatu, disimpan ke dalam poket seluar.

           

            “IRA nak terus balik ke?”

            Mutiara tidak terus menjawab, sebaliknya menunggu alasan kepada soalan Neor.

“Kita singgah minum dulu?”

            Mutiara  senyum cuma, angguk hanya perlahan benar.

            Neor senyum juga, girang sungguh.  “Nak minum dekat mana?”

            Up to you…”

            “Kali ni saya bagi peluang  Ira buat pemilihan tempat.”

            Mutiara senyum cuba mengingat-ingat di mana sesuai untuk mereka duduk minum sambil berbual.

p class=
Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.