EZETI masih terpinga-pinga, bagaikan
tidak percaya berita yang baharu didengarnya.
Direnung juga senyum di bibir Mutiara, meski senyum itu tampak manis
benar namun langsung tidak berjaya mencuit hati Ezeti untuk turut riang, jauh
sekali turut tersenyum. Yang ada di
dalam hati hanya rasa tidak percaya dan tidak menyangka. Terpinga-pinga dia.
“Apa
pendapat awak?”
“No comment…”
Mutiara
terus senyum dengan kenyataan balas itu.
“Tapi,
Ira dah tau banyak perkara fasal dia?”
Mutiara
senyum lagi, tampak bahagia dan tidak
menunjuk sebarang keraguan pada keputusannya.
“Kan baik kenali dulu dia
sedalam-dalamnya sebelum buat keputusan?”
“Dia
cuma nak jumpa walid dengan umi, bukan apa-apa pun.”
“Tapi
kalau dah berjumpa walid, semestinya jadi…”
“Tak
mengapalah, Zet kan
dah kenal dia lama?”
“Aku
kenal dia tak sama macam engkau kenal….”
“Sama aja, apa yang Zet rasa, itu yang Ira rasa. Baik di mata Zet, baiklah pada Ira.”
“Mudahnya
buat keputusan…” menggeleng dia perlahan.
“Pilihan
awak selalunya betul, so Ira ikut saja.”
“Aku
kenalkan untuk jadi kawan, tak lebih dari itu.”
“Ni
nak jadi kawanlah ni.” Senyum manis.
“Sampai
bawak jumpa walid dengan umi?”
“Tak
salah, kan?” bersungguh-sungguh dia.
Ezeti
menggeleng cuma. Manis rona wajahnya
meski tiada senyum di situ.
“Ira
tak pernah ada kawan lelaki, tak pernah ada lelaki nak berkawan dengan Ira. So,
bila dah ada kawan lelaki, Ira rasa perlu untuk Ira kenalkan kepada walid dan umi. Itu janji Ira pada umi dulu.”
“Terpulanglah,
tapi sejujurnya dia memang baik. Aku kenal
dia dah lama, sepanjang kami bekerjasama, kami memang serasi. Cumanya, aku
bimbang engkau tak dapat sesuaikan diri dengan gaya hidup dia.”
“Manusia
kan boleh
belajar? Boleh juga berubah.”
“Engkau
harap dia belajar dan berubah ikut cara engkau?”
Mutiara
angguk yakin. “Atau, Ira ikut cara dia.”
Mulus senyumnya, tampak
bahagia benar.
“Hem,
kalau dah suka memang orang tak akan kenal botol kicap dengan botol cuka.”
Senda Ezeti tersenyum pula.
Mutiara
tertawa perlahan.
“Tapi,
aku rasa elok engkau kenal dia sedalamnya sebelum buat keputusan.”
“Ini
nak mengenallah ni. Untuk mengenali lelaki, ada baiknya walid dengan umi kenal
dulu. Baru mudah kerja.”
“Kalau
walid dengan umi berpuas hati?”
“Syukur
alhamdulillah, waktu mengenali boleh disingkatkan.”
“Kalau
sebaliknya?”
“Ira
akan cuba
pujuk mereka.”
“Sah
lah engkau memang dah jatuh cinta pada dia.”
Mutiara
menunjuk senyum manis dalam tunduknya.
Jemari dimain-mainnya sendiri.”
Ezeti
pula menggeleng beberapa kali sambil senyum curiga.
“So, bila nak berangkat?”
“Kebetulan
minggu depan cuma ada dua kes mahkamah, Liya
pun dah bersedia mengambil alih. Appointment pun tak ada.”
“Jadi
minggu depan nak pergi?”
Mutiara
mengangguk perlahan.
“Suka
hatilah Mutiara Hati….” Bersenda dengan menyebut nama penuh gadis itu,
meski masih rasa sangsi namun berusaha dia positif.
“Doakan
Ira selamat pergi dan selamat kembali.”
Ezeti
tertawa perlahan. “Macam nak pergi
Mekah.”
“Ini
pun namanya perjuangan juga.
Pengembaraan untuk mendapatkan restu.”
Serentak
ke duanya tertawa gembira.
“Zet
nak ikut sekali? Esok Ira nak booking
tiket.”
“No thanks.”
“Masih
dendam pada walid?”
“No, tidak langsung tersimpan
dendam.”
“Baguslah,
senang-senang baliklah jumpa walid.”
“Balik ke,
bukan pergi berkunjung?”
“Zet….” Mutiara mengerling, tidak senang jawapan Ezeti.
“Sampaikan
salam rindu aku pada umi.”
“Walid?”
Ezeti
mengangguk cuma, dengan gerakan bibir, dia menyebut perkataan walid.
Mutiara mengangguk
juga walaupun sangat-sangat berharap Ezeti turut bersamanya. Di hujung nafasnya teringat dia apa yang pernah
didengarnya tanpa sengaja perbualan walid dan uminya lama dahulu.
“Aku kalau
dah benci, sampai bila-bila pun tak akan berubah hati aku.”
“Tak baik
awak cakap macam tu. Baik buruknya Ezeti
tu anak kita.”
“Ah, anak
yang tak mendengar
kata.”
“Dia budak
lagi, masih boleh dilentur.”
“Ah, dasar anak tak guna.”
“Awak jangan
nak hina anak saya. Darah daging saya.”
“Anak
awak, bukan anak saya. Saya bersedia
bagi makan pakai dia dah memadai. Kalau ikutkan hati, dah diserah ke Kebajikan
Masyarakat sejak lahirnya dia.”
Dia
mendengar
isteri lelaki itu beristighfar panjang, sayu benar bunyinya. Awalnya tidak difahami siapa yang sedang dibualkan
suami isteri itu meski seakan berkenaan dia, tetapi apabila mendengar namanya disebut, sah! Anak tak guna
itu adalah dia. Malah bukan itu kali
pertama dia dihina, tetapi sudah kerap benar.
Mahu rasanya ditempelak lelaki itu, dinyatakan bukan mahunya dilahirkan,
bukan hak dia menentu jantinanya bagaimana.
Semua itu milik Allah dan Allah punya kuasa. Mahu bagaimana makhluk ciptaanNya, terserah
Dia! Sudah sering diucapkan begitu, namun cuma di hati. Mengenang permintaan uminya yang tidak mahu
dia menjadi derhaka.
Derhakakah
aku, kalau sekadar menyedarkan walid akan
kekuasaan Allah, akan kehendakNya?
Pernah ditanya begitu pada umi namun kata umi, suaminya panas baran,
tidak sesiapa boleh menentang.
“Dan, marah walid Ezeti bukan sahaja kepada Ezeti, tapi juga
pada umi. Kasihanlah umi, sayang. Biarlah ayah berkokok, tidak akan terbantut
matahari yang galak menyinar. Biarkan
dia, nanti sampai masanya
walid Ezeti akan sedar juga.”
Mengeluh Ezeti perlahan.
Sakit benar setiap kali ingatan terbias ke belakang. Sakit terus disakiti ayah sendiri. Berusaha dia melupakan.
“Walid sayang awak juga, cuma…”
“Cuma sebab aku bukan anak lelaki,
maka walid benci aku?” tidak sempat
Mutiara menyudahkan ayat perlahannya, Ezeti mencantas.
Geruh bunyinya menahan murka.
“Okey, okey. Sudahlah.
Kita lupakan tentang walid, awak tak nak balik tak mengapa, tapi tak nak
kirim apa-apa kat umi?”
Mendengar umi disebut Mutiara,
perasaannya kembali sejuk. Lembut manis,
wajah wanita itu bergentayangan
terus.
“Ya, umi…” rindu benar dia.
DIA sekadar menghubungi Makcik
Rominah berkenaan hasratnya untuk ke Brunei bertemu keluarga teman
wanitanya. Makcik Rominah hanya mengucap syukur dan berharap pilihan Neor
bertepatan serta bisa merubah kehidupan
anak bongsu itu. Itu yang disampaikan
kepada Neor seketika tadi. Sesungguhnya
itu juga yang diharapkan Neor, didoakannya dengan caranya.
“Buatlah
solat hajat semoga hajat murni diperkenankan Allah.” Tersenyum Neor sendiri, mengenang kata-kata
ibunya di telefon.
Meski
tidak mungkin dia melakukan begitu, namun tidak dibantah. Akur juga meski tidak dituruti. Mengeluh pula dia perlahan, sudah sering mahu
dilakukan kegiatan zaman remajanya namun semakin jauh pula dia menyimpang. Kesibukan menjadi pengekang utama.
Telefon
bimbit di atas katil, di sisinya dicapai.
Dicari satu nombor yang bertanda nama
‘Sayang’ lalu kekunci panggil pula ditekan dengan ibu jari tangan
kiri. Sepantasnya dihantar ke
telinga. Ditunggu sedikit lama sebelum
dijawab dari kejauhan.
“Hai
sayang, buat apa tu?”
“Sehabis
mandi.”
“Mandi
malam-malam? Nanti sejuk tulang.”
“Guna
air suam.”
Neor
angguk perlahan, senyum semakin manis, girang benar.
“Ira,
dengar baik-baik.” Jelas berbunyi perintah,
tegas dalam kelembutan.
Hanya
sepi di kejauhan, tidak dipeduli Neor.
Dia hanya mahu berkata-kata yang mustahak, sama ada masih ada yang
mendengar atau tidak, itu tidak penting.
“Mutiara
Hati, sudikah awak menjadi permaisuri hati Neor?”
“Neor,
apa ni?” baru itu kedengaran
suaranya. Gugup, hairan benar.
“Kita
kahwin?” singkat tetapi padat. “I
sayang you sungguh-sungguh, rasa tak nak tunggu lama lagi.”
“Apa yang you merepek ni?”
“Saya tak merepek, saya sungguh-sungguh. Tak mungkin Ira tak nampak kesungguhan saya?”
“Kita jumpa my parent dulu….”
“Ya, saya tahu. Tapi nanti bila jumpa
ayah Ira, saya akan terus melamar Ira. Ira
sudi?”
Sedikit lama sepi membungkus,
akhirnya Neor mengalah.
“Ira, saya tahu Ira masih di
situ. Tolong jawab.”
“Ya, I’am still here.”
“So?” lagi dia
bertanya, Mutiara diam juga.
“Tolong jawab dengan perkataan dan
suara. Saya perlu mendengarnya.”
Mutiara diam terus, pastinya masih menunggu, mendengar
barangkali.
“Ira, I love you so much. Please.”
Mutiara diam juga.
Langsung tidak mahu menjawab apa-apa.
“Ira?”
“Saya sangat-sangat cintakan Ira.” Lagi dia melafas, untuk lebih dimengerti.
“Ira, saya bukan saja suka-suka
setuju temankan Ira jumpa orang tua Ira, tapi saya nak melamar Ira sebagai
isteri saya yang sah.”
“Neor, berpuas hatikah dengan
perkenalan yang singkat ini?”
“Nanti lepas kahwin, kita akan
berkenalan luar dan dalam.”
Mersik tawa Mutiara tertawa di gagang telefon bimbit Neor. Neor benar-benar serius namun Mutiara menyambut seakan pernyataannya melucukan. Neor tidak langsung terpanggil untuk
tersenyum, tertawa jauh sekali.
“Ira….”
“Baru saja kita kenal, itu pun secara
luaran. Siapa kita di sebalik nama dan perwatakan yg jelas ini, masing-masing
belum tahu lagi, kan?
Mana mungkin menjadi pasangan suami isteri dalam keadaan kita berkenalan tipis
begini?”
“Saya tak peduli siapa Ira, bagaimana keluarga
Ira, yang mustahak hati saya sudah tertawan.
Sudah tergoda dan sudah pun jatuh cinta.
Itu yang penting.”
Mutiara mengeluh perlahan.
“Ira tak percaya saya? Okay, apa
berkenaan diri saya yang Ira nak tahu?
Saya beritahu, kalau perlu, siap dengan resume sekali.”
“Bukan tak percaya, tapi rasa macam pelik sikit.”
“Apa yang peliknya? Lelaki bujang
jatuh cinta pada gadis yang masih solo tak ada yang akan mempertikaikan. Tak aneh langsung, pelik lagi tidak.”
“Neor, dari mana you tahu saya ni
masih solo? Entah-entah dah bersuami?”
“Semua tetang Ira saya dah tahu.
Perkara lain selain Ira masih belum
bersuami, belum mempunyai kekasih, tidak mustahak langsung. Yang penting, saya tidak merampas milik orang.”
“O, tahu dari Zet?”
“Ya.”
“Tapi Zet tak cerita apa-apa pasal
you.”
“Ira boleh tanya Zet, apa sahaja yang Ira nak tahu.”
“Tak perlulah, apa yang saya nampak
depan mata, itu sahajalah yang wajib saya ketahui. Yang lain-lain, akan diketahui kemudian
dengan sendirinya.”
“Oh, okay. Maknanya Ira terima saya seadanya? Bersedia menerima
lamaran Meor Rezamudin, menjadi menantu Rominah Ramli?”
Mutiara diam juga, apa reaksinya sukar ditilik Neor
dari tempatnya. “Please Ira, nyatakan dengan suara. Atau three G sekarang, Ira boleh menyatakannya dengan isyarat.” Bersungguh-sungguh Neor mahukan kepastian
saat itu juga.
“Okay.”
“Apa yang okay? Tolong bentuk satu ayat yang lengkap.” Entah kenapa dia seakan menghafal skrip drama
yang ditulis penulis skrip. Baharu
semalam dia menuturkan ayat itu dalam drama bersiri lakonannya. Konon melamar kekasih hati yang malu-malu
kucing.
“Saya terima lamaran tidak rasmi Neor. Tolong terima Mutiara Hati binti Jaafar seadanya.”
“Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak. Saya tidak akan mensia-siakan anugarah Allah
ini. Saya berjanji tidak akan meminta
lebih dari apa yang ada pada diri Ira.”
“Tak usah berjanji, sebaiknya
berusaha.”
“Ya, saya sentiasa berusaha untuk
menjaga perhubungan kita.”
“Terima kasih.” Perlahan pula Mutiara seakan berbisik.
“Nanti tolong backing me, boleh?”
“Untuk apa?”
“Tambah markah untuk orang tua Ira terus bersetuju menerima saya sebagai menantu
mereka. Mengambil alih tanggungjawab menjaga anak gadis mereka.”
“Terima kasih.”
“For
what?”
“Bersedia meletak saya di tepi hati Neor.”
“Bukan tepi sayang, tapi di
tengah-tengah hati saya. Sudah pun saya
kuncinya.”
“Terima kasih.”
“Selepas ke Brunei nanti, kita ke kampung saya pulak ya? Jumpa
emak saya.”